Seawal pukul 6.30 pagi Mahani dan Mahmudah telah
bangun dari tidur. Mereka membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh. Ibu
mereka sering berpesan agar jangan sesekali meninggalkan solat kerana solat itu
tiang agama. Solat dapat memberi pendinding kepada diri kita dari bala dan kita
akan sentiasa mendapat perlindungan Allah. Puan Salmah juga sering berpesan
supaya mereka bangun pada waktu pagi kerana rezeki akan mudah datang kepada
mereka.
Itulah pesanan yang
masih segar di ingatan Mahani dan Mahmudah sampai sekarang. Setelah menunaikan
solat Subuh Mahani mengejutkan Irfan dan mereka bertiga berjalan jalan di
pantai. Mereka mahu menikmati pemandangan di tepi laut buat kali terakhir.
Sesungguhnya percutian mereka pada kali ini amat menyeronokkan dan meninggalkan
seribu satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Setelah puas berjalan
jalan, mereka bertiga pulang ke bilik untuk mengemas barang kerana mereka harus
mendaftar keluar pada pukul sembilan pagi. Jam menunjukkan pada pukul lapan
pagi bermakna mereka masih ada masa untuk bersarapan. Tiba tiba mereka
terdengar ada orang memberi salam di luar bilik mereka. Mahmudah bergegas ke
pintu untuk melihat siapakah yang datang pada awal pagi itu.
“Waalaikumsalam.” Jawab
Mahmudah. Dia melihat Sahiril, Melisa dan Datuk Hasanah sedang berdiri di
hadapan bilik mereka. Sahiril dan Melisa menghiasi bibir mereka dengan senyuman
tetapi Datuk Hasanah menayangkan muka masamnya bak cuka. “Jom kita sarapan sama
sama.” Pelawa Sahiril. “Sekejap ye. Mahani tengah kemas barang.” Pinta Mahmudah.
“Cepatlah sikit. Kami
ni bukan khadam nak tunggu kamu bertiga.” Ujar Datuk Hasanah dalam nada
sindiran. Berdesing telinga Mahmudah mendengar kata kata Datuk Hasanah. Mahu
sahaja dia membalas kata kata wanita kaya itu namun disabarkan hatinya. Dia
tidak mahu dianggap kurang ajar. Arwah ibunya sering berpesan supaya dia
menghormati orang yang lebih tua.
Sahiril dan Melisa turut
terkejut mendengar kata kata Datuk Hasanah. Sahiril tidak tahu mengapa angin
ibunya tidak baik sejak dua tiga hari ini. Ibunya juga tidak mahu bersarapan
pada pagi itu. Setelah dipujuk berkali kali baru orang tua itu mahu. Biasanya
ibunya tidak begitu kecuali dengan orang yang tidak disukainya. Tetapi mengapa
pula dia tidak menyukai Mahani dan Mahmudah.
Apa salah mereka berdua
pada ibunya. Dia sendiri tidak tahu jawapnnya. “Maaf lambat. Jom kita pergi
sarapan sekarang.” Kata Mahani bersama Irfan dari muka pintu. Setelah mengunci
pintu bilik, mereka berjalan bersama sama menuju ke cafe yang berada di chalet
itu. Mereka mengambil makanan di tempat yang disediakan. Cafe itu menyediakan
makanan secara buffet.
Ada pelbagai jenis
makanan yang dihidangkan seperti nasi lemak, nasi goreng, mi goreng dan
sebagainya. Setelah mengambil makanan mereka memesan minuman dan duduk di salah
sebuah meja yang kosong. “Lepas ni awak nak pergi mana Mahani?” soal Melisa
kepada Mahani. “Saya nak terus balik. Esok saya kerja lagipun Irfan kena
sekolah. Saya nak basuh baju dan mengemas rumah yang dah tinggal tiga hari tu.”
Jawab Mahani.
“Awak masih kerja kat
RaHa Hotel lagi ke? Kenapa awak tak kerja kat tempat lain?” soal Melisa. “Entahlah Lisa.
Saya tak jumpa lagi kerja yang sesuai. Lagipun susah nak cari kerja sekarang
ni. semua syarikat nak orang yang ada ijazah sedangkan saya ada SPM saja.”
Jawab Mahani jujur. “Bukan semua syarikat macam tu. Apa kata awak kerja kat
syarikat papa saya. Syarikat kami sekarang nak perlukan ramai pekerja baru
sebab cawangan syarikat kami nak buka kat Shah Alam. Lagipun gaji pun tinggi
dari awak kerja kat RaHa Hotel tu. Awak nak?” ujar Melisa.
“Betul tu Mahani.
Sampai bila awak nak kerja kat situ. Lebih baik awak terima tawaran Melisa tu.”
Ujar Sahiril yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. “Boleh juga. Terima kasih
Melisa. Kita baru kenal awak dah nak tolong saya.” Ujar Mahani terharu. “Apa
salahnya. Kawan Sahiril kawan saya juga.” Kata Melisa. Mereka bertiga rancak
berbual tetapi Datuk Hasanah dan Mahmudah hanya mendiamkan diri.
Mahmudah sibuk melayan
Irfan makan manakala Datuk Hasanah memandang Irfan dengan pandangan benci. Dia
tahu Mahani cuba untuk menggoda Sahiril supaya dia dapat mengikis duit Sahiril.
Dia pasti akan menghalang niat Mahani itu. Pasti!
“Kenapa kak long macam
marah je. kak long pun tak banyak cakap masa sarapan tadi. Kak long sakit ke?’
soal Mahani ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Port Dickson ke Kuala
Lumpur. “Aku tak suka betul dengan mama Sahiril tu. Berlagak tak bertempat.”
Luah Mahmudah tidak berpuas hati. “Kenapa kak long cakap macam tu? Saya tengok
dia baik saja.” Ujar Mahani.
“Baik kau kata. Mata
kau tu rabun ke buta? Kau tak nampak ke bukan main benci lagi orang tua tu kat
kita. Tengok kita pun macam nak tak nak saja. Mentang mentang kaya nak berlagak
pula.” Ujar Mahmudah. “Perasaan kak long je kot. Saya tengok mak dia okey je.”
kata Mahani. “Sah memang sah.” Ujar Mahmudah. “Apa yang sah?” Soal Mahani tidak
mengerti.
“Kau tu dah buta dengan
cinta. Kau cinta sangat kat Sahiril tu sampai kejahatan mak dia pu kau dah tak
nampak.” Jawab Mahmudah. “Apa yang kak long merepek ni?” soal Mahani buat buat
tidak faham. “Kau tak payah nak berlakon la. Aku kenal kau dari kau kecil
lagi.” Jawab Mahmudah sambil tersenyum sinis. “Kak long, Sahiril tu dah ada
tunang. Saya dah lupakan dia.” Ujar Mahani.
“Boleh ke aku percaya
cakap kau tu?” soal Mahmudah. Mahani mendiamkan diri. Dia tidak tahu hendak
berbuat apa apa lagi. Dia hairan mengapa begitu sukar baginya melupakan Sahiril
walaupun dia tahu Sahiril tidak akan jadi miliknya. “Ani, aku bukan nak
memperlekehkan perasaan kau pada Sahiril tapi aku rasa lebih baik kau lupakan
dia. Lebih banyak lelaki lain yang sepuluh kali lebih baik daripada dia. Kau
kena lupakan kisah silam kau.” Nasihat Mahmudah.
“Kau dengar tak apa
yang aku cakap ni?” soal Mahmudah seraya memandang ke arah Mahani yang berada
di sebelahnya. “Kau tidur? Punya penat aku membebel kau boleh tidur. Kurang
asam punya adik. Sabar jelah...” Sambung Mahmudah dan terus memandu menuju ke
Kuala Lumpur. Mahani sebenarnya tidak tidur. Dia sengaja pura pura tidur. Dia
malas mahu mendengar nasihat Mahmudah.
Nasihat itu sekadar
menjadi belati yang menghiris jantung hatinya. Dia memanjatkan doa kepada Allah supaya
memberikan sinar yang baik padanya pada masa akan datang.
........................................................................................
Kes perbicaraan
penderaan Irfan oleh Nabila telah berlangsung. Mahkamah memutuskan Nabila telah
bersalah mendera Irfan sehingga membawa kecederaan fizikal. Oleh itu, mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atas Nabila. Mahani dan Ramli
benar benar berpuas hati atas keputusan mahkamah itu. Encik Salleh selaku
peguam yang mewakili Mahani telah menjalankan tugas dengan begitu baik sekali.
“Terima kasih Encik
Salleh. Terima kasih Encik Ramli sebab dah tolong saya. Jasa kamu anak beranak
tak mampu saya balas.” Ucap Mahani ketika mereka bertiga keluar dari bangunan
mahkamah. “Oh tak apa. Memang sepatutnya orang macam Nabila tu kena hukuman
yang setimpal dengan perbuatannya.” Ujar Salleh yang merupakan bapa kepada
Ramli.
“Betul tu Mahani. Kami
berdua tolong awak dengan ikhlas. Saya harap awak boleh jaga anak awak dengan
baik.” Ujar Ramli pula. “Insya Allah Encik Ramli. Saya akan ingat pesan encik.”
Balas Mahani pula. “Mari saya hantar awak balik. Saya balik dulu ayah. Nanti
kita jumpa kat rumah.” Kata Ramli. “Baiklah. Bawa kereta elok elok.” Nasihat
Salleh pada anaknya. “Baik ayah.” Jawab Ramli.
“Saya pulang dulu Encik
Salleh. Lain kali kalau ada masa kita jumpa lagi.” ujar Mahani sambil bersalam
dengan lelaki berusia dalam lingkungan 50an itu. “Baiklah. Hati hati ye.” Pesan
Salleh lagi. Mereka berdua mengangguk dan bergerak ke kereta. Ketika mereka
hendak masuk ke dalam kereta Mahani terdengar namanya dipanggil. Mahani melihat
Bakri berada di belakangnya. “Aku ada perkara nak bincang dengan kau.” Ujar Bakri serius.
Lagaknya seperti orang
di dalam kemarahan. “Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi Bakri. Aku dah
malas nak cakap dengan orang yang tak reti bahasa macam kau.” Balas Mahani. “Kau
jangan sombong sangat Mahani. Kau jangan nak berpuas hati sangat. Sampai hati
kau buat isteri aku sampai masuk penjara. Kau memang kejam Mahani. Rupa bukan
main baik tapi perangai macam Iblis.” Hambur Bakri kegeraman..
Ramli hanya memandang.
Dia tidak mahu campur dalam perbalahan tersebut. Dia akan bertindak jika Bakri
mengapa apakan Mahani. “Jaga mulut kau Bakri. Kau kata aku kejam? Habis isteri
kau tu tak kejam? Kau tu tak kejam? Kau
boleh biarkan orang lain dera anak kau sendiri. Bapa jenis apa kau ni?” Bidas
Mahasi. “Kenapa kau mesti buat laporan polis? Kenapa kau nak bawa perkara ni
sampai masuk mahkamah? Kita boleh bincang perkara ni secara baik.” Ujar Bakri.
“Bincang dengan cara
baik? Kau ni dah kenapa Bakri? Kau ni biol ke atau tiga suku? Perkara macam ni
kau nak bincang dengan cara baik. Memang sah otak kau tu kena basuh dengan
sabun Dettol. Biar bersih sikit otak kau tu.” Balas Mahani geram. “Kau memang sombong
Mahani. Kau sombong dan kau ego. Aku tak akan berdiam diri Mahani. Aku pasti
akan balas dendam. Kalau aku tak dapat kau, anak kau akan terima pembalasannya.
Ingat!” Kata Bakri lalu beredar dari situ.
Mahani memandang Bakri
dengan penuh kegeraman. “Kenapalah aku kahwin dengan dia dulu?” bisik Mahani di
dalam hati. “Sudahlah Mahani. Jangan dilayan orang macam tu. Mari saya hantar
awak balik.” Kata Ramli. Mereka berdua terus masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan
Mahani dan Ramli hanya membisu. “Awak masih marah lagi?” soal Ramli memecah kesunyian
antara mereka sejak dari tadi.
“Tak cuma saya masih tak percaya ada juga orang
macam Bakri kat dunia ni.” Luah Mahani. “Tak payah la awak fikir pasal dia.
Sekarang dia dah terima balasan atas semua perbuatan dia. Biar dia sedar bahawa
dia tidak boleh sesekali mempermainkan awak Mahani.” Ujar Ramli. “Walau apa pun
saya nak ucap terima kasih pada Encik Ramli sebab sudi tolong saya. Kalau tak ada
Encik Ramli tentu perkara tak akan selesai. Saya tak tahu macam mana nak balas
budi baik Encik Ramli.” Ujar Mahani.
“Awak nak balas budi saya?” soal Ramli sambil
tersenyum. “Nak! macam mana?” Mahani begitu teruja mahu mendengarnya. “Jangan
panggil saya Encik Ramli lagi mulai hari ini. Panggil saya Ramli sahaja.
Boleh?” Ujar Ramli. “Tapi….” Balas Mahani ragu ragu namun pantas dicantas oleh
Ramli. “Tak ada tapi tapi lagi. Itu saja saya minta kalau awak nak balas budi
saya. Setuju?” Ramli memandang kea rah Mahani.
“Baiklah Ramli.” Jawab
Mahani sambil tersenyum. “Bagus. Macam tulah pekerja yang cemerlang. Sentiasa
dengar arahan majikannya.” Ujar Ramli dan mereka berdua tertawa bersama.
“Bakri, saya tahu awak
hidup dalam kesusahan sekarang ni. Awak kena cari perempuan yang benar benar
cintakan awak dan pada masa yang sama boleh memberi kebahagiaan pad awak.” Ujar
Nabila sambil memegang tangan Bakri. Bakri benar benar terkesima dengan ucapan
dan tindakan Nabila. Belum pernah lagi seumur hidupnya ada seorang perempuan yang berani
memegang tangannya selain Mahani.
“Apa maksud Puan
Nabila?” soal Bakri tidak mengerti. “Untuk pengetahuan awak Bakri, saya sudah
jatuh hati pada awak sejak kali pertama melihat awak. Saya mahu memiliki suami
seperti awak. Saya nak kahwin dengan awak. Saya tahu awak tak bahagia dengan
isteri awak sekarang. Itu pun kalau awak sudi terima balu seperti saya.” Nabila
masih memandang tepat ke arah anak mata Bakri.
Bakri menjadi gelisah
dan serba salah. Lidahnya kelu untuk menuturkan kata kata. “Kenapa Puan Nabila
cakap saya tak bahagia? Saya sangat bahagia dengan isteri saya.” Ujar Bakri tergagap
gagap. “Saya lebih tua dari awak Bakri. Saya dah kahwin lebih lama dari awak. Saya
tengok muka awak pun saya dah tahu. Asyik sugul saja bila datang kerja.” Terang
Nabila.
“Memang benar kata
puan. Saya memang tak berapa bahagia dengan isteri saya. Saya tahu dia tak
mencintai saya. Dia mencintai lelaki lain. Rumah tangga kami sering bermasalah.
Kami selalu kekurangan wang sebab gaji kami berdua kecil. Saya hanya despatch
dan dia pula kerja sebagai pengemas bilik hotel.” Ujar Bakri. Dia tidak tahu
mengapa begitu mudah dia menceritakan kebobrokkan rumah tangganya kepada wanita
itu.
“Ambil sampul ni. Dalam
tu ada lima
ratus ringgit. Saya tahu awak ada anak. Gunakan duit tu untuk beli susu dan
barang keperluan rumah.” Nabila menyerahkan sampul berwarna coklat itu kepada
Bakri. “Banyak sangat ni puan.” Ujar Bakri. “Tak apa. Awak ada anak. Awak nak
anak awak mati kelaparan dalam rumah itu.” Ujar Nabila. “Terima kasih puan. Jasa puan
tak dapat saya balas.” Bakri benar benar malu dengan wanita itu.
“Saya tak pernah minta balasan apa pun. Apa
yang saya nak awak boleh bahagia dengan kehidupan awak.” ujar Nabila sambil
tersenyum. Kenangan tiga tahun lalu kembali menerjah ke kotak fikiran Bakri.
Sejak itu, dia sudah mula jatuh hati dengan wanita itu. Sejak hari itu juga dia
tidak pernah kesempitan wang. Nabila akan memberi apa sahaja yang dipintanya.
Balu yang bekerja
sebagai pegawai kewangan di syarikat pencetakkan itu sangat baik terhadap
dirinya. Sejak hari itu juga dia selalu bertengkar dengan Mahani. Sebaik sahaja
pulang ke rumah mereka pasti bertengkar. Irfan yang berusia empat tahun itu
hanya memerhati ibu dan ayahnya berkelahi. Sampai satu tahap tangannya pasti
akan singgah di pipi Mahani. Dia sudah tidak cinta lagi pada wanita itu.
Cintanya pada wanita
itu sejak dari bangku sekolah menengah sudah terpadam sebaik sahaja dia
terjumpa diari Mahani. Dalam diari itu tertulis bahawa hanya Sahiril yang
Mahani cintai. Dia hanyalah sebagai alat untuk Mahani melepaskan diri dari
cemgkaman ibunya yang mahu dia belajar. Hatinya benar benar marah dengan
tindakan Mahani dan ibunya, Salmah.
Sejak itu, hatinya mula
sakit melihat Mahani. Setelah mereka berpisah dia terus menikahi Nabila.
Hidupnya benar benar bahagia dengan wanita itu walaupun Nabila seorang yang
tegas dan suka mengongkong. Tetapi panas tidak membawa ke petang, hujan juga di
tengah hari. Kebahagiaan yang dikecapi bersama Nabila telah diragut oleh
Mahani. Mahani telah menyumbat Nabila
ke dalam penjara hanya kerana Nabila mahu mendidik Irfan dengan cara
memukul anak kecil itu.
Tindakan Mahani itu
amat tidak wajar. Mahu sahaja dia menampar Mahani di kompleks mahkamah tadi
tetapi apabila melihat lelaki yang berada di sebelah Mahani itu dia membatalkan
niatnya. Dia tidak mahu mencari masalah di situ. Tapi siapa lelaki itu? Apa
hubungannya dengan Mahani? Persoalan itu sentiasa berlegar di kotak fikirannya.
Sudah tentu lelaki itu kekasih baru Mahani. Masakan tidak, belakangan ini dia
melihat Mahani kerap bersama lelaki itu dan dia pasti lelaki itulah yang
membiayai wang guaman Mahani.
Dia tidak sangka Mahani
mempunyai seorang kekasih yang kaya. Jauh lebih baik dari dirinya. “Tapi kenapa
Mahani tak bersama dengan Sahiril? Bukan ke Mahani mencintai anak orang kaya
itu separuh mati.” Desis hati kecil Bakri. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan
Sahiril. Musuh ketatnya semasa mereka masih menuntut di Sekolah Menengah Pantai
Dahan.
Sahiril terkenal kerana
dia seorang yang tampan. Dia amat digilai oleh gadis gadis di sekolah. Sahiril
juga terkenal kerana bapanya sering menderma untuk pembangunan sekolah itu.
Sahiril juga seorang ahli kelab muay thai yang aktif di kampung mereka. Dia
banyak kali menang dalam beberapa pertandingan yang dianjurkan di kampung
mereka. Bukan itu sahaja Sahiril juga cemerlang dalam kurikulum dan
kokurikulum. Tidak hairanlah dia pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik
Sijil Pelajaran Malaysia
dan Tokoh Kokurikulum pada tahun 2004.
Pokoknya, Sahiril
adalah seorang lelaki yang hebat di kampung mereka. Ramai ibu bapa memuji Sahiril dan mahu
anak anak mereka mencontohi Sahiril. Kelebihan yang ada pada Sahiril tidak ada
pada dirinya. Dia terkenal sebagai ketua kaki pukul di kampungnya. Bapanya
seorang guru silat. Jadi dia sering membuli dan mengganggu ramai anak anak
kampung tidak kira lelaki atau perempuan.
Dia digelar kacang
hantu. Dirinya akan menjadi baik apabila berhadapan dengan ibu dan bapanya
serta Mahani. Selain dari itu, dia langsung tidak peduli. Sebab itu ramai
penduduk kampung membenci dirinya. Dia digelar kacang hantu oleh kebanyakkan
penduduk kampung. Dia dan Sahiril adalah dua manusia yang berbeza. Di mana
Sahiril? Dia tidak tahu.
Namun apa yang pasti dendamnya pada Mahani sudah
mula membara. Dia bersumpah akan membalas dendam pada Mahani kerana wanita itu
telah memenjarakan isterinya. Wanita itu pasti akan menerima pembalasannya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.