Khamis, 14 Januari 2016

INILAH PUNCA RAMAI JEMAAH TIDUR SEMASA KHUTBAH JUMAAT SEDANG BERLANGSUNG

Sumber : Google

Solat Jumaat adalah tuntutan ibadah wajib bagi setiap lelaki Muslim yang mukallaf. Solat ini dilakukan pada hari Jumaat kerana hari Jumaat adalah salah satu hari yang mulia dalam agama Islam. Pada setiap hari Jumaat, kita dapat melihat berduyun duyun manusia yang berjantina lelaki akan ke masjid untuk melaksanakan ibadah wajib ini. Barang siapa yang meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, maka dia akan berdosa besar.

Antara syarat sah solat Jumaat adalah mendengar dua khutbah. Khutbah adalah cabang ilmu atau seni berbicara di hadapan ramai orang dengan tujuan untuk meyakinkan dan mempengaruhi mereka. Khutbah dibacakan oleh khatib merangkap imam dan dibacakan di atas mimbar. Jika khutbah tidak didengari atau jemaah tertidur semasa khutbah ini sedang dibacakan, maka pahala solat Jumaat seseorang jemaah itu akan berkurangan. Dua khutbah yang dibacakan itu adalah sebagai pengganti dua rakaat dalam solat Zohor yang telah digantikan dengan solat Jumaat tadi.

Acapkali kali kita melihat para jemaah tertidur semasa khutbah sedang dibacakan. Jika tidak tertidur pun, segelintir jemaah akan bermain telefon pintar atau berbual bual kosong. Fenomena ini sudah biasa berlaku sehingga telah menjadi satu gaya semasa bagi segelintir jemaah.


Pada saya, fenomena jemaah tertidur atau bermain telefon pintar atau berbual bual kosong itu berlaku kerana dua faktor. Pertama, isu isu yang dikupas di dalam khutbah itu tidak menarik dan yang kedua, teknik penyampaian khutbah yang dilakukan oleh khatib itu gagal untuk menarik minat para jemaah untuk mendengarnya.   

Saya menulis artikel ini bukan untuk menegur atau mengkritik mana mana khatib atau institusi masjid yang bertugas dalam membuat dan menyampaikan khutbah ini sebaliknya artikel ini sebagai satu cadangan untuk menambahkan kualiti khutbah yang hendak disampaikan kepada para jemaah sekaligus menambahkan kualiti ibadah solat Jumaat itu sendiri.  

Pada hemat saya, isu isu yang dikupas dalam khutbah Jumaat itu adalah isu isu yang sudah biasa dikupas atau diulang berkali kali oleh institusi masjid hingga menyebabkan jemaah menjadi bosan mendengarnya. Apabila mereka berasa bosan, mereka akan mengambil tindakan sendiri yang merugikan diri untuk menghilangkan kebosanan itu dengan cara tidur, berbual bual kosong atau bermain telefon pintar semasa khutbah sedang dibacakan. Isu isu seperti isu akidah, isu syariah, isu feqah, isu akhlak dan sebagainya adalah isu isu yang sudah acapkali dikupas oleh khatib dan ini adalah punca mengapa ramai jemaah yang tidur, bermain telefon pintar dan berbual bual kosong kerana mereka berasa bosan. Saya tidak bermaksud isu isu yang acapkali dikupas itu harus dibuang tetapi pada saya, isu isu semasa yang berlaku di sekitar jemaah juga sangat penting untuk dikupas dan diberi penerangan dari sudut agama secara ringkas dan padat.

Isu isu semasa yang berlaku atau viral di sekitar jemaah pada hari ini seperti isu perlombongan bauksit, isu ISIS, isu vape, isu membuat jenayah palsu dan sebagainya juga harus dikupas dengan kerap dalam sesuatu khutbah itu untuk menarik perhatian jemaah mendengarnya. Isu isu ini juga penting untuk dibahaskan dalam wacana khutbah bagi memahamkan jemaah mengenai isu itu tersebut dari sudut agama di samping memberi peringatan atau amaran kepada mereka.

Ini bukan bermakna saya mahu isu isu asas dalam agama seperti ibadah, syariah, feqah, akhlak, akidah dan sebagainya itu ditinggalkan tetapi perlu diseimbangkan dengan isu isu semasa yang berlaku di sekitar jemaah. Sebagai contoh, pada minggu ini mungkin khatib boleh memilih untuk berbicara mengenai isu akidah dalam khutbah Jumaat tetapi pada minggu hadapan tukarlah pula dengan isu vape atau isu isu semasa yang lain. 

Teknik penyampaian khutbah oleh khatib juga mempengaruhi jemaah untuk terus mendengar khutbah yang disampaikan. Saya tidak meminta khatib berpidato di atas mimbar ketika membaca khutbah tetapi saya meminta khatib untuk menyampaikan khutbah dengan penuh semangat dan dalam intonasi yang betul. Sebagai contoh, jika ada perkara yang hendak diberi perhatian atau penekanan kepada para jemaah, intonasi suara khatib itu hendaklah tinggi bagi memberitahu kepada sekalian jemaah bahawa perkara ini adalah penting dan perlu diberi perhatian khusus oleh mereka.

Pada pandangan saya, jika dua perkara ini dapat diambil dipertimbangkan dan dilaksanakan, saya yakin bilangan jemaah yang tidur, bermain telefon pintar atau berbual bual kosong dapat dikurangkan. Untuk membasminya seratus peratus bukanlah mudah tetapi untuk mengurangkan jumlahnya saya fikir dapat dilakukan secara perlahan lahan.      

Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak berniat sama sekali untuk mengkritik apatah lagi menegur mana mana khatib atau institusi masjid dalam isu kandungan teks khutbah ini. Saya menulis artikel ini sebagai satu lontaran pandangan dan cadangan bagi meningkatkan kualiti ibadah solat Jumaat yang dilakukan oleh semua jemaah termasuklah diri saya sendiri. Moga moga ibadah Jumaat kita semua dapat diterima oleh Allah hendaknya.  



4 ulasan:

  1. setuju dengan pandangan tuan. kena berikan nafas baru dalam khutbah di samping memberi pandangan daripada sudut agama tentang masalah-masalah semasa yang berlaku di dalam negara.

    BalasPadam
  2. Teguran yang sepatutnya buat semua yang tak ambil perhatian ketika khutbah. Malah ramai juga yang asyik bercerita ketika khotib diatas mimbar, macam tak pernah diajar oleh ustaz..

    BalasPadam
  3. Setuju juga pasal teknik penyampaian khutbah Jumaat perlu ada perubahan

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.