Sumber : Google |
Acapkali kali mendengar, melihat dan
membaca perihal ibu bapa yang dibuang oleh anak anak mereka sama ada
ditinggalkan di sebuah rumah usang secara bersendirian, ditinggalkan di tepi jalan
atau dihantar ke rumah orang orang tua. Memang sedih dan pilu melihat ibu bapa
yang telah membesarkan anak mereka dengan penuh jerih payah namun diperlakukan
sebegitu rupa oleh anak anak apabila anak anak sudah meningkat dewasa. Di mana
sifat perikamanusiaan seorang anak terhadap ibu bapa yang telah melahirkan dan
membesarkan mereka selama ini?
Fenomena ini bukan baru dan semakin
lama semakin banyak kes tersebut dipaparkan sama ada di media cetak mahupun di
media elektronik. Media media sosial pun tidak ketinggalan membahaskan isu yang
menyayat hati ini. Sebagai penulis blog, saya tertanya tanya mengapa anak anak
ini sanggup memperlakukan ibu bapa mereka sebegitu rupa? Tidak tahukah mereka
akan dosa dan pahala? Tidak tahukah mereka akan keberkatan doa seorang wanita
yang bernama ibu? Ini persoalan yang perlu dijawab dan diperbahaskan bagi
menangani masa ini. Satu kajian yang menyeluruh juga perlu dilakukan bagi
mencari jalan penyelesaian.
Mungkin ada yang berpendapat anak
anak yang membuang ibu bapa mereka yang telah tua itu kerana mereka seorang
anak yang tidak mengenang budi. Apabila mereka telah kaya mereka malu kerana mempunyai
ibu bapa yang miskin hina lalu tergamak membuang ibu bapa mereka sendiri.
Mungkin juga ada yang berhujah anak anak tidak punya masa untuk menjaga dan
menguruskan ibu bapa mereka yang telah tua itu lalu meninggalkannya di rumah
orang tua tua tanpa menjenguk mereka selama bertahun tahun.
Jujur saya tidak menafikan atau
menolak hujah hujah tersebut. Semua hujah dan pendapat itu ada benar dan
bernas juga. Tetapi pada saya itu bukanlah punca utama mengapa anak anak
masa kini sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana mereka tidak mengenang
budi atau tidak punya masa untuk menjaga ibu bapa mereka sendiri. Pada hemat
saya, punca sebenar ibu bapa dibuang
oleh anak anak mereka adalah kerana cara didikan yang kasar yang dipraktikkan
di rumah sejak anak anak mereka kecil lagi.
Kebanyakkan ibu bapa mendidik anak
anak bukan dengan kasih sayang sebaliknya dengan ketegasan dan kemarahan yang
membuta tuli. Ketegasan itu penting tetapi jika terlalu tegas dengan anak anak
akan membawa kesan buruk dalam jiwa dan psikologi anak anak. Pantang anak anak
silap sedikit, mereka menjerit, mengherdik, memaki hamun, dan menyumpah seranah
anak anak mereka sebagai satu hukuman di atas kesalahan tersebut padahal
kesalahan tersebut tidaklah besar mana. Kesalahan tersebut hanyalah tidak
membasuh pinggan yang banyak di sinki dapur.
Selain itu juga, mereka selalu
menghukum anak anak mereka dengan cara yang salah. Hukuman yang dikenakan tidak
setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Sebagai contoh, jika anak mereka
tidak menyusun kasut yang bertaburan di luar rumah, maka mereka akan menjerit
dan mengherdik dengan penuh kemarahan kepada anak anak mereka di atas kesalahan
yang kecil itu. Lebih parah lagi, mereka lantas merotan atau melibas anak
mereka dengan tali pinggang di atas kesalahan yang kecil itu. Mereka langsung
tidak mahu menggunakan pendekatan nasihat dan kasih sayang untuk menegur kesalahan anak mereka.
Ramai juga ibu bapa suka
membeza-bezakan kasih sayang di antara anak anak. Anak anak yang pandai
dan cantik akan disayangi melebihi anak anak yang tidak pandai atau tidak cantik itu. Anak anak kesayangan tidak disuruh melakukan itu dan ini tetapi anak anak yang
tidak disayangi disuruh melakukan itu dan ini.
Jangan terkejut jika ada ibu bapa
yang bersikap ego dengan anak anak mereka. Mereka merasakan diri mereka terlalu
besar kerana mereka adalah ibu bapa – mereka membesarkan, melahirkan, dan
memberi makan kepada anak anak mereka. Oleh itu, mereka boleh melakukan apa sahaja
yang mereka suka terhadap anak anak mereka atas dasar mereka adalah ibu bapa.
Mereka langsung tidak mahu mengaku kesalahan mereka walaupun kesalahan itu adalah yang
sama dilakukan oleh anak mereka. Sebagai contoh, mereka memarahi anak mereka
kerana tidak menutup air paip yang terbuka namun mereka juga melakukan perkara
yang sama. Kemudian mereka memarahi anak mereka kerana tidak menutup air paip
itu padahal mereka yang tidak menutupnya atas alasan anak mereka tidak boleh
menolong menutup air paip itu.
Ada juga segelintir ibu bapa yang
suka mengawal hidup anak anak mereka secara melulu. Mahu makan apa, mahu pakai
baju apa, mahu pakai kasut apa, tidak boleh buat itu dan tidak boleh buat ini.
Mereka juga kerap memaksa anak anak mereka belajar tanpa rehat atau belajar
bidang yang mereka minat dan bukannya bidang yang anak mereka minat. Akibatnya
anak anak mereka pula berasa terseksa dengan sikap ibu bapa mereka sendiri dan
mulai bosan untuk tinggal bersama ibu bapa mereka sendiri.
Dengan sikap tidak baik ibu bapa
mereka itulah telah mencetuskan perasaan dendam kesumat anak anak terhadap ibu bapa mereka sendiri. Mereka
mendendami ibu bapa mereka sejak mereka kecil lagi lalu mereka memuntahkan
lahar dendam itu apabila mereka meningkat dewasa. Mereka membuang ibu bapa
mereka bukan kerana mereka tidak sayang tetapi kerana rasa dendam yang telah
bersarang di dalam hati mereka sejak sekian lama akibat sikap sikap tidak baik
yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka semasa membesarkan mereka dahulu.
Walaubagaimanapun, dendam kesumat dan
membuang ibu bapa bukanlah satu sikap yang baik malah dicela oleh Allah s.w.t. Ibu bapa telah bersusah payah membesarkan kita dan wajarlah kita hormat kepada
mereka walaupun mereka buruk mana sekalipun. Ibu bapa haram diderhaka walaupun
mereka telah melakukan kesalahan yang besar terhadap diri kita. Walaupun ibu
kita seorang pelacur sekalipun, kita wajib mentaati perintah mereka asalkan
tidak bercanggah dengan agama kita.
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa,
didiklah anak anda dengan kasih sayang dan nasihat bukannya kemarahan,
herdikan, dan jeritan semata mata. Hukumlah anak anda dengan balasan yang
setimpal dengan kesalahan mereka. Ingatlah, anak anda adalah manusia biasa.
Mereka juga punya hati dan perasaan. Jangan perlakukan mereka seperti binatang.
Anak anak pula janganlah buang ibu bapa anda sebegitu sahaja kelak laknat Allah
akan datang kepada anda. Ingatlah, syurga itu di telapak kaki ibu. Tanpa doa
restu seorang ibu, tidak bahagialah hidup anda di dunia dan diakhirat.
buang yang keroh...ambil yang jernih...dendam takkan berkesudahan akan membawa kepada bencana nanti...tugas ibubapa cukup berat...ibubapa memang ada kuasa veto tapi kena guna ikut rasional dalam mendidik anak2
BalasPadamsistem undang2 kita kah yg salah dalam perkara ini? atau sistem didikan di sekolah atau cara didikan ibu bapa? kalau di sekolah anak-anak dipukul sedikit pun ibu bapa salahkan cikgu.. dirumah anak anak dipukul untuk mengajar dikatakan dera anak... saya pun confuse kdg kdg.. apa sebabnya semua ni berlaku.. yang pasti.. didikan agama adalah terbaik.. selagi dia ada pegangan agam dan iman yg kuat.. semua ni tak terjadi...
BalasPadambetul lah tu.
PadamMemang banyak faktor tentang hal ni.. yang penting mengamalkan ajaran agama dengan sebaiknya..
BalasPadamZumal nie selalu kena rotan dengan arwah to wan tapi tak ada la nak dendam cuma kami lebih erat dari hubungan Zumal dengan ibu dan ayah sendiri... Kehilangan arwah sampai sekarang tetap diingatan nie...
BalasPadamnak mendidik anak-anak ada fasanya.tak salah menegur atau memarahi anak-anak asalkan setimpal dengan kesalahannya.zaman sekarang ni pun kalau nak manjakan anak-anak,susah juga.
BalasPadam