Jumaat, 19 Disember 2014

HARIMAU MALAYA, KEMENANGAN DAN CHARYL CHAPPUIS

Charyl Chappuis


Rabu lalu telah berlangsungnya perlawanan akhir peringkat pertama antara Malaysia dan Thailand di Stadium Rajamangala yang menyaksikan pasukan Thailand berjaya menewaskan Malaysia sebanyak 2-0 menerusi jaringan Charyl Chappuis (penalti) dan Kroekrit Thawikan. Kesedihan jelas terpancar di jiwa rakyat Malaysia di atas kekalahan tersebut. Harapan rakyat Malaysia besar - mahu Harimau Malaya menebus kekalahan mereka malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Muncul persoalan di benak rakyat Malaysia, apakah mungkin Harimau Malaya membawa kemenangan untuk negara pada malam ini? Berdasarkan teori dan mata kasar, pasukan Thailand memang kuat dan sukar digugat. Mengapa? Pertama dalam kedudukan FIFA setakat Mei 2014, kedudukan Thailand berada di tangga 143 manakala kedudukan Malaysia berada di tangga 145.

Kedua, pasukan Thailand mempunyai Charyl Chappuis yang merupakan penyerang yang berbisa dan telah menjadi fenomena  kerana mempunyai wajah yang tampan. Bukan itu sahaja, pasukan Thailand mempunyai bekalan selesa dua gol untuk dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.


Saya optimis Harimau Malaya mampu untuk membawa kemenangan untuk negara sekiranya mereka menukar strategi, cara dan corak permainan. Sekiranya tidak, harapan untuk Malaysia menggali kubur di tempat sendiri amat besar. Apa yang penting sekarang, bahagian pertahanan dan bahagian serangan mesti diperkukuhkan. Elakkan juga dari membuat kesilapan di petak penalti kerana buruk padanya nanti.

Saya tidak mahu memperlecehkan pasukan negara kita tetapi saya harap mereka akan membawa pulang kejayaan buat negara. Cukup cukuplah kekalahan demi kekalahan yang menimpa kita selama ini. Saya begitu sedih dan kecewa Rabu lalu melihat kekalahan kita. Jangan lagi perasaan yang sama berulang lagi pada malam ini.

Besar harapan saya sebagai seorang pemerhati sukan yang mahu kegemilangan bola sepak kita seperti di era Allahyarham Mokhtar Dahari dahulu. Mengapa kegemilangan dahulu tidak bisa dibawa ke hari ini? Satu kajian yang konkrit dan holistik perlu dilakukan untuk mencari tahu mengapa pasukan negara kita seteruk itu? Tidak mahukah kita melihat pasukan negara kita beraksi di Piala Dunia contohnya?

Malam perlawanan saya melihat ketidakmatangan penyokong penyokong kita yang terlalu mengikut emosi di laman laman sosial. Kemenangan Thailand itu telah menimbulkan pelbagai perkara perkara negatif antaranya Charyl Chappuis itu seorang gay, mahu memboikot tom yam dan sebagainya. Mengapa perkara itu mesti terjadi? Kekalahan Harimau Malaya adalah disebabkan oleh kesilapan mereka sendiri dan mengapa kita mesti menimbulkan perkara perkara negatif seperti itu?

Saya bukan mahu menyokong pasukan Thailand tetapi saya melihat ketidakmatangan masyarakat kita dalam sukan. Cukup cukuplah insiden rakyat kita memukul penyokong penyokong Vietnam tidak lama dahulu. Jangan cuba buat perkara yang karut marut lagi semata mata kita tidak berpuas hati dengan kekalahan yang menimpa pasukan kita.


Apa pun, marilah kita berdoa agar pasukan Harimau Malaya membawa pulang kejayaan untuk negara pada hari Sabtu ini. Semoga Malaysia dapat mengulangi kejayaan dalam kejohanan ini seperti tahun 2010 dahulu. Tiada istilah mustahil untuk itu sekiranya ada usaha, doa dan tawakkal. Jika kita menang, kita perlu bersyukur, jika kalah, kita perlu menerimanya dengan tangan terbuka.      

2 ulasan:

  1. Nampaknya kita kena tunggu lagi... Apa pun tahniah untuk Harimau Malaya kerana lakukan terbaik pada Sabtu lepas....

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.