Selasa, 25 November 2014

MUHYIDDIN BERANI – BERANI MATI!!!




Semalam saya menonton ucapan perasmian ketiga tiga sayap UMNO – Pemuda, Wanita dan Puteri yang disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ada sedikit kelainan dalam ucapan bekas Menteri Besar Johor itu. Ucapan beliau semalam lebih berani dan lebih terbuka mengkritik ahli ahli dan pemimpin pemimpin UMNO secara keseluruhannya.

Ya, suara suara keberanian seperti inilah yang kita mahukan daripada pemimpin pemimpin UMNO. Kita tidak mahu UMNO dipimpin oleh seorang pemimpin yang penakut, bacul, dan gila kuasa. UMNO mesti dipimpin oleh orang orang yang berani, berwibawa, dan sanggup berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

Sebenarnya sudah lama suara suara keberanian ini hilang di dalam UMNO. Setepatnya, selepas zaman Tun Dr. Mahathir, UMNO sudah ketandusan pemimpin pemimpin yang berani seperti ini. ‘Kejantanan’ UMNO seolah olah hilang dikasi oleh kemabukan kuasa. pangkat dan wang ringgit. Tidak ada pejuang sejati di dalam UMNO menyebabkan UMNO terus lesu dan lemah. UMNO terus dihinggap sindrom terlalu lama berkuasa.


Muhyiddin dengan lantangnya mengkritik kepimpinan dan ahli UMNO tanpa rasa takut dan gentar semalam. Beliau tegas dengan pendirian beliau untuk mengekalkan Akta Hasutan yang mahu dimansuhkan oleh Presiden partinya sendiri iaitu Najib Tun Razak. Muhyiddin juga dengan beraninya mengatakan UMNO dianggap parti feudal, mempunyai ramai warlords, kaki ampu, cah keting, lesu, menunjukkan kekayaan kepada rakyat, menabur kemewahan kepada penyokong dan banyak lagi. Ironinya, semua kata kata Muhyiddin itu adalah benar belaka.

Muhyiddin juga seolah olah menyindir pemimpin pemimpin tertentu di dalam ucapannya semalam di mana pemimpin pemimpin yang menjadi laba kepada UMNO perlu ditendang dengan segera. Muhyiddin juga mahukan mana mana pemimpin UMNO yang sudah lama dan tidak lagi proaktif perlu berundur dengan serta merta untuk memberi peluang kepada orang muda. Muhyiddin mahukan UMNO dipimpin oleh orang muda sebagai langkah meremajakan UMNO.

Semua ahli UMNO sama ada di pucuk pimpinan mahupun di akar umbi perlu mengambil cakna teguran dan kritikan Muhyiddin itu. Ahli UMNO tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga. Penyakit masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri juga perlu dihapuskan dalam diri orang orang UMNO jika UMNO merasakan yang mereka mahu kekal berkuasa pada PRU yang akan datang. Sekiranya penyakit penyakit kronik ini tidak dibuang, nescaya tunggu sahajalah kehancuran UMNO tidak lama lagi.

Ya, ucapan Muhyiddin itu sangat berani tetapi saya sifatkan sebagai berani mati. Kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO boleh terancam dengan mengeluarkan ucapan berani mati seperti itu. Sebelum ini, cakap cakap politik ada kedengaran di blog blog pro UMNO bahawa Muhyiddin mahu digantikan dengan Hishamuddin pada pemilihan UMNO akan datang. Setakat mana cakap cakap politik ini benar, tidak dapat saya pastikan. 

Adakah ucapan Muhyiddin semalam seolah olah mahu memberi isyarat kepada semua perwakilan supaya mengubah pemimpin pemimpin lama pada masa depan? Adakah Muhyiddin mahu memberi isyarat yang dia akan ditendang tidak lama lagi maka dia harus mengambil sikap berani mati sebegitu. Muhyiddin seolah olah memberi isyarat bahawa dia akan ditendang tidak lama lagi dan alang alang dia akan ditendang, lebih baik dia luahkan segala galanya demi kebaikan UMNO jua.

Sebagai pemerhati politik, saya melihat ada isyarat yang mahu disampaikan oleh Muhyiddin tetapi saya tidak pasti apa. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh meragui keikhlasan Muhyiddin yang mahu melihat UMNO berubah. UMNO perlu melakukan perubahan secara besar besaran dengan segera jika mahu diundi pada PRU yang akan datang.

Kesimpulannya, saya mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin di atas keberanian beliau semalam. Inilah pemimpin yang diperlukan oleh UMNO. Segala nasihat, teguran dan kritikan yang disampaikan oleh beliau perlu diambil cakna bukan sahaja oleh pucuk pimpinan tetapi juga akar umbi secara keseluruhannya. Diharapkan semua ahli UMNO akan sedar dan insaf di atas teguran Muhyiddin itu.










2 ulasan:

  1. betul tu... selain tu pemimpin juga mesti melaksanakan bukan sahaja hanya cakap2 kosong...

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah Akta Hasutan tu dikekalkan...

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.