Sabtu, 5 Julai 2014

SELANGOR : KEPADA SIAPA HENDAK DISERAHKAN?

PKR SELANGOR
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor



      Melihat kepada keadaan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada waktu ini seakan memberi satu persoalan baru, siapakah yang akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas ini? Adakah Tan Sri Khalid Ibrahim selaku pemegang jawatan itu mampu untuk mempertahankan jawatan tersebut? Adakah seteru politiknya, Azmin Ali akan mengambil alih jawatan itu? Atau adakah Presiden PKR sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan duduk di kerusi panas itu? Atau adakah seorang wakil dari PAS akan dilantik untuk menduduki jawatan itu?

        Semua persoalan itu kerap menghantui rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Penganalisis penganalisis politik terus mengeluarkan pendapat dan hujah masing masing untuk menyatakan siapakah yang akan menerajui negeri Selangor itu? Sebuah negeri yang terkaya memandangkan berhampiran dengan bandaraya Kuala Lumpur.


        Mengapa persoalan ini tiba tiba muncul? Semua persoalan ini muncul kerana pemilihan yang berlaku dalam PKR itu sendiri. PKR yang selama ini melaungkan demokrasi dan mengatakan kerajaan UMNO/BN tidak telus dalam pilihan raya ternyata parti itu sendiri yang menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Mereka selalu mengatakan ada penipuan dalam pilihan raya tetapi bagaimana pula penipuan yang terjadi dalam parti mereka?

        Bagaimana mereka mahu mentadbir negara Malaysia dengan baik sedangkan pari sendiri pun semakin lama semakin mahu runtuh jadinya? Kalau sebuah parti sebesar PKR itu pun sudah huru hara dan kacau bilau, bagaimana pula jika mereka mentadbir sebuah negara sebesar Malaysia? Bagaimana rakyat mahu memberi kepercayaan kepada mereka untuk mentadbir negara ini? Tepuk dada dan tanya iman.

       Semua masalah ini terjadi hanya kerana satu perkara. Kegilaan pemimpin pemimpin parti itu untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Oleh itu, dua calon yang sering berkelahi untuk merebut jawatan itu adalah Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Azmin merasakan dia lebih layak untuk menyandang jawatan itu sementelahan dia adalah Pengerusi PKR Selangor manakala Khalid terus mendapat sokongan dari rakyat dan PAS untuk menduduki jawatan itu.


        Oleh itu, kedua dua ‘orang kuat’ Anwar Ibrahim ini cuba mencari peluang bagaimana untuk mendapat jawatan MB Selangor itu. Seorang mahu merampas jawatan itu dan seorang lagi mahu mempertahankan jawatan tersebut. Jadi, cara terbaik untuk mereka membuktikan siapa yang lebih layak adalah dengan cara merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

        Sekarang PKR telah terbahagi kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan berpihak kepada Azmin Ali yang ingin mempertahankan jawatan itu. Dua lagi kumpulan adalah kumpulan Khalid Ibrahim dan  kumpulan Saifuddin Nasution Ismail yang ‘mengintai’ peluang untuk merebut jawatan itu.

        Jawatan Timbalan Presiden PKR itu besar ertinya kepada Khalid dan Azmin kerana jika salah seorang daripada mereka menang, sudah tentu jawatan Menteri Besar Selangor itu akan menjadi milik salah seorang dari mereka. Oleh itu, masing masing perlu bergolok bergadai untuk mendapatkan jawatan itu walau apa cara sekalipun!

         Saya tidak tahu apa agenda Saifuddin mahu merebut jawatan itu namun apa yang pasti Anwar juga mahukan isterinya yang juga Presiden PKR mengambil alih jawatan MB itu yang sebelum ini begitu diminati oleh Anwar. PRK Kajang yang berlaku tidak lama dahulu merupakan satu agenda Anwar untuk menduduki kerusi MB Selangor itu namun terhalang akibat beliau mahu dipenjarakan atas kes liwatnya bersama Saiful Bukhari Azlan.

        Memandangkan dia tidak mampu bertanding, dia memerlukan orang yang paling dia percaya untuk bertanding di situ dan ternyata Wan Azizah berjaya mengekalkan kerusi itu dengan menewaskan Datin Paduka Chew Mei Fun. Dia berharap Wan Azizah akan dapat menduduki MB Selangor itu untuk menggantikan Khalid. Mengapa dia mahu menggantikan Wan Azizah dengan Khalid, itu tidaklah saya ketahui. Saya tidak mahu menyebarkan fitnah dalam blog saya ini.

        Cakap cakap politik mengatakan Khalid gagal mematuhi arahan Anwar. Apa yang Anwar mahu Khalid buat, Khalid langsung tidak mengendahkannya. Sebagai contoh, perjanjian MoU berkenaan dengan air antara kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat yang telah dimetrai tidak lama dahulu. Oleh sebab itulah, Anwar dikatakan tidak suka kepada Khalid. Tambahan pula, Khalid mentadbir negeri Selangor bukan sebagai ahli politik sebaliknya sebagai seorang tokoh korporat. Negeri Selangor ditadbir seperti sebuah syarikat. Khalid tidak banyak berpolitik sebaliknya lebih banyak berkhidmat untuk meringankan beban rakyat. Inilah antara cakap cakap politik mengapa Anwar tidak suka akan Khalid dan mahu menjadi MB Selangor namun tidak berjaya.

        Khalid terus didesak agar meletak jawatan sebagai MB dan serahkannya kepada Wan Azizah atau Azmin Ali namun dia terus berdegil untuk tidak mahu meletak jawatan itu walaupun dia kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden. Sukar sebenarnya untuk membuat ramalan apakah nasib Khalid selepas ini. Adakah benar beliau akan terus menduduki kerusi MB Selangor itu? Semuanya akan terjawab selepas pemilihan PKR selesai diadakan.

       Walaupun desakan dari dalam PKR sendiri agar Khalid meletak jawatan namun Khalid terus mendapat sokongan dari luar PKR. Rakyat Selangor dan orang ramai masih lagi menyokongnya kerana mereka bersimpati terhadapnya. Walaubagaimanapun, bukan mudah untuk Khalid mempertahankan jawatan itu. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk beliau meletak jawatan sama ada baik atau buruk.      

        Kedudukan Khalid sekarang umpama telur di hujung tanduk. Bila bila masa sahaja boleh jatuh. Oleh itu, Khalid perlu membuat persediaan yang rapi untuk terus mempertahankan jawatan MB itu atau dia juga boleh membuat persediaan yang rapi untuk disingkirkan pada bila bila masa! Ini kerana jika DUN Selangor bersatu untuk membuat undi tidak percaya kepada Khalid, nescaya Khalid perlu meletak jawatan juga. 

        PAS juga dikatakan (saya tidak tahu betul atau tidak) cuba mengintai peluang untuk merebut jawatan itu kerana mereka mempunyai bilangan kerusi DUN lebih sedikit berbanding PKR iaitu PAS : 15 dan PKR :14. Setakat mana benar akan akan cakap cakap politik ini tidak pula saya ketahui. 

         Justeru itu, persoalannya sekarang adalah kepada siapa Selangor hendak diserahkan? PAS? Khalid Azmin? Wan Azizah? atau Anwar Ibrahim!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.