Isnin, 7 April 2014

NIK AZIZ BARU SEDAR KESILAPANNYA SELAMA INI




     Apabila mendapat berita bahawa Nik Aziz mengalirkan air mata kerana gagal menjadi Menteri Besar Kelantan selama lebih 20 tahun beliau duduk di kerusi itu telah menimbulkan pelbagai polemik dalam politik Malaysia. Ada yang menyokong dan ada juga yang mengejek. Sebagai seorang penulis, saya tidak mahu menyebelahi mana mana pihak. Penulis perlu jadi non partisan.

     Dari satu segi saya memuji tindakan Nik Aziz itu yang sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan atas kegagalannya selama ini. Bukan calang calang orang yang sanggup meminta maaf dan mengakui kesalahan sendiri. Tahniah saya ucapkan kepada Nik Aziz kerana sanggup mengakui kesilapannya selama ini.


     Inilah hakikatnya menjadi seorang pemimpin. Bukan senang mahu menjadi seorang pemimpin lebih lebih lagi memimpin sebuah negara bernama Malaysia yang rakyatnya lebih 27 juta orang. Pelbagai masalah dan kerenah yang perlu ditangani dengan baik untuk memuaskan hati semua pihak. Kadang kala, tindakan yang diambil itu tindakan yang tidak popular namun terpaksa juga diambil demi rakyat.

     Bagitu juga apabila Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan. Bukan mudah untuk menjaga sebuah negeri sebenarnya apatah lagi sebuah negara. Jadi Nik Aziz janganlah terlalu menyalahkan kerajaan pusat jika terdapat kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan yang dipimpin oleh UMNO – BN ini.

     Nik Aziz sendiri tidak berjaya memerintah negeri Kelantan dengan baik. Dia gagal membekalkan air bersih dan elektrik kepada rakyat Kelantan walaupun telah lama menjadi Menteri Besar selama lebih 20 tahun. Rakyat Kelantan juga ramai yang masih miskin jika hendak dibandingkan dengan negeri negeri lain.

     Saya bukanlah penyokong UMNO atau orang yang super taksub dengan BN namun seteruk teruk UMNO itu pun mereka masih bina sekolah untuk rakyat. Mereka masih bina masjid untuk rakyat. Mereka masih memberi pelbagai bantuan kepada rakyat. Di bawah kepimpinan UMNO juga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang membangun.

     Saya akui UMNO itu banyak kelemahannya. Banyak perkara yang saya tidak bersetuju dengan kepimpinan UMNO seperti masalah rasuah, masalah pengangkutan awam, masalah pendatang asing, masalah 1 Malaysia dan banyak lagi namun saya tidak mengeji UMNO seperti mana Nik Aziz dan Hadi Awang menghina UMNO. Saya juga menegur UMNO jika ada kesilapan yang mereka lakukan.

     Cuba fikir, bagaimana Nik Aziz mahu mentadbir Malaysia jika sebuah negeri sebesar Kelantan itu pun beliau gagal mentadbir dengan baik. Pelbagai masalah yang berlaku di dalamnya. Beliau hanya pandai dan tahu mencari segala keburukan, keaiban dan kebobrokan UMNO namun beliau langsung tidak nampak kesalahan beliau sendiri.

      Beliau hanya sedar tentang kelemahannya apabila beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan. Sepatutnya beliau perlu sedar tentang perkara ini sejak kali pertama beliau melangkah masuk ke pejabat Menteri Besar Kelantan itu. Bukannya sekarang. Nasi sudah menjadi bubur. Sudah terlambat.

     Teguran saya kepada Nik Aziz, jangan suka mencari buruk orang lain. Cari sendiri keburukan diri sendiri dan muhasabahlah diri sendiri dahulu. Ingat, tidak salah untuk menegur namun apa niat atas teguran itu? Saya nampak niat Nik Aziz mengkritik kerajaan pusat pimpinan Najib bukanlah untuk membawa kebaikan sebaliknya hanya untuk membawa kebencian, pepecahan, pergaduhan dan kejatuhan!

      Tidak salah untuk kita berlainan ideologi politik. Allah mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan supaya kita boleh berkenalan antara satu sama lain dan bukannya saling berkelahi.   

     Nasihat saya, jangan jadi kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak. Akui kesalahan diri sendiri dahulu baru boleh mencari kesalahan orang lain. Kita mesti ingat, wali tinggi mana pun, ulamak besar mana pun tidak akan terlepas dari melakukan khilaf dan dosa. Itulah namanya manusia. Tidak lari dari membuat kesilapan.
 

        Walaubagaimanapun, saya tabik kepada Nik Aziz yang sudi mengakui kesilapannya. Ramai juga pemimpin masa kini yang telah membuat kesilapan namun tidak mahu meminta maaf. Semoga Nik Aziz sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.