Antara watak dalam filem Melayu yang sering kali menjadi sebutan dari dahulu sehingga kini adalah watak Pak Maon (lakonan Mahmud June) dan watak Nyonya Mansur (lakonan Mak Dara).
Pak Maon adalah salah satu watak dalam filem Nasib Do Re Mi arahan P. Ramlee manakala watak Nyonya Mansur adalah salah satu watak dalam filem Ibu Mertuaku juga arahan P. Ramlee.
Jika ditanya kepada sesiapa pun, sama ada muda ataupun tua, pasti sangat kenal dengan watak-watak ini.
Mengapa watak-watak tersebut sering diingati? Hal ini kerana kedua-dua pelakon tersebut telah melakonkan watak tersebut dengan sangat berkesan.
Antara sebab lain watak-watak itu berupaya menjadi ikonik dalam sejarah perfileman Melayu adalah kerana filem-filem itu dihasilkan oleh P. Ramlee. Kita semua tahu, jika filem tersebut lahir dari tangan P. Ramlee, pasti filem itu berupaya menjadi karya yang besar.
Amat sukar untuk pelakon pada zaman sekarang dapat mencontohi lakonan Mahmud June dan Mak Dara. Oleh sebab itulah, tidak ada watak ikonik yang dilakonkan oleh pelakon sekarang yang berupaya menandingi watak-watak yang dilakonkan oleh Mahmud June dan Mak Dara itu.
Mahmud June dan Mak Dara berlakon filem kerana mereka adalah anak seni atau artis. Manakala pelakon sekarang kebanyakanya adalah selebriti. Pelakon sekarang lebih mengejar populariti dan kekayaan peribadi. Sebab itulah mereka tidak berupaya menandingi Mahmud June dan Mak Dara.
Tambah menyedihkan lagi, industri perfileman Malaysia terus malap hari ke hari. Tidak ada filem Malaysia yang mampu pergi jauh di arena antarabangsa. Jika ada pun, hanya satu dua filem sahaja.
Industri perfileman Malaysia bukan sahaja ketandusan pengarah sehebat P. Ramlee, tetapi juga ketandusan pelakon sehebat Mahmud June dan Mak Dara.
Industri perfileman Malaysia sangat jauh ketinggalan dengan industri perfileman Indonesia dan Thailand. Filem-filem kita bukan sahaja sukar menandingi filem-filem Hollywood, filem-filem Indonesia dan Thailand pun kita masih gagal lagi. Usahlah bercakap hendak menandingi filem-filem Korea.
Sebagai orang yang berada di luar indusri filem, saya tidak tahu punca-punca yang menyebabkan industri perfileman kita kian malap hari demi hari. Dan paling menyedihkan, tidak ada satu pihak pun yang cuba mengubah keadaan ini.
Sampai bila kita hendak berada dalam keadaan sebegini? Saya sendiri tidak mempunyai jawapan mengenai soal itu.
Walau apa pun, kita sehingga kini masih gagal untuk mendapatkan pelakon sehebat Mahmud June dan Mak Dara apatah lagi pengarah sehebat P. Ramlee. Kita pun sehingga kini masih dibelengu dengan masalah filem kita tidak berupaya pergi jauh di peringkat antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.