Khamis, 18 Mac 2021

MELIHAT TEMAN-TEMAN DARI JAUH

Akibat PKP, saya sekarang ini 'terlontar' menjadi seorang tukang urut atau dalam bahasa Inggeris kerjaya ini disebut sebagai massage therapist.

Ini adalah kerjaya yang tidak pernah saya impikan untuk saya ceburi sepanjang hidup saya. Namun, akibat keterdesakan, saya memilih kerjaya ini.

Pada awalnya, saya hanya ingin bekerja buat sementara waktu sahaja. Namun, semakin lama saya berada dalam kerjaya ini, saya semakin jatuh cinta. Barangkali, saya akan kekal lama dalam kerjaya ini. Di lain artikel, akan saya cuba ulas mengenai kerjaya baru saya ini.

Selain saya melihat diri saya yang menceburi kerjaya sebagai tukang urut, saya juga cuba 'mengintai' kerjaya yang teman-teman saya ceburi. Baik teman sewaktu zaman sekolah rendah dan menengah, mahupun teman-teman sewaktu di kolej dan universiti.

Ramai teman-teman saya tidak mendedahkan kerjaya mereka. Bagi teman-teman yang mendedahkan, saya boleh katakan mereka mempunyai kerjaya yang bagus. Sejujurnya, saya berasa bangga dengan mereka.

Ada yang bekerja dengan badan kerajaan, ada yang bekerja dengan syarikat swasta, ada yang menjadi guru, ada yang jadi politikus dan ada yang berniaga. Pendek kata, bermacam kerjaya diceburi oleh mereka. Namun, tidak ada yang memilih kerjaya sebagai tukang urut seperti saya.

Apa pun kerjaya yang dipilih oleh mereka, saya berharap mereka suka akan kerjaya itu. Saya juga berharap agar mereka boleh pergi jauh dan berjaya dengan kerjaya tersebut. 

Sewaktu saya di universiti, saya pernah bercadang untuk menulis sebuah memoir menjelang usia saya 60 tahun. Dalam memoir itu, hendak saya nukilkan nama teman-teman saya yang berjaya. Ingin saya berbangga dalam memoir itu bahawa saya pernah bertemu dan berteman dengan mereka sebelum mereka menjadi terkenal dan berjaya.

Saya tidak tahu sama ada saya boleh sampai atau tidak ke usia 60 tahun untuk menulis memoir itu. Saya juga tidak pasti sama ada jika saya berjaya sampai ke usia 60 tahun, saya masih berupaya menulis memoir itu.

Memoir ditulis oleh orang yang berjaya dalam pelbagai lapangan kerja. Saya tidak pasti sama ada saya boleh berjaya dengan kerjaya sebagai seorang tukang urut ini. Melihat keadaan pada masa kini, saya boleh katakan bahawa memoir itu hanya tinggal impian sahaja buat masa ini.

Walau apa pun, saya tetap gembira melihat teman-teman saya berjaya dengan kerjaya mereka. Saya berdoa moga-moga mereka akan terus berjaya. Sama ada memoir itu dapat ditulis ataupun tidak, itu soal kedua. Namun, melihat kejayaan teman-teman menjadi kegembiraan buat diri saya. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.