Selasa, 31 Mac 2020

HILANG PENDAPATAN KERANA PKP



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 14 April telah menggusarkan ramai pihak. Bukan sahaja pergerakan kita untuk ke mana-mana menjadi terbatas, untuk membeli barang keperluan harian pun sudah semakin susah. Ini semua gara-gara kerajaan ingin memastikan wabak Covid-19 itu tidak terus merebak dengan lebih dahsyat dan membunuh lebih banyak nyawa.


Dalam tempoh PKP ini sedang berlangsung, bagi yang bekerja dan mendapat gaji secara bulanan, tentulah tidak berasa apa-apa. Lagi-lagi apabila mereka mendapat majikan yang prihatin yang tidak memotong gaji mereka gara-gara PKP ini. Bagi yang mendapat gaji harian seperti saya ataupun bagi yang mencari pendapatan hasil berniaga, PKP ini benar-benar menyukarkan kehidupan.


Bukanlah saya dan sekalian yang berniaga itu tidak suka akan PKP ini. Kami tahu niat kerajaan melaksanakan PKP ini untuk mengekang wabak Covid-19 itu agar tidak menjadi lebih teruk. Namun, gara-gara PKP ini, secara realitinya, ia menggugat pendapatan dan periuk nasi kami.


Seperti saya yang bekerja kilang dengan gaji dibayar secara harian, jika tidak bekerja, maka gaji tidak dibayar. Jika PKP ini terus dilanjutkan, maka banyak harilah saya tidak turun bekerja. Banyak hari tidak turun bekerja bermakna banyak harilah gaji saya tidak dibayar. Hendak makan apa saya ini jika gaji tidak dibayar? Hutang pelajaran MARA, bil telefon dan internet serta duit insurans semua perlu dibayar. Hendak dibayar guna apa jika saya tidak turun bekerja gara-gara PKP?


Bukan saya sahaja, orang-orang yang berniaga secara kecil-kecilan turut sama berasa susah. Jika mereka tidak berniaga, maka tiadalah hasil pendapatan mereka. Jika mereka tiada pendapatan, bagaimana mereka mahu membeli barang keperluan harian? Bagaimana mereka mahu membayar segala bil dan hutang piutang?


Inilah dugaan yang Tuhan beri kepada kami yang berpendapatan harian dan berniaga secara kecil-kecilan ini. Tiada apa yang dapat kami lakukan selain redha dan berdoa agar wabak berbahaya ini akan segera hilang dan PKP itu tidak dilanjutkan.


Mujur kelmarin (ketika artikel ini ditulis) kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion bagi membantu semua rakyat Malaysia sama ada yang terjejas mahupun yang tidak terjejas akibat PKP ini. Kita beruntung kerana mempunyai kerajaan yang masih prihatin dengan kesusahan rakyat. Dengan segala bantuan yang diumumkan oleh kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi itu, sedikit sebanyak ia dapat membantu kami. 


Saya dan sekalian rakyat jelata yang terjejas kehidupan gara-gara PKP ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana keprihatinan mereka memahami masalah yang kami hadapi. Kami juga sangat berharap agar wabak Covid-19 ini akan segera hilang supaya kami dapat mencari rezeki semula seperti biasa. 

2 ulasan:

  1. insyaAllah bantuan itu sentiasa ada jika kita patuh perintah. Saya pun dah kena berhenti kerja oleh syarikat bila dapat tahu tempoh PKP ni dipanjangkna. Nak tak nak, kena redhalah...perit memang perit...tapi itulah dunia yang kita hidup hari ni.

    BalasPadam
  2. Moga semuanya makin baik dan baik. Sama-sama kita perbanyakkan doa agar semua ini berlalu dengan cepat secepat datangnya ujian ni, Insyaallah.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.