Ahad, 11 November 2018

CUTI, BERCUTI DAN MELANCONG

Saya bukanlah orang yang sering pergi bercuti. Pengalaman saya bercuti terutama di tempat-tempat yang jauh memang tidak banyak. Boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja saya pergi bercuti.

Saya juga bukanlah orang yang tidak suka bercuti. Saya memang suka bercuti terutama bercuti ke tempat yang jauh daripada rumah saya. Namun, peluang untuk saya bercuti itu memang tidak banyak. Selain daripada kekangan masa dan wang ringgit, kekangan keluarga juga antara sebab saya tidak banyak peluang untuk pergi bercuti. Hal ini kerana, keluarga saya bukanlah keluarga yang menyeronokkan untuk diajak bercuti. Saya lebih suka bercuti dengan kawan-kawan berbanding bercuti dengan keluarga. Apa sebabnya biarlah saya seorang sahaja yang tahu. Hendak didedahkan di sini takut mengaibkan keluarga sendiri pula.

Jika saya tidak pergi bercuti, saya suka menghabiskan masa di restoran-restoran mewah untuk menikmati makanan yang enak-enak. Jika tidak pun, saya suka menghabiskan masa saya untuk pergi menonton wayang. Dalam bab-bab menonton wayang atau filem ini, saya lebih suka menonton filem-filem Barat daripada filem-filem Malaysia (lebih tepat lagi filem-filem Melayu) di pawagam. Seingat saya, hanya tiga sahaja filem Melayu yang saya pernah tonton di pawagam iaitu Special KL Force, Munafik 2 dan Paskal.

Mengapa saya tidak suka menonton filem Melayu di pawagam? Saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat berkenaan perkara tersebut. Mungkin kerana filem-filem Melayu ini kurang menghiburkan atau filem-filem ini bakal ditayangkan di Astro akhirnya, jadi saya memang tidak bercadang untuk menonton filem-filem Melayu di pawagam. Jika filem-filem Melayu itu mendapat ulasan yang positif daripada orang ramai, barulah saya akan pergi menonton.

Ini bukanlah bermaksud saya menganggap filem-filem Melayu itu tidak berkualiti. Bukan semua filem Melayu tidak berkualiti. Sebenarnya tetdapat banyak filem Melayu/Malaysia yang berkualiti yang boleh ditonton di pawagam. Cuma saya sahaja yang mempunyai banyak kekangan untuk pergi menonton.

Berbalik kepada soal bercuti pula, tidak banyak tempat di negara ini yang saya pernah pergi. Selain daripada tempat-tempat bersejarah di kampung saya yakni Melaka, saya pernah sampai ke beberapa tempat di Kuala Lumpur (sudah semestinya kerana saya tinggal di sini), Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Sarawak. Negeri-negeri yang tidak pernah saya kunjungi ialah Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

Dalam negeri-negeri yang pernah saya pergi pun, terdapat pelbagai tempat menarik yang tidak saya kunjungi. Di tempat tinggal saya sendiri yakni Kuala Lumpur, banyak tempat menarik di sini yang belum lagi saya pergi. Maksudnya di sini, banyak sungguh tempat menarik di negara saya sendiri yang saya belum menjejakkan kaki. Namun, Insha Allah, jika mempunyai rezeki lebih dan masa terluang, saya pasti akan pergi.

Negeri yang ingin benar saya kunjungi ialah Pulau Pinang. Selain mempunyai banyak tempat-tempat menarik, sering dikhabarkan kepada saya bahawa makanan di sana banyak yang enak-enak. Saya sekarang ini sedang merancang bersama kawan-kawan untuk pergi ke sana dalam tahun hadapan.

Selain bercuti di dalam negara, di luar negara pun saya pernah menjejakkan kaki. Pengalaman saya menjejakkan kaki ke luar negara sekali sahaja iaitu di Pulau Jeju, Korea Selatan. Itulah pengalaman bercuti di luar negara yang paling menyeronokan di samping memenatkan yang saya pernah alami. Jika mempunya rezeki lebih, saya teringin benar untuk melancong ke United Kingdom (terutama London) dan Jepun. Menjejakkan kaki ke Korea Selatan (kali ini Seoul) pun ada dalam perancangan saya.

Perkara yang paling menyeronokan ketika bercuti bagi saya ialah ketika dalam perjalanan untuk sampai ke tempat percutian. Saya suka melihat ke luar tingkap kereta, bas atau kapal terbang untuk melihat pemandangan. Oleh sebab itulah saya tidak suka memandu ketika pergi bercuti. Oleh sebab itulah juga saya suka duduk di tepi tingkap kereta, bas, atau kapal terbang ketika pergi bercuti. Tidur dalam perjalanan untuk pergi bercuti (walaupun bahaya) adalah sesuatu yang saya suka buat juga.

Meskipun telah banyak tempat yang pernah saya pergi melancong, namun bukan semuanya menyeronokan. Hal ini kerana, keluarga saya sendiri yang suka merosakkan suasana percutian yang menyeronokan itu dengan tingkah laku mereka. Oleh sebab itulah mengapa saya tidak suka pergi bercuti atau melancong bersama keluarga saya.

Umur saya sekarang ini sudah pun mencecah 24 tahun. Saya sekarang sudah boleh merancang untuk bercuti dengan kawan-kawan lebih-lebih lagi setelah saya telah bekerja ini. Saya berharap agar segala impian saya untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang saya ingin pergi dimakbulkan oleh Allah hendaknya.

Menonton wayang, bermain boling, karoeke, makan di restoran mewah, melancong di dalam dan luar negara adalah antara perkara yang saya suka lakukan. Saya ingin menikmati kehidupan saya setelah saya penat bekerja. Begitu juga dengan anda. Lakukanlah perkara yang anda lakukan setelah anda penat bekerja. Nikmati hidup anda sepuasnya dengan melakukan perkara-perkara yang anda suka.   

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.