Isnin, 23 Julai 2018

PERKARA YANG DILARANG KONGSI DI MEDIA SOSIAL

Image result for media sosial
Sumber

Pada masa kini, semua orang mempunyai mempunyai media sosial. Statistik menunjukkan rakyat Malaysia merupakan pengguna media sosial yang teramai di dunia.
 
Oleh kerana kita memiliki media sosial, maka menjadi kegemaran kita berkongsi apa sahaja perkara berkenaan diri kita di media sosial. Kita mahu rakan-rakan di media sosial kita seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya mengetahui diri kita.

Walaupun bukanlah satu kesalahan untuk berkongsi apa sahaja mengenai diri kita di media sosial, namun bukan semua perkara boleh dikongsi. Terdapat perkara-perkara tertentu yang kita tidak boleh kongsi di media sosial.

Di bawah disenaraikan perkara-perkara yang kita dilarang untuk berkongsi di media sosial.

Perkara yang dilakukan setiap hari
Terdapat ramai dalam kalangan kita suka berkongsi perkara yang kita lakukan setiap hari. Apa sahaja yang kita lakukan seperti makan, minum, tidur, pergi ke tandas dan sebagainya kita mahu kongsikan di media sosial. Perkara ini sepatutnya tidak kita lakukan kerana bukan sahaja orang berasa meluat melihat segala mengenai diri kita di garis masa (timeline) media sosial mereka, malah orang yang berniat jahat terhadap kita pun tahu apa yang kita lakukan. Maka, mereka boleh merancang sesuatu yang buruk terhadap kita.

Sikap yang tidak baik

Entah mengapa pada zaman sekarang ramai dalam kalangan kita sudah hilang rasa malu. Kita sudah tidak berasa malu lagi untuk mendedahkan sikap buruk kita kepada khalayak ramai. Sikap buruk yang boleh menjejaskan imej kita di khalayak ramai usahlah kita kongsi dengan bangga di media sosial. Contohnya, sebagai orang Islam kita dilarang pergi ke pub atau disko kerana itu merupakan tempat maksiat. Namun, ada dalam kalangan kita yang beragama Islam sendiri bangga mempamerkan gambar kita ke pub atau disko di media sosial.

Kekayaan atau kemewahan

Tidak dinafikan ada dalam kalangan kita yang dikurniakan dengan rezeki yang banyak daripada Tuhan. Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk kita menjadi kaya atau mewah. Apa yang salah ialah apabila kita suka menayangkan kekayaan dan kemewahan kita di media sosial. Kita suka menayangkan beg tangan kita yang berjenama mewah, rumah kita yang besar, kereta kita yang mahal dan sebagainya. Kita tidak tahu mungkin ada dalam rakan-rakan kita yang mempunyai sikap dengki atau iri hati. Apabila kita suka menayangkan kekayaan atau kemewahan kita, mereka akan berasa dengki lalu akan berusaha untuk menjatuhkan kita.

Tempat percutian

Tidaklah menjadi salah untuk berkongsi tempat percutian kita tetapi janganlah sampai kita mendedahkan butiran tempat percutian kita itu secara terperinci. Kita khuatir ada orang yang berniat buruk ke atas kita dan mereka pergi ke tempat kita bercuti itu lalu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kita. Berpada-padalah ketika kita berkongsi tempat yang kita pergi bercuti supaya orang tidak mengetahui lokasi sebenar di mana kita berada.

Keburukan orang lain

Walaupun kita tidak suka akan seseorang, itu bukanlah alasan untuk kita mendedahkan keburukan seseorang itu di media sosial. Semua orang pernah membuat kesilapan dan semua orang mempunyai keburukan. Maka, tidak wajar untuk kita berkongsi keburukan orang lain di media sosial. Perkara sebegini akan menyebabkan hubungan kita dengan orang lain menjadi tegang sehingga membawa kepada pergaduhan. Mungkin pada masa yang lain, orang lain pula mendedahkan keburukan kita di media sosial milik mereka.

Mencarut dan memaki hamun

Perkataan-perkataan yang tidak baik dan buruk bunyinya seperti mencarut dan memaki hamun janganlah kita kongsi di media sosial. Orang yang membaca hantaran (posting) kita itu pasti akan membuat tanggapan yang tidak baik terhadap diri kita. Maka, elakkanlah daripada mencarut atau memaki hamun di media sosial.

Politik

Meskipun kita adalah peminat politik yang tegar, namun janganlah kita berkongsi pandangan politik kita di media sosial. Politik pada masa kini merupakan isu yang amat sensitif. Segala perkongsian kita di media sosial mengenai sokongan kita terhadap parti politik tertentu akan menyebabkan orang berasa tidak selesa lalu akan mewujudkan permusuhan sesama rakan kita di media sosial.

Maklumat peribadi

Segala maklumat peribadi kita seperti alamat, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan sebagainya janganlah kita kongsikan di media sosial. Pada masa kini, orang boleh memanipulasikan maklumat peribadi kita untuk tujuan yang jahat demi kepentingan diri mereka sendiri. Ingat, jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi di media sosial!

Gambar memalukan orang lain

Mungkin kita hanya bergurau dengan mendedahkan gambar-gambar yang tidak sepatutnya milik rakan-rakan kita. Namun begitu, kesan daripada tindakan kita itu akan menyebabkan rakan kita mendapat malu besar atau imejnya akan tercalar. Gambar-gambar rakan kita yang tidak sepatutnya seperti gambar sedang tidur, gambar tidak berpakaian, gambar tidak bertudung dan sebagainya janganlah kita kongsikan di media sosial walaupun untuk tujuan bergurau.

Kebencian terhadap tempat kerja

Tidak dinafikan ada dalam kalangan kita yang tidak berpuas hati dengan majikan atau tempat kita berkerja. Itu bukanlah satu kesalahan tetapi janganlah sampai kita terbawa-bawa sehingga ke media sosial. Ini dikhuatiri akan menjejaskan kepercayaan majikan terhadap kita jika mereka membaca apa yang kita nyatakan mengenai tempat kerja kita di media sosial. Tambahan pula, perbuatan tersebut akan memberi persepsi yang buruk terhadap diri kita pada pandangan orang lain.

Kesimpulannya, bukan semua perkara kita boleh kongsikan di media sosial. Ada perkara yang boleh tetapi ada perkara yang tidak boleh. Kita perlu berfikir terlebih dahulu baik dan buruk sesuatu perkara yang kita hendak kongsikan di media sosial. Ya, media sosial adalah milik kita namun tetap boleh diakses oleh orang lain juga.

2 ulasan:

  1. Semua tu betul.. perlu berhati-hati untuk keselamatan diri dan tidak mengganggu pandangan mata orang lain.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.