Sumber : Google |
Pada
23 Julai 2018 yang lalu, saya mendapat berita bahawa seniman Khalid Salleh
telah meninggal dunia. Sudah pastilah saya terkejut menerima berita itu. Saya
memang mengetahui sebelum ini beliau sakit. Namun, tidaklah saya tahu beliau sakit
dengan begitu teruk.
Sudah
tentu sebagai peminat beliau saya berasa sedih. Inilah kali pertama saya berasa
sedih apabila menerima berita kematian seorang seniman. Sebelum ini pun, ramai
sahaja seniman dan selebriti yang meninggal dunia tetapi tidak pula saya berasa
sedih.
Kali
pertama saya mendengar nama Khalid Salleh adalah melalui bapa saya (tidak silap
saya ketika kami menonton rancangan Expose Mistik yang beliau menjadi pengacara).
Bapa saya menceritakan bahawa dia selalu menonton teater-teater yang diarahkan
dan dilakonkan oleh Khalid Salleh sewaktu zaman mudanya. Dia menonton banyak
teater yang dilakonkan oleh seniman itu tetapi teater yang paling dia ingat
ialah teater Si Bereng Bereng.
Saya
tidak pasti sama ada bapa saya meminati Khalid Salleh atau tidak tetapi dia
selalu berkata kepada saya bahawa Khalid Salleh itu anak seni yang tulen. Dia
pernah melihat Khalid Salleh mengayuh basikal dengan baju-T pagoda dan seluar
jeans lusuh untuk pergi mengarah teater.
Bapa
saya mengatakan bahawa terdapat perbezaan antara anak seni dan selebriti.
Pelakon yang saya selalu tonton di televisyen itu bukanlah anak seni tetapi
hanyalah selebriti. Bapa saya kata, jika hendak menjadi kaya, ada rumah besar,
kereta mewah dan perkahwinan kita ditaja orang, jadilah selebriti dan bukannya
anak seni. Anak seni yang tulen dan jati memang tidak akan mendapat semua itu. Contoh
anak seni adalah seperti Khalid Salleh.
Anak
seni berada dalam dunia seni menggunakan bakat mereka tetapi selebriti berada
dalam dunia seni (kalau itu masih lagi boleh dipanggil seni) menggunakan paras
rupa mereka. Anak seni menggunakan seni untuk berjuang demi masyarakat dan
seluruh umat manusia tetapi selebriti menggunakan seni untuk mencari populariti
dan kekayaan dirinya.
Ketika
saya mendengar apa yang bapa saya kata itu saya tidaklah terlalu mengambil
cakna. Namun, semakin saya membesar dan banyak membaca, barulah saya berfikir
mengenai apa yang bapa saya kata itu.
Saya
tidak ingat bila saya meminati Khalid Salleh tetapi apa yang pasti, saya
meminati Khalid Salleh setelah saya jatuh hati dengan dunia teater. Saya
bercita-cita untuk menjadi pelakon teater. Namun, oleh kerana saya ini mudah
gugup dan tidak dapat menghafal skrip dengan baik, maka saya terpaksa melupakan
cita-cita saya itu.
Sejak
itu saya banyak mencari dan menyelidik mengenai diri beliau. Saya tahu beliau
seorang pelakon dan pengarah teater yang terkenal. Namun, saya tidak pernah
menonton teater lakonan beliau secara langsung. Saya hanya sempat menonton dua
sahaja teater yang beliau lakonkan iaitu teater Jual Ubat dan Monolog Asean
2015 di laman Youtube.
Saya
juga pernah melihat beliau berforum mengenai puisi dan seni di Istana Budaya
(Forum Puisi Untuk Semua) dan di Pusat Dagangan Dunia Putra (Program Wawancara Sofa
Putih ITBM) di laman Youtube. Saya tertarik dengan kata-kata beliau sebenarnya.
Beliau bukan sahaja bijak berkata-kata malah lucu pula.
Khalid
Salleh sebenarnya banyak mempengaruhi saya dalam sajak. Saya banyak menonton
beliau membaca sajak di laman Youtube. Sajak beliau yang paling berkesan dalam
diri saya ialah sajak Kalau Aku Menjadi PM. Dan sajak yang beliau deklamasikan
begitu memberi kesan kepada saya ialah sajak Bersatulah Pelacur Pelacur Kota
Jakarta karya W.S Rendra.
Oleh
kerana saya acapkali menonton beliau membaca sajak, jadi saya pun terikut-ikut
dengan gaya beliau membaca sajak seperti memakai beret di kepala. Saya tidaklah
memakai beret tetapi saya memakai topi hitam ketika membaca sajak. Saya juga
menyangkut selendang di leher kerana terpengaruh dengan penyair Abdul Ghaffar
Ibrahim (AGI).
Sajak
saya yang berjudul Kalau Aku Pemilik Dunia yang saya cipta sekitar tahun lepas
sebenarnya terinspirasi daripada sajak Kalau Aku Menjadi PM ciptaan beliau. Dan
sajak itu pun saya cipta kerana terinspirasi dengan sajak Dinsman yang berjudul
Macam Orang Gila.
Saya
memang tidak berupaya untuk menjadi seorang pelakon teater seperti beliau.
Cukuplah saya menjadi seorang penyajak seperti beliau dan Pyanhabib. Cara saya
mendeklamasikan sajak pun adalah mengikut cara beliau dan Pyanhabib.
Saya
tahu beliau ada menulis sebuah buku terbitan ITBM berjudul Melayu Hilang Di
Dunia tetapi saya belum sempat beli dan baca lagi. Jika ada kesempatan, saya
pasti mahu beli dan baca.
Salah
satu kerugian dalam hidup saya adalah tidak dapat bertemu dengan beliau secara
empat mata. Sekarang beliau sudah tiada. Peluang saya untuk bertemu dengan beliau
sudah pun tertutup.
Tiada
apa lagi yang ingin saya katakan selain berdoa supaya roh beliau ditempatkan
dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.