Ahad, 3 Jun 2018

KITA YANG GHAIRAH MENGEJAR POPULARITI



Image result for popular
Sumber : Google


Sejak akhir-akhir ini, begitu ramai sekali orang mahu mengejar populariti. Mereka telah melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan populariti. Sama ada cara itu baik atau buruk tidaklah mereka peduli. Perkara yang penting bagi mereka ialah populariti. 

Populariti adalah suatu perkara yang bagus sebenarnya. Populariti boleh menyebabkan seseorang itu menjadi terkemuka, mendapat tawaran kerja, melariskan perniagaan dan menjadi kaya. Namun begitu, kesan populariti ke atas diri seseorang bukanlah baik semuanya. Populariti turut mempunyai kesan buruk juga. 

Sekian ramai orang yang mengejar populariti itu tidak memikirkan kesan buruknya. Mereka hanya memikirkan kesan baiknya sahaja. Hal ini kerana, mereka mahu segera menjadi terkemuka dan menjadi kaya. Oleh yang demikian, mereka sedaya upaya mendapatkan populariti itu dengan apa sahaja cara.

Populariti amat penting bagi politikus dan selebriti. Seandainya mereka tidak berjaya meraih populariti, mereka sukar sekali mahu mendapat undi (ahli politik) atau dikenali (selebriti). Oleh sebab itulah, semua politikus dan selebriti sedaya upaya untuk meraih populariti.

Meskipun begitu, mutakhir ini, bukan politikus dan selebriti sahaja yang ghairah
mengejar populariti, orang yang bukan dalam golongan tersebut pun mahu juga mengejar populariti. Semuanya gara-gara ingin menjadi terkemuka. Maka, mereka menggunakan media sosial dan kuasa tular untuk mencapainya.

Bagi mendapatkan populariti itu tidaklah mudah sebenarnya. Sekian ramai orang meraih populariti setelah mereka berusaha dengan sebanyaknya. Namun, bagi sebilangan orang, mereka mahu meraih populariti itu dengan segera. Apabila mereka gagal meraih populariti dengan cara yang betul, maka mereka mula mencari populariti dengan cara yang tidak betul.

Oleh sebab itulah kita sering melihat sekian ramai orang di media sosial menggunakan cara yang salah untuk meraih populariti. Mereka sengaja melakukan perkara yang kontroversi dan mendapat kecaman masyarakat untuk meraih populariti. Mereka akan memaki hamun orang lain, melakukan aksi-aksi ghairah, mencabar sensitiviti kaum serta agama, berpakaian tidak mengikut jantina (lelaki berpakaian seperti perempuan), membuat aksi-aksi yang berbahaya dan sebagainya.  Pendek kata, mereka melakukan bermacam cara untuk meraih populariti dengan sebanyaknya.

Meraih populariti itu bukanlah suatu kesalahan. Namun begitu, cara meraih populariti itu hendaklah bersesuaian, mengikut peraturan dan melambangkan ketamadunan. Janganlah terlalu ghairah mengejar populariti sehingga membuka kebodohan dan keaiban diri sendiri. Berpada-padalah ketika sedang teruja mengejar populariti.  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.