Sumber : Google |
Sekian lama Mohd Affandi Hassan, seorang pengkritik sastera
paling lantang di Malaysia memperjuangkan Gagasan Persuratan Baru. Gagasan
Persuratan Baru adalah sebuah gagasan yang menilai (baca : mengkritik) dan
menjadi panduan kepada penulis di Malaysia untuk menghasilkan sesebuah karya
kreatif berasaskan konsep ilmu.
Dalam Gagasan Persuratan Baru, sesebuah karya yang dihasilkan
oleh seseorang penulis berada pada tiga kumpulan. Kumpulan pertama ialah
kumpulan karya persuratan, kumpulan kedua ialah kumpulan karya kesusasteraan,
dan kumpulan ketiga ialah kumpulan karya erotik atau picisan.
Berdasarkan kumpulan-kumpulan karya yang telah dinyatakan,
jelas memperlihatkan kedudukan karya persuratan lebih tinggi daripada karya
kesusasteraan. Oleh sebab itulah, Affandi sebagai seorang pengkritik acapkali
menghentam karya-karya kesusasteraan terutama yang dihasilkan oleh para Sasterawan
Negara. Bagi Affandi, karya-karya para Sasterawan Negara ialah karya yang
bersifat khayalan dan langsung tidak mempunyai nilai apa-apa. Hal ini kerana, menurut beliau, tiada langsung
nilai ilmu dalam karya-karya para Sasterawan Negara. Tidak cukup dengan itu,
Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya Sasterawan Negara pun turut
dihentam sama.
Antara (ulang : antara) karya sastera yang ditulis oleh para
Sasterawan Negara yang acapkali ‘dibelasah’ oleh Affandi dalam
tulisan-tulisannya ialah Salina karya A. Samad Said, Kuala Lumpur Kita Punya
karya Abdullah Hussain, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, dan Naratif
Ogonshoto karya Anwar Ridhwan.
Dalam Persuratan Baru, pembinaan sesebuah karya (sama ada
novel atau cerpen) tidak hanya memfokuskan kepada cerita tetapi juga ilmu.
Cerita dan ilmu mesti bergerak seiringan. Cerita dan ilmu menjadi wadah penting
dalam sesebuah karya persuratan.
Selain itu, karya persuratan juga mesti menggunakan watak
orang yang baik dan terpelajar sahaja. Watak pelacur, orang miskin, penyamun,
bomoh, ahli politik yang rasuah dan sebagainya tidak boleh diterima. Kemudian,
unsur khutbah adalah dibolehkan yang ternyata berbeza dengan karya
kesusasteraan. Karya persuratan juga turut membicarakan darihal Islam dan
keagamaan.
Dalam karya kesusasteraan, pembinaan cerita yang menarik dan
kreatif amat dipentingkan. Namun, nilai ilmu bukanlah dikesampingkan cuma
kurang diberi penekanan. Walau bagaimanapun, bukan semua karya kesusasteraan
tidak mempunyai nilai ilmu. Novel Salam Maria karya Fatimah Busu dan novel Imam
karya Abdullah Hussain juga (bagi saya) adalah sebuah novel ilmu. Namun, dalam
Gagasan Persuratan Baru, kedua-dua novel tersebut bukanlah novel ilmu.
Ramai penulis menyatakan bahawa karya sastera bukan buku
ilmu. Jika mahu ilmu, janganlah baca karya sastera sebaliknya baca sahajalah
karya ilmu (seperti buku akademik, tesis, jurnal dan sebagainya). Walau
bagaimanapun, pandangan itu kelihatan janggal selalu. Hal ini kerana, pengajian
sastera di universiti adalah sebuah pengajian ilmu. Jika karya sastera bukan karya
ilmu, maka apakah sastera yang diajarkan di sekolah dan di unversiti itu bukan
ilmu?
Apa yang dicetuskan oleh Affandi itu pastilah sukar diterima
oleh para penulis dan para Sasterawan Negara. Hal ini kerana, sudah sekian lama
para penulis dan para sasterawan telah mengikuti tradisi penulisan novel yang
sedia ada yakni memfokuskan sepenuhnya kepada cerita. Tambahan pula, itulah
yang dilakukan oleh semua penulis besar dunia seperti Haruki Murakami, Ernest
Hemingway, Orhan Pamuk, Frank Kafka, Gabriel Garcia Marquez, dan Boris
Pasternak misalnya.
Jika penilaian dibuat dengan menggunakan Gagasan Persuratan
Baru terhadap semua karya para Sasterawan Negara, pastilah karya-karya mereka
hanya layak masuk bakul sampah sahaja. Maka, menjadi tanda tanya, apa gunanya
gelaran Sasterawan Negara itu diberikan kepada mereka? Sudah pastilah perkara
sebegini sukar untuk diterima. Dan sudah pastilah para penulis yang
mengidolakan para Sasterawan Negara akan terkejut tidak terkira.
Saranan Affandi untuk menjadikan karya sastera sebagai sebuah
karya ilmu sangat baik sebenarnya. Hal ini kerana, karya sastera tersebut akan
memberi lebih faedah kepada para pembaca. Walau bagaimanapun, saranan beliau
itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Hal ini kerana, bukan semua
penulis berupaya untuk berbuat sedemikian.
Masalah Affandi ialah beliau gemar meremehkan karya
kesusasteraan. Beliau juga gemar memaksa para penulis menghasilkan karya
persuratan. Bagi beliau, gagasan beliau itu langsung tiada cacat cela dan mesti
diterima. Jika tidak diterima, maka seseorang penulis itu akan dianggap sebagai
penulis yang anti ilmu dengan sewenang-wenangnya.
Saya sama sekali tidak menolak Gagasan Persuratan Baru. Saya
juga tidak menolak karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh ramai penulis dan
sasterawan sejak lama dahulu. Karya persuratan dan karya kesusasteraan mestilah
diterima kedua-duanya. Merendahkan salah satu daripadanya adalah sesuatu yang
malang bagi diri kita.
Meskipun karya kesusasteraan tidak mempunyai nilai ilmu di
dalamnya, tetapi masih ada pengajaran yang kita boleh diambil daripadanya.
Karya kesusasteraan bukanlah kosong semata-mata. Karya kesusasteraan ialah
karya yang memaparkan perkara sebenar dari segi jiwa, emosi, psikologi, dan
sosial manusia dalam bentuk cerita. Ada pelbagai perkara yang kita boleh
pelajari daripada karya kesusasteraan sebenarnya.
Tidak salah mana-mana penulis memilih untuk menulis karya
persuratan. Dan tidak salah juga mana-mana penulis memilih untuk menulis karya
kesusasteraan. Karya persuratan mampu memberikan ilmu kepada pembaca. Karya
kesusasteraan pula mampu memberikan apa yang tidak mampu diberikan oleh karya
persuratan kepada pembaca. Ingatlah, baik karya persuratan mahupun karya
kesusasteraan, kedunya-duanya tidak sempurna. Hal ini kerana, kedua-duanya
ditulis oleh manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.