Sumber : Google |
Siapa
sangka bahawa kerja-kerja menulis atau menjadi seorang penulis adalah ibarat
dadah yang mampu mengundang ketagihan. Bagi orang yang tidak suka menulis (atau
jarang-jarang menulis) atau tidak berminat untuk menjadi penulis hal-hal
seperti ini tidak akan pernah dapat dirasakan. Hanya orang yang suka menulis
dan ingin menjadi penulis sahaja yang mempunyai perasaan sedemikian.
Menulis
ada banyak medium sebenarnya. Menulis novel, buku, berita, rencana, skrip,
puisi adalah di antaranya. Menjadi seorang penulis bukanlah cara mudah untuk
seseorang itu menjadi kaya. Jika ingin cepat menjadi kaya maka janganlah jadi
seorang penulis sebaliknya jadilah seorang peniaga.
Risiko
menjadi seorang penulis ini pun besar sebenarnya. Selain tidak dibayar oleh
penerbit (bagi penulis buku dan penulis kolum), menulis juga boleh menyebabkan
seseorang itu boleh disumbat ke dalam penjara. Itu belum lagi mendapat cemuhan
daripada masyarakat sekeliling yang tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan
yang dilontarkan oleh seseorang penulis itu lewat tulisan-tulisannya.
Meskipun
kerja-kerja menulis itu (kadang kala) tidak berupaya memberikan seseorang
penulis itu pulangan apa-apa (seperti wang misalnya), atau berupaya mengheret
seseorang penulis itu ke penjara, namun seseorang penulis itu akan tetap
menulis sampai bila-bila. Ini semua gara-gara rasa ketagihan yang telah merasuk
ke dalam dirinya. Tiada apa yang dapat menghalang seseorang penulis itu untuk
terus menulis dengan sebanyaknya.
Tidak
ramai orang yang memahami diri seorang penulis termasuklah ahli keluarga dan
kawan-kawan. Hal ini kerana, penulis ialah orang yang banyak berfikir daripada
membuat lain-lain pekerjaan (dia kelihatan terasing daripada masyarakat di
sekelilingnya). Menulis bagi seorang penulis adalah suatu keindahan dan
kepuasan. Menulis juga bagi seseorang penulis adalah suatu hiburan dan keseronokan.
Menulis
bukanlah suatu kerja yang boleh dipaksa-paksa. Menulis ialah kerja yang
minatnya tumbuh sejak di awal usia. Menjadi seorang penulis pun mestilah banyak
membaca. Apabila banyak membaca barulah akan ada banyak idea (untuk menulis).
Orang yang banyak membaca barulah layak untuk menjadi seorang penulis. Penulis
yang kurang membaca ialah penulis yang muflis!
Siapa
sangka ada orang yang boleh menyara hidupnya dengan hanya bergelar seorang
penulis sahaja. Penulis sebegini tidak ramai sebenarnya. Subky Latif – penulis
utama parti PAS adalah di antaranya. Namun begitu, penulis yang kaya raya dan
menjadi jutawan pun tetap ada juga (seperti J.K.Rowling misalnya).
Penulis
(bagi sebilangan orang yang bukan penulis) ialah orang yang suka bermimpi.
Penulis juga dianggap sebagai orang yang tidak berpijak kepada realiti
(terutama kepada penulis puisi). Namun begitu, penulis yang bermimpi dan tidak
berpijak kepada realiti ini tetap juga disukai. Tidak hairanlah novel Harry
Potter dan Twilight itu ramai juga orang yang beli.
Setiap
penulis pastilah mempunyai sesuatu tujuan ketika dia menghasilkan sesebuah
penulisan. Sesebuah penulisan itu mungkin bertujuan untuk menyampaikan
maklumat, menghasut, menuduh, didaktik, mengumpan sokongan, atau memberi
penerangan. Setiap tujuan itu pastilah untuk mendapatkan sesuatu imbalan. Hanya
penulis itu sahaja yang tahu apa tujuan sebenar dia menghasilkan sesebuah
penulisan.
Penulis
terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama ialah golongan yang suka
menulis. Golongan kedua ialah golongan yang perlu menulis dan golongan ketiga
ialah golongan yang terpaksa menulis.
Golongan
yang suka menulis ialah golongan yang menulis kerana dilanda ketagihan.
Golongan yang perlu menulis ialah seperti ahli politik yang merasakan perlu
menggunakan penulisan untuk mengumpan sokongan rakyat setelah sekian banyak
menggunakan ucapan (lisan). Dan golongan yang terpaksa menulis ialah seperti golongan
mahasiswa dan pelajar – terpaksa menulis untuk menyiapkan tugasan (assignment)
dan menjawab soalan peperiksaan. (Nota : belum pernah lagi saya jumpa pelajar
atau mahasiswa yang suka menyiapkan tugasan dan menjawab soalan peperiksaan!)
Negara
yang ingin maju mestilah memerlukan ramai penulis di dalamnya. Hal ini kerana,
golongan penulislah yang akan menghasilkan penulisan yang mampu menyelesaikan
masalah, merakam sejarah, dan memberi pencerahan sebagai pedoman untuk seluruh
rakyat jelata. Oleh sebab tidak ramai yang mahu menjadi penulis suatu ketika
dahulu, orang Melayu hari ini menjadi bangsa yang kurang maju dan sering
keliru. Hal ini kerana, banyak sejarah dan ilmu-ilmu penting yang dipunyai oleh
bangsa Melayu tidak berada dalam genggaman orang Melayu. Akibatnya orang Melayu
menjadi bangsa yang sering ditipu. Sekiranya ramai penulis dahulu aktif menulis
(baca : mendokumentasikan) sejarah dan ilmu-ilmu penting yang dipunyai oleh
orang Melayu, pasti bangsa Melayu hari ini boleh menjadi bangsa yang maju.
Penulis,
selain banyak melontarkan pertanyaan dan mengadakan perbincangan, ialah orang
yang sanggup menghambakan dirinya kepada kerja-kerja menulis tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Ramai orang tidak faham dengan diri seorang penulis. Hanya
penulis yang memahami diri seorang penulis. Kawan bagi seorang penulis ialah
pena. Penulis ialah pekerjaan yang bukan untuk mencari nama.