Sumber : Google |
Ketika
saya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Jeju, Korea Selatan
baru-baru ini, muncul banyak pertanyaan di dalam diri. Apa sebenarnya yang
membawa saya ke sini? Dan mengapa saya begitu teruja sekali? Adakah semata-mata
kerana ingin bermain salji?
Saya
mula mengenali secara dekat dengan negara Korea Selatan setelah saya menonton
beberapa buah rancangan (Running Man khususnya) dan drama daripada negara itu.
Kemudian, sedikit sebanyak telah timbul minat di hati saya untuk mengunjungi
negara itu. Sudah tentulah bukan negara itu sahaja yang ingin saya kunjungi.
Namun, kerana terpengaruh dengan rancangan dan drama daripada negara itulah yang
menyebabkan keinginan tersebut semakin melonjak-lonjak di sanubari.
Bukan
sahaja keinginan untuk pergi ke negara itu muncul dalam diri saya, mempelajari
bahasa Korea juga turut sama menjelma. Entah mengapa saya merasakan bahasa
Korea lebih indah berbanding bahasa Inggeris. Jadi keinginan saya untuk
mempelajari bahasa Korea melebihi bahasa Inggeris.
Dalam
lingkungan lima ke sepuluh tahun kebelakangan ini, negara Korea Selatan menjadi
tumpuan di segenap segi. Begitu ramai penduduk dunia mahu pergi dan melancong
ke Korea Selatan. Rakyat Melaysia juga sudah pastilah tidak mahu ketinggalan.
Semua
ini berlaku adalah disebabkan oleh dunia hiburan. Saya dan sekian ramai
penduduk dunia tertarik dengan Korea Selatan adalah kerana terpengaruh dengan dunia
hiburan (seperti lagu, rancangan, dan drama) Korea Selatan. Penduduk Korea
Selatan amat bijak menggunakan dunia hiburan mereka. Dengan menggunakan dunia
hiburan sahaja mereka sudah mampu ‘menawan’ dunia.
Dengan
menggunakan hiburan juga, berjuta-juga penduduk dunia mahu melancong ke negara
mereka. Dengan menggunakan hiburan juga, begitu ramai orang ingin menguasai
bahasa mereka.
Lihat
sahaja rancangan Running Man dan Family Outing sebagai misalan. Rancangan itu
bukan sahaja menghiburkan, malah turut sama memaparkan banyak keistimewaan
seperti tempat-tempat menarik, makanan, budaya, dan bahasa yang ada di Korea
Selatan. Rancangan itu sedikit sebanyak telah memperkenalkan negara mereka
kepada penduduk dunia. Terbuktilah bahawa dunia hiburan bukan sahaja mampu
menjadikan sesebuah negara itu terkemuka, malah pada masa yang sama turut
berupaya meningkatkan ekonomi negara.
Memandangkan
esei ini tidak sampai ke tahap keagamaan (religious), maka unsur negatif dalam
dunia hiburan itu saya ketepikan (buat seketika). Saya cuba mencari segi-segi
positif dalam dunia hiburan.
Kita
sebagai rakyat Malaysia tidak boleh sekadar melihat sahaja. Kita perlu belajar
daripada Korea Selatan juga. Kita perlu belajar untuk menggunakan dunia hiburan
kita bagi menjadikan negara kita lebih terkemuka. Kita perlu belajar untuk
menggunakan dunia hiburan kita bagi memperkenalkan bahasa dan budaya yang wujud
di negara kita.
Bukanlah
saya mahu kata negara, bahasa, dan budaya kita ini tidak terkemuka. Namun,
keadaan sekarang masih belum cukup sebenarnya.
Sudah
tiba masanya segala filem, drama, dan rancangan yang ada di negara kita, perlu dibuat
semakan semula. Segala produk hiburan di negara kita tidak hanya sekadar
menghiburkan, tetapi lebih molek jika mampu untuk mencerdikkan pemikiran. Lebih
bagus, dalam produk-produk hiburan kita, segala keistimewaan yang ada di dalam
negara (seperti bahasa, budaya, tempat-tempat menarik dan makanan) boleh
dipaparkan dengan sebanyaknya.
Kekuatan
sebenar produk hiburan Korea Selatan tidak sekadar menghiburkan sahaja, malah
kreatif dan luar biasa. Identiti bangsa dan negara juga begitu tebal dalam
kebanyakan (ulang : kebanyakan) produk hiburan mereka. Oleh sebab itulah mereka
mampu memperkenalkan produk-produk hiburan mereka ke seluruh pelusuk dunia di
samping memperkenalkan bahasa dan budaya mereka.
Pemain-pemain
industri hiburan di Malaysia perlu belajar daripada pemain-pemain industri
hiburan di Korea Selatan tentang cara-cara memperkenalkan produk-produk hiburan
kita ke seluruh pelusuk dunia. Pemain-pemain industri hiburan di Malaysia perlu
belajar daripada mereka untuk menghasilkan produk-produk hiburan yang kreatif,
menghiburkan, dan bersifat luar biasa (baca : berbeza). Selain itu,
produk-produk hiburan kita juga mesti tebal dengan identiti bangsa dan negara bagi
memperkenalkan budaya dan bahasa kita.
Bagi
mencapai maksud itu, segala produk-produk hiburan (seperti drama, filem, lagu,
dan rancangan) di Malaysia yang memperlihatkan kebodohan, perlulah segera
diketepikan. Rancangan-rancangan seperti Motif Viral, Kau Rasa, Dalang Prank
dan sebagainya tidak perlulah diwujudkan. Hal ini kerana, rancangan tersebut
bukan sahaja tidak mencambahkan intelektualiti rakyat Malaysia, malah
membuatkan rakyat Malaysia menjadi semakin dungu sebenarnya.
Filem,
lagu, dan drama kita juga perlulah dibikin bukan sekadar memaparkan nilai-nilai
murni, tetapi pada masa yang sama boleh mendidik pemikiran masyarakat
serba-serbi. Filem-filem yang berkualiti seperti Hanyut, Jibam, Jagat,
Tombiruo, dan sebagainya hendaklah dibikin dengan banyak sekali. Filem Train To
Busan yang popular dari Korea Selatan itu bolehlah sedikit sebanyak dicontohi.
Tidak
salah untuk mengagumi Korea Selatan, tetapi belajar daripada mereka juga adalah
suatu keutamaan. Jika Korea Selatan boleh menjadi sebuah negara maju, kita juga
boleh begitu. Cuma produk hiburan kita yang perlu diubah bagi mencapai maksud
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.