Isnin, 15 Januari 2018

MALU DENGAN BAHASA MELAYU


Image result for perasaan malu
Sumber : Google


Seorang penceramah yang datang berceramah di universiti saya telah menuturkan ayat begini :

“Eleh, korang nak sebut ‘tetikus’ pun malu. Lebih suka sebut ‘mouse’ ada hati nak memartabatkan bahasa Melayu!”

Sebaik sahaja mendengar kata-katanya, serta-merta saya terfikir tentang soal bahasa. Pembicaraannya mengenai bahasa Melayu itu sudah pastilah ditujukan kepada pejuang bahasa. Baginya, memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sesuatu yang sia-sia. Dia lebih suka jika kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris sebenarnya.

Sudah pastilah dia mempunyai hujah yang tersendiri berkenaan soal itu. Saya sendiri sebagai pendengar menghormati hujahnya walaupun saya tidak bersetuju.

Isu tentang PPSMI sebenarnya sudah lama berlalu. Entah mengapa penceramah itu masih bercakap berkenaan soal itu. Mungkin kerana intipati ceramahnya mempunyai kaitan dengan politik negara. Amat kebetulan dasar itu dahulunya ditentang oleh seorang Sasterawan Negara yang sekarang menjadi penyokong parti pembangkang pula. Maka, hendak tidak hendak isu PPSMI itu turut terheret sama.

Saya tidak bercadang untuk mengulas panjang berkenaan isu PPSMI itu. Isu itu sudah lama berlalu dan kita biarkan isu itu terus berlalu. Hendak mengulas panjang pun sudah tiada guna. Dasar itu sudah dimansuhkan sejak beberapa lama.

Sama ada penyokong atau penentang dasar itu masing-masing mempunyai hujah tersendiri. Segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak wajarlah dihormati. Itu pun jika susah hendak dipersetujui. 

Walau bagaimanapun, perkataan ‘malu’ yang diucapkan oleh penceramah itu amat menarik sekali. Maksud bicara itu tidaklah sukar untuk difahami. Dia cuba mengatakan bahawa orang Melayu lebih selesa berbahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu hanyalah sekadar menjadi sebutan.

Orang Melayu yang ‘malu’ dengan bahasa Melayu memang ramai sebenarnya. Maka saya tidak terkejut atas apa yang diucapkan olehnya.

Pejuang bahasa secara prinsipnya adalah senada. Mereka tidak mahu melihat bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan menjadi bahasa kelas dua. Tidak ada seorang pun pejuang bahasa setahu saya (ulang : setahu saya) yang membenci bahasa Inggeris. Bahkan ramai di antara mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

Oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Inggeris, dan pemimpin kita pun kebanyakkannya berpendidikan Inggeris, maka bahasa yang dijulang tentulah bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan negara itu hanya sekadar wujud sahaja. Untuk memperkasakan bahasa itu tidak diketahui hendak dilakukan bila.

Sudah berkali-kali disebutkan bahawa bahasa Inggeris itu mempunyai nilai ekonomi. Maksudnya, jika siswazah ingin memohon kerja, bahasa Inggeris itu wajiblah dikuasai. Sekiranya bahasa Melayu turut mempunyai nilai ekonomi, maka isu ‘malu’ untuk berbahasa Melayu pasti tidak akan wujud sama sekali.  

Sekian lama bahasa Inggeris dijulang tinggi di dalam negara. Baik oleh penjajah mahupun oleh pemimpin negara. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam pasaran kerja langsung tiada. Dalam dunia pendidikan (terutama di universiti) dan keilmuan pun belum cukup sebenarnya. Banyak nama tempat dalam negara pun dalam bahasa Inggeris juga.  Lalu, bahasa Inggeris terus menjadi bahasa kelas pertama.

Orang Melayu pun sering dimomokkan bahawa jika tidak pandai bahasa Inggeris sudah pasti tidak akan dapat kerja. Orang yang tidak pandai berbahasa Inggeris akan susah untuk berjaya. Orang yang tidak pandai bahasa Inggeris bukanlah orang yang bijaksana. Maka, orang Melayu pun ramai yang ketakutan. Lalu mereka pun menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dikuasai dalam kehidupan. 

Oleh kerana seputar kehidupan orang Melayu itu ‘dibungkus’ dengan bahasa Inggeris, maka mereka lebih suka dengan bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, orang Melayu bukan sahaja ‘malu’ dengan bahasa Melayu, malah lidah mereka pun sukar untuk lekang daripada bahasa Inggeris itu. 

Oleh sebab itulah hampir kesemua orang Melayu suka menyebut perkataan-perkataan bahasa Inggeris dalam percakapan seharian mereka (bahasa rojak). Perkataan-perkataan seperti ‘so’, ‘actually’, ‘mouse’, ‘laptop’, ‘toilet’, ‘charger’, ‘sorry’ dan sebagainya memang susah untuk dihakis daripada lidah mereka. Mereka amat janggal untuk menukar perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris itu sebagai ‘jadi’ , ‘sebenarnya’ , ‘tetikus’ , ‘komputer riba’,‘tandas’,‘pengecas’, dan‘maaf’ tentunya. Ini semua gara-gara bahasa Inggeris begitu kuat mencengkam diri mereka.

Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkenalkan perkataan ‘tunafoto’, ‘tera air’ , ‘tapak panas’ , ‘tanda pagar’ , ‘iklan acah’ dan sebagainya untuk menggantikan perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris, usaha DBP itu telah dipandang sinis. Mereka sinis kerana bahasa Melayu tidak begitu sebati dalam diri mereka. Jika bahasa Melayu itu memang sudah sebati dalam diri, pastilah usaha DBP itu akan dihargai.

Apa yang sekian ramai pejuang bahasa risaukan ialah kemunduran bahasa Melayu. Melihat bahasa Melayu hilang di Tanah Melayu (Malaysia) adalah sesuatu yang mereka tidak mahu. Oleh sebab itulah mereka berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ini dilakukan setelah melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi bahasa kelas dua selalu.

Namun, seperti biasa perjuangan mereka pastilah mengundangkan penghinaan. Dalam sajak Perjuangan Tanpa Musim yang saya cipta, saya ada menyatakan hal ini sebenarnya. Fragmen sajak itu berbunyi begini :

“Sudah pasti kita akan terus dihina / Hanya kerana ingin menjulangkan bahasa / Tetapi tekad kita sebagai pejuang / Janganlah pernah sesekali kita buang.”

Rasa ‘malu’ yang terbit dalam diri orang Melayu terhadap bahasa Melayu adalah sesuatu yang sangat bahaya. Jika tidak ‘dirawat’ segera, bahasa Melayu akan terus terancam sampai bila-bila. Saya masih tertanya-tanya, bila agaknya kita dapat selesaikan isu bahasa Melayu secara keseluruhannya?   


Sabtu, 6 Januari 2018

ORANG SASTERALAH PEMBUNUH SASTERA!


Image result for bunuh
Sumber : Google

Saya teringat akan soalan yang dikemukakan oleh Dr. Shamsuddin Othman (alumni Minggu Penulis Remaja) kepada seniman Khalid Salleh dalam forum Puisi Untuk Semua (boleh ditonton di laman Youtube) yang diadakan di Istana Budaya tidak lama dahulu. Soalan itu berbunyi begini :

“Bagaimana kita nak meletakkan puisi ini boleh diterima oleh masyarakat khususnya dalam sistem pendidikan kitalah hari ini? Lebih kurang macam tu la. Sebab hari ini bila dikatakan puisi itu, puisi ini tidak boleh membawa kepada kemajuan, puisi ini dikatakan mundur, puisi dikatakan macam macamlah. Yang buruk-buruk yang jahat itu adalah puisi. Sehinggakan puisi hendak dimansuhkan dalam sistem pendidikan negara. Macam tu la lebih kurang. Silakan.”

Kemudian, saya ada terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Wan Nor Azriq (juga alumni Minggu Penulis Remaja) dalam akhbar Berita Harian yang bertajuk ‘Hebat Sangatkah Menjadi Sasterawan Negara?’ Antara lain beliau menulis :

“Seterusnya kita harus melihat kepada kehilangan mitos ‘Sasterawan Negara’ itu sendiri. Buku-buku mereka tidak lagi dibincangkan atau menjadi buah mulut perbualan. Lupakan forum atau majlis sastera (siapa pun yang masih pergi ke acara sebegini?). Lihat buku-buku yang dibaca di dalam bas atau LRT, baca komen-komen khalayak sastera di ruang media sosial. Kita lebih kerap mendengar nama Fazleena Hishamuddin, Nadia Khan, Ridhwan Saidi, Sufian Abas, dan Nami Cob Nobbler, berbanding nama Keris Mas, Arena Wati, S. Othman Kelantan, Kemala, dan Baha Zain.”
   
Berdasarkan pernyataan daripada dua tokoh ini, jelas memperlihatkan kesedaran mereka tentang betapa hambarnya sambutan masyarakat (terutama golongan muda) terhadap dunia kesusasteraan tanah air pada masa kini. Jika mendapat sambutan hangat pun hanyalah sekadar sastera popular dan sastera indie. Sastera arus perdana atau sastera serius terus tidak mahu diambil peduli.

Mengapa perkara sebegitu boleh terjadi? Apa yang menyebabkan perkara sebegitu boleh terjadi? Siapakah yang hendak kita persalahkan dalam hal ini?

Untuk menyalahkan kerajaan kerana tidak cuba mengangkat dunia kesusasteraan kita pun tidak boleh juga. Kerajaan saya kira telah melakukan apa sahaja yang terbaik untuk mengangkat martabat sastera kita ke arah yang lebih tinggi di dalam negara (walaupun masih belum mencukupi). Buktinya, kerajaan bukan sahaja sudah memperkenalkan pengajaran Komponen Sastera (KOMSAS) di peringkat sekolah malah turut memperkenalkan Anugerah Sasterawan Negara untuk diberikan kepada sasterawan arus perdana. Namun begitu, mengapa sastera (terutama sastera arus perdana) kita masih tidak diminati oleh anggota masyarakat secara keseluruhannya?  

Wujud pertanyaan, adakah kita sebagai penulis dan peminat sastera tidak bersalah dalam hal ini? Adakah kita sebagai penulis dan peminat sastera juga menyumbangkan kepada permasalahan ini? Tepuk dada dan tanyalah kepada diri sendiri.

Masyarakat sering menganggap bahawa sastera arus perdana adalah sesuatu yang membosankan. Sastera arus perdana juga dianggap tidak berani, tidak terbuka, beku, sempit, biasa-biasa, eksklusif, dan kurang menghiburkan. Oleh sebab itulah mengapa masyarakat terutama golongan muda lebih suka memilih sastera popular atau sastera indie. Lalu sastera arus perdana terus ketinggalan lagi.

Oleh kerana ramainya anggota masyarakat lebih suka memilih sastera popular dan sastera indie, maka peminat sastera arus perdana semakin mengecil hari demi hari. Jumlah peminat sastera arus perdana tidaklah besar mana. Mereka inilah yang terus menulis dan berkarya meskipun dalam Facebook cuma.

Ironinya, bukan semua peminat sastera arus perdana ini berbakat besar. Bukan semua peminat sastera arus perdana ini berpeluang menyiarkan karya mereka (seperti sajak misalnya) dalam majalah atau akhbar. Maka, mereka menggunakan Facebook atau blog untuk menyiarkan karya-karya mereka. Itu semua dilakukan bukan kerana minat semata-mata, malah kerana mahu melihat sastera arus perdana terus wujud sampai bila-bila. Mereka melakukan itu semua kerana mereka amat sayangkan sastera arus perdana.

Namun begitu, kehadiran pengkarya-pengkarya Facebook ini tidaklah mudah diterima. Mereka yang merupakan pejuang-pejuang sastera kerdil ini terus diperlekehkan oleh penulis dan sasterawan arus perdana. Mereka terus diperkecilkan oleh penulis dan sasterawan yang telah banyak menulis novel atau telah banyak menyiarkan karya-karya mereka di dada-dada akhbar atau di majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Penulis dan sasterawan arus perdana sering menghina karya penulis-penulis kerdil di Facebook itu sebagai syok sendiri, tidak arus perdana, prosaik, picisan, kering idea, karya mee segera dan sebagainya. Ironinya, mereka sekadar pandai melontarkan komentar, kritikan, dan kata-kata. Namun, untuk memperbaiki karya yang mereka cemuh itu tidak mahu dibuat pula (seperti yang dilakukan oleh Puan Zaharahanum Kamarudin – Penolong Editor Majalah Tunas Cipta)!

Jika benarlah karya (puisi misalnya) penulis-penulis di Facebook itu tidak bermutu, maka menjadi tanggungjawab penulis yang telah terkemuka menjadikan karya itu sebuah karya yang bermutu. Bukannya hanya pandai memperlekehkan secara melulu.

Penulis-penulis kerdil di Facebook yang karya mereka dianggap sebagai karya syok sendiri, tidak arus perdana, prosaik, picisan, kering idea, dan karya mee segeralah yang akan terus menghidupkan sastera arus perdana. Oleh kerana minat mereka yang mendalam, maka sastera arus perdana pasti tidak akan tenggelam.

Mereka inilah sebenarnya yang membaca novel-novel atau buku-buku penulis sastera arus perdana. Mereka ini jugalah yang membeli majalah-majalah sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kehadiran mereka amat penting sebenarnya. Mereka ialah penulis yang ingin berkarya seperti mana penulis-penulis sastera arus perdana. Namun sayangnya, kehadiran mereka seolah-oleh tidak dihargai oleh penulis sastera arus perdana.

Semua penggiat sastera dan sasterawan perlu sedar bahawa sastera arus perdana semakin terkebelakang dan tenggalam berbanding sastera popular dan sastera indie. Sastera indie yang merosakkan bahasa, memaparkan bahasa vulgar, dan mempamerkan aksi-aksi lucah terus digemari oleh anak-anak muda di negara ini. Begitu juga dengan sastera popular yang terus memaparkan cerita cinta khayalan serbi-serbi. Tidak percaya? Cuba perhatikan novel apa yang paling laris di kedai-kedai buku dalam negara kita? Novel-novel indie (termasuk novel-novel cinta) atau novel-novel sastera arus perdana?

Kehadiran penulis sastera arus perdana yang telah terkemuka tetapi gemar memperlecehkan karya penulis-penulis kerdil di Facebook ini sedikit sebanyak menjauhkan mereka (penulis-penulis di Facebook) daripada meminati dunia kesusasteraan. Maka, sastera arus perdana yang mereka minati selama ini semakin mereka hindarkan. Lalu, bilangan peminat sastera arus perdana semakin berkurangan.

Penulis sastera arus perdana tidak boleh menjadikan sastera sebagai eksklusif sifatnya. Mereka tidak boleh sesekali menjadikan sastera sebagai milik mereka dan milik rakan-rakan mereka yang pernah menerbitkan karya dalam majalah atau akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian misalnya. Mereka sebagai penulis sastera arus perdana perlu meraikan semua penulis sama ada mereka sekadar menulis di Facebook cuma. Hal ini kerana, penulis-penulis di Facebook ini juga adalah sama seperti mereka – penggerak sastera arus perdana.

Seandainya benar karya-karya yang tertulis di Facebook itu tidak bermutu, maka menjadi tanggungjawab penulis arus perdana menjadikannya supaya lebih bermutu. Ini perlu dilakukan supaya sastera arus perdana terus berkekalan. Lalu, kegemilangan sastera arus perdana seperti mana dahulu boleh semula ditabalkan.


Ingatlah, sastera ini bukan milik siapa-siapa. Sastera ialah milik semua orang tanpa mengenal budaya, agama, negara, dan bangsa. Jika kita mahu menggemilangkan semula sastera arus perdana, maka kita perlu pastikan lebih banyak orang berkarya mengikut acuan sastera arus perdana. Jika karya penulis-penulis di Facebook itu tidak bermutu, kita jadikan karya itu bermutu dengan memberikan mereka ilmu. Memperlekehkan karya mereka adalah suatu tindakan yang terburu-buru.