Sumber : Google |
Esok
seluruh rakyat Malaysia akan menyambut 60 tahun usia kemerdekaan negara.
Seandainya negara Malaysia ini dianjakkan maknanya berbentuk seorang manusia,
pasti manusia itu telah mencapai usia tua. Manusia yang sudah berusia 60 tahun
biasanya bukan sahaja matang dari segi pemikiran, malah sikap dan perlakuan.
Tetapi adakah Malaysia (baca : rakyat) sudah mencapai kematangan dari segi
pemikiran, sikap, dan perlakuan?
Dalam
tempoh 60 tahun kemerdekaan ini, molek benar kiranya nasib bangsa Melayu --
bangsa terbesar di Malaysia -- kita renungi. Kita mahu tahu adakah orang Melayu
selepas 60 tahun kemerdekaan telah berubah serba-serbi. Atau masih berada di
takuk yang lama lagi.
Mari
kita renungi nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi. Mendengar cakap-cakap
kedai kopi setakat ini, orang Melayu itu masih gagal menguasai ekonomi. Hal ini
dibuktikan apabila melihat senarai sepuluh orang terkaya di Malaysia. Dalam
senarai itu orang Melayu yang terkaya seorang sahaja. Kebanyakkan senarai itu
diungguli oleh bangsa Cina. Bangsa India pun diwakili oleh seorang sahaja.
Padahal bangsa Melayu bangsa yang terbesar di Malaysia.
Kelemahan
orang Melayu dalam bidang ekonomi telah menjadi perbahasan sejak sekian lama.
Sekian ramai tokoh dari pelbagai bidang telah mencari punca. Namun, jalan
keluar kepada masalah itu masih gagal ditemui. Orang Melayu masih terus gagal
menguasai ekonomi.
Memang
tidak dinafikan telah ramai orang Melayu yang menjadi jutawan. Tetapi yang
menjadi jutawan itu sangat sedikit berbanding yang tinggal di rumah pangsa
kecil-kecilan. Lebih sedih masih ramai lagi yang dihambat kemiskinan.
Orang
Melayu memang ramai yang berniaga. Tetapi mereka berniaga di bawah payung dan
di tepi jalan cuma. Perniagaan mereka sekadar jual buah potong atau perniagaan
kecil-kecilan yang lain sahaja. Itu pun nasib jika ada permit daripada
kerajaan. Jika tidak, pasti barang dagangan mereka menjadi harta rampasan.
Padahal untuk mendapat permit berniaga, perlu menghadapi kerenah birokrasi yang
entah apa-apa.
Bukan
sahaja masalah ekonomi, masalah politik pun orang Melayu terpaksa hadapi. Dalam
politik orang Melayu terus mengalami perpecahan. Sedangkan perpecahan itu
sekian ramai orang Melayu tahu ia membawa kemudaratan. Tetapi kerana nafsu
politik lebih menguasai diri, maka kemudaratan hasil perpecahan itu langsung
tidak mahu diambil peduli.
Orang
Melayu masih gagal mencari pemimpin yang benar-benar berwibawa. Pemimpin Melayu
yang bersih, adil, bijaksana, cekap, beriman, dan boleh menyatukan semua
bangsa, masih gagal ditemui entah apa sebabnya. Pemimpin yang ada sekarang
semuanya berebut-rebut untuk mengejar kuasa. Dan orang Melayu pun semakin
terseksa dan semakin tidak tahu hendak ke mana.
Tidak
dinafikan bahawa orang Melayu tetap mempunyai kehebatan. Kehebatan orang Melayu
itu terletak dalam dunia hiburan. Dalam dunia hiburan orang Melayu memang telah
mencapai takah kegemilangan. Sebab itu ramai anak muda Melayu berlumba-lumba
untuk menjadi pelakon dan penyanyi. Sebab di situlah lubuk untuk menjadi
popular dan mencari rezeki. Punya kemaruk orang Melayu dengan hiburan, sampai kerja-kerja
dakwah untuk agama pun dibuat dalam bentuk persembahan!
Sedang
bangsa lain sibuk membangunkan perniagaan dan mengembangkan pengetahuan, orang
Melayu masih berseronok dengan hiburan. Tidak hairanlah orang Melayu masih
banyak ketinggalan.
Orang
Melayu mempunyai tempat yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi
orang Melayu-lah yang paling kaya dengan kelemahan. Entah apalah sebabnya orang
Melayu jadi begini. Sedangkan nenek moyang orang Melayu dahulu hebatnya di
segenap segi.
Bukan
dalam dunia hiburan sahaja orang Melayu menjadi juara, dalam keruntuhan akhlak
pun begitu juga. Masalah seks bebas, kelahiran anak luar nikah, gejala buang
bayi, ketagihan dadah, gangsterisme, rempit, rasuah, dan sebagainya adalah
keruntuhan akhlak yang terjadi dalam kalangan orang Melayu dengan sebanyaknya.
Bermacam cara telah dilakukan oleh banyak pihak untuk mencegah segala masalah
yang ada. Namun, hasilnya masih tetap sama.
Selepas
60 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, rupa-rupanya orang Melayu tidak banyak
mengalami perubahan. Perubahan yang ada pun tidak boleh dibanggakan. Lebih
sedih perubahan yang berlaku itu lebih banyak menjurus ke arah keburukan. Sewajarnya
sajak ‘Melayu’ karya Sasterawan Negara Usman Awang itu wajar semua orang Melayu
renungi. Sajak hebat itu berbunyi begini :
“Bagaimanakah
Melayu abad kedua puluh satu / Masihkah tunduk tersipu-sipu / Jangan takut
melanggar pantang / Jika pantang menghalang kemajuan / Jangan segan menentang
larangan / Jika yakin kepada kebenaran / Jangan malu mengucapkan keyakinan /
Jika percaya kepada keadilan / Jadilah bangsa yang bijaksana / Memegang tali
memegang timba / Memiliki ekonomi mencipta budaya / Menjadi tuan di negara
merdeka.”
Saya
tidak mahu tunding jari kepada sesiapa atas segala kelemahan yang membelengu
orang Melayu pada hari ini. Orang Melayu-lah perlu mengubah diri jika mereka
benar-benar mahu hebat dalam segenap segi. Orang Melayu sudah tidak boleh lagi
menjadi bangsa yang berminda subsidi. Semoga Melayu tidak menjadi bangsa terbangsat
di muka bumi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.