Sumber : Google |
Sedar tidak sedar kita sekarang ini
sedang beransur-ansur meninggalkan bulan Ramadan yang mulia. Tidak lama lagi
kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Syabas kepada sesiapa yang telah
beribadah dengan bersungguh-sungguh semasa di bulan Ramadan. Moga-moga segala
ibadah itu beroleh pahala dan diterima Tuhan.
Meniti hari-hari di bulan Ramadan
pasti pelbagai memori telah tercipta. Sama ada memori itu memori yang indah
atau sebaliknya, itu sudah lumrah dalam kehidupan manusia. Pasti kita tahu
bahawa setiap manusia itu ada yang menerima kesenangan dan ada juga yang
menerima ujian. Tempuhilah segala yang mendatang itu dengan penuh kegembiraan
atau kesabaran.
Di dalam bulan Ramadan yang mulia
ini, kita dikejutkan dengan berita kematian yang amat sadis, pilu, dan ngeri.
Kematian yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman (pelajar Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia) memang sukar untuk diterima sama sekali. Kematian Zulfarhan
yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia itu dipercayai didera dengan kejam
oleh rakannya sendiri. Ramai rakyat Malaysia marah dan geram apabila kes itu
meletus baru-baru ini.
Kemarahan rakyat Malaysia itu
berpunca daripada tindakan tanpa perikemanusiaan terhadap Zulfarhan. Tidak disangka
sama sekali bahawa seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan boleh
melakukan perbuatan sedemikian. Dan memang rakyat Malaysia mahu keadilan
ditegakkan untuk Zulfarhan. Semoga siapa yang bersalah itu wajarlah dia
menerima hukuman.
Pada masa sekarang ini biarlah pihak
berkuasa melakukan siasatan. Dan biarlah pihak mahkamah meneliti dan mengkaji
kes ini supaya keadilan itu dapat ditegakkan. Kita sebagai rakyat Malaysia
perlu menanti segala hasil siasatan yang sedang dijalankan. Moga-moga sesiapa
yang bersalah itu dapat segera didedahkan. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah
untuk arwah Zulfarhan. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang
yang beriman.
Apa yang telah menimpa kepada arwah
Zulfarhan itu adalah kes di dalam negara. Di luar negara lain pula ceritanya.
Sebilangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE),
Bahrain, Yaman, Libya dan beberapa buah negara lagi memutuskan hubungan dengan
Qatar secara tiba-tiba. Semuanya berpunca apabila Qatar dituduh sebagai menyokong
aktiviti keganasan, menggugat kestabilan (serantau), dan mempunyai hubungan
baik dengan beberapa buah pertubuhan (seperti Ikhwan Muslimin, ISIS, dan
Al-Qaeda).
Selain daripada tuduhan-tuduhan di
atas, ada pelbagai lagi tuduhan terhadap Qatar dilemparkan. Segala apa yang
berlaku di dunia Arab itu bukanlah atas percaturan politik dunia semata-mata,
tetapi ia melibatkan umat Islam secara keseluruhannya. Apa yang berlaku di
dunia Arab itu merupakan tanda-tanda umat Islam semakin (ulang : semakin)
menuju perpecahan. Dan sewajarnya perpecahan itu dielakkan.
Di bulan Ramadan yang mulia dan tidak
lama lagi kita akan menyambut hari raya, perkara semacam itu tidak berlaku sepatutnya.
Sepatutnya pada bulan yang mulia kita mengeratkan perpaduan dan bukannya
menggalakkan perpecahan.
Pastilah ada sebab mengapa sebilangan
negara Arab melakukan tindakan sedemikian. Sama ada sebab itu sebab yang
tersirat atau sebab yang tersurat, hanya pemimpin-pemimpin di negara tersebut sahaja
yang boleh memberi jawapan yang tepat. Walau apa pun yang berlaku, mengambil
jalan untuk berpecah (dan mungkin untuk berperang) adalah satu tindakan yang tidak
bermutu. Tidak salah jika mereka semua bertemu di meja rundingan terlebih dahulu.
Mungkin (ulang : mungkin) ada
‘tangan-tangan ghaib’ yang sengaja merancang semua ini. Apa tujuan ‘rancangan’
itu tidaklah kita ketahui. Tetapi apa yang pasti, ‘rancangan’ itu
seboleh-bolehnya mahu umat Islam terus berpecah lagi. Semakin umat Islam
mengalami perpecahan, semakin umat Islam akan dihambat kelemahan.
Walau apa pun, kita mengharapkan agar
krisis yang berlaku di bumi Arab itu boleh selesai dengan segera. Kita juga
mengharapkan kes kematian Zulfarhan juga dapat diselesaikan secepatnya. Hari
raya ini sepatutnya hari raya yang gembira. Tetapi melihat apa yang berlaku di
sekitar kita, ia boleh bertukar menjadi pilu pula. Berdoalah supaya semuanya
baik-baik sahaja.
(Nota : Perkembangan terbaru setakat
ini Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan usaha mengakhiri ketegangan di
dunia Arab yang memutuskan hubungan dengan Qatar)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.