Rabu, 4 Januari 2017

SEORANG MANUSIA BERNAMA ANAK MUDA


Image result for belia
Sumber : Google


Sangat menarik sebenarnya apabila berbicara tentang manusia bernama anak muda. Di mana mana pelusuk dunia pasti akan menjumpai anak muda. Banyak tempat di dunia berubah gara gara anak muda. Keadaan dunia berubah pun semuanya kerana anak muda.

Sayugia diingatkan bahawa anak muda adalah golongan manusia yang berusia 18 tahun hingga 35 tahun. Anak muda juga adalah golongan yang sering ditanggapi dengan bermacam perkara. Mereka boleh dianggap sebagai orang gila, orang yang suka bertindak dengan menggunakan nafsu semata mata, orang yang mencetuskan evolusi dan revolusi dalam sesebuah negara, orang yang membawa perubahan pada dunia, orang yang banyak tenaga, orang yang berani, serta orang yang belum matang dalam rencam kehidupan di dunia ini. Pendek kata, bermacam label seorang manusia bernama anak muda ini dapat perolehi.

Ya, anak muda boleh juga dianggap sebagai orang gila. Masakan tidak, gam yang digunakan untuk menampal kasut, dihisap dan dimasukkan ke dalam perut! Orang menunggang motorsikal dengan cara duduk, ada anak muda menunggang motorsikal dengan cara meniarap. Orang ambil dadah (ubat) untuk merawat penyakit, anak muda ambil dadah untuk merawat ketagih. Bukankah gilanya manusia bernama anak muda ini?

Tidak dinafikan bahawa ada segelintir anak muda suka bertindak mengikut hati. Mereka tidak berfikir buruk dan baiknya sesuatu tindakan itu tetapi mereka memikirkan kepuasaan hati atau kemarahan terlebih dahulu. Boleh dikata, kebanyakkan anak muda suka bertindak mengikut nafsu. Sebab itulah ramai anak muda menjadi lemah dan lesu.

Bagi mengatasi masalah itu, Islam datang sebagai pembimbing dan pembantu. Islam melarang manusia termasuklah semua anak muda supaya berbuat sesuatu dengan mengikut nafsu. Islam meminta semua manusia termasuklah anak muda bertindak mengikut pertimbangan iman dan ilmu.

Bukan Islam sahaja, orang tua yang merangkumi ibu bapa dan guru juga adalah pembimbing kepada anak muda. Orang tualah yang mencorakkan kehidupan seorang anak muda. Jika salah ajaran orang tua, maka rosaklah seorang anak muda. Sebab itu orang tua diminta mengajar perkara yang baik baik sahaja kepada anak muda. Jika rosak anak muda, maka rosaklah sesebuah negara.

Di banyak tempat di dunia, evolusi dan revolusi semuanya digerakkan oleh anak muda. Revolusi Peranchis umpamanya, ia digerakkan oleh anak muda semua. Anak muda yang berani dan banyak tenaga, dilihat tiada masalah untuk melakukan evolusi dan evolusi dalam sesebuah negara. Sebab itulah ramai pemerintah takut kepada anak muda. Ramai pemerintah dilihat cuba untuk menjaga kebajikan anak anak muda. Ini bagi mengelakkan seseorang pemerintah itu digulingan dengan serta merta oleh sekumpulan besar anak muda yang ada di negara mereka. 

Kewujudan sekian banyak media sosial sejak akhir akhir ini, semuanya kerana anak muda yang bijaksana. Dahulu media sosial tidak ada, tetapi kerana ramai anak muda yang kritis lagi bijaksana, maka mereka wujudkan media sosial dalam kalangan mereka. Media sosial seperti Facebook misalnya, yang hanya untuk golongan mereka pada awalnya, kini tersebar luas di seluruh pelusuk dunia. Ironinya, bukan hanya anak muda sahaja yang guna, orang tua pun turut guna sama. Ini semua kerana keberanian anak muda untuk berfikir dengan bebas dan bijaksana.

Bukan hanya media sosial sahaja, segala gajet dan barangan moden yang lainnya semuanya digunakan oleh anak muda. Inilah yang dinamakan perubahan kepada dunia. Dahulu tidak ada komputer, tetapi dengan adanya anak muda maka komputer tersebar luas di seluruh pelusuk dunia. Dunia berubah semuanya atas usaha, tenaga, dan akal anak muda yang dibimbing oleh orang tua. Tanpa kemahuan dan kehendak anak muda, dunia ini pasti tidak akan menikmati kemodenan seperti hari ini dan selama-lamanya.

Masa depan sesebuah negara itu semuanya terletak di tangan anak muda. Anak muda dengan kudrat dan tenaga yang ada pada mereka, menjadi penentu kepada masa depan sesebuah negara. Sebab itu anak muda disaran supaya mencari pengalaman dan menambahkan ilmu. Semuanya gara gara untuk menjaga sesebuah negara agar terus berjaya dan maju. Jika anak muda tiada pengalaman apatah lagi ilmu, dapatkah mereka menjaga sebuah negara seperti mana orang tua tua telah buat dahulu?

Mengapa anak muda dianggap seorang yang berani? Kerana anak mudalah penyebab banyaknya berlaku demonstrasi, evolusi, dan revolusi. Anak muda dianggap sebagai pemberani kerana mereka berani untuk berfikir dan berani untuk mencipta. Mereka adalah pemberani kerana suka melanggar dan memecah tradisi yang sedia ada. Merekalah orang yang suka berfikir dengan bebas dan dengan cara yang bijaksana. Kerana anak mudalah dunia berubah serta merta!

Seorang manusia bernama anak muda boleh ditanggapi dengan bermacam persepsi oleh segelintir orang tua. Tanpa orang tua sedar bahawa mereka pernah muda juga dahulu. Fikirlah apa sahaja tentang anak muda. Sedikit pun tidak beri kudis kepada mereka. Pokok pangkalnya, anak muda adalah pengubah dunia!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.