Mata Sahiril seolah olah tidak mahu tidur pada malam itu. Dia belum
lagi diserang rasa mengantuk. Biasanya apabila dia meletakkan sahaja kepalanya
dibantal dia akan terus tertidur kerana keletihan namun tidak pada malam itu.
Dia hanya terbaring di katil dengan hanya memakai kain pelikat dan tidak
berbaju. Sejak kecil lagi dia memang tidur dengan hanya berkain pelikat sahaja.
Dia berasa rimas apabila berbaju ketika berada di dalam rumah. Arwah
ayahnya juga begitu. Lebih senang berkain pelikat dan tidak berbaju ketika
berada di rumah. Dia selesa mengenakan kain pelikat. Arwah ayahnyalah yang
mengajar dirinya memakai kain pelikat. Menurut arwah ayahnya orang Melayu
memang berkain pelikat apabila berada di rumah dan ketika hendak menunaikan
solat.
Lelaki yang memakai kain pelikat adalah lambang lelaki Melayu
sejati. Oleh sebab itulah dia gemar berkain pelikat ketika berada di rumah dan
ketika hendak tidur. Tiba tiba sahaja fikirannya melayang teringat berita yang
disampaikan Mahani sebantar tadi. Dia benar benar terkejut mendengar berita
yang keluar dari mulut Mahani itu. 'Betul ke bayi tu anak aku?' Soal Sahiril
bersendirian. Dia mula mencurigai Mahani.
Dia yakin Mahani tentu membuat hubungan terlarang dengan lelaki lain
dan menjadikan dirinya sebagai kambing hitam untuk menyelamatkan diri. “Tapi
macam mana kalau anak itu memang anak aku?” Soalnya lagi di dalam kegelapan
malam itu. “Ah! Biarkanlah. Aku peduli apa? Aku tak akan mengaku bayi tu anak
aku.” Ujarnya lagi. Fikirannya benar benar buntu pada waktu itu. Sedar tidak
sedar dia telah terlelap apabila memikirkan soal itu.
**********
Mahmudah memberhentikan keretanya dihadapan sebuah restoran. Setelah
memastikan keretanya berkunci dia terus keluar bersama Irfan. Dia malas mahu
masak pada malam itu jadi dia bercadang untuk makan di restoran sahaja. Dia
juga sudah lama tidak menikmati kuah tom yam jadi dia bercadang untuk
menikmatinya bersama Irfan. Irfan yang baru dua minggu membuka balutan di
tangannya memegang tangan Mahmudah semasa mereka mahu melintas jalan.
Setelah sampai di restoran itu Mahmudah terlihat Nadia yang sedang
menikmati nasi goreng di salah sebuah meja di restoran tersebut. “Sedapnya nasi
goreng tu.” Kata Mahmudah sambil berseloroh.
“Kak Mudah. Lama tak jumpa kakak.
Irfan pun ada. Mana Mahani? Jemput duduk kak.” Pelawa Nadia yang kelihatan agak
terkejut dengan kedatangan Mahmudah.
“Terima kasih. Mahani tak ikut. Dia kat rumah Sahiril sekarang.
Irfan tinggal dengan aku.” Terang Mahmudah.
“Oh begitu. Tapi kenapa Irfan
tinggal dengan kak Mudah dan bukannya dengan Mahani?” Soal Nadia yang diserang
kebingungan.
“Kau tahu sajalah perangai Sahiril tu. Dia tak suka Irfan duduk
dengan mereka jadi Mahani suruh aku jaga Irfan.” Jawab Mahmudah.
“Tak sangka betul yang Sahiril tu ada perangai macam tu. Nampak saja
baik tapi… susah nak cakap. Mahani apa khabar kak? Sihat?” Soal Nadia.
“Mahani sihat.
Kamu tak telefon dia ke untuk bertanya
khabar?” Soal Mahmudah pula.
“Hari tu telefon bimbit saya jatuh dalam lubang tandas. Semua nombor kenalan saya dah hilang
termasuklah nombor Mahani.” Jawab Nadia berterus terang.
“Patutlah kau tak tahu pasal Mahani.” Ujar Mahmudah.
“Kak, boleh tak
kalau hujung minggu ni kita pergi rumah Mahani. Saya dah lama tak jumpa dengan
dia.” Kata Nadia.
“Boleh. Apa salahnya. Kakak sendiri pun tak jumpa dia sejak
dua minggu ni. Asyik sibuk saja di pejabat. Nak telefon dia pun tak sempat.”
Kata Mahmudah.
“Boleh tak kakak bagi nombor kakak. Nanti senang saya nak
telefon kakak.” Pinta Nadia. Mahmudah memberikan nombor telefonnya kepada Nadia seterusnya
memesan makanan untuk dirinya dan Irfan.
**********
Seperti yang dijanjikan Nadia dan Mahmudah mahu melawat Mahani di
rumahnya pada hujung minggu itu. Sudah lama Nadia tidak bertemu dengan Mahani
sejak dia kehilangan telefon bimbitnya tempoh hari. Mahmudah juga mahu melawat
Mahani kerana sudah dua minggu dia tidak bertemu Mahani. Irfan juga sering
bertanya mengapa Mahani tidak datang melawatnya.
Dia berharap Irfan dapat mengubat kerinduan pada Mahani pada
pertemuan itu. Dia juga berasa aneh mengapa Mahani tidak menghubungi dirinya.
Dia fikir mungkin Mahani jatuh sakit. Mereka bertiga menaiki kereta Mahmudah
menuju ke rumah Mahani. Mahmudah amat berharap agar Sahiril tidak berada di
rumah kerana dia amat benci memandang muka lelaki itu.
Setelah sampai di
hadapan pintu rumah Mahani. Mahmudah memberi ucapan salam dan diselangi dengan ketukan di pintu. Beberapa minit kemudian pintu
terbuka dan terpacul wajah Mahani.
“Kak long! Irfan! Nadia pun ada. Masuklah.”
Pelawa Mahani dengan gembira. Dia senang dengan kehadiran mereka bertiga lebih
lebih lagi Irfan.
“Kau apa khabar Mahani? Dah lama aku tak dengar khabar kau.”
Soal Nadia sambil memeluk Mahani.
“Alhamdulillah. Aku sihat. Cuma letih letih sikit sahaja.” Jawab
Mahani.
“Kenapa kau dah lama tak datang rumah aku? Kasihan Irfan. Dia selalu
tanya pasal kau.” Soal Mahmudah.
“Saya minta maaf sangat sangat. Sahiril tak
bagi saya keluar. Telefon saya pun dah rosak. Maklumlah dah lama sangat saya
pakai telefon tu. Sejak saya umur lapan belas tahun lagi.” Jawab Mahani jujur.
Dia tidak lepas lepas memeluk Irfan.
“Mana suami kau yang ‘baik gila’ tu Mahani?” Soal Nadia. Dia sengaja
menekan perkataan ‘gila’ itu.
“Dia keluar. Biasalah orang korporat. Hujung
minggu macam ni pergi main golf.” Jawab Mahani.
“Kenapa muka kau nampak pucat?
Kau sakit ke?” Soal Mahmudah pula.
“Tak. Aku tak sakit. Biasalah orang
mengandung.” Jawab Mahani bersahaja.
“Apa? Kau mengandung?!” Soal Mahmudah dan
Nadia serentak.
Mahani tergamam. Dia sudah tersasul mengatakan dia mengandung.
Terlajak perahu boleh diundur telajak kata buruk padahnya.
“Ya. Aku
mengandung.” Mahani mengaku perlahan. Pada awalnya dia tidak mahu memberitahu pada
Mahmudah dan Nadia kerana dia mahu merahsiakan dahulu perkara tersebut.
“Aku
benar benar tak faham. Kau dengan Sahiril kan tak berapa baik tapi macam mana
boleh ‘bersama’?” Soal Nadia.
“Susah aku nak cakap Nadia tapi yang penting aku mengandung anak dia
cuma…” Ujar Mahani tanpa menghabiskan ayatnya.
“Cuma apa?” Soal Mahmudah teruja.
“Cuma Sahiril tak nak
mengaku yang ini anak dia. Dia nak aku gugurkan.” Sambung Mahani.
“Apa?! Sahiril
memang dah melampau! Jantan tu memang dah lama hidup!” Omel Mahmudah.
“Kenapa
pula dia nak kau gugurkan bayi yang tak berdosa ni? Apa salah bayi ni?” Soal
Nadia tidak puas hati.
“Dia tak nak bayi yang lahir dari rahim aku. Dia kata aku perempuan
keji.” Jawab Mahani sedih.
“Sudahlah Mahani. Kau jangan layan orang gila tu.
Kau jaga saja bayi ini sama ada dia nak atau tidak. Aku akan tolong kau
besarkan bayi tu.” Ujar Mahmudah.
“Terima kasih kak long.” Ucap Mahani sambil
memeluk Mahmudah. Air mata Mahani tumpah lagi ke pipinya.
**********
Enam bulan kemudian…
Ketika Mahani sedang tidur perutnya tiba tiba berasa sakit. Dia
bergegas ke tandas. Dia sangkakan dia mahu membuang air besar namun tidak jadi. Semakin lama perutnya semakin sakit sehingga tidak tertahan lagi. Dia
tahu sudah sampai masanya bayi yang di dalam rahimnya mahu melihat dunia.
Lantas dia bergegas ke bilik Sahiril. Hanya Sahiril yang mampu membantunya
waktu itu.
Dia memulas tombol pintu bilik lelaki itu. Nasibnya baik kerana
pintu tidak berkunci. Dalam kesakitan dia melihat Sahiril sedang lena diulit
mimpi. Walaupun hatinya berat mahu membangunkan Sahiril namun demi keselamatan
bayi dan dirinya perasaan itu dibuang jauh jauh. Dia lantas mengejutkan
Sahiril. “Sahiril! Sahiril! Tolong hantar saya pergi hospital sekarang. Saya
dah nak bersalin ni.” Ujar Mahani.
Nafas dirasakan begitu sesak. Sahiril tersedar dari tidurnya.
“Kenapa dengan kau ni? Dah meroyan?” Soal Sahiril kasar. Dia tidak suka jika tidurnya
diganggu.
“Saya nak bersalin. Tolong hantar saya ke hospital.” Pinta Mahani. Nafasnya
kian sesak kerana sakitnya sudah tidak tertanggung. Mendengar saja ucapan
Mahani, Sahiril terus bangun dari katil. Setelah mengenakan seluar dan baju,
dia memapah Mahani ke kereta.
Walaupun perasaan benci pada Mahani masih menguliti hatinya namun
perasaan simpati telah menghapuskan perasaan bencinya pada Mahani. Sahiril
lantas memandu keretanya menuju ke Hospital Kuala Lumpur. Setelah itu, dia
menuju ke wad kecemasan untuk menghantar Mahani mendapatkan rawatan lanjut.
Mahmudah yang menerima berita bahawa Mahani telah selamat bersalin
dari panggilan telefon daripada Sahiril sebentar tadi terus bergegas ke
hospital setelah menghantar Irfan ke sekolah. Dia mengucap syukur ke hadrat
Allah kerana Mahani selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Dia sangat gembira.
Nampaknya anak saudaranya bertambah seorang lagi.
Setelah sampai di hopital bersalin, dia terus bertanya kepada
jururawat yang bertugas di kaunter. Setelah mengetahui wad Mahani ditempatkan
Mahmudah terus bergegas ke sana. Ketika Mahmudah sedang berlari lari anak
menuju ke wad Mahani dia terlanggar seorang lelaki sehingga lelaki tersebut
hampir terjatuh. “Farid!” Mahmudah memandang muka Farid, lelaki yang dilanggarnya
sebentar tadi.
“Kak Mudah rupanya. Kenapa nampak tergesa gesa saja ni?” Soal Farid.
“Aku nak lawat Mahani. Dia dah bersalin.” Jawab Mahmudah.
“Oh Mahani dah bersalin?
Anak lelaki ke perempuan?” Soal Farid.
“Lelaki. Aku nak pergi dulu ye. Maaf sebab
langgar kau tadi. Kau tak apa apa?” Soal Mahmudah prihatin.
“Tak. Saya okey. Nanti
kalau ada masa saya datang lawat Mahani.” Kata Farid.
“Okeylah. Kau buat apa
kat sini?” Soal Mahmudah lagi.
“Saya datang sebab nak lawat kawan saya bersalin semalam.” Jawab
Farid.
“Oh begitu. Kalau macam tu aku pergi dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap
Mahmudah sambil berlalu
pergi.
“Waalaikumsalam.” Jawab Farid sambil mengukir senyuman sinis.
**********
Mahmudah begitu gembira melihat bayi lelaki tersebut. Sungguh comel
dan apa yang mengejutkan dia menyalin wajah Sahiril. Sahiril yang berdiri di
tepi tingkap turut mengakuinya tapi sukar dia mahu menerima kenyataan bahawa dia
mempunyai anak dengan Mahani, wanita yang amat dibencinya.
“Apa nama anak kau
ni?” Soal Mahmudah.
Mahani memandang ke arah Sahiril untuk mencari nama buat anak mereka
namun Sahiril sekadar buat tidak tahu. “Aku namakan dia Muhammad Adam Hasnawi.”
Jawab Mahani.
“Sedap nama tu? Apa maksudnya?” Soal Mahmudah lagi.
“Muhammad dan
Adam ialah nama Nabi. Hasnawi maksudnya kecantikan. Aku nak Adam akan jadi
seorang anak yang cantik paras rupa, cantik akhlak dan cantik iman.” Terang
Mahani dengan gembira.
Kesakitan yang ditanggungnya semasa melahirkan Adam hilang begitu
sahaja sebaik melihat wajah comel Adam. “Muhammad Adam Hasnawi bin Sahimi Sahiril.”
Ujar Mahmudah.
Terkejut Sahiril mendengar kata kata Mahmudah. Tiba tiba
telefonnya berbunyi. Dia terus menyambut panggilan dari Datuk Hasanah itu.
“Kenapa
tak masuk kerja hari ni? Kamu sakit ke?” Soal Datuk Hasanah.
“Tak. Saya hantar Mahani pergi hospital.” Jawab Sahiril.
“Kenapa dengan
perempuan tu? Mati ke?” Soal Datuk Mahani.
“Err.. dia bersalin.” Jawab Sahiril
lambat lambat.
“Apa? Bersalin? Bila pula dia mengandung? Sahiril, jangan cakap
anak tu anak kamu.” Soal Datuk Hasanah menduga anak tunggalnya. Hanya keluhan
berat yang keluar dari mulut Sahiril.
“Sahiril, mama nak jumpa kamu kat pejabat sekarang.” Kata Datuk
Hasanah setelah tidak mendapat sebarang tindak balas dari Sahiril.
“Baiklah.”
Jawab Sahiril lalu menamatkan panggilan dan terus beredar dari situ tanpa
mengucapkan apa apa pada Mahmudah dan Mahani. “Kenapa dengan dia tu? Tergesa gesa
nampaknya.” Soal Mahmudah.
“Entah. Ada hal agaknya.” Jawab Mahani.
“Dia nampak macam tak suka saja.” Ujar Mahmudah.
“Memanglah sebab
Adam lahir dari rahim saya. Kalau Adan lahir dari rahim Melisa tentu dia dah
lompat sampai ke langit.” Ujar Mahani sambil memandang anaknya.
**********
Sudah setengah jam Bakri menunggu di kedai mamak itu namun kehadiran
orang yang dinanti nantikan tidak juga muncul. Dia gelisah bagai cacing
kepanasan. Kerja yang paling dia benci adalah menunggu orang. Dia paling tidak
suka orang yang tidak menepati janji. Dia menghirup teh tarik kegemarannya.
Rasa manis teh tarik itu tidak melekat di lidahnya.
“Mana pula dia ni?” Soal Bakri di dalam hati.
“Sorry, sorry. Aku lambat.
Jalan sesak tadi.” Kata Farid yang muncul entah dari mana.
“Kau tahu tak dah
berapa lama aku tunggu kau kat sini? Kata pukul sebelas, pukul sebelas setengah
baru sampai. Manusia jenis apa kau ni?” Soal Bakri dalam keadaan marah.
“Aku
minta maaf sangat sangat. Tadi ada kereta kemalangan sampai jalan jadi sesak.”
Mohon Farid.
“Berita apa yang kau nak sampaikan pada aku ni?” Soal Bakri.
“Sabar,
sabar. Biar aku order air dulu.” Ujar Farid. Kemudian dia memesan teh ais kepada seorang
pekerja restoran tersebut.
“Kau tahu tak yang Mahani dah bersalin?” Soal Farid.
“Apa? Bersalin? Bila?” Soal Bakri teruja.
“Dia bersalin malam tadi. Mahmudah
beritahu aku tadi masa aku kat hospital.” Jawab Farid.
“Macam mana kau boleh jumpa Mahmudah?” Soal Bakri.
“Tadi dia terlanggar
aku. Aku tanya dia kenapa tergesa gesa dia cakap dia nak lawat Mahani yang dah
bersalin semalam.” Terang Farid.
“Apa rancangan kau?” Soal Bakri lagi.
“Aku nak
tulis berita pasal perkara ni.” Jawab Farid.
“Tulis berita? Balik balik tulis
berita. Tak cukup cukup lagi ke? Kau dah tulis berita pasal kes tangkap khalwat
tu kan? Berita pasal Mahani bersalin pun kau nak tulis juga?” Soal Bakri
bingung.
“Berita ni sensasi tau. Ketua Pegawai Eksekutif RaHa Hotel telah
mempunyai seorang cahaya mata.” Kata Farid.
“Sensasi? Apa yang sensasinya?
Biasa saja aku dengar berita tu.” Kata Bakri.
“Kau dah lupa ke yang Sahiril
sedang bercinta dengan Melisa. Model terkenal kat Malaysia tu. Pasti Melisa
cemburu bila dengar berita ni. Lagipun Sahiril ada anak dengan wanita yang kena
tangkap khalwat dengan dia dulu.” Jawab Farid.
“Kau ni gilalah. Takkan Melisa tu nak cemburu. Dia kan cantik. Pilih
saja mana mana lelaki yang dia suka.” Kata Bakri.
“Kau jangan tak tahu yang Sahiril
tu masih ada hubungan dengan Melisa. Kau tahu tak perkahwinan Mahani dan
Sahiril tak pernah bahagia. Mereka kahwin sebab nak tutup malu saja.” Ujar
Farid.
“Betul ke? Macam mana kau tahu?” soal Bakri.
“Aku ni wartawan. Seorang kawan rapat Melisa yang juga seorang
wartawan ada beritahu aku. Melisa cerita semua rahsia ni pada wartawan tu.” Kata
Farid.
“Jadi perkahwinan ini hanya satu lakonan saja?” Soal Bakri. Farid
menjawab soalan itu dengan anggukan. Bakri tersenyum puas. Dia gembira apabila
mendapat tahu yang Mahani tidak pernah bahagia.
Dia akan pastikan Mahani tidak akan pernah bahagia seumur hidup
kerana wanita itu telah meragut kebahagiaanya dengan Nabila. Dia mahu membalas
dendam terhadap Mahani.
**********
Ketika Mahani sedang leka menjamah minum petang yang berupa roti dan
milo di hospital. dia dikunjungi oleh Bakri. “Apa khabar Mahani?” Soal Bakri.
Mahani agak kaget dengan kehadiran Bakri itu namun dia cuba mengawal rasa kaget
itu. “Khabar baik. Macam mana kau tahu aku kat sini?” Soal Mahani acuh tidak
acuh.
“Dunia ini kecil Mahani. Kat mana saja kau berada di situ aku ada.” Jawab
Bakri sambil tersenyum sinis memandang Mahani.
“Jadi selama ni kau ekori aku ke mana saja aku berada?” soal Mahani
keras.
“Tak. Aku takkan bazirkan masa aku dengan ikut kau tapi aku tahu kau ke
mana Mahani. Kau masuk tandas pun aku tahu.” Jawab Bakri. Senyuman sinis masih
tidak lekang di bibirnya.
“Lebih baik kau pergi dari sini Bakri. Aku tak suka
tengok muka kau. Cukup cukuplah apa yang kau dah buat pada aku dan Irfan.” Ujar
Mahani.
“Jangan terlalu sombong Mahani. Kau kena ingat, dendam aku pada kau
belum terbalas lagi. Aku akan pastikan kau akan menerima pembalasan yang
setimpal dengan perbuatan kau.” Kata Bakri memberi amaran.
“Aku tak takut dengan
ancaman kau Bakri. Kau buatlah apa kau suka. Aku tak takut dan tak pernah
takut.” Balas Mahani dengan berani.
“Tak lama lagi kau akan tarik balik kata
kata kau.” Kata Bakri dan berlalu dari situ.
Mahani memandang Bakri sambil menyumpah nyumpah dalam hati. Beberapa
minit kemudian Ramli muncul bersama Nadia, Mahmudah dan Irfan.
“Kenapa muka kau
nampak tegang Mahani?” Soal Mahmudah sambil duduk disebelah adiknya itu.
“Tadi
Bakri datang.” Jawab Mahani sambil mencium ubun ubun Irfan yang duduk
disebelahnya.
“Bakri datang? Kenapa dia datang? Nak melawat ke?” Soal Nadia.
“Tak.
Dia datang nak beri amaran pada aku. Dia nak balas dendam sebab aku dah
masukkan Nabila dalam penjara.” Jawab Mahani.
“Awak jangan layan sangat Bakri
tu. Dia saja nak takut takutkan awak.” kata Ramli.
“Saya sikit tak takut dengan
Bakri tu cuma saya rasa benci bila dia ada kat sini.” Kata Mahani.
“Tapi macam mana dia boleh tahu kau bersalin dan berada kat hospital
ni?” Soal Nadia. Semua orang terdiam. Mereka tidak mempunyai jawapan untuk
soalan Nadia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.