Pada pukul 9.30 malam itu, Norin sudah sampai di rumah. Apabila dia masuk
ke dalam rumah sahaja, dia melihat Fauziah sedang menonton televisyen. Dia
memerhatikan Fauziah dan mendapati yang ibunya itu bukan menonton televisyen
tetapi tidur! Dia melihat alat kawalan jauh Astro miliknya sudah pecah di
lantai menandakan ibunya telah menjatuhkannya tanpa wanita itu sedari
memandangkan dia telah terlena.
“Ibu! Apa ibu buat ni? Ya
Allah...pecah remote aku. Ibu! Bangun!” Norin mengejutkan Fauziah dengan
suara yang lantang dan kasar. Dia menggoncang tubuh ibunya dengan kuat.
“Kenapa Norin? Apa yang telah
berlaku?” Fauziah bertanya dalam keadaan terpisat pisat kerana baru tersedar
daripada tidur. Dia masih berada dalam keadaan terpinga pinga.
“Cuba ibu tengok ni, apa yang ibu
dah buat. Pecah remote saya ni tahu tak? Ibu ingat remote ni
murah? Ibu nak tidur pergi la dalam bilik! Ini ruang tamu, bukan bilik! Nak
tengok tv, tengoklah, ini tak, tidur! Lepas tu pegang remote sambil tidur,
memang la remote jatuh dah pecah!” Norin mula membebel dengan bahasa
yang berbelit belit kerana terlalu marah dengan ulah ibunya.
“Maafkan ibu Norin. Ibu tertidur
sambil pegang remote, ibu tak sedar bila remote ru jatuh. Maafkan
ibu sekali lagi.” Fauziah memohon kemaafan daripada Norin dengan penuh rasa
bersalah. Dia kecut perut melihat wajah Norin yang seperti singa itu.
“Senang je kan...dah pecahkan remote
orang, minta maaf macam tu je. Banyak cantik!” Sindir Norin dengan pandangan
yang tidak puas hati kepada Fauziah.
“Ibu tahu tak, bila ibu pasang tv
ni, elektrik berjalan. Ibu ingat sekarang ni bil elektrik murah? Kalau tak nak
tengok atau nak tidur, tutuplah tv ni supaya elektrik tak jalan. Boleh jimat
sikit. Ibu ni memang manja kan? Saja nak susahkan hidup anak anak. Suka sangat
membazir.”
“Sampai hati kau cakap macam tu
Norin. Aku ni mak kau tau, bukan adik adik kau yang kau boleh marah marah macam
tu. Takkan dengan ibu sendiri pun kau nak berkira. Kalau kau tak ada duit nak
bayar, ibu boleh bayar bil elektrik kau ni guna duit simpanan ibu. Bukan selalu
pun ibu datang rumah kau. Baru dua hari ibu kat sini, kau dah marah marah ibu.
Sampai hati kau...”
“Oh...sampai hati? Saya ni
berkira? Habis ibu tu tak berkira?”
“Bila masa ibu berkira dengan
kau?”
“Huh, buat buat lupa pula orang
tua ni. Ibu lupa ke ibu selalu marah saya masa saya remaja dulu kalau saya
tengok tv sampai larut malam? Ibu lupa ke ibu selalu membebel kalau saya guna
telefon rumah lama lama sebab nak cakap dengan kawan bincang pasal assignment?
Ibu lupa ke ibu selalu bising kat saya bila saya mandi lama masa saya kecik
dulu? Ibu lupa ke semua tu? ke ibu buat buat lupa atau ibu ni dah nyanyuk?”
Fauziah terdiam mendengar kata
kata Norin. Memang benar apa yang Norin katakan. Dia pernah melakukan itu semua
semasa Norin, Hafizah dan Hamad kecil dan remaja dahulu. Sekarang Norin sedang
membalas dendam terhadap apa yang pernah dia lakukan kepada Norin dahulu.
Adakah ini bermakna karma? Adakah ini bermakna balasan Tuhan kepadanya kerana
berlaku ‘kejam’ terhadap anak anak? Dia sendiri tidak pasti dengan soalan yang
baru muncul di benaknya waktu itu.
“Kenapa ibu diam? Betul kan apa
yang saya cakap? Kalau saya berkira pun memang patutlah sebab ibu pun berkira
juga dengan saya dulu. Nak bagi duit belanja sekolah pun kadang kadang ibu
merungut itu ini. Minta beli barang sekolah pun bagi macam macam alasan pastu
cakap yang bukan bukan. Suka sepah sepah la, tak reti jaga elok elok la, rosak
la, apa la. So, ibu yang ajar saya jadi berkira, saya pun berkira la
sekarang ni.” Norin tersenyum sinis memandang ibunya yang duduk terbungkam di
sofa itu. Hatinya puas pada waktu itu kerana telah berjaya menyakiti hati
Fauziah seterusnya melunas dendam terhadap ibunya sendiri.
“Ma, mama baru balik?” Tersentak
Norin apabila mendengar suara Khairil yang entah muncul dari mana. Dia
berpaling memandang anak terunanya yang baru sahaja turun dari tingkat dua
rumah agam tersebut. Khairil memakai baju berwarna merah jambu dengan gambar
Captain America yang agak besar di bahagian depan dan berseluar pendek berwarna
coklat cair paras lutut.
“Haah, baru balik. Ril dah makan.
Papa mana?” Soal Norin sambil mengusap kepala Khairil dengan tangannya.
“Papa ada kat bilik bacaan. Maybe
tengah buat kerja kot. Ril dan papa belum makan lagi. Kitaorang tunggu mama.
Tapi atuk dan nenek dah makan.” Balas Khairil. Dia memandang Fauziah yang
sedang duduk itu. Sebuah senyuman manis dihadiahkan kepada Fauziah yang berada
dalam keadaan pilu kerana terkesan dengan kata kata Norin tadi.
“Alah sweetnya, sekarang
Ril pergi panggil papa. Kita makan sama sama. Mama pun dah lapar ni.”
“Okay ma. Tapi sebelum tu ada
perkara yang Ril nak cakap dengan mama.”
“Mmm...apa
dia? Cakaplah.”
“Boleh tak malam Jumaat dan malam
Sabtu setiap minggu Ril nak tidur dekat asrama universiti?”
“Kenapa pula Ril nak tidur kat
asrama universiti? Tak best ke duduk rumah ni?” Norin bertanya dalam
keadaan bingung.
“Bukan macam tu ma. Ril lemah
dalam subjek Operation Management tu. Ril tak nak repeat paper tu macam
Ril repeat paper accounting dulu. Pastu ada senior Ril yang volunteer
nak ajar Ril. Senior tu duduk kat asrama universiti. Kalau mama benarkan, Ril
ingat Ril nak study dengan dia pastu tidur kat bilik dia sekali sebab
Ril takutlah balik rumah malam malam naik motor sorang sorang. Sebab tu Ril
minta kebenaran mama nak tinggal kat asrama universiti setiap malam Jumaat dan malam Sabtu. Pagi Ahad Ril
balik la.”
“Oh macam tu...senior Ril tu
lelaki ke perempuan? Pastu kenapa dia nak ajar waktu malam. Waktu pagi atau
tengah hari tak boleh ke?”
“Lelaki la ma. Kan Ril nak tidur
bilik dia. Takkan Ril nak tidur bilik senior perempuan pula. Waktu siang
dia ada hal ma. Dia boleh ajar Ril waktu malam je.” Ril menjawab. Dia berasa
lucu apabila ibunya bertanya yang seniornya itu lelaki atau perempuan.
“Yalah, zaman sekarang ni macam
macam Ril. Ril ni bukan boleh percaya sangat. Muka baik je kat rumah tapi kat
universiti entah entah jadi playboy! Maklumlah, ada muka yang cute
macam papa masa muda muda dulu. Sedar sedar je dah buntingkan anak dara orang.
Tapi kalau Ril nak study mama tak kisah. Kalau Ril buat benda bukan
bukan, memang mama tak bagi.”
“Ke situ pula mama ni. Ril ni
tahu la nak bezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Tapi betul ma. Ril
bukan nak buat apa pun. Just study je.”
“Okay, mama benarkan tapi ingat
ye Ril. Jangan buat benda bukan bukan macam hisap dadah ke, pergi clubbing
ke, pergi buntingkan anak dara orang ke... Mama dapat tahu Ril buat benda benda
bodoh tu, mama orang pertama yang sembelih Ril. Ingat tu!” Norin memberi amaran
dan peringatan kepada anak terunanya dengan wajah yang serius.
“Insha Allah ma. Ril takkan buat
benda tu semua. Ril akan ingat semua pesan mama. Terima kasih ma sebab
benarkan.” Ril tersenyum kelegaan.
“Sama sama. Dah la tu. pergi
panggil papa makan. Mama dah lapar gila ni.”
“Okay ma. Nenek nak makan sekali?
Nak makan sekali jom la.” Khairil bertanya sambil memandang Fauziah yang masih
duduk di sofa itu dengan wajah yang sedih.
“Tak payah la ajak nenek. Dia dah
makan. Makan banyak banyak nanti sakit pula. Susah pula kita nak hantar dia gi
hospital nanti. Pergi panggil papa cepat!” Kata Norin sebelum sempat dijawab
oleh Fauziah. Khairil dengan penuh rasa kasihan terhadap neneknya pergi
mendapatkan Shuib yang berada di bilik bacaan.
“Ha ibu, ayah mana?” Soal Norin
sambil memandang wajah Fauziah dengan perasaan angkuh.
“Ayah kau kat kolam, dia pergi
ambil angin.” Jawab Fauziah lemah.
“Tu sorang lagi. Ibu pesan kat
ayah tolong jangan buat benda bukan bukan ye macam semalam. Membazir air teh
je. Ingat teh tu murah agaknya.” Norin memberi jelingan maut kepada Fauziah
sebelum bergerak ke ruangan makan. Fauziah yang terhiris hatinya itu lantas
memadamkan televisyen yang menyiarkan rancangan yang dia sendiri tidak ketahui.
Kemudian dia naik ke tingkat atas untuk ke biliknya dan menangis!
.................................................................................................................
Khairil meniti satu per satu anak
tangga ke tingkat dua Blok Tun Perak untuk menuju ke bilik Faiz, senior yang
ditemuinya beberapa hari yang lalu untuk mengulangkaji pelajaran bersama sama.
Dia sangat berharap, apa yang Faiz akan ajarnya nanti dia akan faham seterusnya
dapat memperbaiki markahnya pada ujian kedua dan peperiksaan akhir semester
nanti. Dia berazam untuk belajar bersungguh sungguh subjek Operation Management
itu supaya dia tidak perlu mengulang semula subjek yang sama pada semester
depan.
Sampai sahaja di tingkat dua, dia
menjadi bilik 204. Di situlah bilik Faiz. Dalam beberapa saat sahaja dia
berjalan di tingkat dua itu, dia sudah menjumpai bilik tersebut. Dia mendapati
lampu di bilik itu terpasang berdasarkan apa yang dilihatnya pada tingkat kecil
di atas pintu masuk ke bilik tersebut. Tanpa melengahkan masa lagi, Khairil
lantas mengetuk pintu beberapa kali sambil memberi salam.
“Assalamualaikum...” Ucap Khairil.
“Waalaikumussalam.” Jawab orang yang
ada di dalam bilik tersebut. Tidak lama kemudian muncul batang tubuh Faiz di
muka pintu bilik tersebut. Faiz hanya memakai seluar jeans pendek paras peha
sahaja pada waktu itu dan tidak berbaju. Badannya yang dihiasi dengan otot otot
pejal itu kelihatan basah dan berkilat dengan peluh.
“Oh kau rupanya. Masuklah. Awal kau
sampai. Abang baru habis workout.” Kata Faiz sambil meluaskan bukaan
pintu biliknya. Senyuman kecil tersungging di bibir seksinya.
Khairil masuk ke dalam bilik tersebut.
Kelihatan ada dua buah katil, sebuah katil single dan sebuah katil dua tingkat.
Kelihatan katil single itu sahaja yang digunakan manakala katil dua tingkat itu
diletakkan peralatan untuk bersenam seperti dumb bell, bar, dan
sebagainya.
Di bilik itu juga terdapat sebuah meja
yang panjang. Meja itu sebenarnya ada tiga buah namun apabila dicantumkan akan
menjadi sebuah meja yang panjang. Di atas meja itu terdapat komputer riba,
buku, pemanas air, printer, dan alat alat tulis. Walaupun bilik itu agak
banyak dipenuhi dengan barang, namun Faiz pandai menyusunnya sehingga kelihatan
kemas.
“Apa yang kau tercengang cengang tu? Terkejut
tengok bilik aku? Duduklah. Jangan malu malu.” Kata Faiz yang tergelak kecil
melihat telatah Khairil. Khairil seperti rusa yang baru terlepas dari hutan dan
masuk ke sebuah kampung yang asing itu melangkah perlahan lahan masuk ke dalam
bilik Faiz.
“Hah? Hehe. Takde apa apa bang.” Jawab
Khairil malu malu. Tentu lama dia mengelamun di situ sehingga Abang Faiz
perasan.
Khairil meletakkan dua buah begnya
yang berisi baju dan buku itu di atas sebuah kerusi plastik berwarna biru yang
berhampiran dengan meja panjang tadi.
“Abang memang duduk sorang je ke sejak
minggu pertama?” Khairil bertanya sambil memandang Faiz yang sedang duduk di
katil single dan sedang menatap telefon pintarnya.
“Bukan sejak minggu pertama Khairil
tapi sejak semester tiga lagi.” Faiz menjawab sambil memandang ke wajah
Khairil. Dia meletakkan telefon pintar itu di tepi meja panjang yang digunakan
sebagai meja untuk belajar, mengulangkaji pelajaran, dan menyiapkan tugasan
itu.
“Sejak semester tiga? Maksudnya dah
dekat tiga semester la abang duduk sorang dekat asrama ni?”
“Haah.”
“Kenapa abang duduk sorang je? Takde
orang nak kawan dengan abang ke?” Khairil menyoal selamba.
“Siot betul budak ni. Haha. Kau ingat
aku ni forever alone ke? Kurang asam betul soalan kau tu. Bukan macam
tu. Asrama ni takde orang yang nak duduk. Ramai student yang suka duduk
luar konon tak nak terikat dengan peraturan asrama yang macam macam tu. Kawan
abang pun ramai yang duduk luar. Abang sorang je duduk sini.” Faiz ketawa kecil
mendengar soalan Khairil tadi.
Mendengar jawapan daripada Faiz itu,
baru Khairil perasan yang asrama itu tidak ramai orang. Biasanya dia pasti akan
dengar suara hiruk pikuk pelajar bercakap dan bergelak ketawa seperti kebiasaan
asrama yang ditemuinya. Ketika dia melangkah naik ke tingkat dua itu pun, tidak
banyak baju, seluar, boxer, dan seluar dalam bersidaian di ampaian
asrama tersebut. Kasut dan selipar pun tidak ada di luar pintu pintu bilik tertentu
ketika dia melalui tingkat dua untuk ke bilik Faiz itu seperti
kebiasannya.
“Tapi kenapa abang tak duduk luar
dengan kawan kawan abang? Abang tak takut ke tidur kat asrama yang tak ramai
orang ni?” Tanya Khairil lagi.
“Tak takutlah. Bukan ada hantu pun.
Kalau kau dengar cerita hantu kat asrama ni, semua tu mengarut je. Abang duduk
kat asrama ni senang. Kelas dekat, tempat makan dekat, jimat minyak, jimat duit
rumah sewa. Segala galanya jimat la. Cuma tu la, kena tahan sikit dengan
peraturan asrama yang entah apa apa tu.” Jawab Faiz.
“Tapi kan bang, kenapa kat Blok Megat
Terawis yang Dino duduk tu ramai orang ea tapi blok ni tak ramai orang?”
“Memanglah. Blok yang Dino duduk tu
blok junior. Blok budak budak sem satu. Freshie freshie lagi. Masuk je
sem dua, ramai la tu yang keluar.”
“Oh...macam tu.” Khairil mengangguk
faham. Pandangannya dilontarkan ke luar jendela. Dia memerhatikan Blok Datuk
Bahaman yang terletak bersebelahan dengan Blok Tun Perak itu. Kelihatan hanya
beberapa buah bilik sahaja yang terpasang lampunya. Lain semua bergelap tanda
bilik tersebut tidak ada penghuni.
“Blok sebelah ni pun sama juga ke bang
takde student yang nak tinggal?”
“Semua blok macam tu Khairil. Blok
yang Dino duduk tu je yang ramai student. Lain semua banyak yang kosong.
Kalau kau nak minta duduk asrama sekarang ni pun boleh. Kau cakap je kat
pejabat. Tapi sekarang tak boleh la. Pejabat dah tutup. Hehe.”
“Tak nak la saya duduk asrama bang. Best
lagi duduk rumah saya. Boleh tengok tv, wifi laju, makan sedap sedap. Mmm...”
“Haha. Suka hati kau la Khairil. Ok
la. Kau lepak dulu. Abang nak mandi jap. Badan abang ni rasa melekit. Abang dah
habis mandi nanti kita start ea. Kau dah makan belum ni?”
“Dah bang. Dah pukul sepuluh lebih kot
takkan tak makan lagi.”
“Hmm...okay la kalau macam tu. Duduk
sini jap. Jangan gi mana mana pula. Nak pergi kencing ke, kunci pintu tau.
Sebelum kita mula ni kau boleh la buka buku, tengok apa soalan yang kau nak
tanya nanti. Jangan dah nak start, baru kau nak tercari cari. Aku
pelengkung kepala kau time tu nanti. Haaa...” Ujar Faiz dengan nada
bergurau. Dia melilitkan tuala berwarna putih ke pinggangnya. Kemudian dia
menanggalkan seluar jeans pendek yang dipakainya tadi bersama seluar dalam
kemudian dicampaknya kedua dua pakaian itu di atas katil.
“Okay bang. Beres...” Kata Khairil
lalu mengeluarkan bank soalan dan latihan latihan dalam kelas yang Puan Hayati
pernah suruh dia siapkan. Faiz pula keluar dari bilik tersebut untuk ke bilik
mandi bagi membersihkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.