Ahad, 7 Februari 2016

CIRI CIRI SEORANG SAHABAT SEJATI YANG PERLU ANDA KETAHUI

Sumber : Google

Maafkan saya kerana tidak dapat menulis dan mengemaskini blog ini hampir setiap hari seperti lazimnya memandangkan saya perlu memberi tumpuan kepada penulisan sebuah novel yang akan saya terbitkan di dalam blog ini tidak lama lagi. Menulis sebuah novel sebenarnya tidak sama seperti menulis sebuah artikel. Menulis sebuah novel memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Saya sendiri pun tidak dapat menjangka bila novel itu dapat disiapkan seterusnya diterbitkan di dalam blog kerdil saya ini.

Ramai orang bertanya kepada saya, mengapa saya tidak menghantar satu pun karya karya saya sama ada yang berbentuk puisi, novel, atau cerpen kepada mana mana syarikat penerbitan atau kepada mana mana akhbar/majalah? Bukan saya tidak pernah menghantar karya karya saya itu tetapi apabila saya menghantarnya, mesti akan ada penolakkan daripada syarikat atau penerbitan tersebut memandangkan saya bukanlah seorang penulis yang kreatif. Saya menulis sekadar untuk bercerita, menyampaikan pengetahuan, menyampaikan pendapat, membuat teguran, dan menyampaikan pemikiran. Karya karya saya mungkin tidak ada nilai nilai komersial untuk diterbitkan dan disebabkan itu ia sering ditolak. Saya sudah berputus asa untuk menghantar semua karya saya itu kepada mana mana syarikat penerbitan dan oleh sebab itu, saya lebih selesa untuk menerbitkan semua hasil cipta saya tadi di dalam blog ini sahaja.

Jika anda adalah pembaca setia kepada blog ini, mesti anda akan sedar ada dua tiga buah novel online yang tidak siap yang pernah saya terbitkan di dalam blog ini. Salah satu faktor mengapa saya tidak dapat menghantar karya karya saya itu adalah disebabkan saya gagal menyiapkannya dalam masa yang singkat memandangkan saya perlu menumpukan kepada tugasan hakiki saya sebagai seorang mahasiswa. Novel novel yang saya pernah terbitkan di dalam blog ini seperti novel Aku, Dia, Blog, dan Madu dan novel Jembalang kekal terbengkalai begitu sahaja sehingga ke hari ini. Namun begitu, jika ada masa terluang, saya akan sudahkannya dalam bentuk yang lain. Jalan ceritanya mungkin berubah atau mungkin juga menjadi lebih ringkas tetapi saya tetap akan menyiapkannya suatu hari nanti.


Baiklah, cukuplah dahulu mukadimah artikel ini yang melambakkan masalah saya kepada anda. Biarlah saya bersurah pula tentang tujuan saya menulis artikel ini yakni mengenai ciri ciri sahabat sejati yang perlu anda ketahui. Siapa diantara pembaca blog ini mempunyai sahabat sejati atau pernah mempunyai sahabat sejati? Jika ada, pernahkah anda terfikir bahawa adakah sahabat sejati anda itu benar benar seorang sahabat sejati? Atau adakah sahabat anda itu jenis sahabat yang semasa senang ia datang dan semasa susah ia pergi? Dan adakah anda sudah mengetahui ciri ciri seorang sahabat yang boleh dianggap sebagai sahabat sejati?

Bagi saya, sebagai seorang manusia yang melalui banyak pengalaman dari jaringan persahabatan ini, sahabat sejati itu adalah sahabat yang sanggup susah dan senang bersama dengan kita. Maksudnya, sahabat yang boleh menghulurkan pertolongan tatkala kita memerlukannya atau setidak tidaknya boleh mendengar masalah kita sekiranya dia tidak dapat menghulurkan pertolongan seperti yang sepatutnya.

Seorang sahabat sejati tidak akan meninggalkan sahabatnya terkontang kanting seorang diri di padang pasir masalah. Dia akan mencuba sedaya upaya untuk membantu sahabatnya di dalam kesusahan bila mana dia pada waktu itu berada dalam keadaan yang senang. Jika dia berada di dalam keadaan yang susah atau turut bermasalah lalu tidak dapat menolong sahabatnya yang berada dalam masalah itu, maka perbuatannya itu boleh dimaafkan dan dikecualikan.  

Sahabat sejati adalah sahabat yang bukan hanya mencari sahabatnya ketika susah sahaja kemudian meninggalkan sahabatnya itu ketika senang. Sahabat sebegini memang wujud dan sahabat sebegini tidak layak untuk dipanggil sahabat sebaliknya hanya layak dipanggil sebagai pengkhianat! Diharapkan kita dijauhkan dengan jenis sahabat sebegini.

Ciri lain untuk mengenal seorang sahabat itu sebagai sahabat sejati adalah sentiasa bekerjasama dengan kita dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau melaksanakan sesuatu arahan yang diberikan oleh pihak atasan dengan bersungguh sungguh. Sebagai contoh, dalam kehidupan mahasiswa universiti, pasti perlu membuat sesuatu tugasan yang diberikan oleh pensyarah secara berkumpulan. Mahasiswa dan mahasiswi ini pasti memilih sahabatnya untuk berada dalam satu kumpulan. Jika rakan anda adalah sahabat sejati, dia pasti akan bersama sama dengan anda untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah tadi dengan sebaik mungkin. Jika dia membiarkan anda menyudahkannya seorang diri, sahabat itu adalah sahabat yang tidak boleh dianggap sejati tetapi sahabat yang mementingkan diri sendiri!

Sahabat yang sejati juga adalah sahabat yang sentiasa menjaga hati, perasaan, dan maruah sahabatnya dengan sebaik mungkin. Dia tidak mudah untuk mengutuk, menghina, atau memperlekehkan sahabatnya sendiri dihadapan rakan rakan yang lain sehingga mencemarkan maruah, mengguris hati, dan mencalarkan perasaan sahabatnya itu atas alasan gurauan. Sahabat yang gemar menjatuhkan maruah, mengguris hati, dan mencalarkan perasaan sahabatnya ini adalah sahabat yang tidak berperikemanusiaan serta sahabat yang tidak mempunyai hati dan perasaan!

Sahabat yang sejati sering kali memohon maaf kepada sahabatnya jika dia telah melakukan kesalahan atau telah mengguris hati sahabatnya itu sama ada secara lisan atau perbuatan. Dia bukan jenis sahabat yang cakap tanpa berlapik atau sahabat yang bercakap tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain. Namun, saya sangat yakin, sahabat sahabat sebegini memang banyak di dunia ini cuma kita sahaja yang tidak sedar akan kehadiran mereka memandangkan kita telah menganggap mereka sebagai sahabat sejati!


Di atas adalah takrifan dan ciri ciri sahabat sejati yang telah saya kemukakan. Ciri ciri seorang sahabat sejati sangat berbeza dengan ciri ciri seorang sahabat biasa. Sahabat sejati sukar dijumpai tetapi sahabat biasa memang ramai di dunia ini. Saya bukanlah seorang sahabat sejati yang sempurna tetapi saya cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang sahabat sejati kepada mana mana sahabat yang saya temui. Baiklah, biarlah saya akhiri artikel ini dengan dua soalan : pertama, adakah sahabat yang ada dengan anda sekarang telah menepati ciri ciri yang saya sebutkan di atas tadi? Kedua, adakah sahabat yang ada dengan anda sekarang benar benar seorang sahabat sejati atau sahabat yang ketika susah datang dan ketika senang pergi? Tepuk dada dan tanya iman anda sendiri.            

1 ulasan:

  1. Samalah.ada tulis novel,tapi tak pernah hantar.Dekat 10 tahun dok peram.Tapi puas bila dapat menulis.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.