Sumber : Google |
Menjelang tahun 2020, Malaysia
dijangka akan menjadi sebuah negara maju. Ramai pemimpin dan rakyat Malaysia
mahukan kemajuan itu. Mereka memasang impian negara Malaysia mungkin akan
bertukar menjadi sebuah negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika
Syarikat dan United Kingdom atau setidak tidaknya menjadi maju seperti negara
Singapura. Pada mereka, inilah contoh contoh negara maju yang mesti diikuti
oleh Malaysia.
Tafsiran mengenai kemajuan itu
pelbagai sebenarnya. Apakah sebenarnya makna kemajuan bagi anda? Adakah
kemajuan itu berupa bangunan yang tinggi tinggi seperti KLCC? Adakah kemajuan
itu berupa kecanggihan pengangkutan awam? Apakah kemajuan itu bermaksud semua
warganegara menjadi kaya raya? Apakah kemajuan itu bermakna sesebuah negara itu
menguasai ekonomi dunia?
Apa yang saya tulis di atas itu
bukanlah takrif atau maksud kemajuan yang sebenar. Di atas itu hanyalah lambang
lambang kemajuan. Justeru, apakah sebenarnya makna kemajuan?
Baiklah, biarlah saya mengupas takrif
kemajuan itu pada pandangan saya sendiri. Sama ada anda bersetuju dengan
pandangan saya ini atau tidak itu menjadi soal kedua. Apa yang penting adalah saya ingin
melontarkan makna kemajuan itu terutama dalam konteks negara Malaysia.
Pada saya untuk menjadi sebuah negara
maju, rakyat sesebuah negara itu perlu menjadi maju terlebih dahulu kerana
rakyat itu sendiri adalah agen kemajuan. Jika rakyat hidup lebih teruk dari
zaman Rom dan juga Greek, bermaksud sukar untuk negara itu menjadi sebuah
negara yang maju.
Kemajuan bagi saya yang pertama
adalah kemajuan pemikiran rakyat sesebuah negara. Jika hendak menjadi sebuah negara
maju, pemikiran rakyat mesti seiring dengan kemajuan negara tersebut. Ini bukan
bermaksud rakyat itu mesti menjadi liberal atau sekular sebaliknya pemikiran
rakyat itu mesti berubah menjadi anjal dan andal. Pemikiran rakyat tidak boleh
jumud atau dengan kata lain tidak terbuka atau tidak boleh menerima
perubahan.
Pemikiran rakyat bagi sebuah negara
yang maju adalah sentiasa berfikir dengan positif, berfikir dengan cara yang
mudah, menjana idea idea baru, memisahkan ego dari pemikiran, tidak suka
bertelagah pendapat jika pemikiran orang lain tidak sama dengan pemikirannya
dan merendah diri dalam menangani perbezaan pemikiran. Konsep perbincangan
mestilah dibuat untuk menghasilkan sesebuah idea atau menangani sesuatu
masalah.
Takrif kemajuan yang kedua adalah
semua rakyat mesti menghormati Perlembagaan – yakni undang undang tertinggi
dalam sesebuah negara. Segala yang termaktub dalam Perlembagaan itu mestilah
dihormati dan dipatuhi seperti hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama bagi negara dan Raja Raja Melayu sebagai
ketua negara dan ketua agama Islam.
Jika ada pihak pihak yang tidak
menghormati atau tidak mematuhi Perlembagaan ini, selagi itulah negara ini
tidak usah menjadi negara maju. Ini kerana akan wujud perasaan tidak tenteram
dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Perpecahan dan pergaduhan akan
terus berlaku. Apa makna kemajuan jika keamanan tidak boleh dikecapi? Maka,
untuk menjadi sebuah negara maju, Perlembagaan hendaklah dihormati oleh setiap
rakyat.
Takrif kemajuan yang ketiga adalah tidak
wujud perasaan benci membenci antara kaum. Maksudnya di sini, semua kaum
mestilah bersatu padu dan tidak cuba menyemarakkan api perkauman dengan apa
cara sekalipun seperti perbuatan, perkataan, penulisan, gambaran dan
sebagainya. Apa apa elemen elemen yang boleh menyatupadukan kaum seperti
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekolah satu aliran,
mengasimilasikan diri dengan kaum peribumi dan sebagainya hendaklah dilakukan.
Ini dibuat bagi memastikan keamanan akan kekal terpelihara sampai bila bila.
Pencapaian ekonomi yang cemerlang dan
gemilang untuk semua kaum yang ada di negara ini hendaklah dibuat. Maksudnya
tidak ada kaum yang mendominasi bidang ekonomi. Semua kaum tidak kira sama ada
bumiputra atau bukan bumiputra mesti menguasai kek ekonomi secara seimbang dan
adil. Hal ini kerana ekonomi adalah perkara terpenting dalam pembinaan sebuah
negara yang maju dan moden.
Sistem pendidikan yang benar benar
mampu untuk menghasilkan manusia yang kreatif, kritis, dan intelektual
hendaklah dibuat. Sistem pendidikan yang kita ada sekarang ini gagal untuk melahirkan
manusia yang semacam itu. Bayangkan, sudah lebih 50 tahun negara ini mengecapi
kemerdekaan, namun satu jenis senjata pun tidak mampu dicipta oleh penduduk
negara ini. Mengapa? Hal ini kerana sistem pendidikan kita tidak berjaya
melahirkan manusia yang kreatif dan kritis sebaliknya melahirkan manusia yang
mempunyai pemikiran aras rendah yakni pemikiran yang tidak memerlukan seseorang
itu berfikir secara meluas dan mendalam seperti menghafal atau mengingati
sesuatu fakta atau maklumat.
Negara yang maju juga mestilah
ditadbir oleh pemimpin yang benar benar mahu berkhidmat untuk rakyat. Pemimpin
yang rasuah, pecah amanah, tidak bertanggungjawab dan penipu tidak boleh
memimpin sebuah negara maju. Hal ini kerana, pemimpin pemimpin sebeginilah yang
akan merosakkan negara maju tersebut. Pemimpin pemimpin sebegini hendaklah
dibakulsampahkan terlebih dahulu sebelum menjadikan negara ini sebuah negara
maju.
Kemajuan juga tidak boleh dipisahkan
dengan teknologi yang canggih. Segala bidang yang melibatkan sains dan
teknologi mestilah diperkasakan seperti kejuruteraan, perkomputeran,
pensenjataan, dan sebagainya. Bidang bidang sebegini hendaklah dijulang tinggi
supaya kehidupan rakyat akan menjadi mudah tanpa merosakkan atau
memusnahkan alam sekitar.
Itulah makna atau takrifan kemajuan
bagi saya dalam konteks negara Malaysia yang tercinta ini. Jika dilihat pada
keadaan sekarang, negara ini tidak boleh diiktiraf sebagai sebuah negara maju
sebaliknya diiktiraf sebagai sebuah negara membangun sahaja, Namun, jika ada manusia
dalam negara ini yang gemar berfantasi, maka mereka akan beranggapan bahawa
negara ini adalah sebuah negara maju!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.