Sabtu, 21 November 2015

BERTEMU AIMAN BANNA DI MASJID TUANKU MIZAN

Sumber : Google

Aiman Banna – kalau nama ini disebut sudah pasti belia belia Melayu Islam kenal dengan lelaki ini. Seorang pendakwah muda yang comel, berkarisma, berani dan berwawasan. Memang Aiman Banna – setahu saya – tidak pernah masuk ke dalam mana mana program televisyen namun remaja yang berusia 19 tahun ini sangat terkenal di dunia Twitter dan mungkin juga di dunia blog (jika saya tidak silap).

Baru baru ini, persatuan PEMBINA UiTM Shah Alam menganjurkan sebuah forum berkenaan dengan remaja Islam (saya lupa nama tajuk forum dalam Bahasa Inggeris itu) di mana Aiman Banna menjadi salah seorang daripada panelisnya. Seorang lagi panel adalah Ustaz Abdul Rahman – juga seorang pendakwah yang popular – tetapi saya tidak mengenalinya. Saya pada awalnya sekadar suka suka sahaja datang ke majlis ilmu itu. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Aiman Banna di sana.

Saya mengenali Aiman Banna melalui Twitter. Pada awalnya saya tidak kenal siapakah pemilik akaun Twitter yang mempunyai ribuan malah ratusan ribu pengikut (followers) itu, tetapi saya tahu dia acapkali menulis berkenaan dengan dakwah melalui tweet tweetnya. Kemudian saya mendapat tahu dia menulis buku dakwah yang berjudul Henshin (saya tidak sempat membeli buku ini) yang merupakan sebuah buku yang agak laris di pasaran. Mungkin berada di tempat ketiga sebagai buku paling laris di kedai buku MPH (jika saya tidak silap).

Jumaat, 13 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN AKHIR

Sumber : Google


          Pagi Ahad itu Iqwan bangun pada pukul enam pagi. Kebiasaanya, bila tiba hari Ahad, pukul sepuluh atau pukul sebelas pagi baru dia bangun daripada tidur kerana hari Ahad adalah hari cuti. Entah mengapa dia boleh tersedar awal pula pada hari itu seperti mana yang sering dia lakukan pada hari hari dia bekerja.

      Dia meraup mukanya dengan kedua dua tapak tangan. Pandangannya melayang pada tingkap rumah yang langsirnya tidak ditutup. Keadaan di luar masih gelap lagi.

       Sejujurnya dia masih tidak tahu apa yang harus dia lakukan saat itu. Tiba tiba dia teringat akan pesanan Haiqal dua hari lepas. Pesanan Haiqal yang mengingatkannya mengenai ketuhanan dan keagamaan. Pesanan Haiqal yang menyentuh tentang Allah, Islam, naluri, perasaan, takdir, iman dan akidah. Hatinya agak terkesan dengan pesanan itu. Pesanan dari seorang yang mempunyai persamaan dengan dirinya dari segi perasaan.

       Iqwan lantas bangkit dari katil dan segera mencapai tuala yang tersidai elok di penjuru biliknya. Kemudian dia bergegas masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Seusai mandi, dia segera berwuduk lalu menunaikan solat Subuh. Jarang sekali dia menunaikan kewajipan itu. Seingatnya, kali terakhir dia menunaikan solat Subuh adalah pada tahun lepas kerana kolej kediamannya ada membuat program qiamulail sebagai satu program tahunan kolej kediaman tersebut.

        Selepas menunaikan solat Subuh, dia menadah tangan untuk memohon keampunan daripada Allah Taala di atas semua dosa dosanya. Dia benar benar rasa menyesal atas apa yang dia pernah lakukan dahulu. Sambil berdoa, air matanya merembes keluar. Jujur dia katakan, selepas mendengar nasihat daripada Haiqal kelmarin, dia betul betul bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Dia betul betul bersyukur kerana Allah masih menyayangi dirinya sebagai hambaNya yang hina dina. Dia tahu Allah sedang mengujinya dengan perasaan songsang itu. Dia memohon kepada Allah supaya memeliharanya daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.

Sabtu, 7 November 2015

FENOMENA DOKTOR KACAK DAN ISTERI GERSANG

Sumber : Google

Dr. Shazril Shaharuddin memanglah tidak popular seperti mana Remy Ishak atau Fahrin Ahmad namun ketampanan dan kesasaan tubuhnya memang tidak terkalah dengan dua orang pelakon kacak itu. Dia pernah beberapa kali muncul dalam iklan televisyen dan majalah majalah tempatan sebagai ikon pertandingan badan cantik yang sudah menjadi satu trend kegemaran lelaki masa kini. Sebagai seorang doktor, jarang sekali golongan professional sepertinya mahu menceburi bidang sebegitu (jika saya tidak silap).

Saya mengetahui nama Dr. Shazril melalui majalah majalah yang saya baca. Namanya seangkatan dengan nama ikon badan cantik yang lain antaranya Faez Nick, Dino Azizi dan ramai lagi. Anda boleh tahu mengenai mereka jika anda mempunyai akaun Instagram atau membaca majalah Maskulin, Mangga dan Lelaki selain ‘bertanya sendiri’ dengan Dr. Google.

Nama Dr. Shazril yang selama ini hanya ‘suam suam kuku’ sahaja tiba tiba panas apabila diundang menjadi tetamu jemputan dalam satu rancangan sebuah stesen radio popular iaitu Hot FM. Orang tidak pertikaikan kehadirannya sebagai tetamu di stesen radio itu tetapi orang pertikaikan panggilan yang dibuat oleh sekumpulan pendengar wanita kepadanya melalui stesen radio tersebut. Masyarakat menjadi bingung mengapa pendengar wanita terutama dari golongan ibu sanggup bertindak ‘liar’ sebegitu? 

Jumaat, 6 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 3

Sumber : Google

         Iqwan memakirkan keretanya di bawah kolej kediaman tempat Haiqal tinggal. Sebenarnya memang salah untuk orang luar masuk ke dalam kolej kediaman itu tetapi oleh kerana kawalan keselamatan di universiti itu tidak berapa ketat sebelum pukul sebelas malam, maka dia boleh masuk ke kolej kediaman itu tanpa apa apa pemeriksaan. Sebelum pukul sebelas dia harus segera pergi dari kolej kediaman itu jika tidak mahu menimbulkan apa apa masalah dengan sekuriti yang bertugas di pintu pagar utama universiti.

       Haiqal melihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pada pukul 8.45 malam. Masih banyak masa lagi untuk dia bertemu dan berbual bual dengan Haiqal mengenai masalah yang dihadapinya bersama Aidil. Sebelum dia datang ke sini, dia sudah pun memberitahu kepada Haiqal melalui whatsapp. Haiqal menyuruhnya segera datang dan memberinya nombor bilik. Setelah memastikan keretanya berkunci dengan rapi, dia lantas menuju ke lif untuk ke tingkat lapan. Bilik Haiqal berada di tingkat lapan.

     Kolej kediaman yang Haiqal tinggal itu mempunyai enam belas tingkat. Menurut Haiqal, kolej kediaman itu dikongsi oleh pelajar pelajar dari Fakulti Pengajian Bahasa, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Bagi menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai, pihak universiti perlu membina kolej kediaman yang besar, banyak, dan tinggi. Kolej kediaman itu bukan hanya diduduki oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda sahaja, pelajar Diploma dan pelajar Ijazah Sarjana turut tinggal di kolej kediaman tersebut.

         Setelah sampai di tingkat lapan, Iqwan segera mencari bilik nombor tujuh kerana Haiqal tinggal di dalam bilik itu. Beberapa minit sahaja Iqwan sudah menjumpai bilik tersebut. Dia lantas mengetuk pintu sambil memberi salam.

       “Assalamualaikum...” Ucap Iqwan sambil tangannya mengetuk pintu beberapa kali.