Ahad, 25 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 2


Sumber : Google

          Sudah seminggu Aidil tidak menghubungi Iqwan apatah lagi menemuinya. Lelaki itu seolah olah cuba menjauhkan diri daripada Iqwan. Iqwan acapkali menghantar whatsapp kepada lelaki itu namun langsung tidak dibalas. Hanya bluetick sahaja yang kelihatan namun balasan tetap tiada. Memikirkan sikap Aidil itu, Iqwan menjadi runsing. Iqwan tertanya tanya, apakah yang menyebabkan Aidil menjadi seperti itu? Adakah dia telah melakukan kesalahan kepada Aidil? Masakan Aidil terlalu sibuk sehingga langsung tidak mahu membalas whatsapp darinya. Jika Aidil membalas dengan menggunakan perkataan ‘okey’ sekalipun, dia sudah cukup berpuas hati.

       Tetapi, Aidil langsung tidak memberi apa apa balasan atau jawapan. Apabila dihubungi lelaki itu, langsung tidak diangkat. Dia tidak mahu selalu sangat menghubungi Aidil kerana Aidil pernah menegahnya melakukan seperti itu. Menurut Aidil, dia tidak mahu isterinya curiga jika Iqwan selalu sangat menghubunginya. Aidil mahu mereka berdua berkomunikasi melalui whatsapp sahaja.

      Kehilangan Aidil selama seminggu itu benar benar telah meresahkan jiwa Iqwan. Dia rindukan Aidil. Dia rindukan pelukan Aidil. Dia rindukan kuncupan Aidil. Sudah agak lama juga nafsunya tidak dipuaskan oleh Aidil kerana Aidil mahu memenuhi nafkah batin isterinya terlebih dahulu. Permintaan Aidil itu meresahkan jiwa dan batin Iqwan. Oleh itu, hati Iqwan sejak akhir akhir ini sering berasa tidak sedap. Dia sangat khuatir yang Aidil akan meninggalkan dirinya. Dia dapat merasakan yang Aidil semakin menjauhi dirinya. Iqwan dapat merasakan yang Aidil semakin rapat dengan isterinya berbanding diri Iqwan sendiri.    

Khamis, 22 Oktober 2015

UMNO MESTI PERTAHAN SAIFUDDIN ABDULLAH

Sumber : Google

Pelbagai reaksi diterima dari masyarakat tentang kemasukkan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada yang menyokong tidak kurang juga yang menentang. Namun, beberapa pendapat yang dikeluarkan oleh sekumpulan orang UMNO, kemasukkan Saifuddin ke dalam PKR itu bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Menurut mereka, banyak pegangan Saifuddin sama dengan pegangan pemimpin pemimpin pembangkang. Jadi, jika Saifuddin masuk pembangkang pun, itu memang sudah lumrah kerana apa yang Saifuddin cuba perjuangkan, sama seperti pembangkang perjuangkan.

Sekumpulan orang UMNO menganggap Saifuddin agak lunak dengan pembangkang. Aspirasi Saifuddin sama seperti aspirasi pembangkang. Jadi, sekumpulan orang UMNO itu merasakan lebih baik Saifuddin masuk pembangkang kerana tindak tanduk Saifuddin itu bertentangan dengan tindak tanduk yang UMNO suka. Tindak tanduk Saifuddin lebih mirip kepada tindak tanduk pembangkang.

Dalam soal universiti, AUKU, belia, orang muda, mahasiswa, kebebasan,  dan banyak lagi, fahaman yang Saifuddin pegang sama macam fahaman yang pemimpin pembangkang pegang. Oleh sebab itulah, ramai orang UMNO benci kepada Saifuddin. Saifuddin dianggap sebagai jurucakap pembangkang di dalam UMNO. Saifuddin dianggap sebagai ‘Rafizi Ramli’ dalam kelompok UMNO.

Ahad, 18 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 1

Sumber : Google

         Hujan turun dengan lebatnya pada pagi itu. Hari itu adalah hari Sabtu. Sepatutnya hari cuti begini dia akan bersiar siar di bandar. Namun, oleh kerana hujan lebat yang seakan akan tidak mahu berhenti itu, niatnya terbantut seketika. Dia sekadar berbaring di sofa sahaja sambil berselimut kerana kesejukkan. Kesejukkan yang hadir disebabkan kehujanan. Rumahnya sengaja dibiarkan gelap. Lampu dan kipas sengaja tidak dipasang. Tingkap dan langsir pun sengaja tidak dibuka. Suasanan gelap yang sesekali diterangi cahaya suram yang datang dari tingkap itu telah memberi ketenangan kepada dirinya. Dia suka dan selesa dengan keadaan itu.

       Dia teringat sewaktu dia kecil dahulu, apabila hujan lebat tiba dan televisyen pun tidak boleh dibuka, dia dan ibunya akan berbaring di ruang tamu rumah mereka sambil berselimut. Entah kenapa, walaupun sudah dewasa kini, dia tidak dapat meninggalkan tabiat itu. Apabila hujan sahaja, dia pasti akan berbaring sambil berselimut dan kalau nasibnya baik, matanya akan mengantuk lalu tidurlah dia di dalam selimut yang dapat membentengi dirinya dari kesejukkan yang melanda.

       Iqwan, seorang lelaki kacak tetapi jambu terus berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya pada pagi Sabtu yang disirami hujan lebat itu. Dia mencapai telefon pintarnya yang terletak di atas meja kopi. Dia cuba melihat kalau kalau ada whatsapp atau panggilan daripada Aidil namun hampa. Satu whatsapp pun tidak dihantar oleh lelaki itu kepadanya. Dia sangat merindui lelaki itu sebenarnya. Sudah dua hari Aidil tidak menghubunginya. Mungkin Aidil sibuk dengan isteri yang baru dikahwininya.

Sabtu, 10 Oktober 2015

CINTA DAN DARIHAL KEHIDUPAN

Sumber : Google


Wajah itu datang lagi,
Dan cinta pun hadir bersemi,
Tiap kali wajah itu muncul kembali,
Tiap kali juga cinta itu tumbuh sekali.

Apabila cinta itu menjadi obsesi,
Cinta itu tidak bisa dimiliki,
Wajah itu sekadar boleh diperhati,
Dan hanya memandang tubuh yang seksi,
Lalu terkuburlah cinta itu di dalam hati.

Cinta itu memang tidak terperi,
Tetapi ia dilaknat oleh Nabi,
Juga dicemuh oleh sekalian manusiawi,
Itulah darihal kehidupan yang diiktiraf ukhrawi.

Bersyukurlah sendiri,
Kerana cinta yang hadir ini,
Tidak mampu menyesatkan diri,
Ia adalah satu perjuangan suci,
Juga satu ujian buat sanubari,
Yang terpilih dan dipilih oleh Ilahi,
Di atas muka bumi,
Yang disimbah oleh cahaya mentari,
Hampir setiap hari.



Isnin, 5 Oktober 2015

MAHASISWA : ANTARA PELAJARAN DAN PERJUANGAN

Sumber : Google

Gerakan perjuangan mahasiswa yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun 70an dahulu telah berkembang pesat sehingga ke hari ini walaupun pada pandangan sesetengah pihak, perjuangan mahasiswa pernah melalui zaman kelesuannya setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikuatkuasakan. Namun, setelah melalui zaman reformasi 1998, perjuangan mahasiswa mula bangkit kembali sehinggalah ke hari ini.

Di seluruh dunia termasuklah Malaysia, mahasiswa pasti akan berjuang menuntut itu dan ini untuk memastikan apa yang jelik di mata mereka boleh diperbaiki. Kejelikkan itu pun sebenarnya boleh dibuat tafsiran yang pelbagai. Kejelikkan yang bagaimana yang mahu diperjuangkan untuk diperbaiki oleh mahasiswa itu? Kejelikkan yang sememangnya bersifat kejelikkan atau kejelikkan yang diwar-warkan oleh orang politik yang hanya mengikut logik akal semata mata. Walau apa pun tafsiran kejelikkan yang hendak diperjuangkan oleh mahasiswa supaya boleh diperbaiki, mahasiswa itu dianggap sebagai golongan anak muda yang mempunyai intelektual yang tinggi, berani, dan mempunyai nilai sedar yang hebat.

 Cabaran dalam perjuangan memang tidak dapat dipisahkan. Oleh sebab mahasiswa itu dianggap sebagai pejuang, sudah pasti mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran supaya perjuangan mereka itu boleh disedari dan diterjemahkan di dalam bentuk tindakan. Cabaran utama mahasiswa dalam perjuangan bagi saya adalah pelajaran. Sebagai mahasiswa yang berjuang untuk mengubah kejelikkan yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat dan negara, mereka perlu pandai membahagikan masa antara perjuangan dan pelajaran. Jika mereka gagal menguruskan masa dengan baik, mereka pasti akan tercicir dalam pelajaran kerana mengejar perjuangan tadi. Apabila sudah tercicir dalam pelajaran mereka di universiti, mereka tidak boleh dipanggil sebagai mahasiswa sebaliknya pelajar universiti tercicir!