Jumaat, 13 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN AKHIR

Sumber : Google


          Pagi Ahad itu Iqwan bangun pada pukul enam pagi. Kebiasaanya, bila tiba hari Ahad, pukul sepuluh atau pukul sebelas pagi baru dia bangun daripada tidur kerana hari Ahad adalah hari cuti. Entah mengapa dia boleh tersedar awal pula pada hari itu seperti mana yang sering dia lakukan pada hari hari dia bekerja.

      Dia meraup mukanya dengan kedua dua tapak tangan. Pandangannya melayang pada tingkap rumah yang langsirnya tidak ditutup. Keadaan di luar masih gelap lagi.

       Sejujurnya dia masih tidak tahu apa yang harus dia lakukan saat itu. Tiba tiba dia teringat akan pesanan Haiqal dua hari lepas. Pesanan Haiqal yang mengingatkannya mengenai ketuhanan dan keagamaan. Pesanan Haiqal yang menyentuh tentang Allah, Islam, naluri, perasaan, takdir, iman dan akidah. Hatinya agak terkesan dengan pesanan itu. Pesanan dari seorang yang mempunyai persamaan dengan dirinya dari segi perasaan.

       Iqwan lantas bangkit dari katil dan segera mencapai tuala yang tersidai elok di penjuru biliknya. Kemudian dia bergegas masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Seusai mandi, dia segera berwuduk lalu menunaikan solat Subuh. Jarang sekali dia menunaikan kewajipan itu. Seingatnya, kali terakhir dia menunaikan solat Subuh adalah pada tahun lepas kerana kolej kediamannya ada membuat program qiamulail sebagai satu program tahunan kolej kediaman tersebut.

        Selepas menunaikan solat Subuh, dia menadah tangan untuk memohon keampunan daripada Allah Taala di atas semua dosa dosanya. Dia benar benar rasa menyesal atas apa yang dia pernah lakukan dahulu. Sambil berdoa, air matanya merembes keluar. Jujur dia katakan, selepas mendengar nasihat daripada Haiqal kelmarin, dia betul betul bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Dia betul betul bersyukur kerana Allah masih menyayangi dirinya sebagai hambaNya yang hina dina. Dia tahu Allah sedang mengujinya dengan perasaan songsang itu. Dia memohon kepada Allah supaya memeliharanya daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.


       Habis berdoa, dia melipat sejadah dan menyidainya di tempat penyidai. Kemudian dia menuju ke dapur untuk membuat sarapan. Dia mengambil beberapa keping roti untuk disapu dengan sekaya. Tiba tiba fikirannya menerawang mengingatkan detik detik manis ketika dia dan Aidil masih bersama dahulu. Sebelum Aidil berkahwin, Aidil tinggal bersama sama dengannya di rumah itu. Mereka melakukan semua perkara secara bersama seperti pasangan suami isteri yang bahagia antaranya membuat sarapan pagi bersama. Dia merindui saat saat itu. Memorinya memang tidak boleh melupakan detik detik indah tersebut. Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan. Aidil sudah pun berubah dan berbahagia dengan pilihan hatinya.

       Apabila teringat tentang Aidil, tiba tiba perasaan bersalah menerpa dalam sanubarinya. Dia rasa bersalah kerana bersikap kasar dengan Aidil tempoh hari. Ya, dia memang tidak berupaya untuk mengawal emosinya pada waktu itu. Dia benar benar rasa bersalah pada Aidil. Dia ingin memohon maaf kepada Aidil dan....ya, dia bersedia untuk melepaskan Aidil untuk berbahagia dengan isteri yang dikahwini oleh lelaki itu buat selama-lamanya.

          Dia menjeling jam yang tergantung di dinding. Jam sudah menunjukkan pada pukul lapan pagi. Dia segera mencapai kunci kereta dan bergegas turun untuk menuju ke keretanya. Setelah menghidupkan enjin, dia menekan pedal minyak dan segera membelah jalan raya untuk ke rumah Aidil. Dia tahu di mana rumah Aidil kerana Aidil pernah memberitahunya dahulu.

       Setelah menempuh perjalanan selama 45 minit, akhirnya dia sampai di rumah teres milik Aidil. Setelah mematikan enjin kereta, dia menuju ke pintu pagar rumah. Dia melihat kereta Aidil tidak ada di situ namun pintu masuk ke rumah tersebut terbuka menandakan ada orang di dalam rumah. Dia segera menekan loceng sambil memberi salam. Setelah beberapa kali menekan loceng rumah tersebut, muncul seorang perempuan mengandung di muka pintu rumah. Perempuan itu memandang ke arahnya dengan seribu kerutan di dahi. Kemudian Iqwan melihat perempuan itu menyarung seliparnya dan menuju ke pintu pagar rumah.

        “Awak cari Aidil ke? Aidil tak ada...dia keluar kejap beli sarapan.” Kata perempuan itu seolah olah tahu niatnya untuk berjumpa Aidil.

     “Oh ye ke...lama ke dia dah keluar?” Soal Iqwan.

    “Lama juga la. Kejap lagi dia balik la tu. Masuklah dulu.” Kata perempuan itu sambil membuka pintu pagar rumah. Dia mempelawa Iqwan masuk. Iqwan memerhatikan perempuan itu sejak tadi. Mungkin inilah isteri Aidil. Memang tidak dinafikan, perempuan itu memang cantik.

      “Saya Maisarah, panggil Mai je. Saya isteri Aidil.” Kata perempuan itu. Tepat sekali jangkaan Iqwan. Perempuan cantik di depannya itu memang isteri Aidil.     

       “Awak duduk kat luar dulu ye. Saya pergi bancuh air kejap. Nak ajak masuk dalam tak manis pula rasanya.” Ujar Maisarah.

        “Oh takpe...saya okey je.” Iqwan menghadiahkan senyuman buat Maisarah. Kemudian Maisarah masuk ke dalam rumah untuk membancuh kopi. Iqwan pula duduk di atas sebuah kerusi kecil yang terletak di luar rumah. Kerusi yang dibuat dari rotan itu ada dua sebenarnya. Iqwan duduk di salah satu kerusi yang ada di situ. Di tengah tengah dua kerusi itu, terdapat sebuah meja juga dibuat daripada rotan namun di atas meja itu diletakkan satu kaca tebal. Mungkin meja itu adalah meja kopi untuk tuan rumah bersantai pada waktu petang untuk minum kopi.

       Beberapa minit kemudian, Maisarah muncul sambil menatang sebuah dulang yang di atasnya terdapat satu teko dan dua biji cawan. Maisarah meletakkan dulang tersebut ke atas meja yang dibuat daripada rotan tadi.  

       “Minumlah, air kopi je. Saya dah whatsapp Aidil tadi, suruh dia beli sarapan lebih. Saya cakap ada kawan dia datang. Nanti boleh la kita sarapan bersama.” Ujar Maisarah lembut. Senyuman sentiasa terukir di bibir perempuan itu.

       “Terima kasih banyak banyak. Awak ni susah susah je.” Iqwan agak segan dengan layanan baik Maisarah terhadapnya.

      “Tak ada susahnya pun. Apa salahnya sekali sekali. Hmm...by the way, awak ni mesti Iqwan kan?” Soal Maisarah. Iqwan agak terkejut kerana Maisarah mengetahui namanya sedangkan dia belum lagi memperkenalkan dirinya kepada perempuan itu.

       “Err...ya...ya...hmm...macam mana awak tahu nama saya ye?” Iqwan bertanya. Pandangannya tajam memandang Maisarah. Dia mula berasa curiga dengan Maisarah.

       “Haha, janganlah terkejut sangat. Sebenarnya Aidil banyak cerita pasal awak kat saya. Gambar awak pun saya dah pernah tengok dalam henfon Aidil. Hubungan awak dengan suami saya tu pun saya dah tahu." Balas Maisarah tenang. Iqwan agak terkejut dengan pengakuan Maisarah itu. ‘Aidil ada cerita pasal hubungan aku dengan dia? Alamak!’ Bisik hati kecil Iqwan. Dia mula berasa tidak sedap hati. Dia yakin pasti perempuan itu tahu tentang segala berkenaan dirinya. Naluri songsangnya pun sudah tentu perempuan itu tahu. Begitu juga hubungan songsangnya dengan Aidil.

       Tiba tiba perasaan malu muncul dalam diri Iqwan. Dia malu untuk berhadapan dengan perempuan yang berada di hadapannya itu. Dia juga turut rasa bersalah dengan perempuan itu. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pergi dari situ. Namun, punggungnya sudah seperti terpasak di atas kerusi itu.

        “Apa yang Aidil dah bagitahu pasal saya pada awak?” Iqwan cuba mengorek rahsia. Dia memandang wajah Maisarah. Riak ketenangan tidak pernah padam dari wajah perempuan itu. Maisarah seperti tidak marah atas apa yang pernah dia dan Aidil lakukan di belakang perempuan itu sebelum ini.

      “Macam macam...” Jawab Maisarah pendek.   

       “Sebenarnya apa tujuan awak datang nak jumpa suami saya ye? Kalau boleh saya tahu...” Sambung Maisarah.

     “Err...sebenarnya...” Pandangan mata Maisarah tajam menikam wajah Aidil.

         “Awak nak rampas dia pada saya ke?” Terus terang Maisarah bertanya.

       “Bukan...err...” Iqram tidak tahu bagaimana untuk memulakan ayat. Rasa malu begitu tebal dalam dirinya saat itu. Begitu juga dengan rasa bersalah.

      “Cakap je la. Saya janji saya tak marah. Lagipun saya dah tahu semuanya.” Maisarah bersuara lembut.

      “Sebenarnya...tujuan saya datang ke mari nak jumpa Aidil ni sebab saya nak minta maaf. Saya rasa bersalah sangat sebab berkasar dengan dia hari tu dan lagi...” Iqram melihat dahulu reaksi Maisarah sebelum menyambung.

      “Dan lagi...” Maisarah menunggu kata kata seterusnya daripada Iqwan.

       “Saya nak lepaskan dia dari hidup saya. Saya janji saya takkan kacau lagi rumahtangga awak.” Iqwan tunduk memandang lantai. Dia berasa malu dan bersalah saat itu.   
    
        “Baguslah kalau macam tu. Awak tahu kan yang Aidil betul betul nak berubah. Dia dah tak nak terjebak dalam benda benda mengarut tu lagi. Lagipun dia dah ada saya dan baby dalam perut ni. Dia dah jumpa kebahagiaan dia yang sebenar.” Lembut sekali suara Maisarah namun ada nada tegas dalam kelembutan itu.

       “Saya tahu tu dan sebab tu la saya datang ke mari.” Iqwan bersuara perlahan.

       “Dan saya minta sangat sangat kat awak...tolong jauhkan diri awak dari Aidil. Semakin kerap awak jumpa dia, saya takut dia akan kembali semula pada awak. Saya tak nak orang kata suami saya gay. Saya tak nak anak dalam perut saya ni tahu yang ayah dia seorang gay!” Memang tajam sekali kata kata Maisarah. Hati Iqwan bagai dicucuk cucuk dengan sembilu. Walaupun pahit, Iqwan terpaksa menelan semuanya.

       “Awak pun sepatutnya berubah. Jangan terjebak lagi dalam dunia gay tu. Sampai bila awak nak hidup macam ni? Awak tak nak ada isteri dan anak anak ke? Awak tak nak ke bila awak tua nanti ada orang akan jaga awak? Awak tak nak ke bila awak mati nanti ada orang yang boleh tolong doakan awak?” Maisarah menyambung.

       “Saya memang nak berubah Cik Maisarah. Sebab tu saya datang ke mari. Saya janji saya takkan kacau Aidil lagi. Tak payah la awak risau. Terima kasih atas kopi ni. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ucap Iqwan dan dia segera bangkit. Dia tidak sanggup berlama lama di rumah itu. Hatinya sakit dan pedih. Kecewanya kerana ditinggal Aidil masih terasa di kalbu.

      “Tunggu dulu Iqwan!” Maisarah menghalang Iqwan daripada pergi. Iqwan tidak jadi untuk melangkah. Dia berpaling semula ke arah Maisarah.

       “Awak kata tadi nak jumpa dengan Aidil. Tunggu la sekejap. Dia dah nak dekat dah. Aidil ada beli sarapan lebih untuk awak. Kita boleh sarapan sama sama.” Maisarah menyambung.

       “Takpelah Cik Maisarah. Saya dah kenyang sebenarnya. Macam yang Cik Maisarah cakap tadi, saya kena jauhkan diri saya dari Aidil. Takut nanti dia terjebak balik dalam kancah gay yang Cik Maisarah pandang hina dan jijik tu. Kirim salam saya pada Aidil. Saya janji saya takkan jumpa dia lagi. Saya doakan semoga rumahtangga Cik Maisarah kekal sejahtera sampai bila bila.” Usai bercakap, Iqwan terus berjalan menuju ke keretanya dan meninggalkan Maisarah yang sedang memerhatikannya. Iqwan masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Kemudian dia memecut laju meninggalkan rumah Aidil. Bukan hanya rumah Aidil, malah Aidil dan kenangannya bersama Aidil turut ditinggalkan di situ.

       Iqwan menangis sepanjang perjalanan itu. Dia benar benar sedih. Cintanya pada Aidil masih mekar lagi. Tetapi, dia perlu belajar untuk melupakan Aidil. Dia sudah berazam untuk tidak menjadi gay lagi. Walaupun perit, dia akan simpan perasaan cinta pada kaum lelaki ini sampai dia mati tanpa menjalinkan hubungan cinta dengan mana mana lelaki lagi. Dia tahu dunia gay ini penuh kesukaran dan penuh dosa. Namun, dia memilih untuk menjadi hamba Allah yang taat seperti Haiqal. Cintanya yang suci itu hanya untuk Allah Taala sahaja.   






2 ulasan:

  1. ehhh....dh bhgian akhir ehh....jap nk smbung baca

    BalasPadam
  2. sedih nyeee cerite niii ... sedih sangat sangat

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.