Jumaat, 6 November 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 3

Sumber : Google

         Iqwan memakirkan keretanya di bawah kolej kediaman tempat Haiqal tinggal. Sebenarnya memang salah untuk orang luar masuk ke dalam kolej kediaman itu tetapi oleh kerana kawalan keselamatan di universiti itu tidak berapa ketat sebelum pukul sebelas malam, maka dia boleh masuk ke kolej kediaman itu tanpa apa apa pemeriksaan. Sebelum pukul sebelas dia harus segera pergi dari kolej kediaman itu jika tidak mahu menimbulkan apa apa masalah dengan sekuriti yang bertugas di pintu pagar utama universiti.

       Haiqal melihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pada pukul 8.45 malam. Masih banyak masa lagi untuk dia bertemu dan berbual bual dengan Haiqal mengenai masalah yang dihadapinya bersama Aidil. Sebelum dia datang ke sini, dia sudah pun memberitahu kepada Haiqal melalui whatsapp. Haiqal menyuruhnya segera datang dan memberinya nombor bilik. Setelah memastikan keretanya berkunci dengan rapi, dia lantas menuju ke lif untuk ke tingkat lapan. Bilik Haiqal berada di tingkat lapan.

     Kolej kediaman yang Haiqal tinggal itu mempunyai enam belas tingkat. Menurut Haiqal, kolej kediaman itu dikongsi oleh pelajar pelajar dari Fakulti Pengajian Bahasa, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Bagi menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai, pihak universiti perlu membina kolej kediaman yang besar, banyak, dan tinggi. Kolej kediaman itu bukan hanya diduduki oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda sahaja, pelajar Diploma dan pelajar Ijazah Sarjana turut tinggal di kolej kediaman tersebut.

         Setelah sampai di tingkat lapan, Iqwan segera mencari bilik nombor tujuh kerana Haiqal tinggal di dalam bilik itu. Beberapa minit sahaja Iqwan sudah menjumpai bilik tersebut. Dia lantas mengetuk pintu sambil memberi salam.

       “Assalamualaikum...” Ucap Iqwan sambil tangannya mengetuk pintu beberapa kali.


      “Waalaikumussalam.” Jawab seseorang dari dalam bilik sambil pintu dibuka. Dia melihat seorang lelaki muda yang kacak sedang berdiri di muka pintu itu.

      “Err...Haiqal ada?” Soal Iqwan gugup. Dia memang selalu gugup apabila berhadapan dengan lelaki kacak. Hatinya mula berdebar debar.

      “Abang Haiqal pergi kedai, dia beli kertas kajang. Masuklah dulu. Jap lagi dia balik la tu.” Jawab budak lelaki itu. Iqwan lantas masuk ke bilik itu setelah dipelawa. 

      “Abang kawan Abang Haiqal kan?” Soal budak lelaki itu yang sedang berdiri di muka pintu.

     “Haah...ye...” Jawab Iqwan pendek.

     “Abang duduk duduk la dulu ye. Saya nak pergi bilik kawan saya jap. Nak buat assignment. Nanti Abang Haiqal balik la tu. Abang tunggu je la dia kat sini.” Ujar budak lelaki kacak tersebut.

     “Okey, boleh je.” Iqwan tersenyum.

     “Okey...” Budak lelaki itu lantas keluar dan menutup pintu. Baru Iqwan perasan ada sebuah buku, bekas alat tulis, dan beberapa helai kertas kajang ada di tangan budak lelaki itu. Dia yakin budak itu pasti mahu menyiapkan assignment dengan kawan kawannya.

     Iqwan memerhatikan bilik Haiqal. Dia duduk di salah sebuah katil yang terdapat di bilik itu. Di bilik itu ada dua buah katil sahaja. Mungkin bilik tersebut diduduki oleh dua orang. Iqwan tidak tahu dia duduk di katil siapa sekarang. Katil Haiqal atau katil teman sebilik Haiqal.

     Dia bangun dari katil tersebut dan menuju ke meja belajar yang terdapat di bilik itu. Ada dua buah meja belajar yang besar dan bercantum sesama sendiri. Meja tersebut berhadapan dengan tingkap. Dia memerhatikan kedua dua meja belajar itu untuk mencari tahu mana satu meja milik Haiqal. Tiba tiba dia terpandang sebuah beg sandang terletak elok di atas sebuah kerusi plastik berwarna biru. Itulah beg yang selalu di bawa oleh Haiqal walau ke mana sahaja lelaki itu pergi. Dia yakin itulah meja Haiqal kerana beg Haiqal berhampiran dengan meja itu. Matanya tertancap di atas meja Haiqal. Walaupun ada banyak buku, namun ia tersusun dengan rapi dan kemas. Begitu juga dengan keadaan dalam bilik itu.

       Salah satu sebab mengapa dia selesa berkawan dengan Haiqal adalah kerana lelaki itu seorang yang kemas. Haiqal tidak suka biliknya kotor dan berselerak. Sikap Haiqap itu sama dengan sikapnya. Berbeza dengan Aidil, lelaki itu agak berselerak orangnya. Dia suka meletakkan barangnya merata rata. Di atas meja belajar lelaki itu dahulu berselerak dengan buku dan barangan peribadi. Sebagai seorang ‘isteri’ kepada Aidil sewaktu di universiti dahulu, dialah yang sering mengemas barang barang Aidil yang berselerak itu.         

      Tiba tiba dia terdengar pintu terbuka dari luar. Dia memalingkan wajahnya ke muka pintu untuk melihat siapa yang masuk, sama ada Haiqal ataupun teman sebilik Haiqal tadi. Dia melihat Haiqal masuk ke dalam bilik itu sambil menjinjing beg plastik berwarna merah. Di dalam beg plastik itu terdapat kertas kajang yang dibungkus dengan plastik jernih dan disusun secara menegak. Tahulah dia yang Haiqal baru pulang dari kedai seperti yang dicakapkan oleh budak lelaki kacak tadi. 

        “Oh...kau rupanya. Ingatkan siapa tadi. Baru sampai ke?” Soal Haiqal sambil menuju ke meja belajarnya dan meletakkan kerja kajang itu di atas meja.

       “Adalah dalam lima belas minit aku sampai. Kau dari kedai ke?” Iqwan sekadar berbasa basi.

     “Haah, beli kertas kajang tadi. Kertas aku dah habis. Banyak sangat assignment dan nota yang aku kena buat.” Haiqal menjawab.

      “Budak lelaki kacak yang buka pintu tadi tu roommate kau ke?” Iqwan yang sedang duduk di kerusi sebelah Haiqal menyoal.

      “Haah, nama dia Sufi. Dia pergi mana? Kenapa tinggal kau sorang sorang kat sini?”

        “Dia pergi bilik kawan dia. Dia cakap nak buat assignment. Hensem juga si Sufi tu. Kau tak cuba raba raba dia ke? Hehehe.”    

    “Kau gila??? Dia budak lagi la... Baru tamat STPM. Lagipun aku tak suka la nak buat jahat dengan budak macam tu. Dia baik je. Solat pun jarang tinggal. Tak nak la aku mendajjalkan dia tak tentu pasal. Aku tak nak rosakkan hidup dia. Lagipun aku ni mana pernah buat benda benda mengarut macam tu.”

       “Tapi dia hensem doe...aku suka dengan anak anak ikan ni. Hehe.” Iqwan tersenyum nakal.

        “Nakalnya la kau ni. Sudahlah tu. Tak payahlah nak bincang pasal dia. Lebih bincang pasal kau dengan Aidil. Apa dah jadi sebenarnya?”

       Mendengar nama Aidil tiba tiba hati Iqwan menjadi pilu. Perasaan sedih secara tiba tiba sahaja menerpa dalam hatinya. Tanpa dapat ditahan tahan lagi, dia lantas menangis di hadapan Haiqal. Dia membuang perasaan malu yang singgah di sanubarinya. Haiqal yang melihat tergamam dengan kelakuan Iqwan yang secara tiba tiba itu. Selama dia mengenali Iqwan, belum pernah lagi dia melihat Iqwan menitiskan air mata.

      “Aku tak sangka yang Aidil sanggup buat aku macam ni...” Teresak esak Iqwan menangis pada waktu itu. Haiqal sekadar melepaskan keluhan. Dia tahu Iqwan sangat sedih sekarang. Sebelum Iqwan sampai ke sini, dia ada menceritakan apa yang telah berlaku antaranya dengan Aidil di dalam whatsapp tadi. Sebab itulah Haiqal mengajak dia datang ke mari untuk mengelakkan Iqwan dari melakukan perkara yang bukan bukan seperti bunuh diri misalnya.

        “Sabarlah Iqwan...kan aku dah cakap dengan kau sebelum sebelum ni, jangan simpan harapan yang Aidil akan bersama dengan kau sampai mati. Kau kena ingat, takde istilah kesetiaan dalam hidup seorang gay sebab gay tu sendiri tak pernah puas. Bila dia dah cuba buat hubungan seks sekali, dia pasti nak melakukan perkara tu berkali kali. Kalau tak dengan pasangan dia, dia buat dengan orang lain. Bila dia jumpa dengan gay kacak yang lain, dia akan pergi pula kat gay tu. Sebab tu gay ni susah nak berubah jadi lelaki normal. Tapi kes Aidil ni lain pula. Dia nak berubah jadi lelaki straight.” Ujar Haiqal dengan panjang lebar.

       “Tu yang aku tak faham tu. Kenapa tiba tiba dia nak berubah? Apa yang mengubah dia?” Iqwan mengesat air matanya yang tumpah tadi. Dia sudah berhenti menangis.

      “Entahlah...mungkin Allah dah buka hati dia untuk berubah bila dia dah kahwin ni. Kau kena ingat, hati manusia ni Allah yang pegang. Allah boleh berbolak balikkan hati kita kalau Dia nak buat macam tu.” Jawab Haiqal.

      “Habis tu kenapa Allah tak berbolak balikkan hati orang macam aku dengan kau supaya boleh jatuh cinta dengan perempuan? Kenapa Allah biarkan kita ada perasaan cinta kat lelaki ni padahal pada masa yang sama Allah melaknat orang macam kita?” Haiqal terdiam mendengar soalan daripada Iqwan itu. Dia cuba mencari jawapan bagaimana untuk menjawab soalan Iqwan tadi.

      “Demi Allah Haiqal, aku tak pernah suka dan tak pernah minta perasaan cinta kat lelaki ni ada dalam hati aku. Perasaan ni tumbuh secara tiba tiba. Sejak kecil lagi aku dah jatuh cinta kat lelaki. Mula mula memang aku tak faham kenapa aku boleh suka bila aku nampak lelaki kacak, tapi bila aku dah besar baru aku tahu yang sebenarnya aku ni gay! Aku tak pernah minta jadi macam ni Haiqal...tak pernah!” Iqwan meluahkan rasa hatinya.

      Haiqal mengeluh sekali lagi. Matanya memandang ke luar tingkap, menyaksikan langit malam yang hitam tetapi tenang. Nasibnya sama dengan nasib Iqwan. ‘Dikurniakan’ dengan perasaan suka dan cinta pada lelaki tanpa dia sedari dan tanpa dia pinta walaupun sekali. Perasaan songsang ini hadir secara tiba tiba sahaja. Dia mula sedar kewujudan perasaan ‘jahat’ ini sewaktu di sekolah tadika. Dia sangat suka melihat artis artis lelaki kacak di dalam televisyen. Kemudian dia mula suka dengan semua lelaki kacak atau lelaki yang tidak berbaju apabila dia melihat mereka. Lama kelamaan, hasil daripada pergaulan dan pemerhatian,  baru dia tahu dia sebenarnya seorang homoseksual atau gay.

       “Kau juga seorang gay Haiqal. Mesti kau faham keadaan aku kan? Siapa nak perasaan bodoh ni? Aku tak nak! Aku tak sanggup kalau orang luar, kawan kawan, dan ahli keluarga aku tahu yang aku ni gay. Diaorang hanya pandai kutuk, diaorang hanya tahu pandang jijik pada orang macam kita ni, diaorang kata golongan macam kita ni golongan yang dilaknat Tuhan, tapi pernah tak diaorang fikir yang kita tak pernah minta dilahirkan macam ni? Pernah tak diaorang fikir sekiranya diaorang ada perasaan macam ni dalam diri diaorang tanpa diaorang kehendaki?” Iqwan terus terusan meluahkan rasa hatinya.

        “Aku betul betul tak faham dengan Allah. Dia cipta kita tapi pada masa yang sama dia laknat orang macam kita. Aku bukan kata Allah tu kejam tapi kenapa Allah buat kita macam ni? Dosa apa yang kita buat sampai Allah sanggup seksa kita dengan perasaan ni? Kenapa Allah tak cabut sahaja perasaan ni dalam hati kita? Kenapa???” Ujar Iqwan.

        “Bawa mengucap Iqwan...bawa istighfar banyak banyak. Tak baik buruk sangka dengan Allah. Berdosa besar kita. Sesungguhnya Allah tahu apa yang kau tak tahu. Allah Maha Mengetahui.” Haiqal sangat terkejut dengan kata kata yang keluar dari mulut Haiqal sebentar tadi. Dia berzikir di dalam hati agar Allah tetapkan hatinya supaya kekal di dalam genggaman Allah s.w.t.    

       “Aku malu Haiqal...sangat malu...ramai orang tanya aku bila aku nak kahwin? Macam mana aku nak kahwin kalau aku tak ada rasa cinta pada perempuan? Lagipun aku tak nak seksa diri perempuan tu bila kahwin dengan gay laknatullah macam aku. Aku tak sanggup Haiqal.” Haiqal memandang Iqwan di depannya. Dia terus memasang telinga untuk mendengar luahan hati dan perasaan Iqwan.

      “Kau bayangkan Haiqal, aku pernah jatuh cinta dengan kawan baik aku sendiri masa aku sekolah menengah dahulu. Sebab aku tak nak perasaan cinta tu jadi bertambah tambah, aku jauhkan diri aku dari dia. Pendekatan yang aku ambil tu menyebabkan dia mula salah faham dan hubungan kami mula renggang. Dia selalu cakap aku ni kawan yang paling baik yang pernah dia ada. Tapi bila dia tahu je yang aku ni gay, dia terus benci aku sampai sekarang.” Secara tiba tiba Iqwan menangis lagi. Berjuraian air matanya jatuh ke pipi.   

       “Kau tahu tak Haiqal kenapa ramai PLU PLU kat Planet Romeo tu tukar agama dari agama Islam ke agama lain? Kau tahu tak kenapa PLU PLU tu ramai jadi atheis? Sebab orang Islam benci dengan kita semua! Orang Islam jijik dengan golongan macam kita. Orang Islam anggap kita ni macam daging babi! Jijik dan kotor padahal kita tak pernah minta dilahirkan macam ni. Ramai PLU terseksa hidup dalam agama Islam maka diaorang tukar agama lain dengan harapan agama lain boleh terima diaorang. Tetapi tak juga! Akhirnya diaorang jadi atheis...tak percaya pada Tuhan dan tak menganut apa apa agama.” Luah Iqwan lagi namun dia sudah pun berhenti menangis.

      “Aku tak boleh tipu diri aku Haiqal. Aku pernah dan cuba untuk mencintai perempuan. Bukan calang calang perempuan tapi perempuan yang cun melecun habis. Tapi...aku tak boleh tipu diri aku. Aku tetap suka kat lelaki. Aku tak boleh suka kat perempuan.”

      “Aku manusia biasa Haiqal. Manusia yang ingin mencintai dan dicintai. Tetapi cinta yang ada dalam hati aku ni berada di tempat yang salah. Aku sepatutnya cintakan perempuan tapi aku cintakan lelaki. Adakah salah aku Haiqal sebab ada perasaan ni? Perasaan yang aku tak pernah minta. Aku tak tahulah macam mana aku nak hadapi benda ni dengan keadaan aku masih lagi seorang Muslim.”

       “Aku nak tanya dengan kau Haiqal, kenapa kau masih percaya dengan Islam padahal kau tahu Nabi Muhammad benci pada gay? Dia benci pada orang orang macam kau! Dia benci orang macam aku!” Soalan Iqwan itu membuatkan Haiqal tersentak. Dia terkejut mendengar soalan Iqwan itu. Iqwan bertanya seperti orang yang tidak punya iman.

       “Cuba kau tunjukkan kat aku Haiqal, mana ayat Al Quran atau Hadis yang menyokong golongan gay macam kita ni? Tapi pada masa yang sama Allah cipta kita. Aku pernah dengar seorang ustaz cakap, hukuman untuk orang macam kita ni adalah MATI!” Iqwan sengaja menekan perkataan ‘mati’ itu untuk melihat reaksi Haiqal yang hanya diam dan mendengar sahaja sedari tadi. Haiqal menarik nafas dalam dalam untuk mencari kekuatan untuk berhadapan dengan Iqwan.   

      “Kau dah habis tanya dah? Kau dah habis luahkan perasaan kau dah?” Soal Haiqal sambil mengangkat keningnya. Dia melihat Iqwan sekadar mengangguk sambil mengesat sisa sisa air matanya yang tumpah tadi.

        “Jujur aku cakap yang soalan soalan kau tu memang susah...memang mencabar daya pemikiran aku. Tapi aku nak cakap satu je la. Nikmat terbesar yang Allah bagi pada kita adalah Islam. Jahat mana pun orang Islam tu, kalau dia mati dalam keadaan dia Islam, Insha Allah...ada syurga untuk dia. Kau kena bersyukur sebab kau dilahirkan dalam Islam. Kau beruntung sangat sangat. Cuba kau bayangkan kau lahir dalam keluarga orang kafir, apa pandangan kau? Sejak lahir lagi kau dah Islam, kau tak payah macam orang kafir tercari cari cara untuk kekal selamat di akhirat sana sebab Islam tu pun dah boleh tolong kau. Untung kan jadi orang Islam?” Haiqal menerangkan.

      “Kat akhirat nanti kau ada Nabi Muhammad dan Allah yang akan tolong kau bila kau susah. Kau kena ingat, rahmat Allah tu lagi besar dari kemurkaan Allah. Nabi Muhammad sangat sayang pada umatnya. Sebelum Baginda wafat pun, dia masih sayang umat dia. Dia juga pernah doa kat Allah supaya jaga umat dia bila dia wafat nanti. Nabi Muhammad adalah satu satunya Nabi yang boleh bagi syafaat kat umat dia di akhirat nanti. Umat Nabi lain mana dapat keistimewaan macam tu. Kau banyak dosa masa timbang kat Mizan nanti, Nabi Muhammad pasti tolong kalau kau selalu selawat kat dia. Allah pun akan tolong juga dengan RahmatNya. Bestkan jadi orang Islam?”   

       “Kau hanya nampak keburukan Allah bila dia bagi kau perasaan yang kau benci tu tapi pernah tak kau fikir, berapa banyak nikmat yang Allah bagi kat kau? Kalau nak dihitung segala kebaikkan Allah pada kau, kau pun tak mampu nak kira. Kau boleh melihat, boleh mendengar, boleh bercakap, ada dua kaki, dua tangan...itulah kebaikkan yang Allah bagi kat kau. Kau pernah terfikir tak macam mana susahnya orang buta, orang pekak, orang bisu dan orang OKU tu? Itu ujian Allah pada mereka. Allah hanya uji kau dengan perasaan yang kau benci tu, tapi Allah uji orang lain dengan ujian yang lagi teruk dari tu, aku tengok diaorang okey je, kenapa kau nak merungut sampai nak mempertikai itu dan ini?” Iqwan diam cuma. Dia hanya memasang telinga mendengar kata kata Haiqal.  

      “Kau dapat masuk universiti terbaik dan berprestij, kau dapat kerja yang kau minat dan bagus, itu juga kebaikkan Allah pada kau. Cuba kau tengok orang yang tak mampu nak masuk universiti. Cuba kau tengok orang yang kerja jadi buruh kasar kat tempat tempat pembinaan? Diaorang tu pun Allah uji. Tapi diaorang rileks je dengan hidup diaorang. Takde diaorang mempertikai Allah segala bagai. Indon indon yang jadi buruh kasar kat Malaysia jadi kaya raya kat negara diaorang. Nampak tak setiap ujian Allah tu ada hikmahnya. Jangan sesekali buruk sangka dengan Allah.”

     “Aku yakin Allah tak benci hambaNya. Dia uji kau dengan perasaan tu sebab dia tak nak uji kau dengan ujian yang lebih teruk dari tu. Dia sengaja bagi kau perasaan suka kat lelaki tu dan dilahirkan dalam agama Islam. Dia nak tengok kau tahan tak ujian Dia? Dia nak tengok kau bersyukur tak dengan nikmat yang Dia bagi? Allah sebenarnya nak kau terus bergantung harap pada dia supaya kau terhindar daripada benda benda maksiat tu walaupun perasaan yang kau benci tu ada dalam diri kau. Kau kena lawan dengan iman segala maksiat tu. Bukan pertikai Allah macam macam.” 

      “Perasaan yang ada dalam diri kau dan diri aku ni memang kita tak boleh nak ubah sebab ni ujian Allah pada kita. Kita hanya kena terus bergantung pada Allah supaya Allah pelihara kita dari maksiat dan kesedapan duniawi. Ingatlah, siapa yang tahan dengan ujian Allah dengan penuh keimanan, ada balasan syurga untuk mereka. Nabi Muhammad pun Allah uji, kenapa kita Allah tak uji pula?”

       “Aku sokong apa yang Aidil buat tu. Dia nak berubah walaupun aku pelik macam mana gay macam dia tu boleh berubah dengan cepat. Tapi bagi aku tak ada satu perkara pun dalam dunia ni yang mustahil kalau Allah nak sesuatu perkara tu terjadi. Kau pun kena jadi macam Aidil. Jangan ikut sangat nafsu tu. Ingat, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu. Cuba bayangkan kau tengah sedap ‘main’ dengan Aidil, pastu malaikat maut cabut nyawa kau masa tu, tak ke ngeri time tu? Aku tak tahu kau mati dalam keadaan apa masa tu. Sebab tu Allah bolak balikkan hati Aidil  supaya jatuh cinta dengan isteri dia sebab Allah tak nak kau terus buat maksiat dengan Aidil. Nampak tak Allah sayang gila kat kau? Allah tak nak bagi kau masuk neraka dengan sia sia. Subhanallah...” Ujar Haiqal dengan penuh hikmah. 


     Iqwan masih berdiam diri. Dia memandang ke laur tingkap sambil fikirannya memikirkan kata kata dan nasihat dari Haiqal tadi. Ya, Haiqal memang betul. Dia yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat Allah. Dia selalu bersangka buruk dengan Allah padahal Allah sangat menyayangi dirinya. Dia rasa sangat berdosa pada Allah. Dia selalu lalai mengingati Allah. ‘Ampunkan aku ya Allah.’ Doa Iqwan di dalam hati. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.