Sumber : Google |
Pelbagai reaksi diterima dari
masyarakat tentang kemasukkan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin
Abdullah ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada yang menyokong tidak kurang
juga yang menentang. Namun, beberapa pendapat yang dikeluarkan oleh sekumpulan
orang UMNO, kemasukkan Saifuddin ke dalam PKR itu bukanlah suatu perkara yang
mengejutkan. Menurut mereka, banyak pegangan Saifuddin sama dengan pegangan
pemimpin pemimpin pembangkang. Jadi, jika Saifuddin masuk pembangkang pun, itu
memang sudah lumrah kerana apa yang Saifuddin cuba perjuangkan, sama seperti
pembangkang perjuangkan.
Sekumpulan orang UMNO menganggap Saifuddin
agak lunak dengan pembangkang. Aspirasi Saifuddin sama seperti aspirasi
pembangkang. Jadi, sekumpulan orang UMNO itu merasakan lebih baik Saifuddin
masuk pembangkang kerana tindak tanduk Saifuddin itu bertentangan dengan tindak
tanduk yang UMNO suka. Tindak tanduk Saifuddin lebih mirip kepada tindak tanduk
pembangkang.
Dalam soal universiti, AUKU, belia,
orang muda, mahasiswa, kebebasan, dan
banyak lagi, fahaman yang Saifuddin pegang sama macam fahaman yang pemimpin pembangkang
pegang. Oleh sebab itulah, ramai orang UMNO benci kepada Saifuddin. Saifuddin
dianggap sebagai jurucakap pembangkang di dalam UMNO. Saifuddin dianggap sebagai
‘Rafizi Ramli’ dalam kelompok UMNO.
Bila Saifuddin ambil keputusan untuk
sertai PKR, ramai orang UMNO suka. Mereka mengatakan itulah tempat terbaik
untuk Saifuddin. Aspirasi yang diperjuangkan Saifuddin tidak sesuai di dalam
UMNO. Apa yang Saifuddin mahu perjuangkan sesuai di dalam parti pembangkang
khususnya PKR dan DAP.
Namun begitu, sebagai mahasiswa, saya
melihat satu kerugian buat UMNO apabila Saifuddin keluar dari parti keramat itu
dan sertai PKR. Saifuddin adalah pemimpin muda yang mesti UMNO pertahankan. Ini
kerana, hanya dia sahaja pemimpin UMNO selepas Khairy Jamaluddin yang berani
berdebat dengan pemimpin pembangkang. Mana mahu cari lagi pemimpin yang
berwibawa untuk diajak berhujah dengan pemimpin pembangkang selain daripada
Saifuddin?
Mahu diletak Zahid Hamidi atau
Hishamuddin Hussein, jangan diharap perkara itu akan terjadi. Saifuddin seorang
sahaja orang muda dalam UMNO yang berani ke depan mempertahankan UMNO yang
diasak dari kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah. Pemimpin yang lain
hanya menjadi pemerhati pasif tanpa mahu berbuat apa apa bagi mempertahankan
parti yang entah sampai bila akan bertahan itu. Sikap mereka tambah merugikan
UMNO.
Jika UMNO suka Saifuddin keluar dari
UMNO hanya kerana dia berbeza pandangan dengan UMNO, maka dungulah UMNO! Jelas
UMNO adalah parti yang tidak boleh ditegur, sombong, dan tidak boleh menerima
perubahan. Walaupun banyak yang saya tidak setuju dengan Saifuddin, namun saya
rasa dia sesuai berada di dalam UMNO. Dia boleh menjadi pengimbang yang baik
untuk UMNO. UMNO mesti mempertahankan dia bukannya mencemuh dia.
Dalam sekumpulan manusia terutama
manusia yang duduk di dalam sebuah negara demokrasi, berbeza pendapat adalah
perkara biasa. Jika semua orang mesti mengemukakan pendapat yang sama, itu
bukan demokrasi tetapi kaki kipas dan pak angguk namanya. UMNO tidak sepatutnya
keji Saifuddin tetapi kaji pemikirannya adakah sesuai dilaksanakan menurut
acuan Islam, Melayu dan Malaysia. Belum pun UMNO buat kajian tentang
aspirasinya, UMNO sudah pun melabelnya dengan bermacam gelaran. Jelas UMNO
menjalankan demokrasi yang tidak sihat.
UMNO rugi kerana kehilangan pemimpin
berkaliber sepertinya. Pembangkang untung kerana dia sudah pun menyertainya.
Kemasukkan Saifuddin ke dalam barisan pembangkang akan menyebabkan UMNO tambah
sakit. Rakyat melihat UMNO semakin lama semakin tidak relevan. Kemasukkan
Saifuddin ke dalam barisan pembangkang secara tidak langsung menguatkan semula
pembangkang yang baru sahaja pulih dari ‘kecederaan’ itu.
Izin berkunjung ya gan? Semoga kunjungan saya kali ini bisa bermanfaat,,, makasih banyak ya??
BalasPadamTanda sudah semakin parah barah dalam daging UMNO..
BalasPadam