Sumber : Google |
Gerakan perjuangan mahasiswa yang
dicetuskan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun 70an dahulu telah berkembang pesat
sehingga ke hari ini walaupun pada pandangan sesetengah pihak, perjuangan
mahasiswa pernah melalui zaman kelesuannya setelah Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) dikuatkuasakan. Namun, setelah melalui zaman reformasi 1998,
perjuangan mahasiswa mula bangkit kembali sehinggalah ke hari ini.
Di seluruh dunia termasuklah
Malaysia, mahasiswa pasti akan berjuang menuntut itu dan ini untuk memastikan
apa yang jelik di mata mereka boleh diperbaiki. Kejelikkan itu pun sebenarnya
boleh dibuat tafsiran yang pelbagai. Kejelikkan yang bagaimana yang mahu
diperjuangkan untuk diperbaiki oleh mahasiswa itu? Kejelikkan yang sememangnya
bersifat kejelikkan atau kejelikkan yang diwar-warkan oleh orang politik yang
hanya mengikut logik akal semata mata. Walau apa pun tafsiran kejelikkan yang
hendak diperjuangkan oleh mahasiswa supaya boleh diperbaiki, mahasiswa itu dianggap
sebagai golongan anak muda yang mempunyai intelektual yang tinggi, berani, dan
mempunyai nilai sedar yang hebat.
Cabaran dalam perjuangan memang tidak dapat
dipisahkan. Oleh sebab mahasiswa itu dianggap sebagai pejuang, sudah pasti
mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran supaya perjuangan mereka itu boleh
disedari dan diterjemahkan di dalam bentuk tindakan. Cabaran utama mahasiswa
dalam perjuangan bagi saya adalah pelajaran. Sebagai mahasiswa yang berjuang
untuk mengubah kejelikkan yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat dan negara,
mereka perlu pandai membahagikan masa antara perjuangan dan pelajaran. Jika
mereka gagal menguruskan masa dengan baik, mereka pasti akan tercicir dalam
pelajaran kerana mengejar perjuangan tadi. Apabila sudah tercicir dalam
pelajaran mereka di universiti, mereka tidak boleh dipanggil sebagai mahasiswa
sebaliknya pelajar universiti tercicir!
Mahasiswa yang berjuang juga mesti
berhadapan dengan tindakan undang undang sama ada dari pihak universiti atau
dari pihak kerajaan. Seperti yang berlaku kepada Fahmi Zainol dan Adam Adli,
kerana mereka mengutamakan perjuangan melebihi pelajaran mereka di universiti,
akhirnya mereka menjadi rugi kerana digantung atau dibuang daripada universiti. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal
ini?
Ibu bapa kepada seseorang mahasiswa
yang ingin berjuang itu juga adalah antara cabaran buat mahasiswa yang bergiat
dalam medan perjuangan. Ada ibu bapa yang menghalang anak mereka dari terjun ke
medan perjuangan semasa anak mereka masih bergelar mahasiswa. Mereka mahukan
anak mereka tamat pengajian terlebih dahulu kemudian barulah meneruskan
perjuangan sama ada perjuangan menuntut keadilan atau perjuangan dalam parti
parti politik bagi mengalahkan pihak pemerintah. Untuk pengetahuan semua,
kebanyakkan mahasiswa yang berjuang ini adalah penyokong tegar parti
pembangkang.
Pada pendapat saya, seseorang
mahasiswa yang ingin berjuang itu mestilah selepas mereka menamatkan pengajian
mereka di universiti. Mereka sewajarnya mendapat sekurang kurangnya segulung
ijazah terlebih dahulu kemudian barulah mereka boleh meneruskan perjuangan
mereka. Mungkin juga mereka boleh meneruskan perjuangan mereka selepas mereka
menamatkan pengajian ijazah sarjana (Master) atau Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Saya kira itu lebih baik kerana untuk menjadi seorang pejuang, tidak cukup
dengan keberanian sahaja tetapi juga perlu mempunyai ilmu yang banyak di dada
dan di minda.
Apabila seseorang mahasiswa itu
berjuang, saya khuatir yang mereka tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang
dalam pelajaran kerana tumpuan mereka lebih terarah kepada perjuangan.
Perjuangan itu memang menyeronokkan kerana ia membakar semangat anak anak muda
yang bergelar mahasiswa ini untuk mengubah sesuatu namun apakah mereka boleh
memberi jaminan yang mereka mampu untuk mendapat keputusan peperiksaan yang
cemerlang sekiranya mereka sibuk dengan perjuangan?
Memang tidak dinafikan bahawa ada
mahasiswa yang mampu untuk meneruskan perjuangan hakiki mereka dan pada masa
yang sama mampu untuk berjaya dalam perlajaran namun jumlah mereka tidaklah
ramai. Jika mereka boleh berjuang dan pada yang sama boleh menunjukkan prestasi
yang baik dalam pelajaran, wajarlah mereka meneruskan perjuangan mereka itu.
Pada saya pelajaran adalah sangat
penting dalam hidup mahasiswa. Perjuangan bagi saya sudah jatuh menjadi perkara
kedua melainkan jika perjuangan itu melibatkan agama, bangsa dan negara.
Seseorang mahasiswa bagi saya perlu mendapat keputusan yang cemerlang dan
menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum menjadi seorang yang ingin
berjuang.
Seperti yang telah saya sebut di atas
tadi, mahasiswa juga berdepan dengan undang undang universiti dan negara. Jika
perjuangan mereka itu terlalu agresif tanpa melibatkan agama, bangsa dan
negara, mereka sebenarnya sedang menempah ‘keranda’ mereka sendiri. Jika mereka
dibuang daripada universiti, mereka tidak boleh lagi meneruskan pelajaran maka
jika mereka menjadi pejuang pun, mereka hanya menjadi pejuang tanpa ilmu. Oleh
sebab itu, saya percaya, mahasiswa mesti melengkapkan diri mereka dengan ilmu
yang banyak terlebih dahulu sebelum menjadi seorang pejuang.
Walau apa pun, mahasiswa mesti cekap
memilih apakah keutamaan sebenar dalam hidup mereka? Tidak salah untuk menjadi
pejuang tetapi pelajaran janganlah ditinggalkan kerana perjuangan tanpa ilmu
hanyalah perjuangan yang tumpul!
Perjuangan membabi buta hanya merosakkan. Bukankah banyak lagi platform lebih baik, lebih berkesan dalam menzahirkan perjuangan. Ikut hati mati, ikut rasa binasa diri..
BalasPadamNice sharing
BalasPadam