Ahad, 25 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 2


Sumber : Google

          Sudah seminggu Aidil tidak menghubungi Iqwan apatah lagi menemuinya. Lelaki itu seolah olah cuba menjauhkan diri daripada Iqwan. Iqwan acapkali menghantar whatsapp kepada lelaki itu namun langsung tidak dibalas. Hanya bluetick sahaja yang kelihatan namun balasan tetap tiada. Memikirkan sikap Aidil itu, Iqwan menjadi runsing. Iqwan tertanya tanya, apakah yang menyebabkan Aidil menjadi seperti itu? Adakah dia telah melakukan kesalahan kepada Aidil? Masakan Aidil terlalu sibuk sehingga langsung tidak mahu membalas whatsapp darinya. Jika Aidil membalas dengan menggunakan perkataan ‘okey’ sekalipun, dia sudah cukup berpuas hati.

       Tetapi, Aidil langsung tidak memberi apa apa balasan atau jawapan. Apabila dihubungi lelaki itu, langsung tidak diangkat. Dia tidak mahu selalu sangat menghubungi Aidil kerana Aidil pernah menegahnya melakukan seperti itu. Menurut Aidil, dia tidak mahu isterinya curiga jika Iqwan selalu sangat menghubunginya. Aidil mahu mereka berdua berkomunikasi melalui whatsapp sahaja.

      Kehilangan Aidil selama seminggu itu benar benar telah meresahkan jiwa Iqwan. Dia rindukan Aidil. Dia rindukan pelukan Aidil. Dia rindukan kuncupan Aidil. Sudah agak lama juga nafsunya tidak dipuaskan oleh Aidil kerana Aidil mahu memenuhi nafkah batin isterinya terlebih dahulu. Permintaan Aidil itu meresahkan jiwa dan batin Iqwan. Oleh itu, hati Iqwan sejak akhir akhir ini sering berasa tidak sedap. Dia sangat khuatir yang Aidil akan meninggalkan dirinya. Dia dapat merasakan yang Aidil semakin menjauhi dirinya. Iqwan dapat merasakan yang Aidil semakin rapat dengan isterinya berbanding diri Iqwan sendiri.    


      Iqwan sedar bahawa cintanya pada Aidil itu hanyalah cinta fantasi yang sudah pasti ditentang oleh masyarakat dan Ilahi. Iqwan tahu yang Aidil pasti akan membuat pilihan sama ada untuk bersama dengan isterinya atau dengan Iqwan suatu hari nanti. Iqwan yakin yang sudah pasti Aidil akan memilih isterinya berbanding Iqwan. Namun, dia seboleh boleh tidak mahu perkara itu berlaku. Dia sentiasa mahukan Aidil dan mahukan Aidil sentiasa menemaninya hingga ke akhir hayat. 

      Iqwan duduk termenung di sebuah restoran yang agak mewah di pinggir bandar Kuala Lumpur. Dia memerhatikan pengunjung dan pekerja di restoran itu. Dia baru sahaja pulang dari pejabat dan tiba tiba perutnya berasa lapar pula. Dia bergegas ke restoran itu untuk mengalas perut sebelum pulang ke rumah.

       Tiba tiba dia menerima whatsapp daripada Aidil. Dia begitu gembira sekali. Aidil bertanya dia di mana sekarang kerana lelaki itu mahu bertemu dengannya. Dia menjawab yang dia sekarang berada di restoran yang pernah dikunjunginya bersama lelaki itu beberapa minggu yang lalu. Aidil meminta dia menunggunya di restoran tersebut.

       Iqwan sangat gembira kerana bisa bertemu dengan Aidil. Dia mahu melepaskan rindunya kepada Aidil sepuas puasnya. Dia berasa teruja untuk bertemu dengan kekasih hatinya itu. Dia menjeling jam di tangan. Jam sedang menunjukkan pada pukul enam petang.

      Lima belas minit kemudian Aidil sampai di restoran. Setelah memastikan keretanya berkunci dengan rapi, dia bergegas masuk ke dalam restoran. Dia mencari cari diri Iqwan di dalam restoran tersebut. Tiba tiba dia ternampak Iqwan sedang melambai lambai dirinya. Dia bergegas ke tempat yang diduduki oleh Iqwan.

      “Hai Aidil...lamanya tak nampak. Ingatkan dah lupa dengan aku.” Iqwan menyapa sambil tersenyum bahagia.

      “Taklah, mana ada aku lupa kau. Sorry la tak balas mesej kau. Aku sibuk gila.” Balas Aidil. Kemudian dia memanggil pelayan restoran itu untuk memesan minuman.

       “Kalau sibuk pun takkan balas ‘okey’ pun tak boleh? Bestlah kan kena peluk dengan bini selalu sampai lupa aku kat sini.” Iqwan memalingkan wajahnya ke tempat lain. Pura pura merajuk. Padahal hatinya berbunga bunga melihat Aidil di depan mata.  

     “Aku minta maaf sangat sangat. Aku memang sibuk.” Ucap Aidil. Kemudian minuman yang dipesan oleh Aidil tadi telah pun sampai dihantar oleh pelayan.

      “Ye la tu sibuk...” Iqwan mencebik. Aidil sekadar tersenyum melihat ulah Iqwan itu. Sikap Iqwan yang manja itu memang seperti kebudak-budakkan.

      “Aku datang jumpa kau ni pun ada benda sebenarnya aku nak cakap.” Kata Aidil sambil menyedut minuman yang dipesannya. Tekaknya terasa basah.

       “Oh...ada benda nak cakap barulah sibuk nak jumpa aku. Kalau tak ada benda nak cakap, memang kau takkan jumpa aku la...” Entah kenapa Iqwan seperti naik angin apabila mendengar kata kata Aidil tadi. Satu jelingan maut dilemparkan kepada Aidil.

        “Hahaha...yang kau nak marah aku ni kenapa? Kau gersang ea? Hahaha...” Aidil ketawa melihat Iqwan di depannya.

       “Memang aku gersang! Sebab kau dah lama tak jumpa aku pastu dah lama tak puaskan aku!” Nada suara Iqwan sedikit tinggi.

       “Shhh...kot ye pun kau marah, cakaplah pelahan lahan. Kau nak bagi tahu satu dunia ke yang kita ni PLU?” Aidil memandang orang orang yang berada di kiri dan kanannya. Dia berharap mereka tidak mendengar apa yang dicakapkan oleh Iqwan tadi walaupun ada juga yang cuba curi curi pandang ke arah mereka.

      “Okey, apa benda yang kau nak cakap dengan aku tu?” Iqwan memandang wajah Aidil dengan tajam.

      Aidil menggaru garu kepalanya. Dia tidak tahu bagaimana dia mahu menyampaikan perkara tersebut. Dia tidak mahu Iqwan melenting sekiranya dia menyampaikau perkara itu. Menyesal pula rasanya kerana bertemu Iqwan di restoran. Sepatutnya dia bertemu dengan Iqwan di rumah sahaja. Tetapi perkara itu mesti diselesaikan secepat mungkin dan kalau boleh hari ini juga.

       “Apa yang kau tergaru garu tu? Mesti susah kan nak cakap perkara tu. Muka pun macam serba salah je. Kau nak pinjam duit ke?” Iqwan menebak.

      “Bukan...err...” Aidil memang rasa serba salah untuk bercakap. Dia tidak tahu bagaimana harus dia menyampaikan perkara itu.

       “Cakap je la...tak payah nak malu malu sangat. Macam kau tak kenal aku pula.” Iqwan mendesak. Hatinya teruja ingin tahu apa yang mahu disampaikan oleh Aidil itu.

      “Okey, tapi kau mesti janji yang kau takkan marah, takkan menjerit dan takkan mengamuk.” Aidil mempamerkan muka serba salah campur simpati. Dia memang mengharapkan darah Iqwan tidak naik apabila dia menyampaikan perkara itu.

       “Pasal apa pula?” Iqwan menjadi bingung dengan sikap Aidil pada petang itu.

        “Janji je la yang kau takkan marah, takkan menjerit dan takkan mengamuk.” Aidil membuat mimik muka penuh mengharap.   

       “Ye la...ye la...aku janji aku takkan marah, takkan menjerit, dan takkan mengamuk. Cakap cepat!” Iqwan sudah mula bosan dengan sikap Aidil yang entah apa apa itu.

      “Janji ye...” Aidil kurang percaya dengan kata kata Iqwan tadi.

      “Ye...” Balas Iqwan kegeraman. Mahu dihempuk sahaja pinggan kosong yang berada dihadapannya itu ke atas kepala Aidil.

      “Okey, macam ni...hmm...aku sebenarnya...aku sebenarnya nak kita tamatkan hubungan kita sampai kat sini sahaja. Err...lepas ni kita tak payah lagi jumpa dan tak payah lagi nak jadi kekasih. Kalau kau jumpa aku kat mana mana, kau buat macam tak kenal je. Boleh?” Aidil cuba melihat reaksi daripada Iqwan setelah habis berkata kata. Terasa lapang dadanya seusai meluahkan kata kata yang dipendamnya sejak tadi.

       Iqwan agak terkejut mendengar kata kata Aidil. Dia seakan akan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya daripada mulut Aidil. Perkara yang ditakutinya itu sudah pun menjadi kenyataan kini.   

       “Kau ulang balik apa yang kau cakap tadi. Aku tak dengar la.” Iqwan mendekatkan telinganya kepada Aidil. Aidil meneguk liur pahitnya.

       “Aku tahu kau dengar. Tak payah nak berpura pura. Aku harap kau faham.”

       “Kau ni kenapa hah?! Apa yang ubah kau jadi macam ni? Mesti bini kau dah guna gunakan kau kan supaya kau boleh lupakan aku? Ke kau dah jumpa PLU lain yang lebih kacak dari aku?” Iqwan benar benar bengang pada waktu itu namun cuba dikawal nada suaranya agar tidak terlalu kuat. Dia tidak mahu pekung di dadanya pecah di restoran itu.

      “Iqwan...aku tak jumpa dengan mana mana PLU pun. Aku just nak tamatkan hubungan kita ni je. Kau kena faham tu. Aku dah tak nak terjebak dengan dunia PLU ni dah. Aku nak berubah.” Aidil membalas.

       “Tapi KENAPA?!” Iqwan menjerit sambil menghentak meja dengan tangannya. Beberapa orang pelanggan memandang ke arah meja mereka berdua.

      “Sabar Iqwan...cuba bawa bertenang. Kau dah janji kan yang kau takkan menjerit.” Aidil cuba menenangkan Iqwan yang seperti kerasukkan itu. Jelas riak kemarahan terpancar di wajah Iqwan.

       “Hoi bahlol! Aku tanya kenapa kan?! Jawab la! kau nak aku jerit lagi kuat ke?!” Iqwan sudah benar benar dirasuk dengan api kemarahan sekarang. Darahnya menggelegak secara tiba tiba. Namun dia cuba mengawal nada suaranya. Dia benar benar hilang pertimbangan ketika itu. 

     “Aku cintakan bini aku Iqwan. Dia perempuan yang baik. Aku tak sanggup khianati dia. Lagipun dia sayangkan aku. Dia dah pun mengandungkan anak aku.”  Aidil menerangkan.

      “Hahaha...” Iqwan ketawa dengan sinis. “Kau dah lubangkan jubur aku. Setiap inci tubuh aku dah teroka. Sekarang kau nak tinggalkan aku macam tu je? Cinta konon...puihh!!! Pergi jahanam la dengan cinta kau tu. Dulu kau juga yang cakap yang aku ni je la yang kau paling cinta. Sekarang apa cerita?!”

      “Iqwan...tu dulu... Aku masih tak matang lagi waktu tu. Aku tak kenal bini aku lagi. Sekarang dah lain Iqwan. Keadaan sekarang dah berbeza. Aku dah ada tanggungjawab sekarang. Lagipun cinta kita ni songsang Iqwan. Cinta kita ni tak boleh nak bawa ke mana mana pun. Kita kahwin pun tak boleh. Sampai bila kita nak hidup dalam keadan berdosa macam tu. Kau pun kena berubah Iqwan. Jangan ikutkan sangat nafsu kau tu.” Aidil memberi nasihat.

      “Wah...dah pandai ceramah aku nampak...dengan tok guru mana kau belajar ni sampai jadi baik?” Sindir Iqwan.

     “Iqwan, aku bukan nak tunjuk baik. Aku pun bukannya baik sangat. Tapi aku betul betul nak berubah Iqwan. Aku nak jadi lelaki normal. Lelaki yang cintakan perempuan...bukan lelaki!”

       “Nak berubah konon...kau ingat gay macam kau boleh berubah ke? Sekali kau dah terjebak dalam dunia gay, jangan haraplah kau boleh berubah. Tak payah la kau nak berubah sangat. Buang masa je...”

      “Aku kena cuba Iqwan. Sampai bila aku nak hidup dalam keadaan penuh dosa dan noda. Aku tak nak kena Aids Iqwan. Aku nak mati dalam keadaan aku beriman. Aku tak nak hidup dalam keadaan yang Allah laknat hidup aku.”

       Iqwan hanya mendiamkan diri. Dia benar benar sebal dan sakit hati waktu itu. Air mata jantannya hampir hampir mahu menitis. Dia segera bangun dan berlari menuju ke keretanya. Dia tidak mahu Aidil melihat air matanya keluar membasahi pipi. Aidil yang masih duduk terpinga pinga melihat Iqwan bangun dan meninggalkan dirinya secara tiba tiba. Dia tahu hati Iqwan sedih dan luka. Dia tahu dan faham keadaan itu kerana dia masih sayangkan Iqwan. Cintanya pada Iqwan masih tebal lagi. Namun, dia mahu berubah. Dia mahu menjadi suami dan bapa yang baik kepada keluarganya.

       Sampai sahaja di kereta, air mata Iqwan lantas merembes keluar tanpa dapat ditahan tahan lagi. Dia benar benar sedih pada waktu itu. Hatinya luka kerana Aidil. Lelaki itu telah mengkhianati cinta sucinya. Dia memang tidak dapat memaafkan Aidil. Dia segera masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Dia memecut laju meninggalkan kawasan itu untuk pulang ke rumah dengan hati yang rawan. 

  

2 ulasan:

  1. Masih ternanti-nanti novel pertama saudara MNH :)

    BalasPadam
  2. lom sempat lg nk baca cerpen haziq...kita tumpang lalu jer dulu...hhihihi

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.