Ahad, 18 Oktober 2015

CERPEN BERSIRI : SONGSANG BAHAGIAN 1

Sumber : Google

         Hujan turun dengan lebatnya pada pagi itu. Hari itu adalah hari Sabtu. Sepatutnya hari cuti begini dia akan bersiar siar di bandar. Namun, oleh kerana hujan lebat yang seakan akan tidak mahu berhenti itu, niatnya terbantut seketika. Dia sekadar berbaring di sofa sahaja sambil berselimut kerana kesejukkan. Kesejukkan yang hadir disebabkan kehujanan. Rumahnya sengaja dibiarkan gelap. Lampu dan kipas sengaja tidak dipasang. Tingkap dan langsir pun sengaja tidak dibuka. Suasanan gelap yang sesekali diterangi cahaya suram yang datang dari tingkap itu telah memberi ketenangan kepada dirinya. Dia suka dan selesa dengan keadaan itu.

       Dia teringat sewaktu dia kecil dahulu, apabila hujan lebat tiba dan televisyen pun tidak boleh dibuka, dia dan ibunya akan berbaring di ruang tamu rumah mereka sambil berselimut. Entah kenapa, walaupun sudah dewasa kini, dia tidak dapat meninggalkan tabiat itu. Apabila hujan sahaja, dia pasti akan berbaring sambil berselimut dan kalau nasibnya baik, matanya akan mengantuk lalu tidurlah dia di dalam selimut yang dapat membentengi dirinya dari kesejukkan yang melanda.

       Iqwan, seorang lelaki kacak tetapi jambu terus berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya pada pagi Sabtu yang disirami hujan lebat itu. Dia mencapai telefon pintarnya yang terletak di atas meja kopi. Dia cuba melihat kalau kalau ada whatsapp atau panggilan daripada Aidil namun hampa. Satu whatsapp pun tidak dihantar oleh lelaki itu kepadanya. Dia sangat merindui lelaki itu sebenarnya. Sudah dua hari Aidil tidak menghubunginya. Mungkin Aidil sibuk dengan isteri yang baru dikahwininya.


       Apabila melihat tiada sebarang whatsapp daripada Aidil ataupun sesiapa sahaja, dia meletakkan semula telefon pintar itu di atas meja kopi tadi. Satu keluhan dilepaskan. Ya, dia sedang bosan kini. Untuk menonton televisyen, dia takut pula. Takut petir menyambar televisyennya secara tiba tiba. Untuk melayari Facebook atau Twitter, dia juga tidak punya hati untuk melakukan itu semua. Di fikirannya kini hanyalah ada Aidil. Dia sentiasa ternanti nanti kedatangan Aidil ke rumahnya untuk membawanya berjalan jalan seperti biasa atau paling tidak pun menghantar satu pesanan dalam bentuk whatsapp buat dirinya. Tetapi lelaki itu hilang tanpa khabar berita selama dua hari. Sudah banyak pesanan yang dihantarnya melalui whatsaap kepada Aidil namun langsung tidak dibalas oleh lelaki itu. Hanya bluetick sahaja yang kelihatan.

        Dia tahu di mana Aidil berada sekarang. Sudah pastilah lelaki itu sedang berada di rumah bersama isteri. Mungkin Aidil sedang berbahagia dimanjai dan dibelai oleh isteri yang baru dikahwininya tiga bulan lalu. Alih alih dia juga yang menderita. Yalah, inilah padahnya apabila berkongsi kasih dengan suami orang. Suka ataupun tidak, dia perlu terima hakikat itu walaupun pahit untuk ditelan. Dulu, sebelum kehadiran isteri Aidil dalam kehidupan lelaki itu dan kehidupannya, dia sangat berbahagia bersama Aidil. Namun, apabila orang tua Aidil memaksa lelaki itu berkahwin dengan gadis pilihan mereka, kehidupannya dan kehidupan Aidil mula berubah. Dulu dia bebas berbuat apa sahaja dan ke mana sahaja dengan Aidil. Kini tidak boleh lagi kerana Aidil perlu membahagikan masa dengan isteri. Dan dia hanya dapat bertemu Aidil apabila Aidil punya masa lapang sahaja.

       Ting! Tong! Ting! Tong! Terpancung lamunan Iqwan seketika apabila mendengar loceng rumahnya ditekan oleh seseorang dari luar. Dia bingkas bangun dari pembaringannya dan menuju ke pintu rumah. ‘Siapalah yang datang pagi pagi begini?’ Bisik hati kecilnya. Dia segera membuka pintu rumah. Dia melihat Haiqal, sahabatnya sedang berdiri kebasahan dan kesejukkan di depan pintu.  

         “Assalamualaikum...” Ucap Haiqal dalam keadaan tergigil gigil. Satu senyuman terukir di bibir lelaki itu. Pucat.

        “Waalaikumussalam...kau rupanya. Aku ingat siapa tadi. Kenapa datang ni?” Tanya Iqwan sambil memerhatikan Haiqal dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Haiqal datang pada pagi itu dengan membawa beg sandang warna kelabu di bahu kanannya, memakai seluar jeans biru gelap dan baju T berkolar berwarna biru cair. Iqwan membuka pagar kecil rumahnya untuk membolehkan Haiqal masuk.

        “Kenapa? Aku tak boleh datang ke rumah kau?” Haiqal bertanya dalam nada suara yang sedikit terkilan. Merajuk mungkin.

        “Bukan tak boleh...tapi tak ada angin, tak ada ribut, kau muncul je depan rumah aku. Kenapa tak telefon dulu sebelum datang? Boleh aku ambil kau kat stesen LRT kalau kau bagitahu aku awal awal yang kau nak datang.” Balas Iqwan. Dia mengunci semula pagar kecil itu dan segera menutup pintu apabila Haiqal sudah pun melangkah masuk.

        “Aku bukan tak nak bagitahu tapi telefon aku dah habis bateri. Aku jalan kaki je la meredah hujan lebat tu untuk sampai ke rumah kau. Kau ada charger tak? Aku nak cas telefon aku ni...”

         “Jap, aku pergi ambil. Kau tunggu kat situ dulu. Jangan pergi mana mana. Aku amikkan tuala sekali.” Iqwan segera masuk ke dalam biliknya. Beberapa minit kemudian dia muncul dengan membawa tuala tebal berwarna oren dan charger telefon untuk Haiqal.

       “Terima kasih Iqwan.” Ucap Haiqal dan terus mengelap kepala dan badannya dengan tuala yang diberikan. Setelah kering, dia menuju ke meja makan untuk duduk di situ. Untuk duduk di sofa, dia berasa segan pula memandangkan baju dan seluarnya masih belum betul betul kering. Dia melihat Iqwan berada di dapur sedang berbuat sesuatu.

       “Kau ni dari mana sebenarnya?” Soal Iqwan yang sedang menjerang air untuk membancuh kopi buat dirinya dan Haiqal. Dia menjeling jam di dinding dapur. Jam sudah menunjukkan pada pukul sebelas pagi.

       “Aku sebenarnya dari pesta buku. Aku ingat nak beli la novel novel Bahasa Melayu yang bagus bagus kat sana. Bila aku sampai je, tak ada satu pun novel bahasa Melayu yang ada jual. Novel Bahasa Inggeris banyak la. Aku bukan suka sangat baca novel Bahasa Inggeris. Pastu aku balik la naik LRT. Dalam perjalanan tu aku teringat kat kau jadi aku ambil keputusan nak pergi rumah kau. Dalam perjalanan tu tiba tiba hujan turun pula. Tu yang basah lencun tu bila sampai kat sini. Nak telefon kau, handphone pula tak ada bateri. Apa malang la nasib aku hari ni.” Cerita Haiqal dengan panjang lebar.

      “Kau tak tengok ke pesta buku tu pesta buku tu untuk buku Bahasa Melayu atau pesta buku untuk buku Bahasa Inggeris? Kenapa main pergi macam tu je? Kan rugi...” Iqwan memasukkan uncang kopi ke dalam dua biji cawan besar. Kemudian dia meletakkan satu sudu gula ke dalam setiap cawan itu lalu menuangkan air panas yang baru sahaja di masak ke dalam dua cawan tersebut.

        “Aku sebenarnya tak tahu pun pasal pesta buku tu. Jiran bilik aku yang bagitahu. Dia tak cakap pula yang pesta buku ni untuk buku Bahasa Inggeris sahaja. Kalau dia cakap aku pun tak nak pergi. Tapi salah aku juga sebab tak tanya. Aku ingatkan bila pesta buku, pasti untuk buku Bahasa Melayu.” Haiqal tertawa sendiri. Mungkin tertawa dengan kesilapan dirinya.    

        “Nah, minum ni. Biar panas sikit badan tu. Kau dah cas henfon kau?” Iqwan menghulurkan secawan kopi kepada Haiqal.

       “Eh, belum pula. Haha. Terlupa pula aku.” Haiqal tersengih sengih dan bingkas berdiri untuk mencari plug untuk mengecas telefon pintarnya.

       “Takpe takpe. Bak sini henfon kau dan charger tu. Biar aku tolong caskan. Kau minum je kopi tu.” Haiqal menyerahkan telefon pintarnya dan charger yang diberi oleh Iqwan tadi kepada Iqwan. Iqwan terus menuju ke plug yang berhampiran untuk mengecas telefon pintar Haiqal yang kehabisan bateri itu.

        “Aku tak ganggu kau ke datang time time macam ni?” Haiqal mencicip sedikit kopi yang dibancuh oleh Iqwan tadi. Sedap rasanya. Tidak terlalu manis dan tidak terlalu tawar. Sedang sedang sahaja.

        “Eh, taklah. Bagus juga kau datang. Aku bosan sebenarnya. Kalau kau datang ni, ada juga la orang nak berborak dengan aku. Tak ada la aku ‘mereput’ sorang sorang dalam rumah ni.” Iqwan duduk berhadapan dengan Haiqal di meja makan yang hanya ada empat kerusi dan berwarna coklat gelap itu.

        “Kau buat apa je tadi sebelum aku datang sini?” Haiqal melontarkan pertanyaan sambil memandang wajah Iqwan.

       “Aku baring baring je tadi. Nak tengok tv takut kena sambar petir pula.” Iqwan menjawab sambil mencicip kopi yang dibancuhnya tadi.

        “Kau baring dalam gelap gelap macam ni?” Mendengar soalan Haiqal itu, baru dia tersedar dia tidak memasang lampu sejak Haiqal masuk ke rumahnya tadi. Hanya lampu dapur sahaja yang terpasang.

       “Ya Allah...aku lupa pula nak pasang lampu. Sorry la Haiqal. Aku lupa pula. Hehe...” Iqwan tersengih sengih lantas menuju ke suis lampu di dinding lalu memetiknya. Barulah rumah flat kepunyaannya itu menjadi terang sedikit.

       “Aku ingatkan blackout tadi. Tapi aku pelik juga sebab lampu dapur terpasang.” Haiqal memandang Iqwan yang duduk di kerusinya semula.

        “Tadi kau cakap kau bosan kan? Aidil tak datang jumpa kau ke? Selalu kan kau keluar dengan dia.” Haiqal menyoal.

       “Hmmm...sejak dia dah kahwin ni, jarang betul dia nak jumpa aku. Mesti tengah sedap kena peluk dengan bini dia tu.” Iqwan membuat muka bosan pada waktu itu.    

        “Mesti la dia peluk bini dia. Peluk bini, tak haram. Peluk kau ye haram. Hahaha.”  Mengekek Haiqal ketawa mendengar kata katanya sendiri. Iqwan memasamkan muka dan memberi jelingan maut kepada Haiqal.

         “Banyak la kau punya haram. Dulu dia peluk aku selamba je. Bukan peluk, lebih dari peluk kitaorang pernah buat dah.”

       “Ala...bagi la dia chance peluk bini dia pula. Asyik peluk kau je, nanti bini dia curiga pula. Tak pasal pasal rahsia kau dengan dia terbongkar nanti.” Haiqal memberi pendapat.

      “Tapi...jiwa aku yang merana tahu tak? Sebab bini dia tu la aku terpaksa selalu berpisah dengan Aidil sekarang ni. Kalau dia tak kahwin dengan bini dia tu, aku mungkin tengah berbahagia dengan Aidil sekarang.” Balas Iqwan.

       “Nasib kau la ‘bermadu’ dengan bini si Aidil tu. Tapi aku rasa bukan salah bini dia pun. Mak bapak si Aidil tu yang paksa paksa Aidil kahwin. Kalau mak bapak dia tak paksa, aku yakin Aidil takkan kahwin.”

       “Si Aidil tu pun satu, ikut sangat cakap mak bapak dia. Dah besar panjang pun masih nak juga ikut cakap mak bapak. Dia dah boleh buat keputusan sendiri dah. Sepatutnya dia tolak dari kahwin dengan bini dia tu. Ini tak...dia setuju je.” Iqwan melahirkan rasa tidak puas hatinya.

       “Dah la tu...dah jodoh dia. Nak buat macam mana. Aku rasa dari kau terus menderita macam ni, lebih baik kau tinggalkan je Aidil tu. Cari PLU lain. Banyak kot PLU yang bersepah sepah dalam KL ni. Kat dalam Planet Romeo tu pun banyak. Pilih je mana satu yang kau berkenan. Kau tu pun comel. Senang la dapat jantan jantan PLU kat dalam PR tu.” Haiqal memberi cadangan.

        “Aku pun ada terfikir macam tu juga tapi susahlah...aku masih sayangkan Aidil. Susah aku nak jumpa lelaki yang hebat macam Aidil.” Haiqal melepaskan keluhan mendengar kata kata Iqwan itu. ‘Tak habis habis dengan Aidil dia.” Bisik hati Haiqal. Keadaan sepi seketika.

       “Kau datang melepak kat rumah aku ni...kau tak ada assignment ke nak kena buat?” Soal Iqwan. Dia sudah malas mahu berbincang soal Aidil lagi saat itu.      

       “Ada...tapi deadlinenya lambat lagi. Rileks rileks la dulu. Asyik baca buku dan buat assignment je, otak pun jadi tepu.” Balas Haiqal. Haiqal sekarang sedang menyambung pelajaran Ijazah Sarjananya di sebuah univerisiti awam. Iqwan tabik dengan Haiqal kerana masih bersemangat lagi untuk belajar. Sejak habis Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam, dia sudah malas mahu belajar lagi. Dia lebih selesa untuk bekerja. Dia sudah malas mahu mengadap muka pensyarah, buku, nota, pembentangan dan assignment. Dia lebih suka mengadap duit hasil daripada titik peluhnya bekerja sebagai seorang jurutera muda.  

        “Hoi, apa yang kau termenung tu? Ingatkan Aidil ea? Sudah sudah la tu...esok lusa datang la si Aidil tu ke pangkuan kau. Haha.” Haiqal ketawa. Terpancung lamunan Iqwan sebentar tadi.

      “Aku bukan ingat pasal Aidil la... aku cuma kagum dengan kau yang masih nak sambung belajar lagi. Tak macam aku, habis degree nak terus kerja. Kau serius ke nak sambung sampai PhD ni?”

         “Insha Allah...kalau diberi kekuatan oleh Allah...aku akan belajar sampai PhD. Yalah, aku kan nak jadi pensyarah. Bidang yang aku amik ni bukan banyak sangat peluang kerja. Jadi aku kena terus belajar sampai PhD pastu boleh jadi pensyarah kat mana mana universiti.” Jawab Haiqal.

          Haiqal sebenarnya mengambil Ijazah Sarjana Kesusasteraan Melayu sekarang. Semasa dia mengambil Ijazah Sarjana Muda dahulu, dia mengambil bidang Bahasa Melayu dan Linguistik. Entah mengapa lelaki lembut yang berada di hadapannya itu suka sangat Bahasa Melayu. Bila ditanya mengambil ambil bidang tu, dia jawab sebab dia minat dan dia kata senang belajar. Entah di mana senangnya belajar Bahasa Melayu dan sastera itu dia sendiri tidak tahu.

      Sejujurnya dia tidak minat subjek membaca dan berbahasa ini. Dia lebih suka subjek mengira dan sebab itulah dia ambil bidang kejuruteraan awam. Sebenarnya dia tidaklah minat sangat dengan bidang itu. Tetapi memandangkan abangnya sudah menjadi seorang jurutera berjaya, dia teringin untuk mengikut jejak langkah abangnya. Mana tahu dia juga boleh menjadi seperti abangnya.      

      Dia memandang ke arah Haiqal. Haiqal sebenarnya adalah jiran biliknya semasa dia, Haiqal dan Aidil mengambil ijazah sarjana muda dahulu. Haiqal bukanlah seorang lelaki yang kacak seperti Aidil dan dirinya. Di wajah Haiqal terdapat banyak bekas bekas jerawat dan sebuah cermin mata sentiasa melekat di batang hidung lelaki tersebut. Haiqal seorang lelaki yang simple dan agak konservatif. Potongan rambut Haiqal dari zaman sekolah hinggalah ke zaman universiti sama sahaja. Tidak pernah berubah walaupun sekali. Diketahuinya perkara itu apabila dia stalk akaun Facebook milik Haiqal. Walaupun Haiqal kelihatan seperti itu, Haiqal bukan budak nerd tetapi agak lembut sikit orangnya seperti Chef Wan. 

      Ke mana sahaja Haiqal pergi, dia suka memakai baju T berkolar dan berseluar jeans serta berselipar. Setahunya Haiqal jarang memakai kemeja kecuali jika ke kelas. Itupun jika diwajibkan oleh pensyarah. Jika tidak, jangan haraplah Haiqal akan memakai kemeja.

       Dia mengenali diri Haiqal kerana mereka adalah jiran di kolej kediaman sewaktu di universiti dahulu. Biliknya memang bersebelahan dengan bilik Haiqal. Haiqal satu bilik dengan Chris – seorang lelaki Cina yang agak kacak, macho dan berotot manakala dia adalah satu bilik dengan Aidil. Di kolej kediamanlah dia mengenali Aidil lalu mereka menjalinkan hubungan cinta yang sudah bertahan tiga tahun lamanya cuma sejak Aidil berkahwin ini, hubungan mereka agak renggang sedikit kerana Aidil lebih banyak meluangkan masa dengan isteri berbanding dirinya.   

      Haiqal mengambil bidang Bahasa Melayu dan Linguistik manakala dia mengambil bidang kejuruteraan awam. Aidil mengambil bidang undang undang dan Chris pula mengambil bidang pentadbiran perniagaan. Aidil sekarang sedang dalam proses untuk menjadi peguam dan dia pula sudah sebulan bekerja sebagai jurutera muda di sebuah syarikat pembinaan gergasi yang terletak di Kuala Lumpur. Haiqal seperti yang diberitahu sebelum ini dia mahu menjadi pensyarah Bahasa Melayu maka dia menyambung pengajian lagi di peringkat ijazah sarjana. Chris sekarang sudah menjadi penolong pengurus besar di syarikat milik keluarganya.

       Dia dan Aidil memang rapat dengan Haiqal kerana Haiqal juga seorang PLU cuma Haiqal tidak pernah terjebak dalam dunia PLU secara berlebihan. Dia hanya mencintai lelaki terutama Chris yang memang kacak dan seksi itu tetapi dia tidak pernah pergi lebih daripada itu. Sayangnya Chris bukan PLU dan Chris tidak tahu yang Haiqal mencintainya. Berbeza dengan dirinya, Haiqal tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mana mana lelaki dan tidak pernah menjejakkan kaki ke kelab kelab gay. Cuma Haiqal perlu hebat menahan nafsunya apabila Chris selalu tidak berbaju dan hanya memakai boxer sahaja ketika berada di dalam bilik. Lebih mengghairahkan apabila Chris sering membuka bajunya seusai dia habis bermain futsal. Peluh peluh yang mengalir di celah celah dada bidang dan six packs Chris itu bukan sahaja mencabar nafsu Haiqal malah nafsu dia juga. Namun dia boleh dipuaskan apabila Aidil sentiasa ada di sisi kerana Aidil juga tidak kurang hebatnya berbanding Chris. Apa yang ada pada Chris, ada juga pada Aidil. Sebab itulah dia tidak terlalu kisah tentang Chris cuma dia tidak tahu bagaimana Haiqal boleh menahan nafsunya apabila berhadapan dengan Chris yang seksi ‘gila’ itu.   
 
        Dia begitu kagum dengan Haiqal kerana berupaya menahan tuntutan naluri songsangnya. Mungkin kerana Haiqal terdedah dengan pendidikan agama sejak kecil dan jarang sekali mahu meninggalkan solat dengan sengaja serta acapkali membaca Al Quran menyebabkan Haiqal terpelihara daripada melakukan perbuatan maksiat seperti itu. 

        “Haiqal, kau ingat tak dekat Chris?” Soal Iqwan memecahkan kesunyian yang melanda.

       “Mestilah aku ingat, dia sekarang dah bertunang dengan Nancy, awek dia kat fakulti pergigian tu.” Jawab Haiqal.

       “Aku tahu tu. Hmm...kau tak cemburu ke? Hehe.” Iqwan tersenyum nakal.

        “Ishh, nak cemburu buat apa? Baguslah dia dah bertunang. Apa pasal pula aku nak cemburu?” Haiqal menjawab tenang.

       “Ye la...kau kan suka kat Chris yang hensem gila tu. Tak banyak, sikit mesti ada perasan cemburu tu.”

      “Hahaha...aku tak pernah cemburu la...memang la aku suka kat dia tapi aku dah didik hati aku ni supaya jangan sesekali mengharap dia akan balas  cinta aku. Dia kan lelaki straight. Aku tak nak bawa dia ke dalam cinta songsang macam ni. Aku sangat bahagia tengok dia bahagia.”  

       “Sikit pun kau tak ada rasa cemburu? Sumpah?” Iqwan merenung wajah Haiqal tajam.

      “Ya Allah...sumpah! Lagipun aku ni dah biasa sangat jatuh cinta dengan lelaki kacak macam Chris tu. Tengok artis lelaki kacak dalam tv tu pun aku dah boleh jatuh cinta. Maksudnya dah beratus malah beribu kali aku dah jatuh cinta dengan lelaki kacak dan semuanya aku tak pernah dapat. Setakat jatuh cinta dengan Chris tu, sehari dua je aku boleh lupakan.” Balas Haiqal.

        “Aku tabik la dengan kau. Macam mana la kau boleh tahan nafsu kau tengok Chris yang seksi tu. Macam mana la kau boleh tak ada perasaan cemburu bila Chris tu dah bertunang.”

       “Kau kena ingat Iqwan. Cinta PLU macam kita ni dilaknat oleh Allah. Bukan Allah je, Nabi pun tak mengaku umat tau. Masyarakat pun pandang jijik pada kita. Kita tak boleh simpan perasaan cinta kita pada mana mana lelaki sebab Allah tak restu. Kita kena lawan perasaan tu dan cuba hindarkan diri kita dari dunia gay ni. Biarlah kau tak kahwin dengan mana mana perempuan pun asalkan kau tak terjebak dalam dunia gay ni.” Haiqal memberi nasihat.

      Iqwan terdiam sambil menghadam kata kata Haiqal tadi. Apa yang disampaikan oleh Haiqal itu banyak betulnya. Cintanya dengan Aidil itu tidak direstui oleh Allah sebab melanggar hukum alam dan hukum Tuhan. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia mahu jadi seperti itu.   

       “Kau kena ingat Iqwan, walau apa pun kau buat, cinta kau dengan Aidil tu tetap salah. Ia salah dari semua segi. Kau kena belajar terima hakikat yang suatu hari nanti Aidil akan pergi tinggalkan kau. Ingat Iqwan, semua cinta itu indah tetapi bukan semua cinta yang indah itu boleh dimiliki.”  Haiqal berfalsafah. Memang wajarlah orang yang minat bahasa sepertinya berfalsafah. Walaupun kata kata Haiqal itu ringkas sahaja, tetapi membawa makna yang sangat mendalam.

       “Okeylah, hujan pun dah nak berhenti. Aku nak baliklah. Terima kasihlah Iqwan sebab sudi bancuhkan kopi ni untuk aku. Sedap betul kopi kau. Lain kali aku akan selalu datang minum kopi kat sini. Hehe.” Haiqal memuji.

      “Boleh je...kalau kau senang, tak ada benda nak buat, just datang je la rumah aku. Nanti aku bancuh kopi sedap sedap untuk kau. Oh ya, kau nak balik ni, nak naik apa?” Iqwan bertanya.

       “Naik LRT la macam biasa. aku mana ada kereta. Lesen kereta pun tak ada lagi.” Jawab Haiqal sambil berdiri.

       “Hah, takpe. Kau tunggu jap. Aku nak salin baju. Pastu aku hantar kau balik asrama.”

        “Eh, tak payahlah Iqwan. Susahkan kau je.”

        “Tak susahlah...aku pun nak keluar sebenarnya. Nak pergi Tesco. Nak beli barang dapur yang dah habis tu.”

      “Oklah kalau macam tu. Aku ikut je.”




Bersambung.... 

1 ulasan:

  1. Teruskan cerpen saudara MNH. Siapa tau suatu masa nanti jadi penulis tersohor.. Inshaa-Allah

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.