Khamis, 11 Jun 2015

MENEGUR, MENGKRITIK, ATAU MENGHENTAM?

Sumber : Google

Jika difahami secara kasar, mungkin istilah menegur, mengkritik atau menghentam membawa maksud yang sama dalam konteks yang kita faham pada hari ini namun pada saya, sebagai seorang blogger dan mahasiswa, ketiga tiga istilah tersebut membawa maksud yang berlainan.

Menegur pada saya lebih lembut dan sopan. Menegur kesilapan seseorang terutama ahli politik adalah perlu untuk memastikan survival agama, bangsa dan tanah air dapat dipertahankan. Apabila kita menegur kesilapan seseorang, orang tersebut mungkin dapat menyambut baik teguran kita kerana kita menyampaikannya dengan cara yang sopan. Menegur selalunya dibuat secara tertutup dan bersemuka. Ia tidak dibuat dihadapan orang ramai kerana untuk menjaga aib orang tersebut. Menegur juga menggunakan bahasa yang baik supaya orang tersebut tidak terguris hati mendengar teguran kita.

Berbeza dengan menegur, mengkritik lebih keras dan pedas. Mengkritik dilakukan apabila pendekatan menegur sudah acapkali dibuat namun tiada apa apa tindakan positif yang berlaku. Untuk pengetahuan semua, bukan semua orang boleh menerima kritikkan kerana mengkritik biasanya menggunakan bahasa yang kasar, keras dan kadang kala bersifat kurang ajar. Mengkritik biasanya dibuat secara berhadapan untuk menyedarkan orang yang dikritik. Mengkritik sebenarnya bergantung kepada niat si pengkritik. Jika seseorang pengkritik itu mahu menyedarkan orang yang dikritik, maka mungkin aib orang tersebut dapat dijaga dan orang yang dikritik mungkin dapat menerima kritikkan tersebut. Tetapi, jika niat si pengkritik memang mahu menjatuhkan aib orang yang dikritik, maka maruah orang yang dikritik akan jatuh dan orang yang dikritik tidak dapat menerima kritikkan tersebut. 


Menghentam pula lebih kurang sama sifatnya dengan mengkritik cuma mungkin lebih bersifat kejam, menjatuhkan, kasar, dan kurang ajar. Ramai orang masih boleh menerima kritikkan namun tidak ramai orang boleh menerima hentaman. Kebiasannya, apabila terjadi sesuatu isu, seperti isu pegang anjing dengan sengaja, ramai orang lebih suka mengambil sikap menghentam si pelaku menyebabkan si pelaku marah lalu mewujudkan permusuhan dan perbalahan. Ini kerana sifat menghentam itu sendiri menggunakan bahasa yang kasar dan menyakitkan hati.  Menghentam biasanya dibuat di khalayak ramai dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah orang yang dihentam.

Sebagai mahasiswa, saya ingin membicarakan istilah menegur, mengkritik, dan menghentam ini dalam konteks politik. Sejujurnya saya lebih suka menggunakan istilah menegur dalam memperkatakan kelemahan kepada mana mana ahli politik dalam setiap tulisan tulisan saya di dalam blog ini. Saya yakin jika saya menggunakan pendekatan mengkritik atau menghentam seperti mana blogger blogger lain, barangkali saya mungkin dikenakan tindakan undang undang kerana bukan semua ahli politik boleh menerima kritikkan apatah lagi menerima hentaman.

Begitu juga apabila saya menulis isu hiburan, sukan, sosial, sastera dan kemasyarakatan dalam blog ini, saya juga menggunakan pendekatan yang sama. Saya tidak mahu orang yang menjadi subjek tulisan saya berasa tersinggung dengan tulisan saya hingga mewujudkan permusuhan seterusnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam. Lebih parah lagi jika orang tersebut mengambil tindakan terhadap saya kerana tidak berpuas hati dengan tulisan tulisan saya.

Sebagai seorang mahasiswa, saya lebih suka menulis dengan menggunakan pendekatan ilmiah dalam membuat teguran. Saya tidak suka memasukkan istilah atau perkataan yang tidak elok seperti 'bangang', 'bodoh', 'mampus' dan sebagainya di dalam tulisan tulisan saya. Oleh sebab itulah, saya menggunakan ‘bahasa buku’ dalam tulisan tulisan saya di dalam blog ini kerana saya sudah terdidik dengan cara sebegitu. Saya juga cuba memastikan yang tulisan saya tidak mengguris hati orang yang membacanya dan orang lain pun boleh mendapat manfaat daripadanya.   

Sebagai manusia, sudah pasti kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Oleh itu, wajarlah kita memberi teguran yang baik kepada orang yang mahu kita tegur itu kerana mungkin kita juga boleh melakukan kesilapan yang sama seperti mana yang telah dia lakukan. Kalau kita tidak suka dikritik atau dihentam, kita juga janganlah melakukan perkara yang sama kepada orang lain. 

Pada saya teguran yang baik bukan sahaja dapat menyedarkan seseorang, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam. Jika kita terus menghentam atau mengkritik dengan kasar, tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang lain, mungkin akan mewujudkan permusuhan diantara kita.


Akhir kata, jika anda tidak berpuas hati dengan seseorang atau sebilangan anggota masyarakat, wajarlah anda menegurnya dengan cara yang baik terlebih dahulu. Gunakanlah bahasa yang sopan dan pendekatan ilmiah untuk menyedarkannya dan pada masa yang sama juga dapat membina hubungan yang baik dengannya. Jika tidak berhasil juga, wajarlah pendekatan mengkritik dan menghentam dilakukan.   

2 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.