Khamis, 8 Januari 2015

CERPEN : KECURANGAN

Sumber : Google

          “Gembira sakan nampak? Menang loteri ke?” Usikku kepada Teresa, gadis Cina yang berusia 28 tahun itu. Dia baru sahaja melangkah masuk ke pejabat sambil menyanyi riang. Tersungging juga senyuman lebar di bibirnya.
         “Tak baik tau you cakap macam tu sama saya. Saya baru balik dari Ipoh la semalam sama saya punya boyfriend.” Ujar Teresa.
         “Oh...you baru jumpa you punya mummy sama daddy ye?” Soalku.
         “Yes. Saya gembira diorang sihat.” Balas Teresa. “Lagi gembira bila hari ni birthday saya. Jeremy nak ajak saya makan malam kat hotel malam ni.”
         “Amboi...seronoknya dapat sambut birthday dengan Jeremy. Makan kat hotel lagi...” Usikku.
         “Mestilah. Bukan senang maa Jeremy mahu ajak saya makan dekat itu hotel.” Kata Teresa.
          “Okeylah...saya ucapkan selamat hari lahir. Semoga panjang umur dan cepat cepat kahwin dengan Jeremy.” Ucapku ikhlas sambil tersenyum.
        “Hahaha...terima kasih la Halim. You manyak baik punya kawan. Tak ada hadiah untuk saya ka?”
       “Tak ada Teresa. Saya belum gaji lagi.”
      “Apa la you Halim. Beli hadiah untuk saya pun mahu kira ka?”

       “You dapat hadiah dari Jeremy pun sudah baguslah...itu Jeremy bila mahu ajak you kahwin? Sampai bila you mahu kawan saja? You bukan muda lagi. Sudah 28 tahun tau.”
         “Entahlah Halim. Itu Jeremy saya sudah ajak kahwin tapi dia tak mahu la. Susah la itu olang.”
          “You mesti paksa dia. Baru bagus kalau sudah kahwin. Ada orang jaga sama you.” Aku menasihatinya.
        “Tengoklah macam mana. Nanti saya bincang balik sama Jeremy.”
        “Ha.. macam itulah. Okeylah Teresa. Saya ada banyak kerja mahu bikin. You pun buat kerja jugalah. Jangan asyik ingat sama Jeremy saja.” Usikku lagi.
        “Okeylah...okeylah...saya buat itu kerja sekarang. Hahaha.” Teresa ketawa apabila mendengar kata kataku.
          Aku terus bergegas ke bilikku untuk menyiapkan tugasan yang sememangnya banyak itu. Aku memerhatikan Teresa. Ya, Teresa memang cantik campur seksi lagi. Untung sekali dia bukan Melayu dan bukan Islam. Jika tidak, sudah lama aku sambar Teresa untuk menjadi isteriku. Apabila teringat isteri dan tiga orang anakku di rumah, lekas lekas aku beristighfar.
          Namun, sukar untuk aku nafikan yang Teresa memang cantik cuma dia tidak lagi berkahwin dengan teman lelakinya sejak mereka di tingkatan tiga lagi iaitu Jeremy. Ini bermakna sudah 14 tahun mereka menyulam cinta! Aku berasa aneh mengapa mereka tidak lagi mendirikan rumahtangga. Aku sudah ada dua orang anak tetapi Teresa, masih lagi anak dara!
         Hati aku sering mengatakan bahawa hubungan mereka tidak akan kekal lama. Hubungan mereka sekadar cinta monyet zaman remaja sahaja. Mereka bukan menyulam cinta sejati sebaliknya mereka menenun cinta yang penuh kepalsuan dan kepuraa puraan. Cinta mereka sekadar suka suka dan untuk berseronok sahaja. Cinta mereka tidak tulus untuk dibawa sampai ke mati.
        Aku tidak tahu siapa di antara mereka berdua yang tidak serius dalam perhubungan tersebut. Baik Jeremy mahupun Teresa. Harapan aku hanya satu, hubungan mereka akan berkekalan sampai ke jinjang pelamin. Aku melihat Teresa gadis yang baik dan cantik. Sesuai sekali dengan Jeremy. Walaupun Jeremy itu tidak tampan mana, namun lelaki Cina itu ada gaya tersendiri dalam berpakaian. Lelaki Cina itu ada imej yang hendak ditonjolkan. Walaupun rupanya ala kadar sahaja, namun dia punya gaya. Gayanya tidak ubah seperti artis artis Korea yang menghiasi pelbagai halaman majalah yang terdapat di negara ini. Pengaruh gelombang Hallyu begitu membesar dalam diri anak muda itu.
        Dengan memastikan fesyennya sentiasa dikemaskini, dicampur pula dengan gaya rambutnya yang berwarna dan mengikut gaya terkini, mungkin itulah yang menarik minat Teresa terhadap lelaki itu. Ya, cinta itu buta. Cinta tidak mengenal usia dan rupa tetapi dapat dirasai dalam hati dan jiwa. 
         Satu hari aku melihat Ani, seorang kerani di syarikat itu merangkap rakan sekerjaku sedang rancak bergosip dengan Gewa, rakannya berbangsa India yang duduk di sebelah mejanya. Ani memang terkenal dengan sikap suka bergosipnya. Ada sahaja cerita tentang rakan sepejabatnya untuk dikongsi bersama Gewa. Gewa pula yang sememangnya minat gosip, sudah pasti akan melayan kerenah Ani itu. Amat kenalah mereka berdua. Secocok!
          “Apa yang korang berdua gosipkan tu?” Soalku ketika menghampiri meja kerja mereka berdua.
          “Tak ada apa apalah Encik Halim. Kami berbual bual kosong je...” Jawab Ani sambil tersipu sipu malu.
          “Alah...macamlah saya tak kenal awak berdua. Awak berdua je dalam pejabat ni yang suka bergosip. Kali ni cerita siapa pula yang awak bongkarkan?” Aku bertanya kepada Ani.
          “Mana ada gosiplah Encik Halim. Kami berbual bual kosong saja. Kami berbual pasal perkara lain.” Balas Gewa yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Mungkin dia ramai kawan Melayu agaknya.
          “Jangan nak bohong dengan sayalah. Saya bukan kenal awak sehari dua. Lagipun saya ni ketua awak. Segala tindak tanduk awak berdua sentiasa menjadi perhatian saya.” Mereka terdiam mendengar kata kataku. Sebagai Ketua Bahagian Kewangan, memang aku sentiasa memerhatikan dan memantau gerak geri orang bawahanku supaya mereka dapat melakukan tugas dengan betul dan tepat pada masanya.
          “Ceritalah dengan saya. Saya pun nak tahu juga.” Ujarku apabila melihat mereka berdua hanya mendiamkan diri. Entah mengapa aku seolah olah mahu tahu benar tentang gosip yang mereka bualkan tadi. Kebiasaanya, aku langsung tidak mengambil endah tentang apa yang mereka bualkan.   
          “Betul Encik Halim mahu tahu?” Soal Ani sambil memandang ke wajahku untuk meminta kepastian. Aku mengangguk.
          “Tapi Encik Halim mesti janji yang Encik Halim takkan beritahu sesiapa cerita ni.” Kata Gewa.
         “Baiklah, saya janji.” Balasku.
         “Sebenarnya Encik Halim, Teresa tu bukan anak dara lagi!” Beritahu Ani dengan bersungguh sungguh. Aku agak terkesima dengan kata kata yang keluar dari mulut Ani itu namun aku cuba mengawalnya.
         “Ishh, tak baik awak cakap macam tu? Mana awak tahu dia tak ada dara lagi? Awak dah periksa ke?” Soalku kurang percaya.
        “Sepupu saya tinggal berjiran dengan Teresa. Untuk pengetahuan Encik Halim, Jeremy tinggal serumah dengan Teresa. Cuba Encik Halim fikir, apa yang akan terjadi kalau seorang lelaki dan seorang perempuan akan buat apabila mereka tinggal serumah?” Aku hanya diam. Benar kata Ani. Tetapi aku masih terkejut. Aku percaya kata kata Ani kerana Teresa dan Jeremy itu berbangsa Cina. Tidak menjadi masalah untuk mereka tinggal serumah walaupun tanpa ikatan perkahwinan. Sikap mereka tidak boleh dicontohi oleh orang Melayu/Islam. Memang kena serbu dengan pejabat agamalah jawabnya. 
          Dengan berita yang tidak disangka sangka dari Ani itu, aku mula khuatir memikirkan soal Teresa. Teresa sudah seperti adikku sendiri walaupun kami berlainan agama dan bangsa. Aku bukan risau apa. Aku risau sekiranya hubungan antara Jeremy dan Teresa retak. Lebih parah lagi apabila Teresa hamil. Tidakkah sukar untuk Teresa meneruskan kehidupan pada waktu itu?
          Aku cuba untuk menasihati Teresa pada suatu  hari berkenaan dengan perkara itu. “Teresa, lebih you cepat cepat kahwin sama itu Jeremy. Tak baik tinggal serumah tanpa ikatan perkahwinan macam yang you buat sekarang sama Jeremy.”
         “Macam mana you tahu saya tinggal serumah sama Jeremy?” Soal Teresa yang jelas terkejut dengan kata kataku.
         “Tak perlulah you tahu mana saya dapat tahu. Yang penting sekarang you mesti cepat kahwin sama Jeremy. Nanti kalau you hamil nanti lagi susah.”
        “Saya sudah cakap sama Jeremy yang saya mahu kahwin sama dia tapi dia cakap dia belum cukup duit lagi. Haiyaa...saya pun tak tahu la mahu cakap apa lagi.” Jelas kelihatan riak sedih tergambar di wajahnya. Aku berasa kasihan dengan Teresa. Aku dapat merasakan Jeremy bukanlah lelaki yang baik. Dia menggunakan cinta semata mata untuk memenuhi tuntutan nafsu seksnya sahaja sebagai seorang lelaki. Lelaki seperti itu memang tidak berguna.
            “Kalau saya jadi you. Sudah lama saya tinggalkan Jeremy. Saya dapat rasakan dia tidak mencintai diri you sepenuh hati. Dia hanya mahu tubuh you sahaja.” Luahku dengan berani dan berterus terang.
           Jelas Teresa terkejut dengan kata kataku. Dia terus bersedih dan termenung di situ juga sambil memikirkan sesuatu. “You fikirlah baik baik. Tak guna you mencintai seorang lelaki yang jelas tindak mencintai you. Kalau dia mencintai you, sudah lama dia ajak you kahwin. You bercinta bukan baru tau. Sudah empat belas tahun!”
          “Saya yakin Jeremy cintakan saya. Dia tidak berkahwin dengan saya bukan kerana dia tidak mencintai saya tetapi dia tidak cukup duit lagi. Perbelanjaan kahwin dalam masyarakat Cina sangat mahal. Okeylah Halim. Saya ada kerja. Saya pergi dulu.” Kata Melisa dan terus meninggalkan diriku dengan tergesa gesa.. Aku sekadar memerhatikan sahaja dirinya.
          Hari demi hari kami menjalani kehidupan seperti biasa. Aku sudah jarang bertemu dengan Teresa kerana kesibukan tugasku. Begitu juga dengan Teresa. Sebagai Penolong Pengurus Besar syarikat tersebut, tugasnya lebih banyak dariku.
          Satu ketika aku keluar makan tengah hari bersama dengan rakan rakan sepejabatku. Kami makan di sebuah kedai mamak yang berhampiran dengan bangunan pejabatku. Apabila aku masuk sahaja ke kedai mamak itu, aku melihat Jeremy sedang makan berdua dengan seorang gadis Cina. Gaya mereka amat mesra sekali. Perlakuan mereka langsung tidak menggambarkan mereka rakan sepejabat atau rakan karib tetapi lebih kepada sebagai seorang kekasih. Hati aku mula tidak sedap. Hanya satu sahaja perkataan yang muncul di fikiranku pada waktu itu : curang!
         Setelah menghabiskan makan tengah hari, aku lantas pulang ke pejabat. Aku memberitahu kepada Teresa apa yang aku lihat. Nyata Teresa tidak curiga atas perkara itu. Malah dia tidak berasa sedih pun.
         “Itu kawan dia maa...saya sudah tahu. Itu perempuan kawan satu pejabat dia.” Ujar Teresa kepadaku. Aku tidak berkata apa apa lagi. Teresa sudah pun mengambil pendekatan begitu. Tetapi bagiku cara Jeremy itu tidak kena. Tidak sepatutnya dia bermesra mesraan dengan perempuan lain sebegitu rupa walaupun perempuan itu adalah rakan sepejabatnya. Aku yakin hubungan Jeremy dengan gadis itu bukan hubungan biasa. Bukan hubungan antara kawan dengan kawan tetapi lebih dari itu.
          Walaubagaimanapun, memandangkan Teresa sendiri tidak kisah, mengapa pula aku yang mesti sibuk sibuk. Teresa sendiri langsung tidak mempamerkan riak cemburu atas tindakan teman lelakinya itu dan mengapa pula aku mesti berlebih lebihan? Aku lantas meninggalkan Teresa dan melupakan perkara itu.
         Beberapa minggu selepas itu, ketika aku sedang menyiapkan tugasan di bilik kerjaku, aku mendengar suara yang hingar bingar di luar. Lantas aku keluar dari kamar kerjaku untuk melihat apa yang sedang berlaku. Tahulah aku bahawa Teresa pengsan di bilik air. Aku bertanya kepada pekerja pekerja yang berada di situ mengapa Teresa bisa pengsan namun tiada siapa pun yang tahu.
          Apabila Teresa sudah sedar, aku bertanya pada dirinya mengapa dia boleh pengsan. Dia menceritakan sesuatu kepadaku dan aku langsung tidak terkejut dengan ceritanya kerana aku sudah tahu sejak dari mula lagi.
        “Jeremy sudah meninggalkan saya. Dia sudah ada teman wanita lain.” Ujar Teresa sambil menangis teresak esak.  
         “You sudah lupa apa yang saya beritahu pada you dulu. Jeremy secara senyap senyap telah berlaku curang terhadap you. Tapi you langsung tidak mahu mengambil kisah cakap saya.” Kataku.
          “Saya menyesal Halim. Saya menyesal...tak guna punya Jeremy. Saya sudah bagi dia segala galanya tapi ini balasan dia pada saya.” Teresa terus menangis dan menangis.
         Aku tidak mampu berkata apa apa lagi. Nasi sudah pun menjadi bubur. Tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Ini adalah soal hati dan perasaan. Oleh itu, ia tidak boleh dipaksa paksa. Aku tidak boleh memaksa Jeremy untuk mencintai Teresa semula. Hatinya sudah ada pada gadis lain.
          “Sudahlah tu Teresa...lupakan saja Jeremy. Cari saja lelaki lain. Ramai lagi lelaki yang lebih tampan dan lebih hebat dari Jeremy. Jangan musnahkan hidup you semata mata untuk lelaki yang curang macam tu.” Aku memberi nasihat kepada Teresa. Teresa hanya mendiamkan diri dan aku pula meninggalkannya untuk memberi ruang buat dirinya untuk berfikir.
         Masa terus berlalu tanpa menunggu manusia walaupun sekali. Beruntunglah kepada manusia yang menggunakan masa itu dengan sebaik mungkin dan rugilah kepada manusia yang menggunakan masa itu dengan sia sia. Aku juga terus menjalani hidupku seperti biasa sebagai seorang manusia, hamba Allah, bapa, suami, anak dan seorang pekerja. Tiada apa apa perubahan dalam hidup aku dalam masa setahun itu kecuali hubungan aku dengan Teresa tidak lagi semesra dahulu.
         Persahabatan aku dengan gadis Cina itu seolah olah terputus begitu sahaja. Setiap kali aku ingin berbual bual dengannya, aku melihat dirinya selalu sahaja termenung. Kadang kadang dia menangis keseorangan di meja kerjanya. Bukan sahaja dengan aku, dengan pekerja pekerja lain pun dia tidak mesra juga. Secara tidak langsung, dia telah pun kehilangan kawan kawannya gara gara kesedihannya ditinggalkan oleh bekas kekasihnya, Jeremy.
        Melihat dirinya yang selalu termenung, muram, bersedih dan kerap menangis itu menyebabkan aku dan kawan kawannya tidak berani untuk mendekati dirinya. Kami hanya bisa melihat dari jauh sahaja. Kami juga hanya mampu bersimpati dari jauh sahaja.
           “Argghhh!!!” Aku terdengar suaru jeritan seorang perempuan ketika aku sedang membancuh Nescafe di pantri pejabatku. Kebetulan pantri itu berhampiran dengan tandas jadi jelas sekali suara jeritan itu. Aku bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku. Aku melihat sudah ramai orang yang terdiri dari lelaki dan perempuan sudah berkerumun di luar tandas. Tidak lama kemudian ada beberapa orang perempuan sedang mengusung seorang perempuan yang telah pengsan keluar.
          Terkejut diriku apabila melihat perempuan itu adalah Teresa. Titisan darah mengalir di pergelangan tangannya. Rupa rupanya dia telah membunuh dirinya di dalam tandas dengan cara mengelar pergelangan tangannya. Seorang perempuan Melayu di situ telah meletakkan jarinya di nadi Teresa untuk mengetahui sama ada dia masih hidup atau tidak.
          “Macam mana dengan keadaan dia?” Soalku kepada wanita Melayu itu yang juga salah seorang pegawai di syarikat tersebut. Wanita itu seraya memandang wajahku sambil mengelengkan kepalanya tanda Teresa sudah pun tiada lagi di dunia ini. Perasaan hiba mula menyerang perasaanku.
          Aku sedih dengan kematian Teresa. Aku sedih dengan tindakan Teresa yang mengambil keputusan bodoh seperti itu hanya kerana seorang lelaki yang berlaku curang dengannya. Sesungguhnya Jeremy memang lelaki tidak berguna. Dia langsung tidak nampak akan keikhlasan Teresa mencintai dirinya sepenuh hati dan jiwa raganya. Aku bersimpati dengan nasib yang menimpa Teresa. Aku kesal dengan dengan tindakan Teresa. Namun...semuanya sudah tiada lagi. Pergilah Teresa...selamat tinggal sahabat baikku..... 


























7 ulasan:

  1. Cerita yang lain dari lain.. Biasanya yg guna 'aku' akan cerita kisah hidup dia tapi 'aku' dalam cerpen ni cerita kisah kawan baik dia... Nice!! Sy sgt jealous orang yang boleh tulis guna first point of view ni...

    BalasPadam
  2. saya terus baca cerita... tak baca pun tajuk... ingat kisah diri sendiri... cerpen rupanya... sedapnya baca dari mula sampai habis... niceeee, satu jempol untuk anda

    BalasPadam
  3. Hehehe mula2 baca ingatkan duk bercerita cam kawan2 gitu ..Oh ceren rupanya..Ok ..kita suka baca dan suka citer ni hehehehe .......Buat ingatan untuk kita jugak jangan ambil jalan mudah kalau kita kecewa...Ingat tu sayangilah diri sendiri...

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.