Isnin, 22 September 2014

NASIHAT UNTUK MENTERI BESAR SELANGOR

Azmin Ali

        Teka teki siapakah yang akan menjawat jawatan Menteri Besar Selangor sudah terjawab semalam. Desas desus yang mengatakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Azmin Ali sebagai calon yang akan menduduki kerusi panas itu sejak belakangan ini sudah pun menjadi kenyataan apabila Sultan Selangor mengesahkan bahawa Azmin akan dilantik menduduki jawatan itu hari ini. Azmin akan mengangkat sumpah untuk memegang jawatan itu pada hari ini.


       Walaupun secara peribadi saya tidak bersetuju Azmin menduduki jawatan itu namun siapalah saya untuk menghantar sembah derhaka kepada Sultan Selangor. Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik sesiapa sahaja bagi menduduki jawatan itu mengikut lunas lunas yang ada dalam Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Suka atau tidak saya perlu bersetuju dengan pelantikan Sultan Selangor itu kerana saya percaya bahawa Tuanku telah menimbang buruk dan baik perlantikan Azmin tersebut.

      Nasihat saya kepada Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru adalah jangan terlalu gembira dengan pelantikan itu walaupun cita cita anda sudah tercapai. Ingatlah, masih ramai musuh musuh anda di luar sana dan akan cuba mencari jalan untuk menjatuhkan anda. Kedua, Azmin juga jangan terlalu banyak berpolitik sebaliknya selesaikanlah pelbagai masalah yang melanda rakyat Selangor pada masa kini.  Ketiga, jangan sesekali membatalkan perjanjian bekalan air dengan kerajaan pusat kerana itu akan membuatkan rakyat tambah merana dan menderita. Teruskanlah perjanjian yang telah dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim suatu ketika dahulu bersama kerajaan pusat. Keempat, selesaikan masalah politik antara semua pemimpin Pakatan Rakyat yang sudah hampir mahu pecah dan terbelah itu. Pastikan mereka tidak berkelahi lagi kerana isu yang remeh temeh. Tidak bagus sebenarnya jika pemimpin selalu bergaduh kerana akan memberi kesan yang buruk kepada rakyat bak kata pepatah gajah sama gajah berbalah, pelanduk mati di tengah tengah!

   Kelima, Azmin juga perlu membina hubungan yang baik dengan kerajaan pusat kerana itu akan memudahkan Azmin jika memerlukan bantuan dari kerajaan di bawah pimpinan Najib itu. Keenam, Sebagai pemimpin yang beragama Islam dan berbangsa Melayu, Azmin perlu menjaga Islam dan Melayu seperti mana dia menjaga dirinya sendiri. Jangan sesekali membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu dan jangan sesekali memulangkan Bible yang telah dirampas oleh Majlis Agama Islam Selangor kepada pihak yang terlibat dan yang terakhir binalah hubungan yang baik dengan Sultan Selangor kerana baginda adalah Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Selangor.

   Buat Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pelantikan Azmin itu, jangan sesekali melakukan kekacauan di dalam negeri Selangor lagi seperti mana yang telah beliau lakukan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Terimalah keputusan Sultan Selangor itu dengan hati yang terbuka walaupun Tuanku tidak memilih isteri beliau sebagai MB yang baru.

   Buat Tan Sri Khalid Ibrahim, janganlah rasa sedih dan kecewa kerana terpaksa meletak jawatan akibat permainan kejam musuh musuh beliau. Teruskan berjuang untuk rakyat walaupun tidak bersama PKR mahupun Pakatan Rakyat. Jika beliau merasakan yang beliau sudah jelak dengan permainan politik, kembalilah kepada bidang kekuatan beliau sendiri iaitu bidang perniagaan. Saya yakin yang beliau mampu untuk menjadi tokoh perniagaan yang terkemuka seperti dahulu.



1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.