Sabtu, 16 Ogos 2014

ISU BOIKOT McDONALD : APA PANDANGAN MAJLIS FATWA KEBANGSAAN?



 
Diambil dari blog Belogfadah Sempoi

         Isu boikot barangan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel terus berlaku sehingga kini. Banyak restoran McDonald diseluruh negara kurang dikunjungi oleh orang ramai terutama orang Melayu dan Islam. Simpati mereka terhadap nasib malang yang menimpa rakyat Palestin telah membakar semangat seluruh umat Islam termasuk saya untuk mengajar Israel dengan cara memboikot produk produk mereka.

          Ini adalah satu perkara yang bagus sebenarnya. Kita – sebagai orang Islam perlu membantu saudara seagama dengan kita yang teraniaya di Palestin sana. Kita tidak mempunyai kudrat yang cukup untuk melawan Israel dan proksi besarnya Amerika Syarikat melalui senjata tetapi kita boleh melawan mereka dengan cara menjatuhkan ekonomi mereka. Secara jelasnya, saya sangat bersetuju kita terus memboikot sebarang produk yang memberi kuntungan kepada Israel itu.

           Walaubagaimanapun, timbul satu pertanyaan, sekiranya isu boikot ini masih berterusan bagaimana pula dengan nasib pekerja pekerja McDonald, Tesco, KFC dan banyak lagi syarikat syarikat yang diboikot tetapi pada masa yang sama begitu ramai orang Islam yang bekerja dengan syarikat tersebut? Apakah dengan isu boikot ini tidak memberi kesan pada kehidupan mereka?

        Seandainya jika boikot ini berterusan, dan dengan takdir Allah McDonald itu muflis, kemudian McDonald mengambil keputusan untuk membuang pekerjanya seramai 50 000 orang, bagaimana mereka mahu menyara hidup mereka dan keluarga mereka? Bagaimana mereka mahu membayar hutang rumah, hutang kereta, hutang peribadi dan hutang hutang yang lain? Bagaimana mereka mahu membayar segala keperluan hidup mereka terutama yang hidup di bandar bandar yang besar seperti Kuala Lumpur? Inilah persoalan persoalan yang kerap bermain di fikiran saya.

        Saya tidak kata jangan boikot produk produk seperti McDonald itu. Saya setuju boikot itu dijalankan tetapi apa akan jadi kepada pekerja pekerja McDonald yang beragama Islam itu? Mereka  tidak bersalah. Mereka tidak menyokong pun kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin itu. Oleh sebab kekejaman Israel, mereka turut terkena tempias dan bahananya.

         Apa yang saya khuatirkan jika ramai pekerja pekerja di syarikat yang dipercayai memberi dana kepada Israel ini dibuang kerja, bukankah akan meningkatkan kadar pengangguran di negara ini yang sememangnya sudah semakin meningkat? Bukankah kadar pengangguran yang terlalu tinggi ini boleh memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi negara kita?

        Sekali lagi saya tekankan bahawa saya tidak membantah kita memboikot produk produk Israel itu tetapi saya dapat merasakan kita semua telah mengambil tindakan secara terburu buru! Mengapa kita tidak minta pandangan dari Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu? Adakah boleh kita memboikot syarikat yang dipercayai memberi keuntungan kepada Israel sedangkan begitu ramai orang Islam yang bekerja di dalamnya?

         Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa rujuklah Al Quran dan Hadis sekiranya ada sesuatu masalah yang berlaku setelah kewafatan baginda. Oleh itu, Majlis Fatwa Kebangsaanlah pihak yang paling bertanggungjawan untuk memutuskan adakah isu boikot ini boleh terus dijalankan atau tidak? Sepatutnya kita semua perlu meminta pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum kita memulakan isu boikot ini.

        Sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bersidang secepat mungkin untuk mengeluarkan satu fatwa yang mengikut landasan Al Quran dan Hadis adakah wajar kita memboikot syarikat syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Israel tetapi begitu ramai orang Islam yang bekerja di dalamnya? Dengan berpandukan kepada fatwa itu nanti barulah kita boleh membuat penilaian adakah wajar isu boikot ini diteruskan atau pun tidak.

        Kendatipun, selagi tidak ada sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh badan itu, seeloknya kita teruskan sahaja memboikot produk produk ini. Jangan beri muka kepada Israel yang ego dan angkuh serta terus bermaharajalela membunuh rakyat Palestin itu. Selain boikot, doa dan bantuan kewangan pun wajarlah kita hulurkan untuk meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.    

PAS merumitkan lagi keadaan

        Krisis Menteri Besar Selangor semakin hangat diperkatakan dan seperti tidak ada jalan keluar lain untuk Khalid Ibrahim terus mempertahankan jawatannya kecuali dengan membubarkan DUN Selangor dan membuat pilihanraya untuk negeri Selangor sahaja semula. Saya yakin ramai orang tidak bersetuju sekiranya pilihanraya diadakan semula kerana akan menelan belanja yang besar.

       Pokok pangkalnya mudah. Pilihanraya negeri itu tidak mungkin boleh dibuat sekiranya Anwar tidak merancang melantik isterinya iaitu Wan Azizah sebagai MB Selangor secara terburu buru. Pilihanraya juga dapat dielakkan sekiranya dua ADUN PAS dari Hulu Kelang dan Morib tidak menyokong Wan Azizah sebagai MB walaupun Majlis Syura Ulama PAS telah sebulat suara menyokong kepimpinan Khalid.

       Inilah yang menyebabkan politik Selangor semakin rumit. Ahli ahli politik bukan mahu membantu rakyat tetapi sibuk bergaduh untuk mendapatkan wang dan kuasa. Sepatutnya semua ahli politik dalam Pakatan Rakyat berusaha untuk membantu rakyat Selangor dan bukannya berkelahi sesama sendiri! Saya yakin sekiranya ada perubahan dalam politik Selangor, masalah bekalan air akan berlaku. Ini kerana Pakatan Rakyat secara majoritinya tidak bersetuju dengan MOU yang dibuat oleh kerajaan Selangor dengan kerajaan Pusat.  

        Kita sebenarnya sudah berjumpa dengan jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Selangor ini iaitu PAS dan UMNO bersama dengan Khalid Ibrahim menubuhkan satu pakatan politik bagi membolehkan Khalid Ibrahim terus kekal sebagai MB. Namun kerana keegoan beberapa pemimpin PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO menyebabkan masalah semakin rumit.

        Tambah rumit apabila dua orang ADUN PAS telah bertindak menyokong Wan Azizah sebagai MB. Oleh itu, tidak ada jalan penyelesaian lain bagi Khalid untuk mempertahankan jawatannya sebagai MB melainkan membubarkan DUN Selangor atau secara sukarela dia meletak jawatan! Jika pilihanraya diadakan, belum tentu Khalid Ibrahim boleh menang bergaya untuk mempertahankan jawatannya.  

        Perosak segala galanya adalah PAS! Sepatutnya PAS harus membuang keegoan mereka dalam isu ini dan bekerjasama dengan UMNO bagi mengelakkan pilihanraya berlaku di negeri itu. Dua orang ADUN PAS itu pula tidak sepatutnya memberi sokongan kepada Wan Azizah kerana sudah pasti masalah akan bertambah rumit dan pilihanraya negeri memang tidak dapat dielakkan.

          Pada hari ini PAS akan bermesyuarat untuk membincangkan masalah yang sedang berlaku. Nasihat saya kepada PAS, carilah satu keputusan yang boleh menyebelahi rakyat dan bukannya menyebelahi tembolok mana mana pemimpin yang rakus dan tamak!










1 ulasan:

  1. Masih ada masalah yang lagi besar dari pergaduhan politik yang tidak membawa faedah dan membazirkan masa dan tenaga..

    Lebih eloklah kita tumpukan perhatian pada mana-mana pihak yang perlukan bantuan kita seperti palestin yang kini tersangatlah goyah dan cuba selesaikan isu boikot dengan secepat yang mungkin

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.