Gambar Hiasan |
“Hafsah... Hafsah....” Ustazah Nafsiah
memanggil nama anak tunggalnya untuk mengajaknya makan tengah hari.
Sejak balik dari sekolah tadi, dia
langsung tidak melihat kelibat anaknya. ‘Ke mana anak aku pergi?’ Bisik Ustazah
Nafsiah di dalam hati. Sanubarinya mula tidak keruan kerana diserang rasa
bimbang. Ustazah Nafsiah lantas menuju ke bilik anaknya. Anaknya tiada di situ.
“Hafsah... Hafsah...” Panggil Ustazah Nafsiah lagi namun tiada sahutan. Dia
sudah mencari anaknya di merata tempat. Di dapur, stor dan bilik air namun
masih tiada. ‘Mana pula budak ni pergi?’ Soal Ustazah Nafsiah lagi di dalam
hati. Dia begitu bimbang tatkala itu. Di fikirannya sudah terbayang perkara
yang bukan bukan. Dia berjalan untuk menuju ke bilik bacaan suaminya. Dia
berharap agar anaknya berada di dalam bilik bacaan itu. Tidak putus putus
doanya kepada Allah s.w.t agar anaknya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Apabila dia masuk ke bilik bacaan itu,
dia melihat anaknya Hafsah sedang menangis di sudut bilik itu. Dia melihat komputer riba suaminya ada di
atas meja bacaan itu dalam keadaan terpasang.
“Hafsah, kenapa menangis ni? Puas Ummi
panggil kamu. Apa yang kamu buat kat sini?” Soal Ustazah Nafsiah sambil
mendapatkan Hafsah tetapi tiada jawapan dari Hafsah. Yang ada hanyalah suara
tangisan yang keluar dari mulut gadis yang berusia 13 tahun itu.
“Hafsah, cuba cakap dengan ummi, kenapa kamu menangis? Ada kawan buli
kamu kat sekolah ke?” Hafsah menggeleng.
“Habis, cikgu pukul kamu kat sekolah?” Hafsah menggeleng lagi.
“Habis tu, kenapa kamu menangis?” Soal Ustazah Nafsiah yang sudah mula
susah hati. Dia benar benar tidak faham dengan fiil anaknya pada hari ini.
“Bila Hafsah buka Facebook, Hafsah nampak banyak orang kutuk ayah kat
Facebook. Hafsah sedih ummi.” Jawab Hafsah dalam keadaan teresak esak menangis.
Mendengar sahaja kata kata Hafsah, Ustazah Nafsiah lantas menuju ke
komputer riba yang sedang terpasang itu. Dia membaca status yang
terdapat pada garis masa Facebook anaknya itu. Ya, benar kata Hafsah. Banyak
komentar dan ulasan tentang suaminya. Dia hanya mampu mengeluh dan menggeleng
gelengkan kepalanya. Dia juga sedih, marah dan kecewa dengan hentaman orang
ramai terhadap suaminya, Ustaz Lazim.
Semua ini berlaku apabila Presiden Parti Komponen Melayu Baru merangkap
Perdana Menteri melantik suaminya yang merupakan seorang pendakwah yang
terkenal sebagai Ahli Majlis Tertinggi Parti Komponen Melayu Baru itu. Pihak
pembangkang yang sememangnya tidak menyukai suaminya itu telah menghentam,
mengkritik dan ‘membelasah’ suaminya itu secara membuta tuli padahal suaminya
itu langsung tidak pernah memberi persetujuan sama ada menerima atau tidak
tawaran daripada Perdana Menteri itu.
Tetapi, musuh musuh suaminya telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang
mencerca pelantikan suaminya itu. Ustaz Lazim seorang pendakwah yang terkenal,
dihormati dan disegani. Hampir setiap minggu suaminya akan menjelajah ke
seluruh negara untuk menyampaikan dakwah dan ceramah. Dengan pelantikan Ustaz
Lazim sebagai Ahli Majlis Tertimggi Parti Komponen Melayu Baru ini dikhuatiri
akan menggugat sokongan yang diterima oleh Parti Islam Melayu Maju di mana
suaminya sebagai ahli..
Walaubagaimanapun, suaminya sejak akhir akhir ini sedih dengan
perjuangan Parti Islam Melayu Maju yang dilihat telah menukar haluan perjuangan
mereka daripada sebuah Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Ini dilakukan
demi kesetiakawanan mereka dalam Pakatan Bersekutu Demi Rakyat bersama Parti
Semua Kaum Maju yang terang terang menolak Islam dan Parti Rakyat Maju Adil
yang ingin memperjuangkan ketuanya sebagai Perdana Menteri.
Parti Islam Melayu Maju dilihat sudah tidak sama lagi seperti dahulu.
Mereka tega ‘melondehkan’ serban mereka demi untuk mendapatkan kuasa politik.
Sebagai contoh, kalau dahulu mereka mengatakan bahawa Parti Komponen Melayu
Baru sebagai kafir kerana tidak mahu melaksanakan hukum Hudud tetapi pada masa
yang sama mereka juga menyokong calon calon yang beragama Islam mewakili Parti
Semua Kaum Maju yang terang terangan menolak Hudud.
Justeru itu, Ustaz Lazim merasakan bahawa sokongannya terhadap Parti
Islam Melayu Baru sudah tidak relevan lagi. Walaubagaimanpun, ini tidak
bermakna Ustaz Lazim akan menyokong perjuangan Parti Komponen Melayu Baru.
Ustaz Lazim bukan ahli politik. Dia merupakan seorang guru. Dia juga seorang
pendakwah.
Ustazah Nafsiah pergi mendapatkan anaknya. Dia faham mengapa anaknya
bersedih. Sudah pasti Hafsah yang sangat menyayangi ayahnya sedih apabila
melihat begitu ramai orang yang mencaci dan mencerca ayahnya. Siapa yang tidak
sedih jika ayahnya dicaci dan dicerca oleh semua orang.
“Sabarlah sayang. Ini ujian Allah buat kita sekeluarga. Insya Allah,
Allah pasti akan membantu kita. Bukankah Allah itu Maha Penyayang?” Ujar
Ustazah Nafsiah sambil memeluk anak perempuannya.
Sejujurnya dia sendiri berasa sedih apabila membaca status status di
Facebook itu. Hati isteri mana yang tidak sakit apabila suami yang dicintainya
dihina oleh semua orang? Hati isteri mana yang tidak sedih apabila suami yang
disayangi dicaci oleh semua orang? Dan hati isteri mana yang tidak pilu apabila
suami yang dikasihinya dimaki oleh ramai orang?
Dia hanya mampu bersabar. Dia yakin tentu ada hikmah yang Allah mahu
beri kepada mereka sekeluarga melalui ujian ini. Ustazah Nafsiah mengucup dahi
dan memujuk anak perempuan tunggalnya itu.
“Apa keputusan abang tentang tawaran Perdana Menteri tu?” Soal Ustazah
Nafsiah kepada suaminya, Ustaz Lazim setelah mereka selesai menunaikan solat
Isyak.
“Entahlah Siah, abang pun tak tahu. Abang sedang buat solat istikharah
sekarang ni untuk minta petunjuk dari Allah. Pada pendapat Siah, patut ke abang
terima tawaran Perdana Menteri tu?” Ustaz Lazim bertanya.
“Kalau ikut Siah, lebih baik abang tumpukan sahaja pada kerja kerja
dakwah abang. Abang tak perlu campur soal politik buat masa sekarang. Abang
hanya perlu bersuara apabila perlu sahaja. Cuba abang lihat sekarang, abang
belum terima pun dah macam macam orang kutuk dalam Facebook pun sampai Hafsah
yang baca pun boleh menangis.” Jawab Ustazah Nafsiah.
“Hafsah menangis? Kenapa?” Ustaz Lazim agak terkejut dengan kata kata
isterinya itu.
Ustazah Nafsiah lantas menceritakan apa yang berlaku tengah hari tadi
kepada Ustaz Lazim. Ustaz Lazim sendiri berasa kesal atas apa yang berlaku. Dia
tidak menyangka, begitu ramai orang yang membenci dirinya.
“Melihat kepada apa yang berlaku abang dah buat keputusan.” Ujar Ustaz
Lazim secara tiba tiba.
“Apa dia?” Soal Ustazah Nafsiah.
“Kecewa saya bila Ustaz tolak tawaran saya ini. Tawaran ini sangat baik
Ustaz. Peluang yang baik takkan datang dua kali.” Ujar Perdana Menteri dalam
pertemuan empat mata di pejabat Parti Komponen Melayu Baru pada pagi itu
bersama Ustaz Lazim.
“Saya tahu tawaran yang Datuk berikan itu sangat baik tetapi saya minta
maaf sekali lagi, saya memang tak boleh terima. Saya rasa lebih baik saya
tumpukan kepada kegiatan dakwah yang telah saya usahakan selama ini.” Balas
Ustaz Lazim.
“Saya rasa dengan penyertaan Ustaz dalam parti ini tidak akan menggangu
urusan dakwah Ustaz. Ustaz boleh teruskan berdakwah dan saya akan bantu. Ustaz
boleh minta peruntukan jika Ustaz perlu.” Kata Perdana Menteri yang masih mahu
Ustaz Lazim menerima tawarannya itu.
Baginya Ustaz Lazim adalah seorang tokoh agamawan yang sangat hebat.
Tokoh tokoh seperti inilah yang sangat diperlukan di dalam parti untuk membantu
perjuangan parti itu. Jika Ustaz Lazim menolak, bermakna parti akan kehilangan
seorang tokoh yang sangat hebat. Tokoh yang cukup disenangi, dihormati dan
disegani di seluruh negara.
“Saya tahu niat Datuk baik tetapi saya tetap menolak. Cuba Datuk lihat,
saya belum terima tawaran ini pun orang dah kata macam macam. Apalagi kalau
saya terima.” Ujar Ustaz Lazim.
“Kenapa Ustaz perlu dengar cakap orang. Orang orang itu semua dengki
dengan Ustaz. Mereka takut dengan kemasukan Ustaz ke dalam parti ini akan
menggugat sokongan rakyat kepada mereka.”
“Saya memang tak pernah pun kisah atas apa yang orang mahu kata tetapi
saya tak mahu keluarga saya menerima kesan dan bahananya. Kalau saya sudah
tentu saya boleh tahan tetapi tidak isteri dan anak saya.”
“Kalau begitu kata Ustaz apa saya boleh buat. Apa pun saya ucapkan
selamat maju jaya kepada Ustaz. Insya Allah, saya akan terus menyokong kegiatan
dakwah Ustaz. Kalau Ustaz perlu bantuan, jangan segan segan nak jumpa saya.
Insya Allah, saya pasti akan tolong.”
“Terima kasih Datuk. Semoga Allah memberkati diri Datuk sekeluarga dan
kepimpinan Datuk.” Ujar Ustaz Lazim.
“Sama sama.” Kata Perdana Menteri dan mereka
bersalaman.
Ustaz Lazim keluar dari pejabat itu dengan senyuman yang puas. Dia yakin
keputusan yang dia ambil ini merupakan keputusan yang betul. Dunia dakwah
adalah dunianya. Politik bukanlah dunianya. Duaniaku dakwahku....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.