Rabu, 22 Mei 2013

7 Wali Melayu



PENULIS : Abdul Ghani Said

PENERBIT : MAHBOOK Publication

Buku ini membincangkan sejarah hidup tujuh orang wali Melayu yang pernah hidup di bumi Malaysia ini. Wali wali seperti Tok Kenali, Tukku Paloh, Tuan Tulis dan sebagainya ini memang bagus untuk dibaca untuk mengetahu sejarah hidup ulama ulama tersohor di Malaysia dan ada di antaranya di dunia ini. Kita juga dapat mengetahui tentang kehebatan wali wali ini dari sudut keilmuan dan karamah mereka. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentang buku ini namun apa yang pasti buku ini bagus untuk dibaca.  

Sebarkan Cinta Mu



PENULIS : Fatimah Syarha Mohd Nordin

PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd


Sejujurnya inilah kali pertama saya membaca sebuah novel yang berunsurkan Islam. Saya telah membaca ratusan buah novel sepanjang hidup saya dan belum pernah lagi saya membaca sebuah novel yang mengetengahkan jalan cerita berunsurkan Islam. Sebarkan Cinta Mu pada saya merupakan salah sebuah novel yang paling istimewa yang pernah saya baca. Untuk pengetahuan semua, novel yang berunsurkan Islam ini memang tidak bosan untuk dibaca dan mempunyai banyak fakta fakta tentang agama Islam dipaparkan di dalam novel ini.

Fatimah Syarha kali ini menceritakan tentang poligami secara lebih terperinci dan mendalam. Para pelajar yang terdiri dalam kalangan perempuan dan lelaki dapat belajar mengenai poligami dari sudut hukum dan bagaimana Islam memandang poligami ini. Fatimah Syarha tidak hanya menyokong kaum wanita sahaja dalam membicarakan bab ini jadi para pelajar mudah untuk memahami tentang poligami dari pandangn Al Quran, Hadis dan Ulama.

Ceita ini bermula apabila seorang wanita bernama Ibu Dhiya yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah kolej swasta bernama KOSDAT bertemu dengan Sarra yang mempunyai masalah keluarga apabila ayahnya beristeri seorang lagi. Sarra yang sentiasa kesedihan itu didatangai oleh Ibu Dhiya dan Ibu Dhiya selalu menasihati Sarra. Bukan itu sahaja, Ibu Dhiya turut menyelesaikan masalah orang orang yang berada di kolej itu seperti Ustazah Qatrun, Madam Zeema dan anaknya sendiri iaitu Qasdina yang membecinya gara gara salah faham.

Novel yang sarat dengan ilmu dan pengajaran ini memang sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mengenai poligami, sejarah Islam dan sebagainya. Pada hemat saya, novel ini tidak rugi dibaca dan jalan ceritanya juga tidak bosan dan tidak terlalu meleret leret. Pelbagai pengetahuan tentang agama Islam dipaparkan di dalam novel ini.

Isnin, 20 Mei 2013

Kuala Lumpur Dari Perspektif Haji Abdullah Hukum


PENULIS : Adnan Nawang

PENERBIT : Berita Publishing Sdn Bhd

Buku ini adalah sebuah buku yang disusun mengikut cerita Haji Abdullah Hukum yang merupakan salah seorang tokoh penting dalam sejarah Kuala Lumpur. Buku ini adalah sebuah buku sejarah yang bagus untuk dibaca oleh generasi pada masa ini terutamanya yang tinggal di Kuala Lumpur. Mereka dapat mengenali tentang sejarah Kuala Lumpur dengan lebih mendalam lagi. Bagi penggemar sejarah pula, buku ini bagus untuk dibaca dan dikaji untuk mendapatkan pemahaman yang lebih tentang sejarah Kuala Lumpur.

Jujur saya katakan buku ini sangat menarik kerana kita bukan sahaja dapat memahami tentang sejarah pembukaan Kuala Lumpur malah kita juga dapat belajar tentang peristiwa peristiwa penting yang berlaku sama ada di dalam atau di luar Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah bahasa Melayu lama. Jadi ada beberapa ayat yang sukar untuk kita fahami. Hal ini kerana buku ini ditulis hasil wawancara seorang wartawan dengan Haji Abdullah Hukum itu sendiri.

Kita semua sedia maklum yang Haji Abdullah Hukum adalah orang yang hidup sebelum merdeka lagi jadi bahasa yang digunakan bukanlah sama seperti bahasa yang kita pertuturkan sekarang. Saya menyarankan agar pembaca dapat membeli buku ini untuk mendapatkan pengetahuan sejarah anda mengenai ibu negara Malaysia yang tercinta ini.


Sabtu, 18 Mei 2013

Dan Sepi Pun Berlalu



PENULIS : Fauziah Ashari

PENERBIT : Intens Idea International Sdn Bhd

Kehebatan novel Ombak Rindu sehingga berjaya dibawa ke layar perak telah menarik minat saya untuk membeli karya dari Fauziah Ashari ini. Saya tidak menyangka sama sekali novel Fauziah Ashari ini memang bagus sehingga sukar untuk saya meletakkan novel ini kembali setelah mula membacanya. Saya begitu kagum dengan gaya penulis hebat ini. Tidak hairanlah salah satu dari novelnya telah barjaya dijadikan sebuah filem pecah panggung.

Dan Sepi Pun Berlalu mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Afiqah yang terpaksa berkahwin secara paksa dengan Syafiq gara gara ditangkap khalwat angkara teman serumahnya sendiri, Azi. Afiqah melalui kehidupan barunya dengan Syafiq yang terkenal dengan sikap buaya daratnya. Afiqah juga perlu menghadapi ibu mertuanya iaitu Datin Tunku Marian dan adik beradik iparnya disamping bekas teman wanita Syafiq.

Fauziah Ashari juga tidak lupa menyelitkan beberapa pengetahuan am di dalam novel ini untuk menambahkan lagi kehebatannya. Saya meletakkan gred A untuk novel ini. Sesungguhnya novel ini sangat bagus untuk para penggemar novel.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck



PENULIS : HAMKA

PENERBIT : Pustaka Dini

Inilah buku pertama karangan Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah (HAMKA) yang saya pernah baca. Seluruh kepulauan Nusantara ini tahu tentang HAMKA yang sememangnya terkenal sebagai ulama dan telah menulis begitu banyak kitab dan novel. Salah satunya adalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini. Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Zainuddin yang berketurunan Minangkabau dan Bugis yang telah jatuh hati kepada seorang gadis Minangkabau yang bernama Hayati.

Walaubagaimanapun, ibu bapa Hayati tidak bersetuju menikahkan Hayati dengan Zainuddin memandangkan Zainuddin bukanlah orang Minangkabau yang tulin dan miskin. Haryati telah dikahwinkan dengan seorang pemuda yang bernama Aziz. Walaubagaimanapun, kehidupan Hayati tidak bahagia kerana Aziz masih lagi dengan perangai lamanya iaitu suka berfoya foya. Setelah Hayati bernikah dengan Aziz, Zainuddin telah membawa dirinya ke Tanah Jawa.

Dia memulakan kehidupan barunya dan bekerja sebagai penulis bebas. Namanya harum di serata Indonesia. Buku karangan ulama nusantara yang terkenal ini agak bosan sebenarnya kerana jalan ceritanya terlalu panjang dan meleret leret. Tambahan pula, gaya bahasa yang digunakan dalam bahasa Indonesia. Namun begitu, buku ini tetap menarik untuk dibaca kerana penulis telah menerankan secara terperinci berkenaan dengan Tanah Minangkabau dan Tanah Bugis itu sendiri.

Penulis juga telah menceritakan zaman sewaktu Indonesia dijajah oleh Belanda dahulu. Buku ini amat sesuai dibaca oleh pembaca yang tidak pernah menbaca karya sastera dari negara Indonesia. Buku pemberian bapa saya ini telah membuka satu lagi pengalaman saya dalam bidang pembacaan dan penulisan ini.


Jumaat, 17 Mei 2013

Salina




PENULIS : Datuk A. Samad Said

PENERBIT : Cetakan Pertama : Dewan Bahasa dan Pustaka
                     
                        Cetakan 2012 : Wira Bukit Sdn Bhd

Salina merupakan salah satu dari karya agung sasterawan negara iaitu Datuk A. Samad Said. Novel ini begitu terkenal suatu ketika dahulu dan beberapa kali telah diulang cetak dalam pelbagai bahasa. Salina mengisahkan tentang seorang perempuan bernama Siti Salina yang bekerja sebagai pelacur di Singapura dan tinggal bersama kekasih hatinya iaitu Abdul Fakar. Dia sanggup menjaga Abdul Fakar dengan memberinya makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Semua itu dilakukan kerana kasih sayangnya kepada Abdul Fakar walaupun Abdul Fakar langsung selalu memarahinya. Salina tinggal berjiran dengan Hilmy dan Katijah. Dia menganggap kedua dua beranak itu sebagai kakak dan adiknya sendiri. Cerita yang dipaparkan di dalam novel ini memang menarik cuma terlalu panjang dan meleret leret sehingga pembaca bosan untuk menghabiskan novel ini.

Walaubagaimanapun, novel ini memang bagus untuk dibaca. Datuk A. Samad Said menggunakan bahasa yang mudah difahami namun terselit unsur unsur sastera di dalam novel ini. Penulis begitu bijak menggambarkan tentang sukarnya kehidupan sewaktu dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagi pembaca pembaca yang gemarkan karya karya yang berat dan bersastera, adalah digalakkan untuk membaca novel ini.

BOY




PENULIS : Ahadiat Akashah

PENERBIT : Creative Enterprise SDN BHD


Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog saya ini. Ini semua adalah kerana kesibukan saya dengan peperiksaan dan tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya. Namun begitu, minat saya untuk memberikan maklumat kepada pembaca mengenai buku buku yang telah saya baca telah mengembalikan saya semula kepada blog ini. Saya adalah peminat buku dan novel. Sudah semestinya saya suka membaca dan menulis. 

Dalam ruangan kali ini, saya memaparkan sebuah lagi novel dari Ahadiat Akashah. Semua sedia maklum tentang kehebatan penulis yang menerima Anugerah Malaysia Book of Record ini sebagai penulis paling banyak menerbitkan buku di Malaysia. 'Boy' merupakan satu kisah yang santai dan mudah difahami oleh para pembaca. Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Boy yang jatuh miskin sejak perniagaan ayahnya iaitu Yusof Syamsuddin mengalami kemuflisan.

Ibu dan dua orang adiknya juga telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Sejak itu dia hidup secara berpindah randah bersama ayah dan pemandu peribadinya iaitu Babu Yem. Dia juga terpaksa bertukar sekolah dan akhirnya dia bertemu dengan Syasya, Sidek dan Tom (seorang tomboy). Apa yang lebih menarik lagi, rumah yang didiami oleh Boy itu dihuni oleh tiga ekor hantu iaitu Lisa, Man Pub dan Jamie.

Pelbagai kisah menarik yang berlaku dalam kehidupan Boy bersama dengan bapanya, Babu Yem, Lisa, Man Pub, Jamie, Syasya, Sidek dan Tom. Novel yang hanya setebal 142 muka surat ini sesuai dibaca oleh para remaja yang inginkan cerita yang ringan dan santai.