Isnin, 17 Disember 2012

Kesinambungan dan Perubahan: Malaysia Di Bawah Abdullah Ahmad Badawi


PENULIS: Datuk Chamil Wariya

PENERBIT: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd

Ketika saya membaca buku ini, saya menerima kritikan dari sahabat saya sendiri. Tidak perlulah saya menyebut nama sahabat saya itu di sini namun saya agak tertarik mendengar komentar yang dilemparkan kepada saya. "Kenapa kau baca buku seorang pemimpin yang lemah?" "Kau tahu tak sebab dia Malaysia mengalami kegawatan ekonomi?" "Aku harap kau tak jadi macam dia." Itulah komentar komentar yang saya terima dari sahabat saya itu.

Pada hemat saya, Tun Abdullah bukanlah seorang pemimpin yang lemah. Mungkin rakyat masih tidak boleh menerima pentadbiran beliau selepas Tun Dr. Mahathir bersara. Mungkin juga orang tidak faham apa yang beliau cuba lakukan. Setiap pemimpin mempunyai jasanya tersendiri dalam sesebuah negara. Begitu juga dengan Tun Abdullah. Beliau juga telah banyak memberi sumbangan pada negara Malaysia ini. Beliau telah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha beliau untuk memerangi rasuah.

Beliau juga telah membuka hak bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kita menyuarakan pendapat kita. Mungkin kerana jasa Tun Abdullah yang kecil itu menyebabkan rakyat Malaysia tidak menyanjungi beliau seperti Tun Dr. Mahathir. Namun pada hakikatnya, Tun Abdullah telah membuat sesuatu perkara yang besar ertinya pada rakyat Malaysia. Buku ini menyoroti tentang perjalanan Tun Abdullah sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Pelbagai kisah suka duka yang beliau tempuhi sepanjang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Buku ini mungkin agak bosan bagi sesetengah orang tapi ada beberapa bab yang menarik untuk dibaca dan pelbagai pengetahuan am yang boleh kita pelajari dengan membaca buku ini. 




Selasa, 11 Disember 2012

566 Hari Mencari Cinta


PENULIS : Ilya Abdullah

PENERBIT : Kaki Novel Enterprise

Novel ketiga karya Ilya Abdullah ini memang menarik. Saya sangat mengagumi Ilya Abdullah kerana berjaya menimbulkan perasaan marah di hari saya menerusi watak Firdayu Fahrin. Sesungguhnya penulis ini telah menjadikan watak tersebut satu tarikan untuk membaca novel ini. Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis yang cantik dan seksi bernama Firdayu Fahrin. Firdayu menggunakan kecantikan dan keseksiannya untuk menawan lelaki lelaki yang kacak dan kaya raya.

Setelah lelaki lelaki itu jatuh di tangannya, Firdayu akan meninggalkan lelaki lelaki itu untuk bersama dengan lelaki lain pula. Begitu banyak lelaki yang telah menjadi mangsanya sehingga dia digelar poison ivy oleh kawan baiknya sendiri. Sikap Firdayu itu merunsingkan nenek dan bapanya sehingga neneknya telah membuat satu perjanjian dengan Firdayu. Firdayu  harus mencari cinta sejatinya dalam masa 566 hari jika tidak semua hartanya akan diserahkan kepada neneknya.

Jika Firdayu berjaya maka semua harta neneknya akan diserahkan kepadanya. Dalam masa 566 hari itu, dia telah menjalinkan hubungan dengan ramai lelaki. Kid, pembantu peribadi Firdayu berusaha membantu Firdayu untuk mencari suami untuk gadis itu dalam tempoh tersebut. Telah banyak lelaki yang dia kecewakan dan telah banyak wanita yang menangis gara gara perbuatannya termasuklah tunang sepupunya sendiri iaitu Ruzair.

Firdayu telah mempunyai ramai musuh di luar sana dan dia sentiasa dilindungi oleh Kid. Pada pendapat saya cerita ini sangat menarik. Penulis telah mengetengahkan bahawa cinta itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan cintu itu sesuatu yang amat berharga. Saya berpendapat karya ini merupakan karya yang berkualiti dan tidak bosan untuk dibaca.

3 + 1 = 1

PENULIS : Ana Farhana

PENERBIT : Jemari Seni Publishing

Karya pertama Ana Farhana ini memang seronok dibaca. Mungkin cerita yang terkandung dalam novel ini sudah biasa dibaca oleh para pembaca dalam mana mana novel namun Ana Farhana telah menambahkan elemen lucu dalam cerita ini. Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Khairina atau lebih mesra dipanggil Rin dalam kalangan ahli keluarganya. Rin pernah menghadapi kisah hitam di mana dia telah dinodai oleh bapa saudaranya sendiri.

Peristiwa hitam itu telah menghantui hidup Rin sehingga dia takut untuk bercinta. Bagi mengatasi masalah itu, tiga orang abangnya telah membuat satu rancangan untuk mengahwini sahabat mereka yang bernama Hakimi dengan Rin tanpa pengetahuan Rin. Hakimi seorang jejaka yang baik dan berusaha untuk menawan hari Rin walaupun dia tahu Rin masih dihantui peristiwa hitam yang telah merosakkan dirinya. Pelbagai cara dilakukan oleh Hakimi untuk menawan hari Rin.

Buku setebal 436 muka surat ini memang menakjubkan kerana inilah kali pertama saya membaca sebuah novel yang menggunakan bahasa pasar atau bahasa yang digunakan oleh remaja zaman sekarang. Ikutilah novel menarik ini dan saya harap pembaca juga terhibur seperti saya ketika membaca novel ini.

DAIM: Insan Di Sebalik Enigma


PENULIS: Adibah Amin dan Cheong Mei Sui

PENERBIT: Pelanduk Publications (M) Sendirian Berhad

Buku ini menerangkan secara terperinci perihal diri bekas Menteri Kewangan Malaysia (1984-1991) dan seorang ahli perniagaan yang terkenal iaitu Tun Daim Zainuddin. Beliau berkelulusan Undang Undang di London's Lincoln's Inn dan pernah bertugas sebagai peguam dan majistret di Kuala Lumpur sebelum membuka sebuah empayar perniagaan hartanah yang diberi nama Syarikat Maluri Sdn Bhd. Beliau merupakan antara jutawan Melayu terawal di Malaysia.

Pada tahun 1984, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh bekas Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahanthir Mohamad bagi menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau telah berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia dari dilanda kemelesetan yang teruk. Beliau merupakan seorang individu yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu sahaja. Ketika menjadi Menteri Kewangan, Beliau sering kali menerima kritikan dari dalam dan luar negara kerana cara beliau menangani Kementerian Kewangan dan ekonomi Malaysia pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, semua kritikan itu hilang sebaik sahaja mendapat tahu tentang kecemerlangan kerja yang beliau lakukan. Beliau telah berjaya membawa ekonomi Malaysia di tahap yang lebih selamat. Buku ini memang sesuai dibaca oleh para siswazah yang berkelulusan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan ekonomi. Buku ini sangat menarik namun penulis buku ini lebih banyak menulis tentang ekonomi berbanding dengan diri beliau sendiri.

Saya juga merasakan ada bebarapa cerita dalam buku ini kelihatan seperti tidak tersusun dengan betul namun begitu buku ni tetap menarik untuk dibaca. Pelbagai pengajaran yang kita boleh pelajari dari buku ini antaranya sifat tidak berputus asa, berdisiplin dalam kerja, berani dan sebagainya.



Sabtu, 8 Disember 2012

Fail Sulit Presiden Amerika


PENULIS: Muhd. Nur Iman Ramli

PENERBIT: PTS Millennia Sendirian Berhad

Buku ini mengupas secara menyeluruh tentang orang paling berkuasa di dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat. Buku ini amat menarik untuk dibaca oleh para peminat sejarah dan politik antarabangsa. Penulis buku ini telah membincangkan pelbagai aspek tentang Presiden Amerika Syarikat secara terperinci antaranya  biodata ringkas 44 Presiden negara itu dari George Washington hinggalah ke Presiden Barack Obama. Pembaca dapat mempelajari tentang sejarah penubuhan negara Amerika Syarikat serta mengenali kehidupan pemimpin nombor satu di negara itu secara lebih mendalam.

Penulis buku ini juga menerangkan tentang pertubuhan pertubuhan rahsia yang membayangi Presiden Amerika Syarikat itu seperti Freemason, Illuminati dan sebagainya. Para pembaca juga dapat mengetahui secara lebih mendalam tentang sistem pentadbiran negara Amerika Syarikat. Penulis buku ini juga tidak ketinggalan memaparkan sembilan desakan Tun Dr. Mahathir kepada Presiden Barack Obama. Sesungguhnya buku ini sesuai dibaca untuk menambah pengetahuan am mengenai negara Amerika Syarikat yang kita kenali sebagai 'Polis Dunia'.  


Jumaat, 7 Disember 2012

PETUA


PENYELENGGARA : Siti Aisyah Hussein 

PENERBIT : Alaf Dua Puluh Satu Sendirian Berhad

Buku ini membincangkan petua petua nenek moyang kita sejak dari zaman berzaman yang boleh kita gunakan pada diri kita, dalam soal masak memasak dan untuk hiasan halaman rumah kita. Sesungguhnya buku ini memang sesuai dibaca oleh semua peringkat usia untuk mendapat pengetahuan tentang petua petua yang diamalkan oleh masyarakat Melayu turun temurun. Pelbagai petua yang berguna boleh kita dapati dalam buku ini antaranya petua menghilangkan jerawat, petua menghilangkan bisa binatang, petua menghilangkan ketuat dan sebagainya.

Buku ini memang berguna ketika perubatan moden sudah tidak lagi mujarab untuk dipakai. Jadi dengan petua petua lama yang dipaparkan dalam buku ini sedikit sebanyak dapat membantu kita yang berada di dalam kecemasan. Buku ini juga menunjukkan cara cara yang mudah untuk mengamalkan petua petua tersebut dn pada masa yang sama menggunakan barang barang yang mudah didapati di sekeliling kita.


Khamis, 6 Disember 2012

FIKSYEN 302



PENULIS: Ramlee Awang Murshid

PENERBIT: Alaf Dua Puluh Satu Sendirian Berhad

Buku ini menceritakan tentang penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Alias dan Noorhafiza Izura, seorang peguam mengenai kes pembunuhan yang dilakukan oleh Lan Lani, Jimmy Yeoh, Prakash Kumar dan Farid Ja'ah. Mereka dibantu oleh seorang bekas anggota polis bernama Hizamuddin Awang. Kes pembunuhan kejam itu sungguh unik kerana mereka berempat membunuh mangsa mangsa mereka dengan cara yang hampir serupa. Selepas melakukan pembunuhan, mereka berempat akan melakarkan angka 302 pada dahi mangsa mangsa mereka.

Kemudian mereka akan menelefon pihak polis dan diberkas dalam keadaan bertelanjang bulat. ASP Alias, Noorhafiza Izura dan Hizamuddin Awang berusaha untuk mencari motif sebenar kes pembunuhan itu. Apa yang uniknya, keempat empat pembunuh tersebut adalah orang yang tidak waras dan baru sahaja keluar dari hospital mental yang sama. Dua orang saintis iaitu Doktor Hakimi dan Doktor Rozlina berusaha untuk menjejaki dalang sebenar pembunuhan tersebut melalui watak Rita Yuzalina.

Buku ini sangat menarik bagi peminat buku buku penyiasatan berunsur thriller. Buku ini mempunyai pelbagai nilai murni antaranya ketabahan, kerjasama dan sebagainya. Buku ini juga membuatkan pembaca sering tertanya tanya dan mewujudkan nilai suspen sepanjang membaca buku ini. Penulis buku ini juga telah mencipta sebuah buku yang lain dari yang lain dan mempunayi idea yang sangat bernas serta luar biasa. Pelbagai ilmu pengetahuan mengenai psikologi manusia boleh didapati dalam buku ini. 

Rabu, 5 Disember 2012

ADAM (Aku Darah Anak Malaysia)



PENULIS: Ramlee Awang Murshid

PENERBIT: Alaf  Dua Puluh Satu Sendirian Berhad

Buku ini menceritakan tentang seorang anggota polis bernama ASP Hilman yang juga seorang penembak tepat telah dituduh memandu dalam keadaan mabuk bersama anak perempuannya yang bernama Jeslina di New York, Amerika Syarikat. Tuduhan itu dibuat adalah untuk menutup kesalahan yang telah dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat itu sendiri iaitu Presiden Jack William bersama wanita simpanannya, Catherine. 

Dengan bantuan seorang Pegawai Kedutaan Malaysia iaitu Mia Sara, Gabriel seorang perisik Malaysian Intelligence Agency (MIA), Daljit Singh yang juga seorang wartawan dan Ruben seorang perisik CIA, Hilman berjaya meloloskan diri ke Mexico dan dibebaskan dari tuduhan tersebut. Pada hemat saya, buku tulisan Novellis Thriller Nombor 1 Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid ini benar benar menarik Pelbagai pengajaran boleh diambil dari buku ini antaranya sifat tidak berputus asa, berani, semangat setia kawan dan tolong menolong. Buku ini memang sesuai dibaca oleh para remaja macapada ini.

Buku ini juga mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan di dalamnya. Ramlee Awang Murshid telah menyelitkan pelbagai pengetahuan am mengenai Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), kerjaya sebagai pegawai kedutaan, kerjaya seorang wartawan dan sebagainya.