Sabtu, 24 Jun 2017

RAYA TAHUN INI SUNGGUH PILU


Image result for kesedihan
Sumber : Google


Sedar tidak sedar kita sekarang ini sedang beransur-ansur meninggalkan bulan Ramadan yang mulia. Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Syabas kepada sesiapa yang telah beribadah dengan bersungguh-sungguh semasa di bulan Ramadan. Moga-moga segala ibadah itu beroleh pahala dan diterima Tuhan.

Meniti hari-hari di bulan Ramadan pasti pelbagai memori telah tercipta. Sama ada memori itu memori yang indah atau sebaliknya, itu sudah lumrah dalam kehidupan manusia. Pasti kita tahu bahawa setiap manusia itu ada yang menerima kesenangan dan ada juga yang menerima ujian. Tempuhilah segala yang mendatang itu dengan penuh kegembiraan atau kesabaran.
 

Di dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan berita kematian yang amat sadis, pilu, dan ngeri. Kematian yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman (pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) memang sukar untuk diterima sama sekali. Kematian Zulfarhan yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia itu dipercayai didera dengan kejam oleh rakannya sendiri. Ramai rakyat Malaysia marah dan geram apabila kes itu meletus baru-baru ini.

Kemarahan rakyat Malaysia itu berpunca daripada tindakan tanpa perikemanusiaan terhadap Zulfarhan. Tidak disangka sama sekali bahawa seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan boleh melakukan perbuatan sedemikian. Dan memang rakyat Malaysia mahu keadilan ditegakkan untuk Zulfarhan. Semoga siapa yang bersalah itu wajarlah dia menerima hukuman. 

Pada masa sekarang ini biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan. Dan biarlah pihak mahkamah meneliti dan mengkaji kes ini supaya keadilan itu dapat ditegakkan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menanti segala hasil siasatan yang sedang dijalankan. Moga-moga sesiapa yang bersalah itu dapat segera didedahkan. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Zulfarhan. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Apa yang telah menimpa kepada arwah Zulfarhan itu adalah kes di dalam negara. Di luar negara lain pula ceritanya. Sebilangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Yaman, Libya dan beberapa buah negara lagi memutuskan hubungan dengan Qatar secara tiba-tiba. Semuanya berpunca apabila Qatar dituduh sebagai menyokong aktiviti keganasan, menggugat kestabilan (serantau), dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa buah pertubuhan (seperti Ikhwan Muslimin, ISIS, dan Al-Qaeda).  

Selain daripada tuduhan-tuduhan di atas, ada pelbagai lagi tuduhan terhadap Qatar dilemparkan. Segala apa yang berlaku di dunia Arab itu bukanlah atas percaturan politik dunia semata-mata, tetapi ia melibatkan umat Islam secara keseluruhannya. Apa yang berlaku di dunia Arab itu merupakan tanda-tanda umat Islam semakin (ulang : semakin) menuju perpecahan. Dan sewajarnya perpecahan itu dielakkan. 

Di bulan Ramadan yang mulia dan tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya, perkara semacam itu tidak berlaku sepatutnya. Sepatutnya pada bulan yang mulia kita mengeratkan perpaduan dan bukannya menggalakkan perpecahan. 

Pastilah ada sebab mengapa sebilangan negara Arab melakukan tindakan sedemikian. Sama ada sebab itu sebab yang tersirat atau sebab yang tersurat, hanya pemimpin-pemimpin di negara tersebut sahaja yang boleh memberi jawapan yang tepat. Walau apa pun yang berlaku, mengambil jalan untuk berpecah (dan mungkin untuk berperang) adalah satu tindakan yang tidak bermutu. Tidak salah jika mereka semua bertemu di meja rundingan terlebih dahulu.

Mungkin (ulang : mungkin) ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang sengaja merancang semua ini. Apa tujuan ‘rancangan’ itu tidaklah kita ketahui. Tetapi apa yang pasti, ‘rancangan’ itu seboleh-bolehnya mahu umat Islam terus berpecah lagi. Semakin umat Islam mengalami perpecahan, semakin umat Islam akan dihambat kelemahan.     

Walau apa pun, kita mengharapkan agar krisis yang berlaku di bumi Arab itu boleh selesai dengan segera. Kita juga mengharapkan kes kematian Zulfarhan juga dapat diselesaikan secepatnya. Hari raya ini sepatutnya hari raya yang gembira. Tetapi melihat apa yang berlaku di sekitar kita, ia boleh bertukar menjadi pilu pula. Berdoalah supaya semuanya baik-baik sahaja. 

(Nota : Perkembangan terbaru setakat ini Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan usaha mengakhiri ketegangan di dunia Arab yang memutuskan hubungan dengan Qatar)

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.