Sabtu, 18 Februari 2017

PANDANGAN AWAL TENTANG USRAH


Image result for usrah
Sumber : Google


Mana mana pengikut gerakan Islam, pasti tahu apa itu usrah dan pasti juga mengikuti kumpulan usrah. Sudah menjadi satu kemestian kepada mana mana pengikut gerakan Islam untuk mengikuti perjalanan usrah. Usrah yang dijalankan oleh seorang naqib dan diikuti oleh beberapa orang anggota usrah itu ada banyak tujuan sebenarnya. Antaranya adalah untuk menambah kefahaman tentang agama, mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya, menghubungkan anggota usrah dengan Al Quran dan Sunnah sentiasa, memperbaiki iman dan taqwa para anggota, merapatkan ukhuwah sesama anggota, dan sebagainya. Boleh dikata mengikuti perjalanan usrah ada banyak manfaatnya. 

Apa yang dimaksudkan dengan usrah? Usrah jika dari segi bahasa bermaksud keluarga. Tetapi dari segi istilahnya usrah bermaksud satu program tetap, yang dianjurkan oleh kumpulan yang beriman, dan bekerjasama untuk memahami dan menghayati agama Islam.

Pengalaman saya dalam usrah masih awal dan mentah. Tidak banyak yang saya boleh cerita tentang usrah. Cuma yang saya ingin kata, sejak saya mengikuti usrah buat kali pertama, saya sudah jatuh cinta dengannya. Setelah saya mengikuti perjalanan usrah, banyak perkara baru yang saya temui dalam hidup saya.  

Usrah bagi saya bukan hanya mendekatkan diri saya tentang perkara perkara asas dalam agama sahaja, malah dalam kehidupan juga. Walaupun diskusi dan intelektualiti itu tidak selalunya ada (bergantung kepada naqib yang menjalankan usrah), tetapi saya tetap berpuas hati dengannya. Dengan usrahlah saya boleh kenal ramai kawan. Bukankah kawan dalam usrah itu boleh membentuk persaudaraan? Secara tidak langsung saya telah membina banyak jaringan ukhuwah dan persahabatan. 

Usrah bukan sahaja tempat untuk membahaskan wacana keilmuan, malah ia boleh juga menghilangkan tekanan. Setelah seharian belajar, dengan usrahlah kita boleh melepaskan tekanan setelah bertemu naqib dan juga kawan. Kadang kadang dengan usrah juga banyak masalah yang melanda diri boleh diceritakan. Cuma bergantung kepada diri sahaja yang malu atau segan untuk menceritakan. 

Pada hemat saya, usrah yang baik haruslah bercirikan diskusi dan intelektualiti. Mungkin dengan usrah minda kita boleh terbuka seluas-luasnya kerana banyak perkara yang kita boleh dapat daripadanya. Usrah mungkin boleh menjadi medan diskusi tentang apa sahaja perkara terutama tentang kehidupan dan agama. Dalam usrah saya fikir mungkin kita tidak boleh terhad untuk bercakap tentang Islam semata-mata. Politik, sosial, ekonomi, sejarah, isu semasa, dan sebagainya pun saya fikir kita boleh bincang juga. Namun, landasan atau paksi diskusi itu tetap mengikut acuan Islam sahaja. Tetapi semuanya terpulang kepada naqib yang menjalankannya. Dan terpulang juga kepada kemampuan anak anak usrah yang ingin membahaskannya. 

Jika hendak bercakap tentang intelektualiti, menghadam karya karya yang besar seperti Mengapa Saya Menganut Islam (Fathi Yakan), Iman, Islam, Jihad (Al-Maududi), Usul 20 dan Dakwah Kita (Hassan Al-Banna), Keadilan Sosial Dalam Islam atau Tafsir Fil Zilail (Syed Qutb), Salah Faham Terhadap Islam (Muhammad Qutb), Petunjuk Sepanjang Jalan Dakwah (Mustafa Masyhur) dan sebagainya dalam usrah adalah amat bagus sekali. Tetapi bagi saya asas asas agama seperti iman, ibadah, akidah, dan sebagainya perlu dahulu dipelajari. Jika asas asas ini sudah dikuasai, barulah boleh beralih ke arah keilmuan Islam yang lebih tinggi dan lebih berintelektualiti.

Ada sesetengah pengikut gerakan usrah mengatakan, buku buku seperti On Liberty (John Stuart Mill), The Age of Reason (Jean Paul Sarte), Future Shock and Third Wave (Alvin Toffler), A History of Western Philosophy (Bertrand Russel) dan lain lain bagus untuk digunakan. Menurut mereka, buku buku yang ditulis oleh tokoh tokoh Barat ini (sudah semestinya bukan Islam) akan menjadikan minda anggota usrah lebih kritis dan lebih terbuka. Saya tidak tahulah setakat mana idea ini boleh diterima. Tetapi saya agak risau jika buku buku ini bercanggah dengan pegangan dan tradisi Islam yang telah kita percaya sejak sekian lama. Mungkin naqib usrah boleh baca buku itu terlebih dahulu sebelum dalam usrah buku buku tersebut mana mana naqib ingin guna. 

Bagi saya perjalanan usrah boleh menjadi apa sahaja. Usrah boleh jadi wacana bedah buku atau bedah filem juga. Ini bagi memastikan bahawa anak anak usrah boleh berfikir dan mempunyai fikiran yang kritis sentiasa. Maka, anak anak usrah boleh mempunyai banyak pengetahuan di mindanya. Tetapi seperti yang telah saya sebut di atas tadi, wacana bedah buku atau bedah filem itu tidaklah lari daripada paksi Islam yang kita cintai. Misalnya, mungkin kita boleh berbahas tentang novel Tivi yang didakwa sebagai sebuah sastera Islam oleh penulisnya (Shahnon Ahmad) walaupun ramai juga sasterawan yang menentangnya. Di situ kita boleh membuat penaakulan adakah benar novel itu telah mencapai konteks sastera Islam. Tetapi ini semua bergantung kepada keterbukaan dan kemampuan naqib usrah yang menjalankan usrah dan anak anak usrah yang berada dalam usrah.    

Saya bergelumang dalam usrah dalam tempoh yang tidak lama yakni baru dalam setahun setengah sahaja. Tetapi apa yang saya perolehi begitu banyak sebenarnya. Saya bukan mahu mengubah perjalanan atau sistem usrah. Bagi saya, sistem usrah yang saya anuti sekarang begitu banyak faedah. Cuma artikel ini hanya untuk memberi cadangan atau pandangan untuk kebaikan dan kemajuan usrah. Dan segala pandangan dalam artikel ini juga tidak lain dan tidak bukan hanya untuk memajukan umat Islam yang mengikuti usrah. Teruskan berusrah dan janganlah mufarakah dari jemaah usrah.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.