Selasa, 24 Januari 2017

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 26



 

I

Mahmudah memasakkan bubur untuk Sahiril. Perasaan bersalah masih ada dalam hati kerana gara gara perbuatannya meletakkan ubat julap dalam makanan Sahiril, lelaki itu diserang penyakit cirit birit. Nasib baik penyakit Sahiril tidak begitu teruk. Pada awalnya dia hanya sekadar untuk mengajar lelaki itu namun lain pula yang jadi. Dia berasa amat bersalah pada Sahiril.

Setelah bubur itu siap, dia meletakkan di dalam mangkuk. Dia membawa bubur tersebut di atas sebuah dulang kecil bersama segelas air masak. Dia menuju ke bilik Sahiril. Ketika dia masuk ke bilik lelaki itu dia melihat Sahiril sedang terbaring di atas katil. Wajahnya kelihatan pucat. Dia meletakkan dulang tersebut di atas sebuah meja kecil di sudut bilik itu.

“Sahiril, mari makan. Aku dah masakkan bubur untuk kau.” Panggil Mahmudah lembut. Sahiril mula menyandarkan dirinya di kepala katil. Mahmudah memberikan bubur tersebut kepada Sahiril. 

“Kau dah makan ubat?” Soal Mahmudah lembut. Soalan Mahmudah dijawab secara anggukan oleh Sahiril. 

“Orang yang sakit perut tak boleh makan makanan yang keras keras. Aku rasa bubur tu sesuai untuk kau.” Ujar Mahmudah.

“Kalau tak ada apa apa aku keluar dulu. Kau makanlah bubur tu sampai habis. Kalau kau perlukan apa apa kau panggil saja aku.” Ujar Mahmudah lalu beredar meninggalkan Sahiril yang masih menikmati bubur tersebut. Walaupun makanan yang disediakan oleh Mahmudah itu tidak membuka seleranya namun dia perlu menjamahnya juga. Doktor menasihatinya supaya dia memakan makanan yang lembut lembut sahaja.

Mahmudah turun ke dapur setelah memastikan Adam tidur dengan lena. Dia tidak mahu Adam terjaga kerana itu akan mengganggu kerja kerjanya. Dia melihat Irfan sedang asyik menonton televisyen. Mahmudah terus mendapatkan telefon bimbitnya. Dia mendail nombor Noni. 

“Hello!” kedengaran suara Noni di hujung talian. “Hello Noni! Ni aku Mahmudah.” Ujarnya memperkenalkan diri.

“Hah Mahmudah! Kenapa kau tak datang kerja hari ni? Encik Sulaiman dah tanya pasal kau.” Ujar Noni.

“Aku ambil cuti kecemasan hari ni. Aku ada hal. Aku telefon kau ni sebab nak beritahu hal itu.” Ujar Mahmudah. 

“Kenapa kau tak telefon pagi tadi? Kau tahu sajalah Encik Sulaiman tu. Suka sangat membebel bila ada kakitangan yang ambil cuti tiba tiba. Kalau dia tak apa pula.” Kata Noni tidak berpuas hati.

Mahmudah tersenyum mendengar kata kata Noni itu. Sudah lapan tahun dia bekerja di syarikat tersebut bermakna sudah lapan tahun dia bekerja di bawah Encik Sulaiman. Dia sudah masak dengan kerenah ketuanya yang cerewet itu. 

“Okeylah Noni. Aku ada kerja sikit. Esok aku masuk kerja balik.” Ujar Mahmudah. 

“Okey.” Jawab Noni dan memutuskan panggilan telefon tersebut. Ketika Mahmudah mahu melangkah ke dapur telefon rumah pula berbunyi. Dia terus menyambut panggilan tersebut. 

“Hello! Sahiril ada?” Terdengar suara seorang perempuan di hujung talian. Mahmudah seolah olah pernah mendengar suara  itu namun sukar untuk dia meneka suara itu milik siapa. 

“Sahiril ada tapi dia agak kurang sihat sedikit. Ni siapa?” Soal Mahmudah pula. 

“Kau tak kenal aku ke? Aku Melisalah!” Jawab perempuan tersebut dengan kasar.

“Bukan tak kenal tapi tak perasan!” Jawab Mahmudah selamba. 

“Sahiril sakit? Dia sakit apa?” Soal Melisa lagi. 

“Dia kena cirit birit. Mungkin dia termakan makanan yang dah basi agaknya.” Jawab Mahmudah. 

“Kau ni memang tak boleh harap. Kenapa kau bagi Sahiril makan makanan basi?” Bentak Melisa kasar. Mahmudah sudah mula hilang sabar. Mahu sahaja dia menampar mulut Melisa yang celupar itu jika perempuan itu ada dihadapannya.

“Saya nak tanya Melisa kenapa awak tak telefon Sahiril sendiri? Kenapa awak telefon ke rumah? Saya tahu mungkin Sahiril tak nak layan awak sebab dia dah tak tahan dengan perempuan mulut longkang macam awak.” Kutuk Mahmudah sengaja mahu membakar api kemarahan dalam hati Mahani. 

“Apa kau cakap? Kau memang dah melampau! Kau memang…” belum sempat Melisa menghabiskan kata katanya, Mahmudah telah meletak ganggang telefon.

“Padan dengan muka kau!” ujar Mahmudah bersendirian. Dia terus menuju ke dapur untuk mengemas. Dia menyapu seluruh rumah itu. Setelah habis mengemas, Mahmudah duduk bersama Irfan di ruang tamu dan menonton televisyen. Tiba tiba loceng pintu rumah itu berbunyi menandakan ada orang yang datang. Mahmudah segera bangkit untuk membuka pintu. Dia melihat Melisa tercegat di hadapan pintu rumah itu.

Sebaik sahaja Mahmudah membuka pintu, Melisa terus masuk tanpa mengucapkan salam terlebih dahulu. Dia terus berlari ke bilik Sahiril yang terletak di tingkat dua itu.

“Tak ada adab betul budak ni. Nasib baik bukan adik aku kalau tak dah lama makan penampar.” Mahmudah bermonolog sendirian.

II 

You tak apa apa Sahiril? I risau you sakit.” Ujar Melisa sambil duduk di sebelah Sahiril. 

“Macam mana you tahu I sakit?” Soal Sahiril bingung. Setahunya dia tidak memberitahu sesiapa bahawa dia sakit kecuali Mahmudah dan ibunya, Datuk Hasanah. 

“Tadi I telefon you tapi you tak angkat. Jadi I telefon rumah. Orang gaji you yang angkat dan dia cakap you kena cirit birit. Tu I terus datang.” Jawab Melisa dalam nada suara yang merengek rengek.

I tak apa apa. I cuma cirit birit saja. You janganlah risau.” Ujar Sahiril sambil tersenyum. Walaupun perutnya masih sakit namun dia perlu gembira dengan kehadiran Melisa di sisi. Dia berasa amat beruntung sekali kerana mempunyai seorang kekasih yang amat menyayangi dirinya. 

I datang ni pun sebab I nak ajak you pergi ke majlis hari jadi kawan I malam ni. I tak ada temanlah. You nak ikut tak?” Soal Melisa.

“Lisa, you tak nampak ke I tengah sakit ni? Macam mana I nak pergi. You ajak orang lainlah.” Kata Sahiril. 

“Ala..., takkan pergi kejap pun tak boleh? Habis I nak pergi dengan siapa? Kawan kawan I semua bawa boyfriend dia, habis I macam mana?” Rengek Melisa lagi. Dia berpura pura merajuk supaya Sahiril mengikut kemahuannya.

 “I am so sorry Lisa. I tak boleh temankan you malam ni. You ajak orang lain okey.” Pujuk Sahiril.

You ni teruklah! Sakit sikit dah manja. Sudahlah, you tidur saja kat situ. I nak balik.” Bentak Melisa dan terus keluar dari kamar tidur Sahiril itu. Sahiril benar benar kesal  dengan sikap Melisa yang sukar untuk memahami dirinya. Mahu saja dia mengejar Melisa namun apabila mengenangkan perutnya masih sakit dia membiarkan saja. Dia berharap Melisa dapat memaafkan dirinya kerana tidak dapat memenuhi permintaan gadis itu.
 
Melisa menuruni tangga dengan perasaan geram bercampur marah. 'Sahiril memang seorang yang mementingkan diri.' Desis Melisa dalam hati. Dia tidak menyangka yang Sahiril sanggup menghampakan harapannya waktu itu. Dia mencari idea siapakah teman yang hendak dibawanya malam ini. Ketika dia sedang menuruni tangga, dia melihat Mahmudah sedang menonton televisyen sambil melipat pakaian.

Tiba tiba perasaan marah menyerbu sanubarinya. Dia agak marah dengan tindakan Mahmudah yang meletakkan telefon sebelum dia habis bercakap. Tambahan pula, dia perlu mencari seseorang untuk melepaskan geramnya pada Sahiril. 

“Hoi pemalas!” Jerkah Melisa sambil berjalan laju ke arah Mahmudah. Mahmudah yang sedang melipat pakaian itu tersentak apabila mendengar suara Melisa yang agak kuat itu.

“Kenapa kau beri makanan basi pada Sahiril? Kau tahu tak sebab kau dia tak boleh keluar dengan aku malam ni? Kau dengan adik kau sama saja. Sama sama menyusahkan hidup orang lain!” Melisa menghamburkan kemarahannya pada Mahmudah.

“Dan lagi satu, kenapa kau letak telefon sebelum aku habis bercakap? Kau ni memang perempuan kurang ajar dan biadap! Sebab tu kau tak kahwin sampai sekarang. Dasar andartu tak laku!” Tengking Melisa lagi setelah tidak mendapat sebarang tindak balas dari Mahmudah. Darahnya agak mendidih dengan kehadiran Mahmudah di rumah itu. 

“Kalau aku andartu sekalipun apa kau susah? Aku ada minta makan kat kau? Untuk penegtahuan kau, kau tu lagi biadap dan kurang ajar. Masuk rumah orang main masuk saja tanpa beri salam. Kau tu sepuluh kali menyusahkan hidup orang lain. Kau dah tahu yang Sahiril dah kahwin kenapa kau kacau suami orang?” Bidas Mahmudah kegeraman.

“Hoi! Sedar diri tu sikit. Sahiril tak pernah mencintai adik kau yang kolot tu. Dia mencintai aku.” Balas Melisa. 

“Kalau kau tak kacau hubungan mereka aku yakin Sahiril pasti akan mencintai Mahani sebab Mahani sepuluh kali lebih cantik dari kau. Kau seorang yang hipokrit dengan memakai make up tebal tebal macam hantu sedangkan Mahani mempunyai wajah wanita Melayu yang asli.” Ujar Mahmudah.

Nada suara mereka agak tinggi hingga mengganggu Sahiril yang mahu tidur. Dia berjalan menuruni tangga dan melihat Mahmudah dan Melisa sedang bertengkar di ruang tamu. 

“Apa bising bising ni?” Soal Sahiril lemah namun terdapat ketegasan dalam nada suaranya. Dia tidak boleh menjerit memandangkan perutnya masih sakit. 

“Kau tengoklah kekasih kau ni. Tak pasal pasal nak marah aku pula.” Rungut Mahmudah.

You tengoklah orang gaji you ni yang suka sangat cari pasal dengan I.” Rungut Melisa pula. Dia sengaja memanjakan suaranya untuk mencari simpati Sahiril. 

“Lisa, I think better you go now.” Ujar Sahiril. 

“Sahiril, sampai hati you…” Ujar Melisa. 

I said go! You tak faham ke?” Tengking Sahiril yang sudah mula naik marah denggn kerenah Melisa sebelum sempat gadis itu menghabiskan kata katanya.

“Apa tunggu lagi berambuslah dari sini.” Ujar Mahmudah. Baru puas hatinya melihat Melisa dimarahi oleh Sahiril. Air mata Melisa sudah mula tumpah. Dia terus berlari keluar dari rumah tersebut. 
“Kau pun satu. Perangai macam budak budak. Kalau nak bergaduh jangan dalam rumah aku. Pergi cari gelanggang tinju.” Bentak Sahiril marah lalu naik semula ke atas untuk berehat. Mahmudah hanya tersenyum geli hati.

III

Melisa berasa amat kecewa. Dia dapat merasakan hubungannya dengan Sahiril sudah retak menanti belah. Lelaki itu seolah olah tidak lagi menghiraukan dirinya. Rancangan awalnya mahu mengajak Sahiril ke rumah rakannya. Pada malam ini rakannya mahu membuat sambutan hari jadi. Dia meminta agar semua jemputan membawa teman istimewa masing masing.

Memandangkan Sahiril merupakan kekasih hatinya, dia bercadang mahu mengajak Sahiril ke pesta itu. Dia cuba menelefon telefon bimbit Sahiril namun tidak dijawab. Apabila dia menelefon ke rumah, Mahmudah pula yang menjawab panggilan tersebut. Dia benar benar sebal dengan Mahmudah. Kakak ipar Sahiril itu begitu berani meletakkan ganggang telefon sebelum dia habis bercakap.

Perempuan itu memang sengaja meniup api persengketaan dengan dirinya. Dia bertambah benci dengan Mahmudah dan juga Mahani. Dia benar benar tidak percaya yang Sahiril sanggup mrnghalaunya  keluar dan membela Mahmudah. Ini satu perkara yang amat menyakitkan hatinya. Sahiril benar benar telah berubah setelah lelaki itu bernikah dengan Mahani. Lelaki itu seolah olah menyisihkan dirinya padahal dia amat menyayangi dan mencintai Sahiril. 

“Jauh termenung! Dah sampai mana? England?” Tegur Haiqal yang menjadi pengurus peribadi kepada Melisa. Melisa tersenyum melihat kehadiran Haiqal. Haiqal sudah banyak membantu meningkatkan kerjayanya sebagai model. Dia amat berterima kasih dengan Haiqal.

“Kenapa you menangis Melisa?” Soal Haiqal lembut. Matanya tajam memandang ke arah model terkenal itu. 

“Mana ada I menangis. Mata I masuk habuklah.” Jawab Melisa berbohong. 

You guna ayat dalam filem Melayu sebab nak tipu I? I tengok mata you yang merah tu pun I dah tahu you menangis. Kenapa Lisa? You ada masalah ke? Kalau ada masalah ceritalah dengan I.” Ujar Haiqal lembut.

Melisa tahu dia tidak boleh menipu lelaki itu. Sudah lama Haiqal menjadi pengurusnya bermakna Haiqal sudah masak dengan perangainya.

 “I tak sangka Sahiril sanggup buat macam ni kat I.” Jawab Melisa. Air matanya tumpah lagi entah buat kali yang ke berapa.

 “Apa yang dia dah buat dengan you?” Soal Haiqal lagi. 

“Tadi I ajak dia pergi rumah kawan I malam ni sebab kawan I ada buat pesta hari lahir. Mula mula dia tak nak pergi lepas tu dia halau I dari rumah dia.” Jawab Melisa. Dia mengesat air matanya beberapa kali. 

“Sudahlah Lisa. Tak guna you nak menangis. I yakin nanti Sahiril pasti akan pujuk you balik. Kalau you nak I boleh temankan you pergi pesta kawan you tu. Itupun kalau you sudilah.” Ujar Haiqal. 

“Betul ke ni?” Soal Melisa. Nada suaranya sudah berubah ceria. 

“Ya.” Angguk Haiqal sambil tersenyum. 

Thanks Haiqal. You adalah pengurus terbaik di dunia.” Ujar Melisa dan lantas memeluk Haiqal. Haiqal agak tergamam dengan tindakan Melisa namun dia membalas juga pelukan tersebut. 

“Sekarang I nak you senyum.” Kata Haiqal setelah meregangkan pelukan. Melisa mengukir sebuah senyuman. 

“Macam tulah.” Ujar Haiqal sambil tersenyum.

IV

Mahmudah menuju ke pasar raya terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Dia mahu membeli sedikit barang kerana dia merancang untuk membawa Irfan dan Adam berkelah di Sungai Congkak. Sudah lama dia tidak pergi ke sana. Kali terakhir dia ke sana ketika dia mula mula sampai di Kuala Lumpur dahulu. Itupun Noni yang menunjukkan tempat tersebut.
 
Tambahan pula dia kasihan dengan Irfan yang bosan duduk di rumah sahaja tanpa membuat sebarang aktiviti. Pada hematnya lebih baik dia membawa Irfan berkelah semasa cuti sekolah ini. Pasti Irfan akan berasa seronok kerana inilah kali pertama dia bermandi manda di sungai. Mahmudah mahu Irfan menikmati kedinginan air Sungai Congkak itu.

Seusai membeli barang, Mahmudah terus mengambil Irfan dan Adam di rumah Maimon. Dia amat berterima kasih dengan Maimon kerana telah menjaga Adam dan Irfan dengan baik sekali. Dia melihat Irfan sudah selesa tinggal di rumah Maimon dan begitu juga dengan Adam. Setelah mengambil mereka berdua, Mahmudah terus memandu pulang ke rumah.

“Irfan, esok mak long nak bawa Irfan dengan Adam pergi berkelah di Sungai Congkak. Irfan boleh mandi manda di sana.” Ujar Mahmudah sewaktu dalam perjalanan pulang ke penthouse Sahiril. 

“Betul ke mak long? Seronoknya!” Irfan bersorak kegirangan. Mahmudah tersenyum melihat keletah anak saudaranya. 

“Mak long, esok papa ikut sekali tak?” Soal Irfan.

“Papa? Siapa papa? Papa mana yang Irfan cakap ni?” Soal Mahmudah pula dalam keadaan bingung. Setahunya Irfan memanggil Bakri dengan panggilan ‘ayah’. Sejak bila pula Irfan memanggil Bakri dengan panggilan ‘papa’.

“Papa Sahiril tu. Dia ikut tak mak long?” Soal Irfan lagi. Mahmudah sedikit tersentak apabila Irfan memanggil Sahiril dengan panggilan ‘papa’. Sejak bila pula Irfan memanggil Sahiril dengan panggilan itu. 

“Kenapa Irfan panggil pakcik Sahiril tu papa?” Soal Mahmudah mahu meminta kepastian dari anak kecil itu. 

“Kawan Irfan ramai yang panggil bapa mereka dengan panggilan papa. Jadi Irfan panggilah pakcik Sahiril papa. Ibu pernah cakap kat Irfan yang pakcik Sahiril itu bapa tiri Irfan.” Terang Irfan dengan petah.

Barulah Mahmudah faham mengapa Irfan memanggil Sahiril dengan panggilan itu. Tapi adakah Sahiril akan menerima Irfan sebagai anak tirinya? Adakah Sahiril akan menyayangi Irfan? Semua persoalan itu muncul di benak Mahmudah. Sukar untuk dia meneka semua jawapan bagi persoalan persoalan tersebut. Dia amat berharap agar Sahiril dapat menerima dan menyayangi Irfan sebagai anaknya sendiri lebih lebih lagi Adam.

“Itu mak long tak pasti Irfan. Irfan kena tanya sendiri dengan papa Sahiril kamu tu.” Ujar Mahmudah setelah agak lama menyepi dalam kereta itu. 

“Macam mana kalau papa tak nak?” Soal Irfan. 

“Itu mak long tak tahu.” Jawab Mahmudah dan terus memandu membelah jalan raya untuk pulang ke rumah. Setelah sampai di penthouse milik Sahiril, Mahmudah melihat Sahiril sudah berada di rumah. Itu satu perkara yang luar biasa. Biasanya pada waktu malam baru Sahiril sampai ke rumah. 

“Awal kau balik hari ni?” Sapa Mahmudah sambil meletakkan barang barang yang dibelinya tadi di atas meja makan. 

“Aku kurang sihat hari ni sebab tu aku balik awal.” Ujar Sahiril yang sedang menonton televisyen. Mahmudah mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu bertanya lagi kerana dia tahu Sahiril culas mahu menjawab pertanyaannya.

Mahmudah masuk ke kamar tidurnya lalu menidurkan Adam. Setelah itu, dia membersihkan diri dan menukar pakaian. Kemudian dia turun ke dapur untuk membasuh baju dan memasak makan malam.

 “Kenapa kau beli barang banyak banyak tu?” Soal Sahiril yang muncul di muka pintu dapur. Mahmudah yang sedang membasuh pinggan mangkuk untuk sarapan pagi tadi agak terkejut dengan kehadiran Sahiril secara tiba tiba itu.

“Esok aku nak pergi berkelah. Aku nak bawa bekalan makanan ke sana.” Jawab Mahmudah sambil meneruskan kerja kerjanya. 

“Berkelah? Ke mana?” Soal Sahiril ingin tahu.

“Sungai Congkak. Kau nak ikut ke?” Soal Mahmudah setelah menjawab soalan lelaki itu. 

“Tak naklah. Aku bukannya suka kat tempat yang kotor dan banyak nyamuk macam tu. Lebih baik aku mandi kolam kat hotel aku saja.” Ujar Sahiril yang sedikit angkuh itu.

“Suka hati kaulah apa yang kau nak buat.” Ujar Mahmudah. Dia malas mahu membalas kata kata Sahiril. Tidak guna bertekak dengan manusia seperti Sahiril. Dia tidak mahu membazir air liur, suara dan tenaga dengan bertengkar bersama Sahiril. 

“Papa, esok kita pergi Sungai Congkak nak?” Soal Irfan sambil menarik narik seluar Sahiril. Dia begitu mengharapkan pemergian Sahiril bersamanya esok.

“Kenapa kau tarik tarik seluar aku ni?” Soal Sahiril marah. Dia menepis tangan Irfan dengan kasar.

 “Dan lagi satu jangan panggil aku papa. Aku bukan papa kau!” Bentak Sahiril marah. Mahmudah terus mendapatkan Irfan yang sedikit ketakutan kerana diherdik oleh Sahiril. 

“Kenapa kau buat macam tu kat dia. Dia sayang kau sebab tu dia panggil kau papa.” Ujar Mahmudah membela Irfan.

“Aku tak suka dengar dia panggil aku papa. Aku bukan bapa dia dan aku tak pernah anggap dia anak aku.” Bentak Sahiril lagi. 

“Kalau macam tu kau pernah ke anggap Adam tu anak kau?” Soal Mahmudah. Sahiril mula kehilangan kata kata. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberinya pada soalan Mahmudah itu. Dia tidak berkata apa apa lalu pergi meninggalkan Mahmudah bersama Irfan.

Sahiril lantas masuk ke biliknya. Dia menutup dan mengunci pintu bilik itu rapat rapat. Dia terus menyandarkan dirinya di kepala katil. Soalan Mahmudah yang baru didengarinya tadi masih terngiang ngiang di telinganya. “Kalau macam tu kau pernah ke anggap Adam sebagai anak kau?” Soalan yang dilontarkan oleh Mahmudah itu berkesan di hatinya. 

Jawapan apakah yang paling sesuai untuk soalan tersebut. Selama ini dia tidak pernah mengambil berat tentang Adam. Dia langsung tidak peduli dengan kehadiran Adam dalam hidupnya. Apa yang dia tahu Adam sihat dibawah jagaan Mahmudah walaupun hakikatnya dia tahu bahawa Adam adalah anaknya. Walaupun sejuta kali dia menafikannya, namun Adam tetap anaknya bersama Mahani. Ya, Adam lahir hasil dari benihnya walaupun sejuta kali dia cuba menafikan perkara tersebut.

Dia tahu Mahani mencintai dirinya. Dia bisa melihat dengan jelas dari anak mata Mahani. Jika tidak mengapa wanita itu boleh betah tinggal bersamanya walaupun hampir setiap hari dia menyeksa wanita itu. Namun begitu sukar dia mahu menerima Mahani. Dia selalu terkenangkan kejahatan yang dilakukan oleh Mahani pada dirinya. Secara tidak sedar, juga dia gembira dengan panggilan ‘papa’ oleh Irfan cuma dia berpura pura tidak suka kerana egonya yang tinggi.
 
Belum pernah lagi ada seorang budak lelaki yang memanggilnya dengan gelaran tersebut. Dia berasa seperti seorang lelaki yang matang apabila dipanggil seperti itu. Dia merasakan dirinya telah menjadi seorang ayah dengan panggilan itu. Fikirannya terus melayang mengingati hal tersebut sehingga dia tertidur.


Mahmudah memasukkan semua makanan yang dimasaknya pagi tadi seperti mihun goreng, cucur bilis, kuih karipap dan sebotol air sirap ke dalam sebuah raga yang besar. Setelah itu dia mempersiapkan Irfan dan Adam. Dia membawa beberapa helai pakaian untuk dipakai oleh Irfan apabila anak kecil itu mahu mandi manda nanti. Apabila semuanya sudah siap, dia turun ke ruang tamu sambil mendukung Adam. Irfan yang berada di muka pintu sudah tidak sabar sabar lagi. Perasaan teruja bercampur gembira masih melekat di hatinya. 

“Irfan tolong bawa beg ni.” Arah Mahmudah kepada anak saudaranya itu. Dia mendukung Adam dan membawa raga berisi makanan tadi. Ketika dia mahu keluar dari rumah dia mendengar suara Sahiril menahannya. 

“Kalau aku ikut sekali boleh kan?” Soal lelaki itu. Sahiril yang kelihatan kacak dengan mengenakan kemeja berlengan pendek berwarna merah dan seluar jeans berwarna hitam memandang ke arah Mahmudah. Mahmudah agak terkejut dengan tindakan Sahiril pagi itu. Semalam bukan main dahsyat lagi dia menolak.

“Boleh. Apa salahnya. Lagipun kau boleh jaga Adam. Aku ingat aku nak mandi manda sekali dengan Irfan.” Jawab Mahmudah yang kelihatan agak senang kerana Sahiril mahu mengikut mereka.

VI 
 
Mereka menuju ke Sungai Congkak dengan menaiki kereta milik Sahiril. Mahmudah duduk di sebelahnya manakala Irfan duduk di bahagian belakang kereta tersebut. 

“Sebelum kita pergi ke sana aku nak ambil Melisa dulu kat rumah.” Sahiril memecahkan kesunyian yang sudah lama melanda mereka yang berada di dalam kereta itu. 

“Apa?! kau nak ambil Melisa? Kenapa?” Soal Mahmudah bingung.

“Semalam aku ajak dia sekali.” Jawab Sahiril dengan wajah selamba.

“Apa? kau ajak dia? Kenapa kau ajak dia? Aku tak pernah suruh kau ajak dia.” Soal Mahmudah yang sedikit bengang dengan kata kata Sahiril. 

“Apa salahnya. Lagipun Sungai Congkak tu bukan kau punya.” Sindir Sahiril. Mahmudah hanya diam. Dia menyumpah nyumpah Sahiril dalam hati.

Ketika sampai di rumah Melisa, gadis itu telah menunggu di hadapan rumahnya. Melisa yang kelihatan tersengih sengih seperti kerang busuk terus masuk ke dalam perut kereta dan Sahiril terus meluncur pergi. 

“Ini tentu Irfan kan? Irfan tak kenal kakak Melisa lagi?” Soal Melisa sambil tersenyum ke arah Irfan. Dia terpaksa menghadiahkan senyuman kepada anak kecil itu untuk menjaga hati Mahmudah. 

Dia sudah tidak mahu lagi bergaduh dengan wanita itu namun kebenciannya pada Mahmudah dan Mahani masih lagi belum hilang. Ini semua atas permintaan Sahiril yang mahu dia berbaik baik dengan Mahmudah. Malam semalam ketika Sahiril mengajaknya ke Sungai Congkak dia agak keberatan untuk pergi. Dia tidak suka berkelah di tempat yang berhutan, kotor dan banyak nyamuk seperti itu. Dia teringat akan perbualannya bersama Sahiril melalui telefon semalam.

“Kenapa you telefon I malam malam ni?” Melisa bertanya dengan agak kasar. Sahiril hanya tersenyum. Dia tahu Melisa tentu marah padanya kerana dia telah memarahi gadis itu kelmarin. 

You janganlah marah. Nanti hilang kecantikkan dan keayuan you.” Sahiril menyatakan dalam nada memujuk. Melisa sekadar mencebik mendengar kata kata lelaki itu.

You tak payah nak berbasa basi dengan I lagi. Kenapa you telefon I malam malam macam ni? Cakap cepat sebab I nak tidur.” Ujar Melisa mendesak. Dia mahu merajuk dari lelaki itu. Dia sebenarnya mahu menguji setakat mana cinta Sahiril pada dirinya.

 “I boleh cakap tapi you mesti janji untuk maafkan I.” Pujuk Sahiril lembut. Dia tahu strategi mahu memujuk hati gadis itu. Melisa bukanlah gadis yang sukar untuk dilembutkan hatinya.

“Kalau I tak nak maafkan you, you nak buat apa?” Soal Melisa berbentuk cabaran pada diri Sahiril.

 “I akan datang rumah you dan cium you banyak kali.” Kata Sahiril sambil tersenyum. Wajah Melisa mula merona merah menahan malu. Hatinya sudah mula terpujuk dengan kata kata lelaki itu. 

“Kalau I tak nak maafkan juga?” Soal Melisa lagi.

I akan tangkap you dan kita akan kahwin kat Siam. Biar you jadi isteri I dan I boleh selalu pujuk you.” Jawab Sahiril dalam nada suara yang cukup tenang dan selamba. 

You nak maafkan I tak? I nak minta maaf banyak banyak. I tengah sakit masa tu sebab tu I cepat marah. I sebenarnya bukan marah pada you tapi Mahmudah tak guna tu. I tak nak you bergaduh dengan perempuan kolot macam dia.” Terang Sahiril.

“Betul you tak marah I?” Soal Melisa dengan manja. 

“Betul.... Takkan I nak marah gadis secantik you. I lelaki paling malang kalau I buat macam tu.” Jawab Sahiril lagi. 

“Kenapa you telefon I malam malam ni?” Soal Melisa lembut. Nada suaranya sudah berubah dan tidak seperti mula mula tadi. 

“Esok I nak ajak you pergi Sungai Congkak. You nak tak temankan I pergi sana?” Soal Sahiril.

“Sungai Congkak? Kenapa you nak pergi tempat kotor macam tu? You ada projek besar ke kat sana?” Melisa bertanya dalam keadaan sedikit terkejut.

“Bukan. Esok I nak berkelah dengan Mahmudah, Adam dan Irfan.” Jawab Sahiril.

 “Apa? Berkelah? Tak ada tempat lain ke you nak pergi? Lagipun kenapa you nak ikut diaorang? Biarlah tak diaorang nak pergi mana pun.” Melisa bertanya dengan perasaan sedikit geram. Dia tidak berapa suka apabila mendengar nama Mahmudah. 

“Saja. I tak pernah mandi sungai. Sesekali menikmati pengalaman mandi sungai pun seronok juga.” Jawab Sahiril. 

I bukan apa Sahiril. I tak suka pergi tempat macam tu. I lebih selesa mandi dalam kolam kat hotel you.” Ujar Melisa jujur. 

I bukan apa. Kita boleh menikmati keindahan alam semulajadi. Kita juga boleh bergambar kat sana. I yakin mesti you tak pernah pergi tempat tempat macam tu. Jadi marilah esok kita kutip pengalaman melawat sungai sungai yang ada kat Malaysia ni. Nanti bila orang tanya tak adalah kita dikatakan kolot.” Ujar Sahiril. Dia bijak bermain kata kata untuk memujuk Melisa. 

“Baiklah, I setuju. Tapi I tak nak lama lama kat sana.” Ujar Melisa. 

You dah setuju pun I dah cukup gembira. Tapi I nak minta pertolongan you.” Ujar Sahiril. 

“Apa dia?” Soal Melisa pula. 

I tak nak you bergaduh dengan Mahmudah. I nak you berbaik baik dengan dia walaupun you tak suka.” Jawab Sahiril. 

‘Tapi kenapa?” Soal Melisa bingung. Permintaan Sahiril itu agak berat untuk ditunaikan olehnya. 

You kena faham. Dia yang jaga Irfan dan Adam. I tak nak nanti dia tinggalkan Adam dengan I sebab tak tahan dengan perangai you. Jadi I harap sangat you dapat tolong I.” Jelas Sahiril. Melisa mula mengeluh. 

“Baiklah, I setuju.” Balas Melisa. 

“Bagus. Kita jumpa esok ya. Bye!” Pamit Sahiril.

Bye!” balas Melisa lemah lalu mematikan telefon bimbitnya.

VII

“Lisa! Kita dah sampai.” Suara Sahiril dari luar kereta itu mematikan lamunan Melisa. Dia melihat di sekeliling. Dia telah pun sampai di Sungai Congkak. Dia dapat mendengar bunyi air yang deras dan kicauan burung di hutan tersebut. Dia mula melangkah keluar dari kereta. Dia melihat Mahmudah dan Irfan sedang memandang ke arah dirinya. 

“Jom!” Sahiril mengajak Melisa untuk turut serta.

Mahmudah yang sedang mendukung Adam mengikut Sahiril dan Melisa turun dari sebuah bukit yang kecil. Irfan juga turun dari bukit kecil itu dengan berhati hati. 

“Baik baik Irfan.” Pesan Mahmudah. Dia khuatir jika Irfan terjatuh. 
“Kita berkelah kat sini.” Sahiril berkata setelah mereka sampai di sebuah batu yang agak lebar. Mahmudah meletakkan Adam di atas batu itu lalu dia membentang tikar.

Kemudian dia meletakkan bakul yang berisi makanan dan sebuah beg yang berisi baju di atas tikar itu. Dia lantas memangku Adam lalu membacakan beberapa potong ayat suci Al Quran di telinga Adam. Ini bertujuan untuk menghindarkan makhluk halus dari mendekati bayi itu. Dia melihat Sahiril dan Melisa sudah pun menukar pakaian. Sahiril memakai seluar pendek tanpa baju manakala Melisa memakai sehelai baju T yang agak ketat dan sehelai seluar pendek paras peha.

Gaya pemakaian Melisa itu tidak disenangi oleh Mahmudah. Sepatutnya Melisa perlu memakai pakaian yang lebih sopan apabila berada dengan seorang lelaki yang bukan muhrim seperti Sahiril. Namun Mahmudah hanya diam sahaja. Dia malas untuk menegur kerana dia tahu sudah tentu ibu bapa Melisa telah memberikan didikan agama yang secukupnya pada gadis itu. Jadi terpulanglah pada Melisa untuk mematuhinya atau tidak. 

“Mahmudah, jom mandi sekali dengan kami.” Laung Sahiril yang sudah pun berendam di dalam sungai bersama Melisa.

 “Betul tu Mahmudah. Seronok mandi kat sini. Air sungai ni sejuk sangat.” Ujar Melisa pula. 

“Tak apalah. Kamu berdua mandi dahulu.” Mahmudah menolak dengan baik. Sejujurnya dia tidak suka dengan kehadiran Melisa di situ. Namun dia hanya mampu berdiam diri. Ini semua adalah rancangan Sahiril. 

“Mak long, Irfan nak mandi sungai boleh tak?” Irfan bertanya untuk meminta kebenaran dari Mahmudah. 

“Boleh. Pergi tukar pakaian dahulu.” Jawab Melisa sambil tersenyum. Dia hampir hampir lupa pada Irfan. Tujuan asalnya membawa Irfan ke mari adalah untuk anak kecil itu bersuka ria bermandi manda di sungai.
 
Dia masih melihat Melisa dan Sahiril sedang bermandi manda dan bermain air. Perlakuan mereka tidak ubah seperti pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. Kelakuan mereka berdua menimbulkan rasa sakit di hati Mahmudah. Hal ini kerana Sahiril masih lagi suami Mahani. Sepatutnya Sahiril perlu menjaga statusnya sebagai seorang suami. Dia berasa amat benci dengan Melisa. Dia dapat merasakan gadis itu sengaja mahu mengambil kesempatan ke atas diri Sahiril.

“Mak long, Irfan dah tukar baju. Boleh Irfan mandi sekarang?’ Pinta Irfan pula.

 “Baiklah. Tapi jangan pergi jauh jauh. Nanti kamu lemas. Kamu mandi di tempat yang cetek saja.” Pesan Mahmudah. Irfan terus terjun ke dalam air. Dia begitu gembira bermandi manda walaupun kedinginan air sungai itu mencecah ke tulang sumsum.

“Irfan, mari sini. Ada banyak batu batu yang cantik kat sini.” Sahiril memanggil Irfan.

 “Betul Irfan. Mari ke sini.” Pamit Melisa pula. Belum sempat Mahmudah berkata apa apa Irfan terus berenang ke arah Sahiril dan Melisa. Dia begitu gembira melihat batu batu cantik yang ditunjukkan oleh Sahiril dan Melisa. 

“Ambil batu ni. Bawa balik ke rumah.” Ujar Sahiril sambil memberikan Irfan sebiji batu yang berwarna coklat.

Rupa bentuk batu itu sungguh cantik. Irfan benar benar suka dengan batu itu. Batu yang berbentuk heksagon itu menarik perhatian Irfan. Mahmudah yang berada di atas batu besar itu hanya melihat. Walaupun hatinya berat untuk membiarkan Irfan bersama Sahiril namun jauh di sudut hatinya dia gembira melihat layanan Sahiril kepada Irfan. 

“Mari kita mandi Irfan.” Sahiril mengajak Irfan untuk mandi bersama dengannya. Tanpa membantah Irfan terus mengikut Sahiril dan Melisa bermandi manda. Sahiril begitu leka berbual dengan Melisa dan hanya membiarkan Irfan bersendirian. Mahmudah pula membancuh susu buat Adam yang sedang galak menangis. Ketika semua orang leka membuat aktiviti masing masing tiba tiba satu jeritan meminta tolong kedengaran. 

“Tolong! Tolong!” jerit Irfan yang kelemasan. Mahmudah yang sedang menyusukan Adam terperanjat mendengar suara Irfan. Diamelihat Irfan sedang terkapai kapai meminta pertolongan. 

“Sahiril! Tolong Irfan! Dia tengah lemas tu!” Jerit Mahmudah ke arah Sahiril. Sahiril yang sedang leka bermandi manda bersama Melisa terkejut mendengar jeritan Mahmudah. Dia segera melihat ke arah Irfan yang sedang terkapai kapai kelemasan.

Tanpa membuang masa lagi Sahiril terus berenang untuk mendapatkan Irfan. Dia terus menarik Irfan ke tepi. Dia mendukung Irfan dan meletakkan di atas batu yang di duduki oleh Mahmudah itu. Melisa yang mengikuti Sahiril agak terkejut dengan kejadian itu. Sahiril memberikan bantuan pernafasan kepada Irfan yang sedang pengsan itu. Dengan kuasa Allah s.w.t Irfan mula sedar.

Dia terbatuk batuk kerana terlalu banyak tertelan air sungai. Mahmudah yang hampir hampir mahu menangis itu terasa amat lega melihat Irfan yang telah sedar.

Ya Allah...syukurlah kau selamat nak..." Ujar Mahmudah yang tidak putus putus mengucapkan lafaz syukur setelah melihat Irfan yang selamat. Jika sesuatu yang buruk terjadi kepada Irfan, dia memang tidak dapat memaafkan dirinya. Kemudian segera dia teringat sesuatu. Dia memandang ke arah Sahiril dengan kegeraman.

 “Kau memang bodoh! Kenapa kau tak jaga Irfan dengan baik?” Tengking Mahmudah pada Sahiril. Dia berasa amat marah dengan kecuaian Sahiril. 

“Mana aku tahu. Aku ingat air tak dalam.” Sahiril membela diri.

“Kau memang bodoh dan cuai! Disebabkan kau nyawa Irfan hampir hampir melayang.” Bentak Mahmudah. 

“Kau jangan nak salahkan aku pula. Kau yang ajak kami ke mari jadi kaulah yang patut bertanggungjawab. Lagipun Irfan di bawah jagaan kau. Bukan aku!” Balas Sahiril dalam nada suara yang amat tinggi.

 “Sudah. Tak guna kita bergaduh kat sini. Lagipun Irfan dah sedar.” Melisa cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku antara Mahmudah dan Sahiril.

“Kau diam Melisa. Ini semua takkan terjadi kalau kau tak ikut sekali ke mari.” Marah Mahmudah sambil menunding jari ke arah Melisa. 

“Kau jangan salahkan orang lain untuk menutup kesilapan kau!” Ujar Sahiril membela Melisa. 

“Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak bawa betina gedik ni kat sini tentu perkara ini takkan berlaku.” Mahmudah berkata pada Sahiril.

“Baiklah. Apa yang buruk semua kami berdua tapi apa yang baik semuanya kau. Mari Melisa kita balik. Kita tinggalkan andartu ni seorang diri. Biar dia kahwin dengan putera bunian yang ada dalam hutan ni.” Ujar Sahiril lalu menarik tangan Melisa. Mereka berdua terus naik ke atas dan menuju ke kerata. “Pergi berambus kamu berdua. Aku doakan kamu agar ditimpa kemalangan semasa dalam perjalanan balik ke rumah.” Mahmudah menyumpah.Dia melihat kereta Sahiril meninggalkan tempat itu. 

“Mak long, macam mana kita nak balik? Papa dah tinggalkan kita.” Soal Irfan yang kelihatan risau. 

“Kamu jangan risau Irfan. Nanti mak long telefon pakcik Ramli untuk ambil kita kat sini.” Jawab Mahmudah tenang. Dia berani memberi jaminan itu kerana dia tahu Ramli pasti akan membantunya. 

“Kamu pergilah mandi. Kalau kamu lapar kat sini ada makanan. Jangan pergi jauh jauh sangat. Mandi kat tepi batu ini saja.” Nasihat Mahmudah.
 
Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Walaupn pada waktu itu dia ingin pulang saja namun apabila mengenangkan Irfan masih belum puas bermandi manda di sungai itu, dia memberi kebenaran untuk Irfan mandi dengan sepuas puasnya.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.