Khamis, 19 Januari 2017

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 24



 

(I)

Pada hujung minggu itu, Ramli dan Nadia pulang ke kampung Nadia yang terletak di Melaka. Sudah lama Ramli tidak merasai suasana kampung seperti itu. Memandangkan dia tidak mempunyai kempung kerana kedua orang tuanya berasal dari Kuala Lumpur jadi dia tidak pernah pulang ke kampung cuma ada beberapa kali dia ke kampung rakan rakannya ketika dia menuntut di universiti dulu.

“Mak awak macam mana? Dia garang tak?” Soal Ramli memecahkan kesepian yang melanda sejak sekian lama. 

“Taklah. Mak saya baik. Arwah ayah saya yang garang.” Ujar Nadia sambil tersenyum. 

“Betul ke? Jangan sampai rumah awak nanti mak awak garang macam singa.” Ujar Ramli. 

“Betullah. Kenapa awak takut sangat? Kata nak jadi suami saya jadi kenalah berani.” Ujar Nadia pula.

“Saya tak takutlah cuma tak berani saja.” Kata Ramli. Nadia tertawa mendengar kata kata Ramli. 

“Nadia, macam mana kalau mak awak tak suka saya? Macam mana kalau mak awak tak boleh terima saya sebagai suami awak?” Soal Ramli. 

“Awak ni suka sangat fikir negatif. Jumpa pun belum lagi dah fikir yang bukan bukan.” Ujar Nadia. Beberapa minit kemudian, mereka telah sampai ke rumah ibu Nadia.

“Assalamualaikum.” Ucap Nadia nyaring. 

“Waalaikumussalam.” Jawab ibu Nadia yang muncul di muka pintu rumah tersebut. 

“Dah sampai pun. Masuklah Nadia. Masuklah nak.” Pelawa Hajah Normah kepada Nadia dan Ramli. Kemudian Ramli dan Nadia bersalaman dengan Hajah Normah. Wanita yang berusia dalam lingkungan 70an itu masih kelihatan sihat dan bertenaga.

“Along dengan Angah tak balik mak?” Soal Nadia kepada Hajah Normah. 

“Tak. Diaorang tu memang jarang balik. Hari raya baru nampak batang hidung. Kamu saja yang selalu menjenguk mak kat kampung ni.” Jawab Hajah Normah. Ada riak sedih dalam nada suaranya. 

“Ini mak Nadia nak memperkenalkan kawan Nadia. Nama dia Ramli.” Ujar Nadia memperkenalkan Ramli pada ibunya.

“Oh, ini ke kawan yang kamu cakap nak datang hari tu. Pergilah bancuh air Nadia. Tentu kawan kamu ni dahaga.” Kata Hajah Normah. 

“Baiklah.” Balas Nadia sambil bergerak ke dapur. “Lama kamu dah kawan dengan Nadia?” Soal Hajah Normah sambil memandang ke arah Ramli. 

“Err… lama juga makcik. Dah hampir tiga tahun. Saya juga kerja satu tempat dengan Nadia.” Jawab Ramli yang agak gugup pada waktu itu.

“Baguslah kalau macam tu. Makcik harap kamu jagalah Nadia tu baik baik. Dia seorang saja anak perempuan makcik.” Kata Hajah Normah. 

“Sebab itulah saya datang hari ni makcik. Saya ingat dalam bulan depan saya nak hantar rombongan meminang.” Ujar Ramli. Rasa berdebarnya sebentar tadi sudah beransur hilang. 

“Oh begitu. Nadia tu budak baik. Dia patuh pada orang tua dan suruhan agama.” Kata Hajah Nadia. Tiba tiba Nadia muncul dari dapur dengan membawa sejag air oren dan tiga buah gelas. 

“Minumlah nak. Maaflah ini saja yang ada.” Kata Hajah Normah. 

“Ini pun dah cukup makcik.” Ujar Ramli merendah diri. “Nanti kamu makanlah kat sini. Makcik ada masak lauk asam pedas ikan parang.” Kata Hajah Normah.

 “Baiklah.” Kata Ramli. 

(II) 

Ramli makan dengan penuh berselera sekali. Sunggguh sedap kuah asam pedas ikan parang yang dimasak oleh Hajah Normah. “Tambah lagi nak. Makcik masak banyak ni. Pelawa Hajah Normah.

“Baik makcik. Sedap betul kuah asam pedas ni.” Kata Ramli. 

“Nadia pun pandai masak asam pedas. Makcik pernah ajar dia dulu. Nanti kalau teringin nak makan suruh dia masakkan.” Ujar Hajah Normah.

“Oh yakah? Tak sangka pula Nadia pandai memasak.” Kata Ramli sambil tersenyum nakal pada Nadia. 

“Awak ingat saya tak pandai masak ke? Saya pandai masak tau.” Ujar Nadia. 

“Saya pun pandai masak juga.” Kata Ramli. 

“Awak pandai masak apa?” Soal Nadia.

 “Saya pandai masak air dan masak nasi.” Seloroh Ramli. Nadia tertawa mendengar lawak yang dibuat oleh Ramli.

“Ibu dan bapa kamu kerja di mana Ramli?” Soal Hajah Normah. 

“Ibu dan bapa saya dah lama berpisah. Bapa saya seorang peguam tapi saya tak tahu ibu saya kerja di mana sebab dah lama saya tak jumpa dia. Sejak kecil lagi saya tinggal dengan bapa saya.” Jawab Ramli berterus terang. Dia tidak mahu menipu perihal keluarganya. 

“Oh begitu. Makcik minta maaf nak. Makcik tak tahu orang tua kamu dah lama berpisah.” Pinta Hajah Normah.

 “Tak apa makcik. Itu kisah lama. Saya dah lupakan.” Ujar Ramli. Hajah Normah berasa kasihan dengan nasib yang menimpa diri Ramli. Sejak kecil sudah hilang kasih sayang seorang ibu. 

“Tambah nak nasi tu. Nadia, bagi nasi tu pada Ramli.” Kata Hajah Normah. Nadia menghulurkan mangkuk nasi kepada Ramli dan dia menikmati hidangan itu dengan penuh berselera.

(III)

Adam masih lagi menangis tanpa henti sejak bayi itu bangun dari tidur. Sudah puas Sahiril memujuknya dengan pelbagai cara. Dia cuba membancuh susu dan memberi kepada Adam namun tangisan Adam masih lagi kedengaran. Dia cuba bermain main dengan Adam namun bayi itu masih menangis seolah olah ada yang kurang pada bayi itu. Sahiril benar benar telah berputus asa lalu dia menelefon Datuk Hasanah untuk membantu dirinya menjaga Adam.
 
Pengalaman Datuk Hasanah sebagai seorang ibu mampu mententeramkan Adam yang seperti dirasuk itu namun itu semua hanyalah khayalan Sahiril sahaja. Datuk Hasanah juga tidak mampu untuk menghentikan tangisan Adam. 

“Budak ni memang menyusahkan sama macam ibunya.” Ujar Datuk Hasanah sambil mendukung Adam yang masih menangis itu. 

“Saya pun tak tahulah kenapa budak ni jadi macam tu. Sebelum ni tak pernah pula dia buat perangai.” Kata Sahiril.

“Mana Mahmudah pergi? Perempuan tu memang pemalas macam adik dia juga. Suka sangat makan gaji buta.” Ujar Datuk Hasanah yang sudah mula naik angin. 

“Sebenarnya saya dah halau dia keluar dari rumah ni.” Kata Sahiril berterus terang. 

“Apa? Kenapa kamu halau dia?” Soal Datuk Hasanah bingung. 

“Dah dia tu kurang ajar sangat. Saya halaulah dia keluar dari rumah ini.” Jawab Sahiril.

“Mama rasa lebih baik kamu suruh dia datang ke sini semula. Hanya dia saja yang mampu buat bayi ni diam. Kalau tak sampai esok pagi budak ni akan menangis.” Kata Datuk Hasanah.

“Okey....” Balas Sahiril lemah. Walaupun dia tidak suka Mahmudah tinggal di sini namun dia amat memerlukan Mahmudah. Hanya Mahmudah yang tahu


bagaimana mahu menguruskan budak kecil itu.

(IV)

Hati Sahiril berasa amat janggal mahu meminta bantuan Mahmudah. Ketika dia sampai ke rumah wanita itu dia melihat kereta Mahmudah ada di situ menandakan wanita itu ada di rumah. Sahiril berasa teragak agak mahu memberi salam namun demi Adam yang tidak berhenti henti menangis itu ditebalkan mukanya. Dia memberi salam dengan agak nyaring.

“Assalamualaikum.” Ucap Sahiril beberapa kali. Tiba tiba muncul Irfan di muka pintu rumah. 

“Papa datang. Adam mana papa? Irfan nak main dengan Adam.” Ujar Irfan sambil memandang ke arah lelaki itu. 

“Err… Irfan, Makcik Mahmudah ada?” Soal Sahiril dengan lembut walaupun dia bingung dengan panggilan Irfan terhadap dirinya. 

“Ada! Dia tengah masak kat dapur. Papa nak Irfan panggil dia?” Soal Irfan.

“Ya. Tolong panggil Makcik Mahmudah kejap. Pakcik nak jumpa dia.” Pinta Sahiril. Dia melihat Irfan berlari ke dalam rumah. Beberapa minit kemudian Mahmudah keluar bersama Irfan dan menuju ke arah dirinya.

 “Kau nak apa datang rumah aku ni?” Soal Mahmudah kasar. 

“Mahmudah, aku nak minta tolong boleh? Kau saja yang boleh tolong aku sekarang ni.” Soal Sahiril lembut. Itulah kali pertama dia bercakap dengan suara yang lembut dengan Mahmudah.

 “Minta tolong? Orang kaya macam kau nak minta tolong dengan aku? Kenapa kau tak guna duit kau yang berlambak tu dan minta tolong dengan orang lain?” Sindir Mahmudah tajam. Kata kata Mahmudah itu berjaya menghiris hati Sahiril namun dia cuba bersabar. Mahmudah sahaja yang mampu membantu dirinya waktu itu.
 
“Aku nak minta maaf sebab aku selalu berkasar dengan kau. Aku juga nak minta maaf sebab halau kau dari rumah aku tapi sekarang aku betul betul perlukan bantuan kau.” Mohon Sahiril. 

“Apa dia?” Soal Mahmudah lagi. Nada suaranya masih kasar seperti tadi. Manusia yang angkuh seperti Sahiril memang tidak boleh dibuat baik. 

“Kau tolong jaga Adam semula. Betul cakap kau aku tak boleh jaga Adam. Dia asyik menangis saja dari tadi. Dia hanya diam bila dia tidur saja.” Jawab Sahiril.

Dia memaniskan mukanya untuk memujuk Mahmudah. Dia tahu wanita yang keras hati seperti Mahmudah sukar untuk dijinakkan. Mahmudah bukan seperti Melisa yang makan dengan pujukan. 

“Patutlah kau sanggup datang ke rumah aku. Rupa rupanya kau tak mampu nak jaga Adam. Aku boleh tolong kau tapi dengan beberapa syarat.” Ujar Mahmudah. “Apa dia?” Soal Sahiril bingung.

“Pertama, kau mesti batalkan perjanjian kau dengan Mahani. Kedua, kau mesti terima Mahani, Irfan dan Adam sebagai anggota keluarga kau. Ketiga, kau mesti jaga Mahani, Irfan dan Adam dengan baik sama seperti kau jaga diri kau sendiri. Kau setuju?” Soal Mahmudah setelah mengemukan syarat syaratnya. Sahiril agak keberatan untuk menunaikan syarat syarat tersebut. 

“Sebagai gantinya, kau tak payah bayar gaji aku setiap bulan dan aku akan tolong kau jaga Adam sampai Mahani sedar. Setuju?” Soal Mahmudah lagi. Sahiril kelihatan sedang berfikir untuk menunaikan syarat syarat itu dan akhirnya dia bersetuju. 

“Baiklah. Aku setuju.” Ujar Sahiril lemah. Dia benar benar terdesak pada waktu ini jadi mahu atau tidak dia perlu bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh Mahmudah.

 “Kalau kau langgar syarat ni Sahiril aku bersumpah, semua orang yang kau sayang akan aku hantar ke liang lahad.” Mahmudah mengugut Sahiril.



Sahiril menjadi gerun dengan ugutan Mahmudah. Mahmudah seorang wanita yang berani dan berhati batu. Sahiril tidak boleh memandang rendah pada Mahmudah. Wanita itu pasti akan mengotakan kata katanya jika dia melanggar syarat syarat tersebut. 

“Kau jangan risau pasal tu. Aku akan tunaikan semua syarat syarat tu.” Ujar Sahiril akhirnya.

(V)

Setelah memberi Adam susu, Mahmudah menepuk nepuk bayi kecil itu hingga Adam tertidur. Adam kelihatan sangat comel. Benar kata Mahani, Adam kelihatan seperti Sahiril. Wajah Adam amat mirip dengan lelaki itu. Sukar untuk menafikan bahawa Adam ialah anak kandung Sahiril. Mahmudah teringat akan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. Anak itu umpama sehelai kain putih. Ibu bapanyalah yang akan mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani.

Setelah Adam tidur, Mahani memandang ke arah Irfan yang sedang tidur di atas katil. Dia berasa amat kasihan dengan nasib Irfan. Sejak kecil lagi anak itu telah berpisah dengan bapa kandungannya. Sekarang dia harus berjauhan dengan ibunya pula. Mahmudah mencium dahi Irfan. Dia selalu berdoa kepada Allah agar nasib yang menimpa diri budak kecil itu akan berubah dengan segera.

Setelah itu, Mahmudah keluar ke dapur untuk membancuh susu buat Adam. Dia khuatir Adam akan terjaga pada waktu malam dan mahukan susu. Ketika Mahmudah mahu membuka pintu dia melihat Sahiril sedang berdiri di muka pintu itu. 

“Kenapa kau macam pencuri ni?” Soal Mahmudah curiga. 

“Kau intai siapa dalam bilik tu? Aku?” Soal Mahmudah lagi.

“Adam dah tidur?” Soal Sahiril. 

“Kenapa kau nak tahu pasal Adam?” Soal Mahmudah. 

“Saja. Lagipun Adam anak aku. Bukan kau suruh aku jaga Mahani, Irfan dan Adam macam anak aku sendiri.” Jawab Sahiril. 


“Dia dah tidur. Mungkin penat setelah menangis seharian.” Ujar Mahmudah bagi menjawab soalan Sahiril tadi. Mereka berdua berjalan
menuju ke dapur.


“Aku tengok kau senang saja jaga Adam. Tadi bukan main susah Adam nak diam bila dengan aku. Mama aku pun tak boleh nak pujuk Adam.” Kata Sahiril. 

“Kau tahu kenapa aku boleh pujuk Adam?” Soal Mahmudah. 

“Tak. Kenapa?” Soal Sahiril pula. 

“Sebab aku pujuk dia dengan kasih sayang.” Jawab Mahmudah. 

“Kasih sayang? Boleh tak kau cakap terus terang saja. Jangan nak berfalsafah kat sini. Aku tak faham.” Ujar Sahiril.

“Aku tak berfalsafah. Aku pujuk Adam dengan penuh kasih sayang tapi kau pujuk dia sebab terpaksa. Sebab tu dia tak berhenti menangis.” Ujar Mahmudah. 

“Maksud kau kita kena jaga anak kecil itu dengan kasih sayang? Macam tu?” Soal Sahiril lagi.

 “Ya. Walaupun kita tak boleh beri kasih sayang macam ibunya tapi kita cuba beri kasih sayang kita padanya.” Jawab Mahmudah.

“Maksud kau kasih sayang tu amat penting?” Soal Sahiril lagi. 

“Ya. Kasih sayang tu amat penting. Kau tahu kenapa kau lahir atas dunia ni?” Soal Mahmudah. 

“Tak.” Jawab Sahiril. 

“Kau tahu kenapa kau boleh hidup sampai sekarang?” Soal Mahmudah lagi.

 “Tak.” Jawab Sahiril pula. 

“Kau lahir atas dunia ni sebab kasih sayang Allah pada kau. Allah nak kau hidup sebagai manusia di atas muka bumiNya. Allah nak kau rasa nikmat dunia yang Allah cipta ini.” Ujar Mahmudah.

“Okey habis tu kenapa aku boleh hidup sampai sekarang?” Soal Sahiril pula. 

“Kau boleh hidup sampai sekarang adalah atas kasih sayang ibu bapa kau. Oleh kerana mereka menyayangi kau maka mereka menjaga kau dengan sebaik mungkin. Sebab tu kau boleh hidup sampai sekarang.” Jawab Mahmudah sambil membancuh susu Adam. 

“Apa yang kau cuba sampai pada aku sebenarnya?” Soal Sahiril ingin tahu.

“Aku nak beritahu kau bahawa kasih sayang itu sangat penting. Sayangilah seseorang itu dengan melihat dari hatinya. Jangan kau sayang seseorang kerana paras rupa, pangkat dan harta yang orang itu miliki.” Jawab Mahmudah. Sahiril bungkam seketika. Kelu lidahnya sebaik sahaja mendengar kata kata Mahmudah tadi

“Aku nak masuk tidur. Hari dah malam ni. Esok aku kerja. Assalamualaikum.” Ucap Mahmudah dan berlalu dari situ sambil membawa susu untuk Adam. Sahiril termanggu manggu di situ. Dia memikirkan semula kata kata Mahmudah tadi.

 (VI)

Datin Zuraidah melihat Melisa sedang duduk di atas kerusi taman yang terletak di luar rumah. Sejak belakangan ini Melisa selalu sangat termenung dan menyendiri. Melisa juga dilihat suka mengasingkan diri di dalam bilik. Gadis itu sudah tidak ceria seperti selalu. Datin Zuraidah menghampiri anak gadisnya itu.

 “Kenapa sejak akhir akhir ni mama tengok kamu selalu sangat termenung? Kamu bergaduh dengan Sahiril ke?” Soal Datin Zuraidah pada anak gadisnya itu.

“Taklah. Lisa okey dengan dia. Mama ni selalu sangat fikir yang bukan bukan.” Jawab Melisa. 

“Lisa, mama tahu hubungan kamu ada masalah dengan Sahiril tapi kamu janganlah bersedih sangat.” Ujar Datin Zuraidah. 

“Macam mana mama tahu?” Soal Melisa bingung.

 “Datuk Hasanah dah cerita semuanya pada mama.” Jawab Datin Zuraidah.

“Bila Datuk Hasanah datang ke mari? Apa yang dia cerita pada mama?” Soal Melisa lagi.

“Kelmarin. Dia datang sebab nak melawat mama. Dia cerita pada mama yang Sahiril dah kahwin dengan Mahani.” Jawab Datin Zuraidah. 

“Itu Lisa tahu. Bukan ke heboh satu Malaysia pasal perkahwinan mereka. Apa lagi yang Datuk Hasanah cerita?” Desak Melisa.

“Dia kata Sahiril tak bahagia dengan perkahwinan tu. Dia cakap lagi perempuan tu dah perangkap Sahiril masa kat hotel hari tu dan Datuk Hasanah kata Sahiril nak ceraikan perempuan tu dan dia nak kahwin dengan Lisa.” Jawab Datin Zuraidah.

 “Mama, itu semua Lisa dah tahu. Mama ni suka sangat buat Lisa suspen tau.” Ujar Melisa.

 “Kamu dah tahu? Habis kenapa Lisa tak beritahu pada mama?” Soal Datin Zuraidah pula.

“Lisa malas nak cakap pasal benda tu lagi. Lisa dapat rasakan yang Lisa takkan kahwin dengan Sahiril.” Kata Melisa. 

“Lisa, kenapa cakap macam tu? Mama yakin Lisa pasti akan kahwin dengan Sahiril.” Ujar Datin Zuraidah. 

“Entahlah mama. Sejak akhir akhir ni Lisa selalu mimpi yang Sahiril mahu tinggalkan Lisa.” Kata Melisa. 

“Lisa jangan percaya dengan mimpi tu. Mimpi tu hanya mainan tidur.” Ujar Datin Zuraidah. Melisa sekadar mengeluh.

Dia tahu mimpi itu hanya mainan tidur namun dia dapat merasakan bahawa mimpinya itu boleh menjadi kenyataan. Suara hatinya kuat mengatakan bahawa impiannya untuk hidup bersama Sahiril hanya akan tinggal harapan. Seolah ada satu kuasa yang akan menghalang cita cita mereka itu. Kuasa apa? Dia sendiri tidak ada jawapan untuk itu.

 (VII)

Melisa sedang menonton televisyen di rumahnya. Dia membuka saluran Astro Ria yang memaparkan sinetron Benci Jadi Cinta lakonan Nia Ramadhani, Jonathan Frizzy dan Rezky Aditya. Pada hari ini dia tidak bekerja seperti biasa. Dia mahu berehat sahaja di rumah. Ibunya Datin Zuraidah baru sahaja keluar untuk memantau perjalanan butiknya manakala papanya iaitu Datuk Murad pagi pagi lagi sudah ke pejabat untuk menguruskan perniagaannya.

Ketika matanya sedang leka menatap peti televisyen, telefon bimbit jenama Blackberry miliknya berbunyi. Dia melihat nama Sahiril tertera di skrin. 

“Hello!” Sambut Melisa.

 “Hello sayang. You tengah buat apa tu?” Soal Sahiril lembut.

 “I tengah tengok televisyen kat rumah. Kenapa you telefon?” Soal Melisa lemah. Entah mengapa dia seperti sudah hilang minat untuk mendengar suara Sahiril. Sebelum ini, jika Sahiril menelefon sudah pasti dia menjadi seronok dan gembira namun perasaan itu sudah hilang entah ke mana. 

“Kenapa you macam bosan saja bila I telefon? You tak suka I telefon ke?” Soal Sahiril di hujung talian. 


“Taklah. I sebenarnya penat sangat ni. Semalam I baru balik dari Milan.” Jawab Melisa.

 “Oh, kasihan sayang I ni. I bukan apa I ingat nak ajak you lunch. You nak tak?” Soal Sahiril. Nada suaranya masih lembut.

Lunch? Boleh juga. Lagipun dah lama juga kita tak lunch sama sama.” Jawab Melisa. 

“Kalau macam tu dalam pukul satu nanti I datang ambil you kat rumah. You pakai cantik cantik tau.” Ujar Sahiril. 

“Okey. Demi you I akan pakai cantik cantik.” Kata Melisa sambil tersenyum. 

“Okey. I love you. Bye.” Ucap Sahiril. 

Bye. I love you too.” Balas Melisa pula dan mematikan telefon bimbitnya.

(VIII)

Seperti yang dijanjikan Sahiril menjemput Melisa di rumahnya. “Kita nak lunch kat mana ni?” Soal Melisa setelah masuk ke dalam perut kereta milik Sahiril. “I nak bawa you lunch kat Restoran Rebung. Ramai orang kata 

makanan kat situ sedap.” Jawab Sahiril. 

“Restoran milik Chef Ismail dan Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor tu?” Soal Melisa teruja.

“Ya.” Pendek sahaja jawapan Sahiril namun cukup memuaskan hati Melisa. 

I dengar restoran tu terkenal. I pun dah lama tak makan masakan kampung.” Ujar Melisa. 

“Sebab tu I nak bawa you lunch kat sini. I pun dah lama tak makan masakan kampung.” Kata Sahiril. Sahiril memandu keretanya ke Bangsar. Setelah sampai di Lorong Maarof dia membelokkan keretanya. 

Kelihatan sebuah gegantung (banner) yang tertulis ‘Restoran Rebung’ di atasnya. Melisa dan Sahiril menikmati makan tengah hari mereka dengan penuh berselera sekali. Masakan dari air tangan Chef Ismail yang dimasak dengan penuh kasih sayang ini amat membuka selera Melisa dan Sahiril. Seusai makan, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke kereta. Lagak mereka tidak ubah seperti pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.

Tanpa mereka sedari ada seseorang yang berniat jahat telah mengambil gambar mereka. Pada hematnya berita pencintaan Sahiril dan Melisa mampu menjadi perbualan hangat kerana kedua dua mereka merupakan figura yang cukup dikenali. Semua orang pasti akan
 terkejut apabila mendengar berita ini nanti.


 (IX)

Farid benar benar kelaparan. Setelah menemuramah pelakon pelakon sebuah drama yang akan ditayangkan di sebuah saluran televisyen, Farid memberhentikan keretanya di hadapan Restoran Rebung. Sudah lama dia tidak makan di restoran tersebut. Ketika dia mahu masuk ke dalam restoran tersebut, dia terlihat Sahiril dan Melisa sedang menikmati makan tengah hari dengan begitu mesra sekali. 

Serta merta idea jahat muncul di kotak fikirannya. Dia mahu merakamkan detik detik kemesraan mereka berdua. Sudah pasti berita tentang percintaan Melisa dan Sahiril akan menjadi bualan ramai kerana Melisa merupakan seorang model yang cukup terkenal di Malaysia pada waktu ini. Sahiril pula merupakan anak kepada wanita paling kaya di Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif  RaHa Hotel.

Farid makan dengan cepat. Dia tidak mahu terlepas walaupun satu gambar saat saat kemesraan Melisa dan Sahiril. Seusai makan, dia mengikut Sahiril dan Melisa yang sedang keluar dari restoran itu. Dia menangkap beberapa keping gambar untuk dimuatkan kedalam blognya. Dia mahu satu Malaysia melihat kecurangan yang dilakukan oleh lelaki itu terhadap isterinya yang sedang koma. Sebuah senyuman penuh kejahatan terukir di bibir Farid.

(X)

Mahmudah membeli surat khabar di sebuah kedai mamak yang berhampiran dengan pejabatnya. Sesudah itu, dia melangkah masuk ke ruangan pejabat yang terletak di Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan. Dia melihat Noni yang duduk di sebelah mejanya sudah pun sampai. Perempuan itu sedang menatap komputer di mejanya.

 “Kau tengah tengok apa tu? Khusyuk sangat aku tengok sampai aku datang ni pun tak sedar.” Soal Mahmudah.

“Aku tengah tengok laman web zalora.com ni. Banyak pula barang yang cantik cantik kat sini. Aku ingat nak pesan sebuah beg tangan.” Jawab Noni.

 “Kau nak beli beg tangan lagi? Bukan kau dah ada banyak ke?” Soal Mahmudah bingung. 

“Alahai, apa salahnya aku nak tambah koleksi. Aku kan suka beg tangan.” Jawab Noni sambil memandang ke arah Mahmudah.

“Suka hati kaulah. Duit kau bukan duit aku.” Ujar Mahmudah. Dia malas mahu mencampuri urusan Noni yang gemar boros dalam berbelanja. Pada hematnya, lebih baik menggunakan barang yang masih elok. Jika barang tersebut sudah rosak atau tidak boleh dipakai lagi barulah dia akan membeli yang baru. Dia tidak suka membazir. Arwah ibunya selalu berpesan agar dia tidak membazir lebih lebih lagi makanan.

Membazir adalah sifat syaitan dan sebagai orang Islam kita ditegah sama sekali untuk melakukan pembaziran. Dia mula membaca surat khabar yang dibelinya tadi. Dia melihat tajuk utama muka depan surat khabar itu. Dia kelihatan agak terkejut dan mula membaca intipati berita itu. 

Melisa dan Sahimi Sahiril Masih Bercinta
Oleh: Farid Farhanan
Model terkemuka Malaysia, Melisa dilihat masih menjalinkan hubungan dengan Ketua Pegawai Eksekutif RaHa Hotel iaitu Sahimi Sahiril bin Datuk Mansur. Model terkenal itu dilihat bermesraan dengan anak Datuk Hasanah Aliman, wanita terkaya di Malaysia itu di sebuah restoran yang terletak di ibu kota. Ketika dihubungi, Melisa tidak menafikan hubungannya dengan Sahimi Sahiril masih berjalan seperti biasa. 
 
Ini telah menimbulakan persoalan pada wartawan hiburan adakah Sahimi Sahiril telah berpisah dengan isteri yang dikahwininya tempoh hari atau adakah Sahimi Sahiril sudah berlaku curang dengan isterinya. Semuanya hanya diketahui oleh Sahiril sendiri. Pihak kami akan berusaha untuk mendapatkan keterangan dari anak usahawan berjaya itu. Jika benar hubungan mereka masih intim, pihak kami berdoa agar hubungan yang suci itu boleh sampai ke jinjang pelamin.

Mahmudah agak terkejut apabila membaca keseluruhan berita itu. Dia menjadi marah dengan tindakan Sahiril. Sahiril dilihat sudah berlaku curang dengan Mahani. Mahmudah bercadang mahu menyiasat perkara ini dan sekiranya betul, dia sendiri yang akan mengajar lelaki itu kerana Sahiril telah mungkir janji yang telah dibuatnya.

“Mahmudah, kau dah tengok blog Farid Farhanan ni?” Soal Noni. 

“Kenapa pula? Aku bukannya suka sangat baca bolg blog orang ni?” Soal Mahmudah. 

“Gambar Melisa tengah keluar dengan Sahiril. Bukan main mesra lagi mereka. Tapi aku peliklah, bukan ke Sahiril ni dah kahwin. Kasihan isteri dia yang koma tu dapat suami yang tak jujur macam ni.” Ujar Noni.

Mahmudah mula membuka laman blog yang dibuka oleh Noni itu di komputer yang terletak di atas mejanya. Benar kata Noni, gambar Sahiril sedang bermesraan di sebuah restoran dan di tempat pakir kereta. Kemarahan Mahmudah sudah mencapai ke kemuncaknya. Nasib baik dia tidak menghebohkan perkahwinan antara Mahani dan Sahiril. Jika tidak seluruh pejabatnya akan tahu bahawa adik iparnya berlaku curang dengan seorang model terkenal di Malaysia!

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.