Isnin, 20 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 12



 

          Norin memijak satu demi satu anak tangga rumahnya untuk turun ke luar tamu. Di tangannya terdapat sebuah beg tangan yang berjenama mewah. Memandangkan hari ini adalah hari Ahad, jadi dia tidak ke pejabat hari ini untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang peguam seperti biasa. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja  dia pergi ke pejabat untuk melunaskan semua tugasannya namun memandangkan hari ini dia ada mesyuarat dengan ahli jawatankuasa CUCI, dia membatalkan hasrat tersebut.

          Ketika sampai di ruang tamu, dia melihat ayah dan ibunya sedang bersiar siar di luar rumah sambil membelek belek pokok bunga yang menghiasi halaman rumah itu. Norin kemudiannya melangkah ke dapur untuk bertemu dengan Mak Jah, pembantu rumahnya.

          “Mak Jah, hari ni ramai takde. Abang Shuib pergi pejabat, si Ril pula kat asrama universiti dia, tak tahulah pukul berapa dia balik. Saya pula ada mesyuarat dengan persatuan. Mak Jah tak payah la masak banyak banyak untuk makan tengah hari ni. Masak je untuk Mak Jah dan untuk dua orang tua kat luar tu je. Kalau masak banyak banyak nanti tak habis pula.” Norin memberi pesanan.


          “Baik puan. Jadi saya masak sikit je la ye. Tuan Shuib dan Khairil pasti ke tak balik?” Soal Mak Jah.

          “Abang Shuib memang confirm la makan kat luar tu. Khairil saya tak berapa pasti tapi in case kalau dia balik dan dia lapar, Mak Jah cakap je saya ada letak sikit duit kat bilik dia. Suruh dia guna duit tu untuk beli makanan. Pandai pandailah dia nak makan nanti. Dia tu bukan kecil lagi.” Norin menjawab.

          “Baiklah puan kalau macam tu. Saya akan ingat pesan puan.” Balas Mak Jah.

          “Hmm...baguslah. Okay la Mak Jah. Saya pergi dulu ye. Mak Jah kalau boleh tengoklah sikit sikit dua orang tua tu. Jangan bagi diaorang buat benda yang bukan bukan. Semalam pecah dah remote Astro saya.” Norin menitipkan pesanan lagi.

          “Baiklah puan.” Mak Jah membalas.

          Ketika Norin mahu melangkah ke ruang tamu, terdengar bunyi satu kaca yang besar telah pecah di lantai. Bunyi tersebut sangat kuat sehingga mengejutkan Norin dan Mak Jah. Segera mereka berdua berlari ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku.

          Alangkah terkejutnya Norin apabila pasu besar kesayangannya yang dibeli dari Belanda itu telah berderai di lantai. Kelihatan Fauziah dan Razali sedang tergamam memerhatikan pasu besar itu telah pecah ke lantai.

          “ARGHH...PASU AKU!!!!” Norin menjerit kekagetan melihat apa yang berlaku dan segera mendapatkan pasu yang telah hancur berderai di lantai itu. Pasu yang sangat cantik dan mahal harganya itu kini sudah tiada lagi. Norin menangis kekecewaan dan kekesalan.

          “SIAPA YANG BUAT NI?!” Jerit Norin kemarahan. Wajahnya sangat bengis dan penuh kemarahan. Suaranya bertukar parau kerana dirasuk syaitan kemarahan campur kebencian.

          “Ibu minta maaf Norin. Ibu yang buat tapi ibu betul betul tak sengaja. Ibu cuma pegang pegang je pasu tu sebab pasu tu cantik tapi tak sangka pula ia ringan. Ibu ingat berat. Maafkan ibu Norin. Maafkan ibu.” Pinta Fauziah dan segera mendapatkan Norin untuk meminta maaf sambil menenangkan anak keduanya.

          “Kau memang perempuan celaka! Aku benci kau! Berambus kau keluar dari rumah aku sekarang! Berambus!!!!” Jerit Norin lagi dengan penuh kemarahan.

          “Sabar Norin. Sabar. Ibu tak sengaja tu.” Razali mendapatkan Norin dan berusaha  menenangkan perempuan yang sedang kerasukan itu.

          “Aku tak kira! Kau berambus sekarang dari rumah aku! Kau berdua memang celaka! Manusial sial! Berambus dari sini.” Norin lantas menarik tangan Fauziah kemudian dia melemparkan tubuh tua itu ke lantan. Fauziah yang sudah tua itu jatuh tetiarap di lantai rumah agak itu. Razali yang masih lagi terkejut segera mendapatkan Fauziah.

          Norin yang dirasuk dengan api kemarahan dan lahar kebencian terus naik ke tingkat atas. Dia mengambil kain baju ibu bapanya dan dimasukkan ke dalam dua buah beg yang agak besar. Kemudian dia turun ke ruang tamu dan melemparkan beg tersebut ke luar rumah.

          “Sekarang apa tunggu lagi? Berambus dari rumah aku! Aku benci dan jijik tengok korang berdua! Jahanam punya mak babak! Berambus la sial!” Kata Norin. Oleh kerana Fauziah dan Razali masih duduk di situ, segera Norin menerpa ke arah Fauziah dan menariknya ke luar rumah. Dia melemparkan Fauziah ke tanah tanpa perasaan belas kasihan. Mak Jah yang memerhatikan situasi itu diam tidak berkutik. Dia sendiri berasa kecut perut melihat kemarahan Norin yang seperti dirasuk hantu itu.

          “Maafkan ibu Norin...ibu tak sengaja...” Fauziah menangis teresak esak sambil mendapatkan Norin dengan cara mengengsot. Razali pula terus mendapatkan Fauziah dan cuba menenangkan isterinya.

          “Sudah! Aku dah tak nak dengar apa apa lagi. Aku benci tengok kau. Kau datang rumah aku hanya pandai mengundang bala je. Berambus sekarang perempuan sial!” Jerit Norin.

          “Norin!”

          Kesemua mata terpandang akan susuk tubuh Shuib yang entah muncul dari mana. Di sebelahnya terdapat Khairil yang memerhatikan apa yang telah Norin lakukan kepada kedua ibu bapanya. Norin sendiri terkejut dengan kehadiran anak dan suaminya.

          Shuib berada di situ bukan kerana dia pulang awal tetapi kerana dia mahu mengambil dokumen yang tertinggal di bilik bacaannya. Khairil pula memang pulang ke rumah setelah dua malam dia tidur dia bilik Faiz.     

          “Apa yang awak buat ni? Awak tahu kan ini mak bapak awak?” Norin segera mendapatkan Norin dengan wajah yang penuh rasa tidak puas hati. Dia tidak sangka Norin boleh bertindak semacam itu terhadap ibu bapanya sendiri.

          “Ini bukan mak bapak saya. Ini babi kurap! Yang awak nak bela diaorang  ni sangat kenapa? Cuba awak tengok dalam rumah tu apa yang diaorang dah buat.” Balas Norin. Shuib menjenguk ke dalam rumah. Dia melihat pasu besar kesayangan Norin sudah bersepai ke lantai.

          “Siapa yang pecahkan pasu tu?” Soal Shuib.

          “Siapa lagi kalau bukan orang tua lahanat ni!” Jawab Norin.

          “Okay saya faham awak marah tapi bukan macam ni yang awak patut buat. Takkan pasal pasu pun awak nak halau mak bapak awak. Jaga mulut Norin. Jangan mencarut tak tentu pasal kat mak bapa awak tu. Tak baik. Buruk padahnya nanti.”

          “Oh...saya mencarut tak baik? Habis diaorang pecahkan pasu saya baik la? Diaorang pecahkan remote Astro tu baik la? Macam tu?”

          “Saya tahu diaorang salah tapi awak tak boleh buat mak bapak awak macam ni. Berdosa besar tau.” Shuib memberi nasihat.

          “Saya tak kisahlah dosa besar ke dosa kecil. Yang penting diaorang berdua berambus dari rumah ni. Saya tak kira!”

          “Norin, please jangan ikut hati tu. Saya takkan benarkan diaorang dua keluar dari rumah ni. Ni rumah saya dan saya berkuasa nak buat apa sahaja. Ibu...ayah...mari masuk.” Shuib segera mendapatkan Razali dan Fauziah. Dia mengangkat kedua dua orang tua itu sambil dibantu oleh Khairil.

          “Okay fine. Abang, sekarang awak pilih satu antara dua, saya atau diaorang? Kalau abang pilih diaorang, saya yang keluar dari rumah ni. Kalau abang pilih saya, diaorang yang kena keluar dari rumah ni. Sekarang pilih!” bentak Norin.

          “Norin, boleh tak awak jangan letakkan saya dalam situasi macam tu. Awak isteri saya, diaorang ibu dan bapa mertua saya. Mana boleh pilih pilih. Lagipun kalau diaorang keluar dari rumah ni, diaorang nak pergi mana?”

          “Rumah Hamad ada. Hantar diaorang pergi rumah Hamad. Biar Hamad rasa pula macam mana seksanya dapat mak bapak yang bangang macam ni! Pergi hantar diaorang rumah Hamad!”

          “Norin...”

          “Saya tak nak dengar apa apa lagi. Kalau abang tak hantar diaorang pergi rumah Hamad, saya yang akan keluar dari rumah ni. Sekarang abang pilih, nak saya keluar ke, nak diaorang yang keluar?” Norin bertanya sekaligus meletakkan Shuib dalam keadaan serba salah. Dia memandang wajah tua Fauziah dan Razali. Rasa kasihan menerpa ke dalam ruang hatinya.

          “Takpe Shuib, kau hantar je ayah dengan ibu ke rumah Hamad.” Ujar Razali sambil tersenyum pahit.     

......................................................................................................................

          Sebelum mengambil keputusan untuk menghantar Fauziah dan Razali ke rumah Hamad, Shuib ada menghubungi Hafizah supaya dapat menjaga kedua dua orang tua itu buat sementara waktu sebelum Hafreez pulang ke Kuala Lumpur. Namun, harapannya berkecai ke lantai apabila Hafizah menolak permintaannya itu dengan mengemukakan pelbagai alasan. Jelas Hafizah memang sengaja tidak mahu menerima kehadiran ibu dan bapanya sendiri di rumahnya.

          Oleh yang demikian, sama ada suka ataupun tidak, Shuib perlu menghantar Fauziah dan Razali ke rumah Hamad. Nasib baik Hamad baru sahaja pulang untuk makan tengah hari di rumah dan isteri Hamad, Farah cuti pada hari tersebut. Jika tidak, Shuib sendiri tidak tahu ke mana dia harus menghantar kedua dua orang tua itu.

          “Abang minta maaf la sebab susahkan kau. Sepatutnya abang yang jaga ibu dan ayah. Tapi...tulah, angah kau tak suka. Abang terpaksa hantar diaorang kat sini. Nak hantar rumah kak long, kak long pun tak nak.” Ujar Shuib sambil mengeluh. Dia memandang wajah Hamad yang berdiri di hadapannya. Lelaki itu diam sahaja. Tiada riak yang muncul di wajah adik iparnya yang agak bengis itu. Shuib sendiri sukar mahu membaca isi hati Hamad.

          “Takpelah bang. Nak buat macam mana. Diaorang pun ibu dan ayah saya juga. Suka atau tak, sayalah kena jaga diaorang. Nak harapkan siapa lagi.” Balas Hamad sambil matanya tertancap pada sebuah kereta buatan Malaysia yang sedang mengundur untuk diletakkan di tempat pakir.

          “Abang harap kau jagalah ibu dan ayah tu baik baik. Jangan buat macam apa yang angah kau buat. Abang pun serba salah dengan ibu dan ayah tu.” Kata Shuib sambil memandang rumah Hamad yang berada di tingkat dua rumah pangsa lima tingkat itu. Kelihatan pakaian keluarga Hamad yang bersidaian di koridor itu bergerak gerak di tiup angin.

          “Tsk.” Hamad tersenyum sinis mendengar kata kata Shuib itu. “Semua ini takkan jadi kalau ayah dan ibu didik kami bertiga dengan betul.”

          “Apa maksud kau Hamad? Abang tak faham.”

          “Tak payah la abang faham bang. Cerita lama. Kalau saya cerita pun, mesti abang akan sebelahkan ibu dan ayah. Jadi, lebih baik saya tak payah cerita.” Shuib cuma diam mendengar kata kata Hamad itu. Sebenarnya dia tahu apa yang telah berlaku dalam keluarga mereka. Norin ada menceritakan perkara tersebut kepadanya sebelum ini. Namun, dia tetap yakin bahawa apa yang dilakukan oleh Hafizah, Norin, dan Hamad itu salah sama sekali.

          “Saya tak kisah bang nak jaga diaorang berdua tu tapi abang tahu je la kan hidup saya macam mana. Saya bawa teksi je bang. Farah pula promoter je kat kedai mainan tu. Kami ada anak lagi yang perlukan belanja yang tinggi. Masuk ibu dan ayah...mana cukup bang pendapatan saya dengan Farah nak tanggung semua tu.” Kata Hamad memecahkan kesunyian yang terbina antara dirinya dan Shuib.

          “Takpe, abang faham Mad.” Shuib menyeluk saku seluarnya untuk mengeluarkan dompet. Dia membuka dompetnya dan mengira helaian duit yang terdapat di dalam dompet itu. Kemudian dia menghulurkan beberapa helaian duit kertas RM50 kepada Hamad. Hamad mengira duit yang diberi oleh Shuib. Ada RM800 semuanya. Hamad tersenyum girang menerima duit tersebut. Bagus betul ada abang ipar yang kaya raya dan pemurah ni. Untung hidup aku. Heheh. Bisik Hamad di dalam hati. Kemudian dia memasukkan kesemua duit tersebut ke dalam saku kemeja yang dipakainya.  

          “Abang nak pergi jumpa ibu dan ayah jap.” Kata Shuib lalu bergerak menaiki tangga untuk ke rumah Hamad yang kecil itu. Hamad yang bersandar di teksinya sekadar memandang sahaja langkah Shuib menuju ke rumahnya. Matanya tertancap pada kereta mewah milik Shuib yang ada di depan mata. Dia yang sememangnya penggemar kereta mewah meninjau-ninjau ke dalam kereta tersebut. Jelas kereta itu memang mahal. Bukan sahaja bahagian luarnya kelihatan cantik dan sempurna, bahagian dalamnya juga sama. Dia betul betul kagum dengan kereta yang dimiliki oleh Shuib itu.

          Bapak best kereta ni. Kalaula dapat... Bisik Hamad di dalam hati. Matanya terus menjilat bahagian luar kereta mewah tersebut. Tidak lama kemudian, Shuib muncul di sebelahnya. Abang iparnya itu sudah mahu pulang ke rumah.

          “Abang balik dulu la. Kalau ada apa apa nanti just call abang je. Kalau takde duit pun, cakap je dengan abang. Nanti abang bank in duit. Tapi sebelum tu whatsapp abang nombor akaun kau. Senang abang nak transfer duit.” Kata Shuib sambil bersamalam dengan Hamad.

          “Terima kasih bang sebab memahami.” Hamad mengukirkan sebuah senyuman buat Shuib.

          “Sama sama Mad. Abang balik dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Shuib lalu masuk ke dalam kereta. Sebuah senyuman pendek terukir di bibirnya.

          “Waalaikumussalam.” Balas Hamad. Kemudian dia memerhatikan kereta mewah Shuib meluncur pergi meninggalkan kawasan rumah pangsanya.    

      

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.