Selasa, 9 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 5


Telefon bimbit milik Bakri berbunyi nyaring. Seluruh ruang tamu rumah teres setingkat itu dapat mendengar suara telefon bimbit Bakri di pagi ahad itu. Bakri terus mendapatkan telefon bimbitnya yang berada di atas meja kayu itu. Dia mengambil masa beberapa minit untuk bercakap dengan si pemanggil. “Siapa tu bang?” soal Nabila. “Kawan saya. Dia suruh saya datang sekarang.” Jawab  Bakri.

“Kenapa?” soal Nabila lagi. “Ada perkara yang dia nak bincang dengan saya.” Jawab Bakri sambil terus mendukung Irfan. “Hari Ahad pun kena jumpa ke?” Soal Nabila lagi yang tidak berpuas hati. “Manalah saya tahu. Dia nak saya jumpa dia.” Kata Bakri. “Irfan, hari ni Irfan tinggal dengan mama ye. Papa kena kerja jumpa kawan ni.” Kata Bakri sambil mencium pipi anaknya.

“Irfan tak nak duduk dengan mama. Irfan nak ikut papa.” Rayu Irfan. “Tak boleh sayang. Papa pergi sekejap je. Petang nanti papa balik. Kita boleh main sama sama ye.” Pujuk Bakri. Nabila memandang dengan perasaan benci. “Asyik asyik anak dia je yang dia pujuk. Habis aku ni buat apa? Jadi tunggul je kat sini.” Desis hati Nabila. Bakri terus menuju ke biliknya.


Seusai menukar pakaian dia terus menghidupkan enjin motosikalnya lalu meninggalkan rumahnya untuk berjumpa dengan kawannya. Irfan dan Nabila terus ke meja makan untuk menghabiskan makanan masing masing. Mereka berdua tidak bercakap walaupun sepatah. Nabila masih marah akan suaminya yang masih bekerja pada hari Ahad. Jika diikutkan, hari Ahad adalah waktu untuk suaminya meluangkan masa bersama tetapi suaminya kerap keluar di hujung minggu.

Irfan pula sedang dilanda kesedihan. Dia mahukan ibunya pada waktu itu tetapi dia takut untuk menyatakannya. Dia takut jika mama tirinya akan marah. Setelah menghabiskan roti canai yang masih bersisa di pinggan, Irfan terus mengangkat pinggannya ke sinki. Tidak disangka sangka pinggan kaca itu terlepas dari tangannya lalu bersepai di lantai.

Tindakan Irfan mengundang rasa marah yang amat sangat di hati Nabila. Dia terus mendapatkan Irfan lalu memulas telinga anak kecil itu dengan kuat. “Mama, tolong mama. Sakit mama.” Kata Irfan sambil menangis. Sungguh perit telinganya dipulas dengan sebegitu rupa. “Kau ingat pinggan ni murah. Aku beli mahal mahal kau senang senang je nak pecahkan. Banyak duit mak kau nak bayar pinggan aku yang pecah ni.” Kata Nabila separa menjerit.

 Tidak cukup dengan itu Irfan ditampar berkali kali. Perut anak kecil itu dicubit dan dipulas dengan kuat. Irfan tidak mampu berbuat apa apa. Dia hanya mampu menangis sambil menyebut nama ibunya. “Ibu! Ibu! Ibu!” Rayu Irfan memanggil ibunya. “Sekarang kau duduk kat luar. Kau duduk kat luar ni sampai ibu kau datang. Faham!” jerit Nabila lagi. Dia sengaja mengunci Irfan di luar rumahnya dan Irfan pula terus menangis menanti kehadiran ibunya.

Mahani pergi ke warung Wak Kechil yang berada lima kilometer dari RaHa Hotel itu. Jika dia tidak makan dengan Mahmudah pasti dia akan ke warung itu untuk makan tengah hari. Nadia juga ada memberi duit kepada Mahani supaya membeli sekali makanan untuknya kerana dia kurang sihat pada hari itu. Ketika dia sedang membeli makanan, dia disapa oleh seseorang dari belakang.

“Mahani kan?” terdengar satu suara lelaki. Mahani terus menoleh dan melihat Sahiril berada di situ. “Encik Sahiril. Apa encik buat kat sini?” soal Mahani. Sepatutnya dia tidak perlu bertanya soalan itu kerana sudah tentulah Sahiril hendak membeli makanan tetapi tidak mungkin orang seperti Sahiril mahu membeli makanan tengah hari di warung kecil seperti itu. Lagipun di RaHa Hotel mempunyai tiga buah Coffee House yang menyajikan makanan yang sepuluh kali lebih sedap dari Warung Wak Kechil ini. ”Saya nak beli lauk kuah lemak masak tempoyak. Sudah lama saya tak makan masakan tu.” Jawab Sahiril jujur.

“Oh yakah? Saya tak sangka pula orang kaya macam encik nak makan kat warung yang kecil macam ni.” Ujar Mahani. “Asyik makan makanan Barat pun muak juga. Sesekali nak juga tukar selera.” Ujar Sahiril. “Awak makan kat sini ke bungkus?” soal Sahiril. “Saya nak bungkus. Lagipun kawan saya dah pesan supaya saya beli makanan untuk dia.” Jawab Mahani. “Kalau awak tak kisah marilah kita makan bersama. Lagipun kita dah lama tak jumpa. Boleh kita berbual panjang.” Ujar Sahiril. Mahani diam sejenak. Dia berfikir adakah dia patut menerima perlawaan Sahiril. Memandangkan masa makan tengah hari masih panjang lalu dia terus bersetuju. “Baiklah.” Jawab Mahani sambil tersenyum. Mereka berdua mengambil nasi dan lauk ditempat yang disediakan. Kemudian mereka memesan minuman dan membayar harga makanan mereka di kaunter. Seterusnya mereka mencari tempat untuk makan.

“Saya dengar kamu dah berpisah dengan Bakri? Betul ke?” soal Sahiril. “Macam mana Encik Sahiril boleh tahu berita ni?” soal Mahani pula. “Tak payah berencik encik dengan saya. Panggil Sahiril je. Lagipun kita ni sebaya dan rakan satu sekolah pula tu. Saya dengar dari kawan kawan sekampung. Saya terkejut juga sebab awak kahwin lepas SPM kan? tiba tiba bila dapat berita awak dah bercerai. Kenapa?” Sahiril menyuapkan nasi ke mulutnya. “Panjang ceritanya Sahiril. Susah untuk saya terangkan. Lagipun saya tak pernah cintakan Bakri. Saya mencintai lelaki lain.” Ujar Mahani sambil menyedut teh ais melalui penyedut minuman. “Kalau awak tak cintakan dia kenapa awak kahwin dengan dia?” soal Sahiril lagi. “Sebab saya nak pergi ke Kuala Lumpur. Ibu saya dah tetapkan syarat, kalau saya nak pergi Kuala Lumpur saya kena berkahwin dulu supaya ada orang yang jaga saya ketika saya di sini.” Jawab Mahani jujur. Dia tidak tahu mengapa begitu mudah dia menceritakan kisah hidupnya pada jejaka itu.

Apakah reaksi Sahiril jika dia memberitahu lelaki itu yang dia amat mencintai lelaki itu sejak dari sekolah menengah lagi. Pasti Sahiril akan terkejut dan yang paling penting adakah Sahiril dapat menerima cintanya pada waktu itu. “Saya menyesal Sahiril. Sepatutnya saya masuk universiti tetapi semangat saya nak bekerja pada waktu itu terlalu membuak buak. Kalau saya dapat kembali ke masa lalu, saya pasti akan masuk universiti dan berjaya seperti orang lain. Sudah tentu nasib saya tidak seperti ini.” Ujar Mahani. “Sudahlah Mahani. Perkara yang telah berlalu janganlah dikenang lagi. Kita jangan pandang ke  belakang lagi. Kita perlu pandang ke hadapan dan teruskan kehidupan kita.” Kata Sahiril. “Terima kasih atas nasihat itu. Bila awak nak kahwin? Takkan jejaka tampan macam awak tak ada buah hati.” Soal Mahani. “Saya dah ada buah hati. Melisa namanya. Kalau ada kesempatan saya akan kenalkan dia dengan awak. Kami nak bertunang sekarang ni tapi bila dua dua asyik sibuk kami terpaksa menangguh pertunangan tu.” Terang Sahiril. “Oh begitu. Janganlah kahwin lewat sangat. Nanti dapat anak pun lambat. Dalam umur 20an ni dah sepatutnya kahwin.” Nasihat Mahani. “Insyaallah. Kalau ada jodoh kami pasti akan berkahwin. Anak awak dah berapa tahun?” soal Sahiril. “Tujuh. Nama dia Irfan. Nanti kalau ada masa saya bawa awak jumpa dia.” Jawab Mahani pendek. “Awak tak mahu kahwin lagi? Awak kan masih muda.” Soal Sahiril lagi.

“Entahlah Sahiril. Saya mencintai seorang lelaki ini tapi saya takut dia tidak mencintai saya.” Jawab Mahani. “Awak kena berterus teranglah dengan dia. Kalau awak tak cakap perasaan awak kat dia macam mana dia nak tahu.” Ujar Sahiril. Lagaknya seperti pakar motivasi. Mahani bungkam seketika. Adakah dia sanggup menceritakan perasaan cintanya pada Sahiril.

Tentu sekali tidak. Lebih lebih lagi Sahiril sudah ingin bertunang. Dia tidak sanggup merampas hak milik orang lain. “Cakap memang mudah tapi nak buat bukan senang Sahiril. Lagipun saya seorang perempuan.” Jawab Mahani. “Betul juga. Apa apa pun saya doakan agar awak akan berbahagia dengan lelaki yang awak cintai.” Ujar Sahiril. “Diam tak diam dah dua jam kita berbual kat sini. Saya minta diri dulu Sahiril. Nanti takut lambat masuk kerja. Waktu makan tengah hari nak habis dah ni.” Ujar Mahani.

“Iyalah. Saya pun tak sedar. Jomlah saya hantar awak sekali.” Pelawa Sahiril. “Tak apalah Sahiril. Lagipun dekat saja. Nanti macam macam gossip yang keluar.” Ujar Mahani menolak pelawaan tersebut.. “Baiklah kalau macam tu.” Kata Sahiril. 

Sahiril duduk di beranda pada malam itu sambil membaca buku. Dia gemar membaca buku buku berbentuk ilmiah. Arwah papanya sering berpesan supaya dia perlu membaca sekurang kurangnya sebuah buku sebulan. Membaca ini satu hobi yang bagus. Menurut kata pujangga membaca itu jambatan ilmu. Jika kita banyak membaca maka kita akan mendapat banyak ilmu.

Sesekali dia meletakkan buku itu ke bawah untuk menenangkan fikiran di samping menghadamkan apa yang telah dibacanya. Fikirannya menerawang ke angkasa raya. Dia teringat pada kenangan 26 tahun dahulu yang kini menerjah kembali ke kotak fikirannya. “Baiklah pelajar, sekarang saya nak kamu buat satu kumpulan. Satu kumpulan tiga orang. Dalam masa sepuluh minit saya nak kamu bentuk kumpulan kamu sekarang.” Begitu lantang suara Cikgu Badariah memberi arahan kepada pelajar Tingkatan Empat Cempaka.

Semua pelajar yang menghuni Tingkatan Empat Cempaka berpusu pusu mencari kumpulan masing masing. Hanya Sahiril seorang sahaja yang tidak bergerak. Dia tidak tahu siapakah yang mahu memilihnya sebagai ahli kumpulan. Dia belum lagi berkenalan dengan pelajar pelajar di kelas itu apatah lagi pelajar pelajar yang berada di sekolah itu kerana baru dua hari dia bersekolah di sini.

Sebelum ini dia bersekolah di Kuala Lumpur. Memandangkan arwah papa telah membuka salah satu cawangan RaHa Hotel di Pantai Dahan itu maka dia perlu mengikut arwah papa berpindah ke tempat itu. “Siapa lagi yang tidak ada kumpulan atau ada kumpulan yang masih tak cukup ahli lagi?” soal Cikgu Badariah sambil memandang setiap wajah anak muridnya.

Sahiril mengangkat tangan bersama Mahani dan Sofea. Semua mata tertumpu kea rah mereka bertiga. “Kalau begitu Sahiril masuk kumpulan Mahani dan Sofea.” Kata Guru Bahasa Melayu itu. Sahiril sekadar mengangguk. Dia terus bergerak ke barisan kedua yang menempatkan meja Mahani dan Sofea. Cikgu Badariah terus memberi sehelai kertas kepada setiap kumpulan.

 “Sekarang saya nak awak baca intipati kertas yang saya beri itu.  Kemudian saya nak awak pilih satu tajuk yang dah ada dalam kertas itu. Selepas awak dah pilih tajuk saya nak awak kemukakan isi isi penting, huraian dan contoh yang sesuai dengan tajuk karangan yang awak pilih tu. Esok saya nak awak bentang apa yang awak bincangkan dengan ahli kumpulan awak di hadapan. Ada apa apa soalan?” soal Cikgu Badariah lagi.

Dia memandang ke seluruh kelas. “Memandangkan awak semua dah faham maka awak semua boleh mulakan perbincangan sekarang.” Ujar Cikgu Badariah sambil berjalan ke seluruh kelas untuk memantau pelajar pelajarnya itu. “Nama awak Sahiril kan?” soal Sofea memulakan mukadimah perbualan. Gadis itu tersenyum senyum sahaja. Dia begitu gembira sekali kerana lelaki sekacak Sahiril boleh menjadi ahli kumpulannya.

Bukan mudah mahu bercakap dengan jejaka tampan dan pemalu itu. Apabila Cikgu Badariah meletakkan Sahiril ke dalam kumpulannya dia berasa amat beruntung sekali seperti bulan jatuh ke riba. “Ya. Sahiril. Awak?” soal Sahiril pula. Dia cuba berbual bual dengan dua orang gadis tersebut. Dia tidak mahu dikatakan sombong atau tidak tahu bergaul pula. “Saya Sofea. Ni kawan saya. Nama dia Mahani.” Ujar Sofea yang senyumannya masih tidak lekang di bibir. “Awak boleh panggil saya Ani.” Ujar Mahani. Sahiril mengangguk sambil menghadiahkan sebuah senyuman buat mereka berdua. Dia tertarik dengan Mahani. Gadis itu begitu ayu dengan bertudung. Tutur katanya begitu lembut bak sutera. Memang seperti gadis Melayu zaman Hang Tuah dahulu.

Mereka bertiga memulakan perbincangan. Sahiril sudah tidak kekok lagi untuk bercakap dengan mereka berdua. Kedua dua gadis itu sungguh baik dan peramah. Dia suka melihat telatah Mahani. Senyuman gadis itu sungguh menawan. Itulah kali pertama dia berbual dengan Mahani. Sejak hari itu, dia sentiasa memandang Mahani. Pernah sekali dia mengekori Mahani pulang ke rumah untuk mengetahui di manakah gadis itu tinggal.

Dari hasil risikannya Mahani tinggal bersama dengan ibu dan kakaknya. Ibunya, Puan Salmah seorang ibu tunggal. Bapanya sudah lama meninggal dunia. Kakaknya yang bernama Mahmudah itu sekarang berada di Politeknik yang sedang belajar di peringkat Diploma Pengajian Perniagaan. Dia dapat merasakan dia telah jatuh cinta pada gadis itu namun diganggu gugat apabila dia mengetahui bahawa begitu ramai pelajar lelaki di sekolah itu yang meminati Mahani. Dari tingkatan tiga sampailah ke tingkatan lima.

Salah seorangnya ialah Bakri. Ketua samseng sekolah dan Kampung Pantai Dahan. Sejak mengetahui perkara itu dia mula menjauhkan diri dari Mahani. Dia tidak mahu bersaing dengan orang lain untuk mendapatkan Mahani. Baginya jika seseorang perempuan itu ditakdirkan untuk kita maka kita tidak perlu bersaing untuk mendapatkannya. Hubungannya dengan Mahani sekadar kawan biasa. Tidak lebih dari itu. Selepas menduduki peperiksaan SPM, dia telah berjaya mendapat 10A. dia mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi UIA dan Mahani mendapat tawaran ke UiTM dalam Diploma Kulinari. Dia sangkakan Mahani akan menyambung pengajian, rupa rupanya tidak.

Selepas dua minggu keputusan SPM keluar Bakri terus meminang Mahani. Kemudian mereka berkahwin dan berita itu benar benar memeranjatkan dirinya. Dia tidak menyangka Mahani berkahwin pada usia semuda itu. Gerak hatinya dapat merasakan bahawa perkahwinan tersebut tidak akan kekal lama.“Jauh anak mama termenung? Dah sampai mana? Perancis ke Jerman?” sapa Datuk Hasanah dalam nada sindiran.

“Eh, mana ada mama. Sahiril tengah membaca la.” Kata Sahiril berbohong. “Membaca? Kamu baca apa kalau buku kamu tertutup kat atas meja tu.” Ujar Datuk Hasanah. Sahiril tersengih sengih memandang mamanya. Dirinya terasa amat malu. Lama benar dia mengelamun sehingga mamanya datang pun dia tidak sedar. “Mama belum tidur lagi?” soal Sahiril sekadar berbasa basi.

“Belum. Mata ni tak mengantuk lagi. Mama nak bagitau kamu satu perkara. Klien kita dari Arab Saudi tu tak jadi datang dalam minggu ni.  Mereka datang lagi tiga minggu.” Ujar Datuk Hasanah. Sahiril mengangguk tanda faham. Dia melihat mamanya sudah mula menguap. “Mama masuk tidur dululah. Mata mama dah mengantuk ni. Kamu jangan tidur lewat sangat.” Pesan Datuk Hasanah. “Baik mama. Bye. Sweet dream.” Kata Sahiril.

.........................................................................................................

Mahani memegang tangan Irfan untuk menuju ke rumah Bakri. Langkah kakinya dipercepatkan. Hatinya benar benar marah pada waktu itu. Sampai hati Nabila memukul anaknya dengan rotan sehingga berbekas belakang anak kecil itu.  Perbuatan Nabila tidak boleh dimaafkan. Perempuan itu benar benar melampau. Dia benar benar tidak percaya yang Bakri boleh membiarkan anaknya dipukul sebegitu teruk. Dasar bapa durjana. “Ibu, Irfan tak nak pergi rumah papa lagi. Irfan takut. Nanti mama marah Irfan. Nanti mama pukul Irfan.” Rengek anak kecil itu. “Irfan jangan takut ye sayang. Mama takkan bagi Irfan pergi lagi ke rumah durjana tu.” Ujar Mahani. Dia benar benar menyesal. Dia sangkakan bahawa Irfan menipu yang Nabila sering menderanya tetapi apabila melihat kesan calar balar di badan anak kecil itu semuanya sudah terbukti. Irfan memang telah didera oleh Nabila.

“Assalamualaikum.” Ucap Mahani apabila mereka berdua sampai di pintu pagar rumah Bakri namun tiada orang yang menjawab. Dia memberi salam buat kali kedua dan kelihatan Bakri muncul di muka pintu rumah. “Kenapa kau datang rumah aku petang petang macam ni? Hari ni hari Isnin. Biasanya kau hantar Irfan hari Sabtu.” Soal Bakri. “Aku datang rumah kau bukan nak hantar Irfan tapi aku nak jumpa bini kau yang kejam macam Firaun tu. Kau tengok apa dah jadi pada Irfan. Dia pukul anak aku sampai jadi macam ni. Apa salah Irfan pada dia? Mana bini kau? Aku nak jumpa dia sekarang?” Mahani sudah mula meninggikan suara.

“Boleh tak kau cakap perlahan sikit. Tak malu ke orang pandang kita?” Soal Bakri. “Biar semua orang tahu. Biar jiran jiran kau tahu yang bini kau tu tak berperikemanusiaan. Mana bini kau? Panggil dia sekarang?” jerit Mahani.  “Apa yang kecoh kecoh ni? Kau tak malu ke buat kecoh depan rumah orang? Patutlah kau kena cerai dengan Bakri.”  ujar Nabila yang baru keluar dari rumah.

“Memang aku tak malu lebih lebih lagi dengan manusia macam kau. Hei perempuan! Kenapa kau pukul  anak aku sampai macam ni sekali? Apa salah dia pada kau? Aku pun tak pernah pukul dia sampai teruk macam ni tau.” Ujar Mahani dalam nada marah. “Memang patut pun dia kena pukul macam tu. Kau tahu tak anak kau ni degil. Sudah degil nakal pula tu. Habis barang rumah aku pecah. Sebab tu aku pukul dia.” Ujar Nabila membela diri.

“Kalau ada barang rumah kau pecah kenapa kau mesti pukul dia? Kenapa kau tak minta ganti rugi dari aku? Kau tahu kenapa kau mandul? Sebab Allah tak bagi kau anak. Kalau kau ada anak tentu anak kau mati kena pukul.” Bidas Mahani. “Kurang ajar punya janda. Abang, cuba awak tengok janda awak ni. Mulut dia kurang ajar sangat.” Adu Nabila. “Mahani, kenapa mesti kecoh kecoh? Perkara ni kita boleh bincang secara baik.” Ujar Bakri pula.

“Cara baik? Kau ingat benda ni boleh buat main main ke? Apa guna ada bapa kau tak boleh harap.” Ujar Mahani. Pang! Satu tamparan singgah di pipi Mahani. Nabila tersenyum sinis melihat Mahani ditampar oleh Bakri. “Padan dengan muka kau. Mulut kurang ajar. Tak sedar diri.” ujar Nabila. Mahani mengusap pipinya perlahan. Sungguh perit dirasakan pada pipinya namun dia tidak menangis.

Dia sudah biasa ditampar oleh Bakri ketika mereka masih berada di alam perkahwinan dahulu. Irfan sudah mula meraung melihat ibunya ditampar. “Terima kasih Bakri. Terima kasih atas segalanya. Ingat Bakri, mulai hari ini kau takkan jumpa Irfan lagi. Kalau kau berani datang jumpa dia aku takkan teragak agak untuk laporkan pada polis. Kau ingatkan yang mahkamah tak bagi kau jumpa Irfan sebenarnya? Tapi sebab aku tak nak kasih sayang anak dengan bapa itu putus aku bagi kau jumpa dia tapi ini balasan kau pada aku? Terima kasih sekali lagi. Jom Irfan kita balik.” Ujar Mahani sambil menarik tangan anaknya.

Bakri memandang Mahani dengan pandangan kosong. Dia benar benar menyesal atas apa yang berlaku. “Padan dengan muka kau. Tak pasal pasal kena makan penampar. Nasib baik tak makan penyepak. Kalau kena lagi bagus. Kan bang?” ujar Nabila sambil memaut lengan suaminya. “Sudahlah! Awak pun sama. Kenapa awak pukul budak tu sampai macam tu sekali. Awak nak makan penampar juga?” Marah Sahiril. Dia terus masuk ke dalam rumah meninggalkan Nabila yang di dalam keadaan terpinga pinga.

Mahani berjalan perlahan lahan menuju ke tempat perhentian bas bersama Irfan. Hatinya benar benar sakit mengenangkan sikap Nabila dan Bakri. “Dasar manusia tak pandai bersyukur.” Getus hatinya. Apabila sampai sahaja di perhentian bas, dia terus duduk di bangku batu yang disediakan. Dia melihat kenderaan yang lalu lalang melewati jalan raya itu.

Jam sudah menunjukkan ke pukul 6.30 petang. Sungguh penat dirasakan pada waktu itu. Selepas pulang dari bekerja pada pukul lima petang itu, dia terus mengambil Irfan di sekolah agama. Kemudian dia menaiki bas ke rumah Bakri. “Mana bas ni? Lambatnya datang.” Omelnya. Irfan masih setia di sisinya. Anak kecil itu bermain main dengan batu menggunakan kakinya. Tiba tiba dia terdengar bunyi hon.

Sebuah kereta Persona hitam berhenti di hadapan perhentian bas itu.  Mahani melihat wajah Ramli sebaik sahaja pemandunya membuka tingkap. “Apa yang awak kat sini petang petang macam ni? Mari saya hantar awak pulang.” Ujar Ramli. Mahani sebenarnya mahu menolak perlawaan tersebut namun apabila mengenangkan waktu Maghrib sudah hampir tiba dan bas yang ditunggu tidak juga muncul muncul maka Mahani terpaksa bersetuju.

“Apa yang awak buat kat sini?” soal Ramli memecahkan kesunyian di antara mereka berdua. Irfan sudah lama terlena. Mungkin kerana terlalu letih. “Tadi saya jumpa dengan bekas suami saya.” Jawab Mahani. “Mahani, kenapa awak macam baru lepas marah? Muka awak tegang sangat. Tak pernah saya tengok awak macam ni. Mesti awak bergaduh dengan bekas suami awak kan?” soal Ramli bertalu talu.

“Memang pun. Saya bukan gaduh dengan dia saja. Saya juga gaduh dengan isteri dia.” Jawab Mahani. Nada suaranya seperti endah tidak endah. Sakit dihatinya masih belum hilang lagi. “Apa yang buat awak marah sangat dengan diaorang?” soal Ramli lagi. “Macam mana saya tak marah. Isteri dia pukul anak saya sampai calar balar dan lebam lebam. Lepas tu buat muka tak bersalah. Bukannya nak minta maaf. Bekas suami pun buat tak tahu saja. Dia langsung tak marah isteri dia tu.” Luah Mahani.

Baru lega perasaanya setelah meluahkan segala galanya pada Ramli. Benarlah kata orang, Jika kita ada masalah kita perlu luahkan kepada seseorang. Jangan sesekali kita menyimpan masalah itu. “Isteri bekas suami awak pukul anak awak sampai lebam lebam?” soal Ramli dalam nada tidak percaya. Mahani sekadar mengangguk. “Habis tu awak tak buat laporan polis?” soal Ramli lagi.

 “Saya malas nak buat. Nanti tak pasal pasal perempuan tu masuk penjara.” Mahani memberi alasan. “Mahani, dalam negara kita ada undang undang. Siapa yang melanggar undang undang perlu dihukum. Isteri bekas suami awak tu dah langgar undang undang. Penderaan adalah satu jenayah. Awak perlu buat laporan polis.” Terang Ramli. Mahani bungkam. Dia tidak tahu harus berkata apa apa lagi. “Macam ni, sekarang kita pergi balai polis kita buat laporan. Lepas tu kita bawa Irfan pergi hospital.” Sambung Ramli lagi. Mahani sekadar mengangguk setuju.




0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.