Rabu, 10 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 11



Berita tentang anak seorang pengusaha hotel terkenal iaitu Sahimi Sahiril ditangkap khalwat bersama seorang pengemas bilik hotel telah tersebar di seluruh Malaysia. Setiap akhbar di Malaysia telah memaparkan berita tergempar itu memandangkan Datuk Hasanah merupakan seorang usahawan wanita yang berjaya di negara ini dan satu satunya orang terkaya di Malaysia dalam kalangan wanita.

Apa yang lebih mengejutkan Sahimi Sahiril telah ditangkap bersama dengan pengemas bilik RaHa Hotel iaitu hotel yang dimiliki oleh keluarga Datuk Hasanah. Datuk Hasanah dan Sahimi Sahiril telah menanggung malu yang amat besar di atas berita tersebut. “Kamu tengok akhbar ni Sahiril. Semua surat khabar tulis pasal cerita kamu dengan perempuan kampung tu. Kamu tak malu ke?” Soal Datuk Hasanah sambil menghempas surat khabar di atas peha Sahiril.

Sahiril yang berada di ruang tamu itu sudah tidak senang duduk. Dirinya bagai cacing kepanasan pada waktu itu. Dia sendiri tidak menyangka perkara seperti itu boleh terjadi pada dirinya. Dia hanya berbual bual dengan Mahani di dalam bilik. Mereka tidak melakukan apa apa pun yang salah. Akibat berita palsu itu reputasinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif RaHa Hotel telah tercemar.


Bukan itu sahaja nama baik ibunya turut menjadi busuk. “Siapalah punya kerja yang sebar fitnah ni?” Bisik hati kecil Sahiril. “Sekarang kita nak buat apa? Mama malu tahu tak? Mama malu dengan kawan kawan mama. Semua orang kata mama tak pandai jaga anak. Mana mama nak letak muka mama ni? Cuba kamu cakap Sahiril?” ujar Datuk Hasanah dengan panjang lebar.

Suaranya menggambarkan dia sedang marah. Berapi rapi matanya memandang Sahiril. “Saya tahu mama. Saya pun malu juga tapi ini bukan salah saya. Kami hanya berbual bual sahaja dalam bilik tu.” Kata Sahiril membela diri. “Bukan salah kamu? Mana kamu letak otak kamu tu Sahiril? Kamu tahu kan mana boleh lelaki dan perempuan yang tak ada ikatan duduk dalam satu bilik. Kamu tak belajar agama ke?” tengking Datuk Hasanah.

“Ya saya tahu perbuatan saya tu salah tapi kami tak buat apa apa pun. Kami hanya berbual kosong saja. Kami bukan buat perkara tak senonoh dalam bilik tu. Lagipun Ramli yang hantar Mahani sebab meja solek tu berhabuk itu saja.” Balas Sahiril membela diri. “Kamu ingat orang kat luar tu nak percaya? Mereka takkan percaya cakap kamu. Mereka lebih percaya cakap wartawan. Mereka pasti akan anggap yang kamu buat maksiat dalam bilik tu. Kamu faham tak?” Jerit Datuk Hasanah.

Dia benar benar marah. Berita itu bukan sahaja akan merosak nama baiknya malahan akan menjejaskan prestasi RaHa Hotel. Dia amat takut jika perniagaan perhotelan yang dia usahakan selama ini bersama arwah suaminya hancur begitu sahaja gara gara berita sensasi itu. Sahiril hanya bungkam di sofa pada waktu itu. Dia tidak tahu apakah tindakan yang harus dia ambil.

Dia benar benar buntu. “Jangan jangan ini rancangan perempuan kampung tu kot. Dia nak kahwin dengan kamu kemudian dia berpakat dengan orang di pejabat agama tu nak kenakan kamu.” Ujar Datuk Hasanah tiba tiba. “Ishh, mama ni. Takkan Mahani nak buat macam tu. Dia tu baik mama. Lagipun kalau dia buat macam tu nama dia pun boleh rosak.” Sahiril membela Mahani.

“Orang zaman sekarang ni sanggup buat apa sahaja demi duit. Dia sanggup menggadaikan harga diri dia semata mata kerana wang. Janda tu memang licik dan jahat.” Ujar Datuk Hasanah. “Mama, apa mama merepek ni? Mahani bukan orang macam tu. Dia perempuan yang baik. Saya kenal dia sejak sekolah menengah lagi.” Ujar Sahiril. “Sahiril, orang ni nampak saja baik tapi hati macam iblis. Depan kita pijak semut pun tak mati tapi belakang kita macam macam kejahatan yang dia buat. Kamu ingat Mahani yang kamu kenal masa sekolah menengah tu sama macam Mahani sekarang. Ingat Sahiril, manusia itu boleh berubah.” Balas Datuk Hasanah.

“Suka hati mama lah nak cakap apa. Saya malas nak layan.” Ujar Sahiril mengalah. Tidak guna bergaduh dengan mamanya. Dia saja yang mendapat dosa nanti “Sekarang mama nak tahu macam mana kita nak selesaikan masalah ni?”.Soal Datuk Hasanah sambil menyandarkan tubuhnya di sofa yang terletak di hadapan Sahiril. Mukanya benar benar serius pada waktu itu.

“Kita buat tak tahu saja. Lama lama berita ni pasti akan hilang.” Jawab Sahiril bersahaja. “Senang kamu cakap. Kamu ingat orang boleh lupa macam tu saja. Macam mana kalau berita ni tak hilang hilang? Macam mana kalau perniagaan hotel kita tu merosot?” Soal Datuk Hasanah. “Mana saya tahu. Habis tu mama nak saya buat apa?” Soal Sahiril pula meminta pendapat Datuk Hasanah.
“Mama nak kamu kahwin dengan janda tu.” Ujar Datuk Hasanah tenang tapi tegas.

 “Apa? Habis tu Melisa saya nak letak kat mana? Bawah katil?” Soal Sahiril yang diserang keanehan. Dia tidak menyangkan ibunya boleh memikirkan idea gila itu. “Kamu jangan risau pasal Melisa. Mama akan terang perkara ni pada dia nanti. Apa yang mama nak kamu kahwin dengan Mahani secepat mungkin.” Jawab Datuk Hasanah. “Tapi mama saya tak cintakan Mahani.” Ujar Sahiril.

“Siapa suruh kamu jatuh cinta dengan dia? Mama suruh kamu kahwin dengan dia bukan jatuh cinta..” Kata Datuk Hasanah. “Mama ni pelik betul. Macam mana nak kahwin kalau saya tak cintakan dia dan dia tak cintakan saya?” soal Sahiril kehairanan. Dia tidak faham bagaimana ibunya berfikir. Mungkin ibunya telah gila kerana berita tergempar itu. “Kamu kahwin dengan dia buat sementara waktu. Perkahwinan ini hanya sebagai satu alat untuk menutup perkara bodoh yang kamu buat ni di samping nak selamatkan perniagaan dan reputasi kita daripada musnah.” Jawab Datuk Hasanah. “Perkahwinan ini hanya penipuan sahajalah?” Soal Sahiril. “Ya. Tepat sekali.” Jawab Datuk Hasanah.

“Sudahlah tu Ani, tak guna kau menangis lagi. Kau menangis sampai keluar air mata darah sekalipun perkara dah jadi. Kau tak boleh nak buat apa apa. Kau redha saja.” Ujar Mahmudah sambil menggosok gosok belakang Mahani. Irfan sekadar memerhati ibunya menangis teresak esak di pangkuan mak longnya. Dia tidak tahu mengapa ibunya menangis sejak semalam mereka datang ke rumah mak longnya.

Hari ini dia tidak ke sekolah kerana ibunya menghadapi satu masalah besar. Masalah apa dia tidak tahu. “Tapi kenapa saya kak long? Kenapa saya yang jadi mangsa? Apa salah saya? Saya tak kacau orang pun. Siapa yang sanggup fitnah saya sampai macam ni sekali?” Soal Mahani bertalu talu. “Entahlah Mahani. Aku sendiri pun tak tahu siapa yang rancang semua ni tapi aku yakin orang tu pasti akan terima balasan di atas perbuatan dia. Kau kena sabar Mahani. Tak guna kau menangis macam ni. Menangis macam ni tak boleh selesaikan masalah.”  Mahmudah menasihati.

“Aku tahu tapi aku tak tahu nak buat apa sekarang ni. Semua orang dah kenal aku. Aku malu sangat. Aku malu. Apa yang aku nak buat sekarang ni?” Soal Mahani sambil menangis teresak esak. Dirinya benar benar buntu pada waktu itu. Dia tidak tahu harus berbuat apa lagi. Semua orang sudah memandang serong padanya. Mereka menganggap dia seorang perempuan yang tiada harga diri.

Tiba tiba mereka terdengar ada orang memberi salam di luar rumah. Mahmudah lantas bangun dan melihat siapakah gerangan yang datang ke rumahnya. “Waalaikummussalam. Oh Encik Ramli rupanya. Masuklah.” Pelawa Mahmudah sambil membuka pintu pagar rumahnya untuk membenarkan Ramli masuk. “Mahani ada?” Soal Ramli sambil tersenyum. “Ada. Tengah menangis kat dalam tu sejak semalam.” Jawab Mahmudah.

Mahmudah dan Ramli masuk ke dalam rumah. “Mahani, Encik Ramli datang nak jumpa kau. Encik Ramli duduklah. Saya nak sediakan minuman sekejap.” Ujar Mahmudah. “Baik. terima kasih kak.” Ucap Ramli. Dia memandang Mahmudah berlalu ke dapur. Mahani sudah mula berhenti menangis. Dia mengesat air matanya dengan tisu. “Awak apa khabar Mahani? Awak tak apa apa?” Soal Ramli.

“Saya okey. Kenapa awak datang ke sini?” soal Mahani pula. “Saya datang ni ada perkara yang saya nak bincang dengan awak.” jawab Ramli tenang. “Apa dia?” Soal Mahani lagi. Ramli menarik nafasnya dalam dalam. Dia sudah nekad. “Saya nak kahwin dengan awak Mahani.” Ujar Ramli berani. Lapang sungguh dadanya setelah dia mengeluarkan ayat itu.

Mahani terkesima mendengar ayat yang baru keluar dari mulut Ramli itu. Apa yang telah berlaku sebenarnya. Dia benar benar kaget dan tidak faham atas apa yang berlaku. Apakah benar Ramli yang menuturkan ayat itu. Tapi untuk apa? “Apa yang awak cakap ni Ramli? Saya tak faham.” Soal Mahani. Dia benar benar terkejut dengan permintaan Ramli itu.

“Saya tahu saya terburu buru dan saya juga tahu yang awak tak cintakan saya tapi saya sangat mencintai awak Mahani. Saya dah jatuh cinta dengan awak sejak kali pertama kita berjumpa. Dalam situasi macam ni lebih baik saya kahwin dengan awak. Saya nak lindungi diri awak dan saya juga nak lindungi maruah awak.” Tutur Ramli lancar. “Tapi Ramli saya tak cintakan awak. Kenapa awak tak cakap dengan saya sebelum ni? kenapa baru sekarang baru awak nak beritahu setelah semua ini terjadi?” Soal Mahani.

“Cinta boleh dipupuk Mahani. Orang dulu dulu bercinta setelah mereka berkahwin. Saya rasa inilah masa yang paling tepat untuk kita berkahwin. Saya boleh lindungi awak Mahani. Percayalah.” Ujar Ramli. “Awak memang tak faham tentang cinta Ramli. Awak tak tahu macam mana sakitnya berkahwin dengan orang yang awak tak cintai. Awak tak lalui semua itu. Saya dah ada pengalaman. Saya tak nak pisang berbuah dua kali.” Ujar Mahani.

“Tapi awak tak boleh hukum semua orang macam tu Mahani. Dalam setandan kelapa bukannya semua busuk. Awak tak boleh anggap semua orang sama macam bekas suami awak. Saya akan hargai awak Mahani. Saya akan jaga awak dan saya akan bahagiakan awak.” kata Ramli.

Mahani tersenyum sinis mendengar kata kata Ramli. “Itulah kata kata yang keluar masa bekas suami saya kahwin dengan saya dulu tapi lihatlah sekarang apa yang berlaku. Saya tak boleh terima awak Ramli. Hubungan kita tak lebih dari seorang kawan. Saya ucapkan

terima kasih di atas semua pertolongan awak pada saya tapi saya takkan balas budi awak dengan cara berkahwin dengan awak. Kita tak sepadan Ramli. Saya janda dan awak teruna. Awak carilah perempuan yang jauh lebih baik dari saya.” Ujar Mahani.

“Saya tak kisah apa status awak. Apa yang saya tahu saya cintakan awak. Saya nak awak jadi isteri saya. Itu sahaja. Lagipun semua ini terjadi adalah salah saya. Saya tak sepatutnya suruh awak bekerja untuk Sahiril. Saya juga tak sepatutnya biarkan awak berdua duan dengan Sahiril dalam bilik tu. Semua ni salah saya.” Ujar Ramli. “Cukup! Saya tak nak dengar apa apa lagi. Semua yang terjadi ini bukan salah awak. Ini suratan takdir. Saya tak nak jumpa awak lagi mulai hari ini. Saya juga nak berhenti kerja. Nanti saya akan hantar surat peletakan jawatan saya.” Tutur Mahani.

“Entahlah. Saya tak boleh nak paksa awak. Awak fikirlah masak masak. Ini demi masa depan awak juga. Kalau awak tukar fikiran, saya ada untuk awak. Awak tinggal telefon saya saja atau awak cari saya di rumah. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ucap Ramli lalu terus keluar dari rumah itu. Hatinya benar benar remuk. Seperti dijangka, cintanya pasti akan ditolak oleh Mahani.

Dia hanya mampu berdoa agar Allah mengubah pendirian Mahani. Dia terus menghidupkan enjin keretanya dan beredar dari rumah Mahmudah. Mahani menghantar pemergian Ramli dengan pandangan kosong. Ramli seorang lelaki yang baik. Dirinya tidak layak untuk mendampingi lelaki sebaik Ramli. Ramli lebih sesuai dengan Nadia. Nadia mencintai Ramli dengan sepernuh hati.

 Dia mahu Ramli dan Nadia berbahagia bersama. Dia tahu Ramli boleh mencintai Nadia dan menjaga rakan baiknya itu. “Mana Ramli? Kak long dah buat air ni.” Soal Mahmudah yang baru keluar dari dapur bersama sejag air limau nipis dan beberapa biji cawan. “Dia dah balik.” Jawab Mahani ringkas. “Dah balik? Cepatnya dia balik. Tak beritahu kak long pun. Buat penat aku bancuh air ni. Jom kita minum air ni Irfan.” Ujar Mahmudah.

..................................................................................................................................................

Sahiril berjalan di lobi hotel pada pagi itu. Kebanyakkan pengunjung masih belum bangun lagi. Hanya terdapat kakitangan hotel dan beberapa orang pengunjung yang sedang berehat selepas puas bersenam di gimnasium. Sesekali mata mereka mencuri pandang ke arah Sahiril yang mahu ke bilik pengemasan untuk mencari Mahani. Sahiril cukup terkenal sejak akhir akhir ini.

Berita sensasi yang dipaparkan di akhbar telah menghangatkan namanya di Malaysia. Semua orang masih sibuk memperkatakan tentang perkara itu termasuklah kakitangan yang berkerja di hotel miliknya. Apabila sampai di bilik pengemasan dia mendengar suara Nadia bercakap. Dia cuba menangkap butir butir bicara Nadia dengan seorang lagi temannya. “Untung Mahani kena tangkap khalwat dengan Encik Sahiril tu.” Ujar Nadia sambil menyusun barang barang yang berselerak bilik pengemasan itu.

“Ishh, kau ni. Tak patut kau cakap macam tu kat kawan baik kau tu. Kalau Mahani dengar mesti dia kecil hati. Kena tangkap khalwat kau boleh cakap untung? Kau ni gila ke biol?” ujar Wati. “Aku bukan apa. Mahani tu memang ada hati dengan Encik Sahiril tu. Untuk pengetahuan kau, Encik Sahiril tu kawan satu sekolah dengan Mahani. Jadi bila kena tangkap khalwat macam tu mestilah diaorang berdua kena kahwin. Bolehlah Mahani hidup senang dengan harta Encik Sahiril yang banyak gila tu. Mahani pun akan jadi bos besar kat hotel ni. Nanti bila Datuk Hasanah meninggal, Mahani akan jadi Datin Mahani la nampaknya.” Ujar Nadia.

 Mereka berdua tertawa bersama. “Pandai Mahani tu. Pandai dia cari peluang. Patutlah dia saja yang asyik kena jadi pengemas peribadi Encik Sahiril. rupa rupanya dia nak jadi wanita kaya.” Ujar Wati. Sahiril yang mendengar di sebalik pintu itu sudah mula ditiup api kemarahan. Dia tidak menyangka wanita sebaik Mahani sanggup memerangkap dirinya dengan cara yang begitu keji.

“Nampak saja alim tapi perangai macam hantu.” Bisik hati kecil Sahiril. Hatinya benar benar sakit. Dia pasti akan mengajar wanita itu. Benarlah kata ibunya orang sekarang memang tidak boleh dipercayai. Orang sekarang sanggup buat apa sahaja demi duit. Dia benci dengan Mahani. Gara gara Mahani maruahnya sudah tercemar. Dia akan membalas dendam di atas semua perbuatan Mahani.

Dia terus beredar dari situ. “Bukanlah. Aku gurau saja tadi. Mahani bukan jenis orang yang macam tu. Dia memang cintakan Encik Sahiril tapi bukan dengan macam tu caranya dia nak pikat Encik Sahiril tu. Dia kena jadi pengemas bilik untuk Encik Sahiril tu sebab Encik Ramli yang suruh.” Ujar Nadia. “Oh, macam tu. Aku ingat Mahani tu jahat. Tapi siapa yang telefon orang pejabat agama tu sampai diaorang berdua boleh kena tangkap khalwat?” soal Wati.

“Entah, aku sendiri pun tak tahu. Pasti orang tu ada niat yang tak baik pada diaorang berdua. Kesian Mahani. Pasti dia tengah sedih sekarang ni. Nanti aku nak pergi lawat dia lepas habis kerja.” Ujar Nadia. “Kita ni asyik berborak saja. Jom kita pergi buat kerja.” Kata Wati. “Betullah. Nanti tak pasal pasal kena marah dengan Encik Ramli.” Ujar Nadia. Mereka berdua memulakan tugas masing masing pada hari itu.

Sahiril memandu keretanya membelah jalan raya pada pagi itu. Dia mahu berjumpa dengan Mahani untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Tidak banyak kereta yang bertali arus pada waktu itu membuatkan perjalanan Sahiril untuk bertemu dengan Mahani berjalan lancar. Dia mahu ke rumah Mahani setelah mendapat alamat yang selengkapnya dari Penyelia Bahagian Housekeeping.

Setelah sampai di rumah Mahani, Sahiril memberi salam dan mengetuk pintu berkali kali namun tiada sahutan. “Mana pula janda ni? dah la tak datang kerja lepas tu tak ada kat rumah pula. Mana dia pergi? Perempuan ni memang menyusahkan.” Ujar Sahiril bersendirian. “Apa aku nak buat sekarang ni?” ujar Sahiril bermonolog. “Apa kata kalau aku telefon dia saja. Lagi senang.” Bisik Sahiril di dalam hati.

Dia terus mendail nombor Mahani menggunakan telefon bimbitnya. Dia menunggu beberapa saat dan kemudian terdengar suara orang menyahut. “Hello, Sahiril. Ada apa?” soal Mahani di hujung talian. “Aku nak jumpa dengan kau. Kau kat mana?” soal Sahiril kasar. “Sahiril, kenapa awak cakap macam ni?” Soal Mahani kehairanan. Tidak pernah Sahiril bercakap dengan nada suara seperti itu terhadapnya.

“Aku tanya kau soalan kau jawab dengan soalan juga. Kau ni pekak ke bodoh? Aku tanya kau kat mana sekarang?” Jerkah Sahiril. “Saya kat rumah Mahmudah.” Jawab Mahani perlahan. “Bagi aku alamat dia.” Kata Sahiril. “Nombor 8 Jalan Seri Nilam.” Jawab Mahani pula. “Kau jangan nak pergi mana mana. Tunggu aku kat sana. Nanti aku datang.” Ujar Sahiril dan terus mematikan telefon bimbitnya. Kemudian dia memandu keretanya untuk ke rumah Mahmudah bagi berjumpa dengan Mahani.

Mahani menuggu kedatangan Sahiril dengan penuh debaran. Biasanya dia pasti gembira jika dapat bertemu dengan Sahiril namun pada hari ini situasi sudah berlainan sama sekali. Dia tahu mengapa Sahiril mahu berjumpa dengan dirinya. Sudah tentu mahu membincangkan tentang masalah yang berlaku. Dia melihat kereta Sahiril berhenti di rumah Mahmudah.

Dia terus membuka pintu pagar untuk membolehkan Sahiril masuk. “Silakan masuk. Nanti saya buatkan air untuk awak.” pelawa Mahani. “Tak payah. Kat sini saja dah cukup.” Ujar Sahiril angkuh. “Apa yang awak nak cakap dengan saya?” Soal Mahani. “Kau tak payah nak berpura pura baik dengan aku Mahani. Aku tahu niat jahat kau. Nampak saja alim tapi sebenarnya kau ni syaitan bertopengkan manusia.” Ujar Sahiril kegeraman.

“Apa yang awak cakap ni Sahiril? Saya tak faham.” Soal Mahani. “Kau tak payah nak berlakon depan aku. Aku dah tahu segala galanya. Kau ni memang perempuan keji kau tahu tak.” Jerit Sahiril. “Sahiril!” jerit Mahmudah. Terkejut Mahani dan Sahiril mendengar suara Mahmudah. “Jangan biadab. Tolong cakap baik baik sikit. Kalau kau marah sekalipun kamu berdua kena bawa berbincang. Bukan bergaduh macam ni. Tak malu ke jiran tengok.” Ujar Mahmudah.“

Sahiril hanya tersenyum sinis. “Sudahlah. Kau pun sama macam adik kau. Mata duitan. Kau dengar sini Mahani. Aku datang ni sebab aku nak kau kahwin dengan aku.” Ujar Sahiril. “Apa? Awak ingat perkahwinan ini perkara main main ke? Boleh pakai redah saja.” Soal Mahani. “Kau ingat aku nak sangat kahwin dengan kau? Aku kahwin dengan kau sebab aku nak selamatkan reputasi dan hotel aku. Itu saja.” Jawab Sahiril.

“Sahiril, ini kerja gila. Ada banyak lagi cara kita boleh selesaikan masalah ni.” Ujar Mahani. “Aku tak peduli. Kalau kau kahwin dengan aku sekurang kurangnya orang tak anggap aku merosakkan kau. Kita boleh cakap kat media yang kita ni suami isteri. Faham!” Ujar Sahiril.

“Saya tak nak Sahiril. Saya tak nak.” Kata Mahani. “Lebih baik kau terima Mahani. Kalau kau tak nak hidup kau dan hidup anak kau menderita lebih baik kau terima. Aku akan buat apa saja untuk selamatkan nama baik dan perniagaan aku.” Ugut Sahiril. “Apa yang kau nak buat?” soal Mahmudah yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. “Aku boleh buat apa saja. Dengan duit dan pengaruh, aku boleh masukkan kamu berdua ke dalam penjara. Aku juga boleh buat anak kau tu menderita. Aku tahu kau sayangkan anak kau.” Kata Sahiril dengan senyuman sinis terhias di bibirnya. Mahani dan Mahmudah hanya mendiamkan diri.


“Kau fikir baik baik. Ini semua demi masa depan kau juga.” Ujar Sahiril lalu terus beredar ke keretanya. “Baiklah. Aku setuju.” Kata Mahani. “Bagus, kau ambil cek ni lepas tu kau pergi buat persiapan perkahwinan kita. Dua minggu lagi kita akan kahwin.” Ujar Sahiril dan mencampakkan cek itu ke muka Mahani kemudian dia terus beredar.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.